Tuesday, March 10, 2009

PEMILIHAN KETUA WANITA UMNO 2009 - cerita sana sini

Rafidah bidas pelawaan jadi penasihat Wanita [Berita Harian 11 Mac 2009]

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz membidas pihak bertanding jawatan pergerakan itu yang membuat spekulasi seolah-olah mereka sudah menang sedangkan pemilihan hanya diadakan 25 Mac ini. Beliau juga hairan mengapa perlu timbul pelawaan menjadi penasihat pergerakan itu, walhal perwakilan belum mengundi siapa yang layak memimpin Wanita Umno.

“Jangan tanya sesiapa apa akan dibuat bila menang atau kalah. Tunggu 25 hari bulan (Mac) ini, jangan spekulasi... saya pun hairan ada orang bercakap seolah-olah dah menang dah... suruh jadi penasihat. Belum tahu siapa menang... jangan mendahului Allah, (itu) nasihat saya kepada Wanita.

“Jangan kita bertindak seolah-olah kita dah menang, kita belum tahu lagi... yang mengundi belum tahu lagi hala ke mana. “Jika kata dia sokong kita tapi belum tahu lagi, dia kata Insya-Allah kepada kita belum tahu lagi dia benar-benar mengundi. Jadi baik tak payah sebutlah,” katanya selepas merasmikan Forum Wanita Dalam Pembangunan Ekonomi anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), di sini semalam.

Mengenai hasil kajian Universiti Malaya (UM) menunjukkan Shahrizat mendahului dengan 53 peratus, Rafidah enggan mengulas lanjut kerana menurutnya perwakilan akan menentukan siapa perlu menjadi ketua pergerakan itu.