Wednesday, June 17, 2009

Calon penentu kemenangan

KALI terakhir UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertembung dengan Pas pada pilihan raya kecil ialah di Parlimen Bukit Gantang dan sebelum itu di Parlimen Kuala Terengganu.
Dalam kedua-dua pertembungan berkenaan, BN tewas. Kini BN terutamanya UMNO berpeluang sedikit sebanyak mengubati luka kekalahan di dua kawasan itu apabila berlangsungnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Manek Urai, di Kuala Krai, Kelantan pada 14 Julai ini.
Di atas kertas, apa juga keputusan pilihan raya itu, ia sama sekali tidak akan mengubah tampuk pemerintahan kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas sejak 1990.
Pada dasarnya, ramai melihat pilihan raya kecil itu sekadar memenuhi tuntutan demokrasi apabila berlaku kekosongan berikutan kematian wakil rakyat terdahulu iaitu Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.
Bagaimanapun, ia tidak bermaksud BN harus memandang mudah cabaran di Manek Urai. Justeru itu, strategi dan pemilihan calon yang tepat adalah penting bagi mengelakkan BN menerima kekalahan lagi pada pilihan raya kecil.
Dalam soal strategi, pemimpin-pemimpin UMNO sama ada di peringkat pusat atau negeri, tidak harus menggunakan pendekatan lapuk bagi meraih sokongan rakyat. Ia termasuklah membuat kenyataan-kenyataan yang dilihat hanya dizahirkan ketika pilihan raya kecil sahaja.
Kenyataan politik berbentuk janji-janji boleh dianggap strategi kempen yang lapuk dan hanya akan memualkan rakyat sahaja.
Adalah lebih baik BN memberikan tumpuan sejauh manakah parti itu mampu menyediakan seorang wakil rakyat yang "benar-benar wakil rakyat".
Ertinya, seorang calon yang jika dipilih sebagai wakil rakyat, beliau akan bersedia berada 24 jam di kawasan tersebut untuk berbakti kepada rakyat, bukannya hanya berada di situ "sekejap-kejap" sahaja.
Maka ketika melontarkan janji-janji, para pemimpin BN harus mengkaji terlebih dahulu latar belakang dan sikap penduduk Manek Urai. Mereka bukanlah golongan yang terlalu dahagakan pembangunan atau mahu diberikan layanan istimewa.
Apa yang mereka mahu ialah seorang wakil rakyat yang bersedia membantu. Berdasarkan hakikat itu, UMNO perlu betul-betul berhati-hati dalam memilih calon.
Kehendak akar umbi dan sentimen penduduk terhadap seseorang calon amat penting bagi mencapai kejayaan.
Walaupun ketika ini beberapa nama disebut-sebut tetapi berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Che Jalal Muda dianggap orang paling sesuai untuk menjadi calon BN.
Selain dikatakan diterima oleh grass root, Che Jalal dilihat pemimpin yang mampu menandingi kehebatan mana-mana juga calon Pas berikutan latar belakang agama yang dimilikinya. Beliau dikhabarkan berupaya menjadi imam solat dan mengetuai majlis tahlil.
Selain itu, walaupun tidak pernah dipilih menjadi calon bertanding pada pilihan raya, Che Jalal dikatakan sentiasa komited membantu parti dan sering bersama rakyat Manek Urai bagi mengetahui masalah mereka.
"Beliau turun padang setiap masa bertemu rakyat dan bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya sahaja. Jadi saya fikir dia paling layak menjadi calon BN,'' kata seorang pemimpin UMNO Kelantan kepada penulis.
Berdasarkan kepada keadaan itu, adalah jelas Che Jalal dilihat calon terbaik untuk BN. Namun semuanya terserah kepada pucuk pimpinan menentukannya. Apa yang pasti, Che Jalal memenuhi kriteria penting yang diinginkan oleh BN iaitu anak tempatan yang dekat dengan rakyat.
Malah beliau adalah pengundi di kawasan berkenaan dan ini sudah tentu memberikan beliau kelebihan daripada segi memahami cita rasa rakyat di situ.
Sememangnya, calon memainkan peranan yang penting apatah lagi di Manek Urai, yang ternyata pengundinya tidak akan termakan dengan sebarang janji termasuklah untuk memberi layanan istimewa kepada kawasan DUN berkenaan jika BN menang.
Kita harus faham bahawa kalau BN menang di Manek Urai, kerusi BN di Kelantan bertambah kepada tujuh. Justeru bagaimana dengan enam lagi kawasan DUN? Apakah mereka tidak berhak mendapat layanan istimewa daripada BN? Sedangkan ada di antara kawasan berkenaan sejak dulu, kini dan selamanya menyokong BN kerana tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.
Tambahan pula di Manek Urai, yang akan menjadi penentu kemenangan sama ada kepada BN atau Pas ialah pengundi atas pagar. Ini jelas berdasarkan kepada keputusankeputusan pilihan raya lalu.
Sokongan kepada BN tidak berubah, begitu juga terhadap Pas. Kini yang akan menjadi penentu ialah pengundi atas pagar. Kelompok berkenaan akan mengkaji semua isu. Paling penting bagi mereka ialah sejauh manakah calon yang dipilih itu benar-benar layak menjadi "wakil rakyat".
Jumlah keluar mengundi penyokong BN adalah tidak berubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 11 dan PRU-12. Pada PRU-11, BN mendapat undi sebanyak 4,361 manakala PRU-12 sebanyak 4,394.
Ia bermakna jika strategi BN tepat terutamanya dalam soal calon, maka bukanlah suatu yang mustahil BN akan kembali merampas kerusi DUN berkenaan seperti mana yang dinikmati pada pilihan raya umum 2004.
Namun apa yang diharapkan, tidak kiralah siapapun yang dipilih, apa yang penting semua penyokong BN terutamanya mereka bertaraf pemimpin sama ada di peringkat bahagian atau cawangan perlu memberikan sokongan padu.
Janganlah mengamalkan sikap "tikam belakang" atau perkataan paling popular di Kelantan, "cah keting". Mereka perlu meletakkan kepentingan parti mengatasi segalagalanya. Mungkin kita mempunyai calon sendiri tetapi kalau pucuk pimpinan sudah membuat keputusan berdasarkan kepada beberapa pertimbangan, maka semua pihak harus menyokong.
Mereka perlu memahami - biarpun telah diuar-uarkan - kemenangan Manek Urai tidak akan mengubah pemerintahan kerajaan negeri tetapi ia penting bagi menjadi penanda aras sejauh manakah UMNO Kelantan berupaya bersatu.
Ia penting dalam usaha memulakan langkah bagi mengukuh kedudukan parti berkenaan yang terlepas tampuk kekuasaan di negeri itu sejak hampir 20 tahun lalu.
Dalam soal ini, ia bergantung kepada kemampuan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed untuk menggerakkan jentera dan mengatur strategi.
Namun apa juga strategi dan jentera yang digerakkan, ia tidak akan bermakna jika UMNO tersalah memilih calon kerana itulah penentu kemenangan dan kekalahan sesebuah parti di Manek Urai.

PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia.