Wednesday, October 15, 2008

Rasuah politik kikis semangat kebangsaan

DUNIA politik sering dikatakan kotor pada hal asal politik tidaklah begitu. Dunia politik menjadi kotor kerana persaingan kuasa. Ia menjadi kotor kerana jiwa pemainnya kotor dan bermasalah. Ia bukan saja berlaku di peringkat politik tempatan, malah politik antarabangsa.

Pada hakikatnya persaingan kekuasaan dan konflik politik sering didorong oleh 'nafsu besar' ahli politik untuk mencapai agenda peribadi. Seperti juga dalam perniagaan, 'peniaga politik' yang bernafsu besar ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengetepikan nilai dan etika berpolitik. Sifat dan tabiat buruk ini akhirnya menjadikan dunia politik itu penuh dengan kejelekan.

Dalam lagu berjudul 'Gila kuasa' nyanyian Wahid Satay dan Zainal Abidin daripada filem Celorong Celoreng, ada lirik yang berbunyi 'kita mulia kerana kuasa, mabuk kuasa mula jadi gila' baik untuk direnungi ahli politik untuk diambil iktibar.

Demikianlah politik yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air akan bertukar menjadi agenda dan kepentingan peribadi apabila aktor politiknya bersifat 'gila kuasa'. Penyakit gila kuasa juga menjadi penyebab saluran demokrasi menjadi 'tersumbat' sehingga demokrasi tidak dapat berfungsi dengan baik dan akhirnya hancur.

Demikianlah politik gila kuasa mendorong sesetengah aktor politik menjadikan 'matlamat menghalalkan cara.' Oleh itu, tidak hairanlah politik wang menjadi penyakit yang bukan saja mengancam masa depan sesebuah parti politik, malah turut mengancam bangsa dan negara. 'Politik wang' adalah amalan menabur wang yang dilakukan seseorang calon yang bertanding sama ada dalam pemilihan parti atau sesuatu pilihan raya bagi meraih sokongan dan undi untuk jawatan yang ditandinginya.

Sebenarnya 'rasuah politik' ini bukan saja menjadikan wang sebagai unsur meraih kemenangan, malah ia mungkin diberi dalam bentuk lain seperti janji mendapatkan kontrak, tender atau habuan memegang jawatan tertentu.

Namun, penggunaan wang adalah kaedah paling popular sementara habuan berbentuk jawatan adalah terhad kepada penyokong yang berpengaruh saja yang biasanya adalah 'broker' utama bagi seseorang calon perasuah mendapatkan sokongan akar umbi.

Masalahnya, ramai yang tahu keburukannya tetapi mereka tidak menghiraukannya. Hati dan fikiran mereka ditutup daripada kebenaran mengenai kesan buruk politik wang. Apa yang penting ialah keuntungan besar menjadi hasrat mereka yang bernafsu besar ini.

Justeru, tidak hairanlah dunia politik kita hari ini semakin dipenuhi penipuan dan pelbagai skandal yang mengaibkan. Mereka seolah-olah lupa firman Allah SWT yang bermaksud: 'Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata." (Surah Al-Baqarah:168).

Hari ini ramai ahli politik dan pendukung parti yang sanggup menjadi hipokrit kerana budaya politik wang. Penulis sendiri sering mendengar kata-kata daripada akar umbi bahawa 'kekuasaan ditentukan wang dan tipu daya politik', 'untuk apa memegang jawatan kalau tidak memberikan apa-apa pulangan', dan 'siapa yang berduit dialah yang berkuasa'.

Kita bimbang jika penyakit politik wang ini tidak dibendung, maka tujuan sebenar kuasa itu sudah tidak tercapai. Penaburan wang untuk membeli kuasa dan kemenangan ditentukan jumlah wang yang ditaburkan hanya akan melahirkan ahli politik yang menipu diri sendiri dan menipu rakyat.

Politik wang menyebabkan pemilihan pemimpin bukan lagi dibuat atas siapa yang sanggup memperjuangkan kehendak rakyat dan kepentingan negara, sebaliknya siapa yang banyak menabur wang dan menjanjikan habuan kepada pengikutnya jika menang.

Hakikat politik wang ialah kita sebenarnya mengajar pengikut menjadi tidak bertanggungjawab dan kita mendidik mereka untuk menipu.

Kuasa bukan lagi untuk kepentingan masa depan, sebaliknya kuasa menjadi jambatan kekayaan. Kesannya, politik kita semakin jauh daripada perjuangan politik kebangsaan. Politik kekuasaan hanya akan melahirkan golongan ahli politik kaya raya yang menggunakan kuasa dan kekayaan untuk 'menjajah' pemikiran rakyat.

Apabila politik wang sudah membarah serta tidak dapat diubati lagi, maka ia membantutkan penyertaan politik yang bermoral dan beretika. Jangan marahkan rakyat, khususnya bangsa Melayu sekiranya mereka terus meminta minta dan mengharapkan tongkat kerana puncanya adalah didikan ahli politik yang gilakan kuasa menabur wang untuk menang dalam persaingan kuasa.

Rakyat yang dididik dengan suapan politik wang akan memiliki pemikiran politik yang tertutup dan kesannya akan lahir masyarakat yang tidak lagi mampu menggunakan hak politik mereka untuk mengangkat ahli-ahli politik yang dapat membina pemerintahan yang sihat. Aliran politik wang menjadikan ahli politik yang tidak berduit seolah-olah tidak layak untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Kerana gagal menabur wang, ahli-ahli politik yang beretika dan bermaruah sudah tidak mempunyai tempat dalam dunia politik. Mereka dilihat sebagai pemimpin kerdil yang tidak diperlukan dalam parti dan politik tanah air.

Keadaan ini perlu diperbetulkan. Justeru, kita berharap Umno yang setakat ini masih kekal sebagai parti terbesar dan parti teras dalam politik nasional mengorak langkah membina semula penyertaan politik di kalangan ahlinya secara sihat, berakhlak dan beretika.

Monday, October 13, 2008

Ahli parti perlu lebih utamakan kestabilan parti

SELEPAS 28 atau 15 peratus daripada 191 Umno bahagian seluruh negara bermesyuarat setakat ini, amat jelas mereka mahu kestabilan parti tidak terganggu oleh proses peralihan kuasa apabila sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Razak bagi jawatan Presiden.

Trend itu dijangka berterusan apabila sekurang-kurangnya 20 bahagian lagi mengadakan mesyuarat pada Sabtu serta Ahad ini dan jika itu berlaku, bermakna Najib yang kini Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, akan melepasi syarat kelayakan 58 pencalonan.

''Setakat ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang awal lagi sudah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden, dan tidak berganjak daripada pendirian itu meskipun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya, belum mendapat sebarang pencalonan.

Apakah peristiwa empat tahun lalu berulang apabila Tengku Razaleigh gagal mendapat pencalonan untuk jawatan Presiden kecuali dari bahagiannya sendiri, iaitu Gua Musang? Memang ada cubaan oleh perwakilan di dua bahagian kelmarin, iaitu Umno Bahagian Beruas di Perak dan Pontian di Johor, untuk mencalonkan Tengku Razaleigh tetapi gagal mendapat sokongan perwakilan.

Bagaimanapun, amat menarik untuk diperhatikan menjelang akhir minggu ini dan jika Tengku Razaleigh masih gagal untuk mendapat sebarang pencalonan, bermakna harapannya untuk sekali lagi bertanding jawatan Presiden tidak kesampaian.

Umno Gua Musang yang diketuainya, akan hanya bermesyuarat pada 1 November ini. Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menerima 20 pencalonan daripada 25 bahagian yang bersidang, menjadikan jumlah pencalonan diperolehnya setakat ini berjumlah 23. Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib kelmarin masing-masing turut mendapat tiga dan dua pencalonan.

Perjalanan kedua-duanya masih jauh kerana perlu memperoleh 20 peratus atau 38 pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan berkenaan. Seorang lagi calon menawarkan diri untuk jawatan nombor dua itu, Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, belum mendapat sebarang pencalonan.

Umno Bahagian Pulai di Johor yang akan bermesyuarat 26 Oktober ini, mungkin menjadi satu-satunya bahagian mencalonkan anak bekas Setiausaha Agung Umno itu, Tan Sri Mohamed Rahmat.

Sebenarnya, hanya lima calon boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sistem kuota sekarang memerlukan 38 pencalonan untuk seseorang melayakkan diri dan setiap 191 bahagian cuma boleh mencalonkan seorang untuk jawatan itu.

Bagaimanapun, jika seorang calon memperoleh lebih 80 pencalonan, bermakna hanya dua calon akan bertanding. Menjelang malam Ahad ini, semakin jelas berapa pencalonan diperoleh Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka. Malah, akan diketahui sama ada Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melepasi syarat kelayakan 58 bahagian atau terpaksa menunggu lebih lama iaitu minggu akan datang.

Berbanding Najib yang jelas mendapat sokongan padu untuk jawatan Presiden, setakat ini perebutan untuk jawatan Timbalan Presiden masih terbuka, memandangkan 75 peratus atau 163 lagi bahagian belum bermesyuarat. Bagi jawatan Naib Presiden pula, setakat ini Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi calon pertama layak bertanding jawatan itu apabila melepasi kuota 19 pencalonan untuk kerusi berkenaan, kelmarin. Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno berada di tangga teratas daripada 11 calon jawatan berkenaan apabila memperoleh 26 pencalonan, iaitu tambahan 23 pencalonan sejak mesyuarat Umno bahagian berlangsung, Jumaat lalu.

Empat lagi calon yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bersaing rapat untuk jawatan sama adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Syed Hamid Albar. Selepas 28 bahagian Umno bersidang, Shafie mendahului dua lagi pesaingnya dengan memperoleh 15 pencalonan dengan tambahan 14 pencalonan kelmarin. Shafie mendapat saingan daripada Ahmad Zahid yang setakat ini memperoleh 12 pencalonan, diikuti Mohamed Khaled (10), manakala Syed Hamid yang menduduki tempat keempat tertinggi dengan tujuh pencalonan.

Selain itu, empat bahagian Umno iaitu Jempol, Parit Buntar, Kampar dan Rasah melakukan kejutan apabila mencalonkan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Turut memberi saingan dalam senarai calon Naib Presiden adalah seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang setakat ini menerima lima pencalonan, diikuti Datuk Seri Shahidan Kassim (tiga).

Tiga lagi calon kerusi sama, iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis masing-masing dua pencalonan setakat ini, manakala Tan Sri Annuar Musa masih kekal dengan hanya satu pencalonan dari Machang. Mengulas sama ada beliau yakin menang, Hishammuddin semalam berkata: "Saya bersyukur dan gembira dengan pencalonan yang diterima tetapi perjalanan masih jauh.

" Bagi jawatan Ketua Wanita Umno pula, Tan Sri Rafidah Aziz turut layak apabila memperoleh 52 pencalonan manakala Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, 13 pencalonan. Kejutan turut berlaku apabila Shahrizat turut dicalonkan untuk jawatan Ketua Wanita oleh Sepanggar, Sabah dan Sepang.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir muncul calon Ketua Pemuda pertama melepasi kuota pencalonan untuk melayakkannya bertanding jawatan itu selepas memperoleh 40 pencalonan sehingga kelmarin. Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula mendapat 20 pencalonan. Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memperoleh 11 pencalonan, manakala Datuk Zahidi Zainul Abidin, satu pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, Razali Ibrahim turut melayakkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu selepas memperoleh 37 pencalonan, jauh melepasi kuota 30 pencalonan. Saingan terdekatnya, Datuk Reezal Merican Naina Merican pula menerima 29 pencalonan. Seorang lagi calon Naib Ketua Pemuda, Bahrul Razha Chuprat memperoleh tiga pencalonan. Bagi sayap Puteri, Ketua Penerangannya, Datuk Shahaniza Shamsudin mendahului senarai pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Puteri apabila menerima 33 pencalonan.

Naib Ketua Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin menduduki tempat kedua bagi senarai calon ke jawatan nombor satu pergerakan itu dengan memperoleh 26 pencalonan. Seorang lagi calon, Datin Ismalina Ismail memperoleh 17 pencalonan; Penolong Setiausaha Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid, enam pencalonan, manakala Ketua Puteri Pulau Pinang, Azlina Mehtab Mohd Ishaq mendapat empat pencalonan.