KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dipertahankan oleh banyak pihak, khususnya pembangkang sebagai kemenangan besar kepada "budaya dan pengamalan demokrasi" di Malaysia. Rakyat digambarkan sebagai sudah matang dan mula membuat keputusan di luar dugaan.
Pemilihan wakil rakyat tidak lagi didahului dengan angkubah "ras dan perkauman", tetapi wujud trend yang merentasi semua angkubah yang dikhabarkan sebagai sudah kian runtuh dan tidak lagi relevan.
Mahu tidak mahu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu melakukan penjajaran semula amalan politik sebagai respons kepada usaha itu. Kita memerlukan perubahan tindakan dan amalan.
Demokrasi tulen yang mampu menjaga kepentingan rakyat, mengisi tuntutan umum tidak mungkin menjadi sesuatu yang wajar ditolak oleh kerajaan yang waras dan wibawa. Kita tidak akan mampu melakukan "penyatuan pemikiran ramai" untuk menolak arus demokrasi yang menjanjikan syurga kepada masyarakat.
Janji untuk berubah daripada satu bentuk demokrasi kepada suatu bentuk "demokrasi baru" diterima baik oleh rakyat. Sama ada ia retorik politik kosong ataupun tidak, PRU12 membuktikan rakyat menerima janji itu.
Rakyat dijanjikan dengan segala macam agenda ketelusan dan khidmat kepada rakyat. Pakatan baru itu menjanjikan kalangan wakil rakyat yang 'hampir maksum' dan tidak punya sebarang kelemahan integriti.
Sepanjang tempoh itu, rakyat acap kali didatangi oleh beberapa insiden "pentakrifan dan momokan baru demokrasi". Seorang isteri boleh meninggalkan kerusi Parlimen yang dimenanginya untuk membenarkan si suami mengisi tempat. Peralihan kuasa peringkat parti, mesti diterima juga oleh rakyat sebagai 'agenda besar' perubahan. Ia dilakukan atas nama 'demokrasi dan suara rakyat' seolah-olah suara rakyat sebelum itu sudah menjadi kurang 'rakyatnya'.
Maka pilihan raya kecil yang 'lebih rakyat' daripada tsunami politik 8 Mac 2008 (803) mesti dijayakan. PRU12 tidak cukup 'rakyat 'kerana gagal menempatkan 'ikon rakyat' sebagai Ahli Parlimen.
Apakah ini soal demokrasi? Apakah wujud sebarang proses rekayasa dan pembaikan khidmat dalam tempoh waktu sesingkat itu bagi pasca PRU12? Apakah ia jawapan kepada amalan demokrasi yang jujur dan mendahulukan rakyat?
Di utara, seorang wakil rakyat meletakkan jawatan di atas alasan yang cukup longgar dan bersifat spekulatif. Rakyat sekali lagi dijadikan alasan untuk menghalalkan "momokan demokrasi bersiri" yang dirancangkan sebagai strategi politik. Rakyat tidak perlu diutamakan - strategi politik kepartian lebih perlu dijadikan prioriti.
Terbaru, seorang wakil rakyat meletak jawatan di atas alasan ingin menyambung pelajaran! Apakah sokongan dan undi rakyat sudah diterjemah sebagai "bahan komoditi" yang menentukan tinggi rendahnya harga dan penerimaan seorang individu dan sebuah parti? Apakah rakyat berhak untuk disusahkan dengan usaha pengundian hanya kerana mahu menampilkan seorang individu? Apakah individu ini lebih penting daripada dasar dan polisi perjuangan sebuah parti?
Kepada penulis, di dalam pengamalan politik, tidak ada soal menarik diri kerana takut. Sebagai sebuah kerajaan yang wibawa, soal 'takut' tidak pernah menjadi sesuatu yang dibimbangkan. Apa yang ditakuti bukannya kekalahan politik tetapi "jerlus moral dan etika" di sebalik keperluan sebuah pilihan raya kecil. Kita tidak sanggup jawatan menjadi sandaran politik kepada usaha mengenengahkan individu dan calon tertentu. Kita tidak sanggup melihat rakyat dilayan bagaikan "komoditi politik".
Seharusnya, masyarakat umum di Malaysia mengambil iktibar mendalam di sebalik usaha amalan "momokan demokrasi bersiri" kebelakangan ini. Ia bukan lagi menjadi agenda mendahulukan rakyat, tetapi sudah menjadi 'percaturan politik' yang dangkal dan sempit. Walaupun ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan, namun yang pasti, ia suatu "pencabulan semula" hak majoriti rakyat yang sudah memilih pada Mac 2008.
Memaksa rakyat kembali ke kotak undi bagi membenarkan seorang individu melanjutkan pelajaran adalah suatu penghinaan.
Kedudukan dan status wakil rakyat tidak wajar terus dijadikan sandaran politik yang bersifat semberono. Apakah perlu rakyat dihadapkan ke 'kotak undi' jika hanya bertujuan menarik individu tertentu ke arus perdana politik? Apakah parti tidak punya 'wibawa' sehingga memerlukan pertukaran pemuka politik sedangkan parti sama kerapkali menghamburkan retorik 'agenda perubahan'? Apakah disebabkan konflik dalaman yang kian menggunung, memberi lesen kepada mereka mengheret rakyat ke kotak undi?
Amalan demokrasi yang mampan adalah juga keberanian dan konsistensi menerima keputusan rakyat. Bukannya membenarkan demokrasi menjadi alat politik yang membebankan rakyat. Bukan juga menjadi alat politik yang mengubat rajuk dan rasa bersalah pihak-pihak tertentu. Kotak undi mesti kekal menjadi referendum rakyat kepada prestasi kerajaan - untuk tempoh masa yang tertentu.
Kewajaran untuk mengadakan pilihan raya kecil inilah yang wajar dinilai oleh rakyat sebagai elemen kebertanggungjawaban sesebuah parti politik dan kerajaan. Jika kita menjanjikan ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat, apakah mengadakan pilihan raya di atas alasan yang longgar wajar menjadi simbolisme kepada keinginan itu? Tidakkah kita sedang menidakkan hak dan kepentingan rakyat?
Majoriti senyap rakyat perlu menunjukkan sikap yang lebih berani dalam menidakkan amalan politik tidak bertanggungjawab seperti ini. Mesej jelas mestilah dihantar kepada mereka. Kita khuatir, dalam sibuk merencana siri demokrasi bentuk baru ini, mereka langsung tidak punya jiwa dan hasrat membantu rakyat.
Pasca PRU12, sudahpun melaksanakan enam siri pilihan raya kecil. Tiga daripadanya atas sebab yang tidak dapat dielakkan - kematian (Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Batang Air).
Tiga lagi atas dasar percaturan politik dan "momokan kepada amalan demokrasi".
Mungkin sudah tiba masanya, kita menilai semula peruntukan undang-undang dan rangkuman legaliti yang melibatkan pilihan raya di Malaysia. Jika perlu, kalangan calon dan parti yang gagal mendatangkan alasan munasabah dan wajar kepada keperluan meletakkan jawatan - perlu membayar denda yang agak tinggi. Ini bagi memastikan tidak ada lagi insiden peletakan jawatan akibat "rajuk dan kecil hati, nilai sentimental suami isteri dan kecenderungan melanjutkan pengajian". Parti mesti menjadi lebih bertanggungjawab dan mampu mengurus kalangan wakil rakyat agar tidak menjadi momokan kepada sistem demokrasi itu sendiri.
Kita berada dalam sistem nilaian politik berasaskan prestasi dan wibawa. Rakyat tidak seharusnya terus disogok dengan keperluan berada di kotak undi di atas alasan yang simplistik dan menjahanam kredibiliti. Tidak ada nilai ketelusan dan kewibawaan dalam amalan demokrasi yang sedemikian sifatnya. Biarlah nilai sentimental dan masalah 'kredibiliti' diselesaikan sebelum pilihan raya umum.
Penulis kadangkala jadi segan dan malu alah dengan deretan sistem pesanan ringkas yang bertanyakan bila kerajaan dan pembangkang di Malaysia mampu mempunyai "tempoh bertenang" dan berfikir untuk kesejahteraan rakyat?
Jika kita menerima hakikat bahawa landskap politik sudah berubah, kayu ukur pencapaian seseorang pemimpin dan parti sudah diletakkan tinggi - kita mesti bersedia untuk berfikir dan bertindak selari dengannya. Deretan momokan bersiri demokrasi ketika ini tidak langsung menyediakan persekitaran kondusif untuk itu.
Segala kekuatan pemikiran dan agenda tindakan, mesti dijuruskan terus kepada agenda rakyat. Kita jangan gemar menggunakan rakyat sebagai alasan untuk bersikap angkuh dan sombong dengan pencapaian politik yang kadangkala kelabu dan sukar diramal. Adakala, kita perlu mendidik diri untuk menjadi matang dan tidak leka dengan pencapaian politik peribadi. Rakyat pasti sedar jika demokrasi dimomokkan dan dijadikan agenda membina imej pemenang sebegini, mereka juga berhak berasa mual dan benci.
PENULIS ialah Ketua PeneranganPemuda UMNO Malaysia
Tuesday, May 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment