Monday, March 31, 2008

Samy Vellu minta semua pemimpin Hindraf dibebas

31.03.2008 Berita Harian

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, semalam meminta kerajaan membebaskan semua pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Samy Vellu berkata, dua daripada mereka, R Kenghadaran, 40, menghadapi masalah kesihatan yang serius manakala peguam, M Manoharan, 46, kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Katanya, dua lagi tahanan ISA, V Ganabatirau, 34, dan K Vasantha Kumar, 34, tidak mempunyai peranan dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjur kumpulan itu di sini pada 25 November tahun lalu.
Seorang lagi pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA ialah peguam, P Utahayakumar. “Saya akan bangkitkan (pembebasan mereka) dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) selepas beliau kembali dari Sabah.

Jika beliau (Abdullah) mahu membebaskan semua mereka, terserah kepada beliau. Kami juga tidak mahu mereka ditahan bagi tempoh yang terlalu lama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bengkel ‘Penjenamaan Semula MIC’ yang dihadiri 150 pemimpin bahagian parti itu di sini, semalam. Kelima-lima pemimpin Hindraf itu ditahan 13 Disember lalu mengikut ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Selain itu, Samy Vellu berkata, beliau juga akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bagi membincangkan perkara sama.

“Saya melakukan perkara ini demi keadilan, simpati dan merasakan bahawa kaum India perlu berbuat sesuatu mengenainya. Ia bukan untuk publisiti,” katanya.

Sementara itu, berhubung keputusan kerajaan Pahang tidak memberi kerusi Exco kepada wakil MIC, Samy Vellu berkata, parti itu sudah membangkitkan perkara ini, tetapi ia belum direalisasikan.

“Saya tidak akan meminta lagi... cukuplah meminta itu dan ini. Jika kerajaan Pahang berasa lebih baik tanpa kaum India dalam barisan Exconya, baiklah... kita sudah nyatakan apa yang kita mahu dan terpulanglah kepada kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan Barisan Nasional (BN) meminggirkan MIC atau kaum India di negara ini pada keseluruhannya. Malah, katanya, pembangkang, yang berkuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor menggunakan formula BN dalam peruntukan kerusi Exco.

Tuesday, March 25, 2008

Konsep unik perkongsian kuasa di Malaysia

DI ANTARA dilema yang dihadapi negara yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Malaysia ialah untuk memastikan setiap kaum diwakili ataupun terbabit secara langsung dalam proses pentadbiran. Ia berkait rapat dengan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan yang dibentuk dapat memenuhi aspirasi setiap kaum yang pelbagai. Ini kerana setiap kaum mempunyai sistem kepercayaan serta kebudayaan mereka sendiri.

Oleh itu, kegagalan kerajaan yang dibentuk membuat keputusan yang mampu menyantuni kehendak setiap kaum, dikhuatiri akan mengakibatkan ketidakstabilan terutama sekali di peringkat akar umbi. Keadaan diburukkan lagi seandainya kerajaan yang memerintah, membuat keputusan ataupun dasar berasaskan kepada persepsi ataupun kehendak sesebuah etnik semata-mata.

Pakar sains politik terkemuka, Arend Lijphart, menawarkan penyelesaian kepada persoalan ini. Beliau memperkenalkan konsep Consociational Democracy yang kini diamalkan di Belgium, Belanda serta beberapa negara di Eropah. Dalam konsep ini, setiap etnik mempunyai peluang untuk berpartisipasi secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta pentadbiran, melalui pemimpin yang dipilih untuk mewakili sesuatu etnik.

Pemimpin yang dipilih akan bekerjasama dengan pemimpin yang mewakili etnik lain. Untuk memudahkan kerjasama ini berlaku, pemimpin itu akan menubuhkan pakatan kerjasama di antara parti politik yang dipimpin mereka. Parti-parti politik ini ditubuhkan untuk menjaga kepentingan etnik yang diwakilinya.

Di Malaysia, konsep ini dipelopori Parti Perikatan. Ia ditubuhkan pada 1955, di mana ia membabitkan Umno, MCA, dan MIC. Ketiga-tiga parti politik dibentuk untuk mewakili kepentingan tiga etnik terbesar iaitu; Melayu, Cina, dan India. Melalui konsep perkongsian kuasa ini, ia memberikan ruang sama rata untuk semua etnik yang ada di negara ini, melalui pemimpin yang dipilih, untuk membabitkan diri secara langsung dalam proses pentadbiran. Kini, kesinambungan konsep perkongsian kuasa yang dirintis melalui Parti Perikatan, diteruskan pula oleh Barisan Nasional (BN), yang turut dinaungi beberapa lagi parti politik termasuk yang mewakili etnik Sabah dan Sarawak.

Dalam barisan Kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, konsep perkongsian kuasa diterapkan dengan bijaksana. Buktinya, barisan Kabinet kali ini terdiri daripada pemimpin Melayu, Cina, India dan beberapa suku kaum di Sabah dan Sarawak. Kemampuan menteri baru belum diuji kerana mereka baru saja dilantik, namun dengan bimbingan Perdana Menteri dan beberapa menteri veteran, sudah pasti mereka dapat menyesuaikan diri dalam keadaan politik semasa dengan menerapkan konsep berkhidmat dengan ikhlas untuk rakyat.

Dalam konteks politik Malaysia, proses perkongsian kuasa ini telah berjaya mencipta kestabilan kepada iklim politik di negara ini. Kejayaan ini dibantu oleh dua faktor utama. Faktor pertama membabitkan interaksi di antara pemimpin serta etnik yang diwakilinya. Untuk menjamin kejayaan perkongsian kuasa ini, barisan pemimpin terbabit dituntut untuk sentiasa berinteraksi serta peka terhadap sebarang pandangan atau isu yang diutarakan oleh etnik yang diwakili di peringkat akar umbi. Segala permasalahan yang diutarakan, kemudian akan diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar oleh kerajaan yang memerintah. Pemimpin ini juga perlu memainkan peranan di dalam menerangkan sebarang kekeliruan terhadap sebarang isu yang timbul. Melalui interaksi ini, keharmonian perhubungan di antara etnik dapat dijaga.

Faktor kedua membabitkan interaksi serta permuafakatan yang dicapai di kalangan pemimpin yang dipilih, dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit. Permuafakatan ini tercapai melalui sikap toleransi serta keprihatinan pemimpin terbabit, terhadap batas-batas sensitiviti yang telah dipersetujui bersama. Malaysia adalah salah satu negara yang berjaya menerapkan sistem perkongsian kuasa ini dengan jayanya. Kejayaan ini dibantu sikap toleransi serta saling hormat menghormati yang diamalkan rakyat negara ini. Dalam hal ini, interaksi pada peringkat akar umbi adalah penyumbang utama kepada kejayaan yang dicapai. Justeru, keharmonian hubungan di antara kaum perlu sentiasa dijaga dan disuburkan, agar setiap lapisan rakyat dapat menjalani kehidupan mereka dengan aman dan damai.

Monday, March 24, 2008

Harga diri ahli Parlimen

ADA yang mendakwa harganya RM15 juta, ada yang lebih ekstrem mendakwa harganya mencecah RM100 juta.

Benar atau tidak, itulah khabar angin yang bertiup kencang di Sabah beberapa hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, pada 8 Mac lalu.

Harga yang ditujukan kepada seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu ternyata lebih hangat daripada berita kenaikan harga minyak mentah dunia yang mencecah AS$111.42 setong, 17 Mac lalu.

Malah, lebih memanaskan keadaan ialah desas-desus bahawa terdapat pemimpin pakatan pembangkang telah tiba di Sabah minggu lalu untuk ‘berbincang’ dengan mana-mana Ahli Parlimen BN untuk menyertai mereka.

Percaturannya mudah, pakatan pembangkang kini mempunyai 82 kerusi dan 140 lagi BN yang membentuk semula kerajaan melalui majoriti mudah.

Beza antara pakatan pembangkang dan BN hanya 58 kerusi, daripada jumlah tersebut pakatan pembangkang hanya perlu menarik 30 kerusi untuk menumbangkan kerajaan yang baru dibentuk menjelang tengah malam 8 Mac lalu itu.

Sabah pada masa ini mempunyai 24 kerusi, hanya terlepas satu kerusi Parlimen Kota Kinabalu kepada DAP, manakala di Sarawak juga cemerlang apabila turut tewas hanya satu kerusi di Parlimen Bandar Kuching daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.

Kedua-dua negeri ini menyumbang 54 kerusi iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan 140 kerusi yang dimenangi oleh BN sekali gus menimbulkan cakapcakap bahawa lebih ramai ahli Parlimen dari kedua-dua negeri ini akan dilantik menyertai barisan Kabinet baru.

Ironinya pengecilan jumlah anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri yang dikurangkan kepada 68 berbanding 90 orang sebelum ini serta pemansuhan jawatan setiausaha Parlimen, menjadikan harapan itu tidak menjadi kenyataan.

Sabah yang sebelum ini diwakili oleh tiga menteri penuh, dua timbalan menteri dan seorang setiausaha Parlimen hanya mendapat tiga menteri penuh dan empat timbalan menteri.

Sementara Sarawak, menerima dua menteri penuh dan tujuh timbalan menteri berbanding dua menteri, empat timbalan menteri dan seorang setiausaha Parlimen.

Walaupun berlaku sedikit tambahan jawatan, namun suatu yang tidak boleh dinafikan ialah perasaan tidak puas hati tetap wujud.

Senario itu ditambah dengan khabar angin terdapat usaha pakatan pembangkang untuk menarik sokongan ahli Parlimen BN selain janji-janji manis yang menawarkan penyertaan dalam Kabinet lebih besar daripada kedua-dua negeri ini.

Apa yang berlaku ini sewajarnya tidak dipandang ringan oleh semua pihak. Malah, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengingatkan bahawa UMNO dan BN tidak boleh ambil mudah dengan desas-desus yang ada.

“Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran perkara ini, tetapi kita tidak mungkin boleh mengetepikannya kerana tidak mahu melihat apa yang diimpikan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi satu kenyataan dan kita pun tahu PKR berminat sangat nak memimpin negara ini,” katanya.

Hari ini begitu ramai pemimpin parti termasuk parti-parti komponen membuat kenyataan bahawa tidak mungkin berlaku ahli Parlimen BN berpaling tadah.

Begitu juga ramai yang memberi amaran, ingatan dan pesanan selain mencemuh keinginan pakatan pembangkang untuk menarik sokongan ahli Parlimen BN.

Malah, pemimpin parti-parti pembangkang turut mencemuh perilaku seperti itu kerana mereka juga khuatir dengan kedudukan rapuh kerajaan negeri yang dibentuk di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Apa pun, umum perlu sedar bahawa cita-cita pakatan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat daripada BN sudah lama dan mereka sentiasa bekerja ke arah itu lebih 10 tahun lalu.

Kemenangan besar pembangkang menawan 82 kerusi sehingga mencatat sejarah mengurangkan majoriti dua pertiga kerusi BN pula ibarat cahaya di hujung jalan.

Jika kesempatan ini tidak digunakan sekarang, belum tentu pakatan parti pembangkang mampu untuk mengulangi kejayaan yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 empat atau lima tahun akan datang.

Oleh itu, hasrat Setiausaha Agung BN dan UMNO yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghantar kumpulan perisik ke seluruh negara menyiasat cubaan pembangkang membeli anggota Parlimen parti komponennya bagi menjatuhkan Kerajaan Pusat perlu disegerakan.

Tindakan itu bukan sahaja perlu untuk meredakan kebimbangan di kalangan rakyat, malah prasangka di kalangan anggota parti komponen juga perlu dihapuskan terutama dalam keadaan BN perlu bekerja keras menunaikan janji-janji dan manifesto pilihan raya lalu.

BN Sabah mempunyai enam parti komponen dan 13 kawasan Parlimen diwakili oleh UMNO, manakala PBS (tiga), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO, empat); Parti Maju Sabah (SAPP, dua); Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) (masing-masing satu).

Sementara BN Sarawak pula diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB, 14 kerusi); Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP, enam); Parti Rakyat Sarawak (PRS, enam) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP, empat).

Kelihatannya, UMNO yang telah bertapak di Sabah sejak 17 tahun lalu agak kental daripada ditembusi pengaruh pakatan pembangkang, manakala PBS pastinya sedar bahawa tidak ada untung jika berpaling tadah kepada pembangkang kerana sejarah telah mengajar erti kesetiaan berpolitik.

Begitu juga dengan UPKO, PBRS dan LDP, malah SAPP menyifatkan tindakan menghantar perisik ke Sabah sebagai satu ‘penghinaan’ kerana seolah-olah mempertikai kewibawaan dan kesetiaan ahli Parlimen BN di Sabah.

Perhatian juga tidak sewajarnya ditumpukan kepada Sabah dan Sarawak meskipun Negeri Di Bawah Bayu ini mempunyai sejarah berlaku kes melompat parti di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Ini kerana kalangan Ahli Parlimen di Semenanjung juga berpotensi untuk dipengaruhi, apatah lagi jika disogokkan dengan janji-janji manis serta lambakan wang yang banyak.
Hakikat yang perlu diterima ialah potensi pakatan pembangkang untuk menawar ‘baju baru’ kepada ahli-ahli Parlimen BN tidak akan berhenti begitu sahaja.

Ketua dilantik perlu bermuhasabah

Penasihat pikul tugas penting ingatan pemimpin laksana tanggungjawab KEJUTAN besar keputusan pilihan raya umum lalu masih lagi terasa dan diperkatakan umum meskipun sudah hampir dua minggu ia berlalu.

Ini kerana keputusan di luar jangkaan itu turut mencetuskan pelbagai kesan dan akibat besar yang lain, misalnya berkaitan urusan pentadbiran, penubuhan serta pelantikan kepemimpinan. Maka yang demikian, kita dapat melihat wujudnya kecenderungan pihak terbabit untuk bermuhasabah atas kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan tugas, amanah serta tanggungjawab terhadap rakyat selama ini.

Hakikatnya, tindakan bermuhasabah bukan saja khusus bagi mereka yang tewas tetapi juga kepada pihak yang mencapai kemenangan kerana kemenangan diperoleh membawa bersama dengannya tanggungjawab serta amanah berat untuk dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Ingatlah peringatan diberikan Rasulullah SAW kepada Abu Zar bahawa pada hari akhirat kelak, jawatan yang disandang atau diharapkan adalah kerugian serta penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang menerima atau mengambilnya berasaskan kelayakan dan menunaikan segala tuntutannya. Amalan bermuhasabah tidak asing sama sekali daripada kehidupan seorang Muslim.

Amalan mulia itu mendorong supaya setiap Muslim sentiasa beristiqamah melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.

Apatah lagi bagi seseorang pemimpin, lebih besarlah lagi amalan muhasabah yang perlu dilaksanakan kerana amanah dipikul lebih besar dan berat. Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis Baginda bagaimana setiap insan, terutama pemimpin, akan dipersoal mengenai orang serta urusan yang berada di bawah jagaan atau pengawasannya pada hari akhirat kelak.

Selain itu, al-Quran juga mengingatkan bagaimana akhirat menjadi medan untuk dihisab dan dinilai segala amalan serta perbuatan manusia ketika mereka hidup di dunia. Kesimpulannya, setiap Muslim dan Mukmin perlu menjalani kehidupan dengan penuh waspada dan berhati-hati.

Amalan bermuhasabah juga sebati dalam kehidupan pemimpin agung tamadun Islam seperti Khalifah Umar. Di sebalik ketegasannya, Khalifah Umar terkenal di kalangan sahabat dan rakyat Baginda sebagai seorang yang mudah menitiskan air mata jika diingatkan mengenai hari kiamat.
Rasa takutnya akan Allah begitu tinggi dan beliau sentiasa bermuhasabah semata-mata bertujuan mengingatkan diri bahawa pengabdian kepada Allah masih belum mencapai tahap selayaknya. Sehubungan itu, beliau sentiasa mengingatkan sahabat serta rakyatnya akan azab neraka dan menggalakkan mereka supaya sentiasa bermuhasabah dengan pesanannya,

"Hisablah diri kamu sendiri sebelum kamu dihisab, dan timbanglah jiwa kamu sebelum ia ditimbang." Khalifah Umar bersungguh-sungguh melaksanakan setiap tanggungjawab kepemimpinan hatta terhadap haiwan sekalipun, dan beliau pernah mengatakan, "Amatlah kutakuti jika seekor anak kambing mati di tebing Sungai Furat, Allah akan menghisab Umar kerananya."

Bagi pemimpin hari ini, amalan bermuhasabah wajar dijadikan amalan dan kebiasaan dalam kehidupan seharian, bukan hanya setelah berlakunya peristiwa besar yang menguji kepemimpinan dan mencabar kewibawaan atau setelah berlalunya pilihan raya.

Ini kerana, jika amanah yang diserahkan penuh kepercayaan oleh rakyat yang dipimpin gagal disempurnakan dan menyebabkan rakyat seluruhnya berduka cita, ia adalah kebimbangan buat pemimpin berkenaan. Kepentingan penasihat kepada pemimpin juga memainkan peranan penting. Guru kepada Khalifah Bani Abbasiyyah kelima, Khalifah Harun al-Rashid, Sufyan, menolak untuk menemui dan memutuskan hubungan dengan baginda akibat kecewa tindakan baginda mengagihkan harta baitul mal kepada kaum kerabat serta saudara mara tanpa memohon kebenaran tentera yang berjuang pada jalan Allah, janda dan anak yatim.

Peringatan yang diberikan Sufyan kepada Khalifah Harun turut menginsafkan Abbad, utusan yang membawa surat daripada baginda kepada Sufyan. Abbad sendiri menukar penampilannya dengan membeli pakaian yang lebih murah di pasar. Pada penghujung kisah diceritakan bagaimana Khalifah Harun al-Rashid menangisi dan menginsafi kesilapan dilakukannya, menolak gesaan daripada orang istana yang menjadi penasihat baginda supaya Sufyan dibawa menghadap kerana sikap tidak menghormati pemerintah. Surat jawapan Sufyan yang ditulis pada helaian sama, iaitu di belakang surat baginda sendiri sering kali dibaca untuk mengingatkan mengenai tanggungjawab besar dipikul. Jelaslah di sini Sufyan bertindak sebagai penasihat terbaik bagi Khalifah Harun al-Rashid. Rasulullah SAW sendiri sentiasa menerima pandangan sahabat yang memiliki ilmu dan kepakaran tertentu sebagai nasihat berguna termasuklah dalam menghadapi saat genting seperti peperangan. Dalam Peperangan Khandaq, Baginda menerima pandangan daripada Salman al-Farisi yang mengutarakan cadangan menggali parit. Sejarah pentadbiran negeri Melayu juga mencatat ada pemimpin yang menjadikan cendekiawan sebagai penasihat. Sultan Zainal Abidin III bukan saja berguru bahkan menjadikan Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri baginda.

Nasihat yang diberikan Tok Ku Paloh membantu Sultan Zainal Abidin III untuk menyusun rancangan bagi mengukuhkan pentadbiran negeri khususnya menegakkan perkara yang dituntut agama, melaksanakan perkara makruf dan mencegah kemungkaran serta meneguhkan keperibadian serta akhlak rakyat, bagi mempertahankan Terengganu daripada ancaman luar. Ketika Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, pihak Inggeris tidak sama sekali berjaya mencampuri urusan pentadbiran Terengganu.

Kisah itu menunjukkan bahawa setiap pemimpin memerlukan penasihat yang berilmu, bijaksana lagi berwibawa supaya dapat memberikan pandangan, teguran serta nasihat berguna bagi memastikan amanah kepemimpinan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Setelah menerima nasihat itu, setiap pemimpin haruslah bersedia mendengar, mempertimbang dan seterusnya bijak membuat keputusan terbaik.

Bagi penasihat pula, mereka seharusnya menyedari tanggungjawab besar yang digalas. Nasihat dan pandangan diberikan mestilah berasaskan kebenaran dan kebaikan, bukan sekali-kali atas tujuan lain seperti memenuhi kepentingan diri atau bagi mencapai matlamat tertentu yang akhirnya membawa kemudaratan disebabkan pengabaian terhadap kepentingan rakyat seluruhnya.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa pemimpin yang baik akan berusaha mendapatkan penasihat yang baik, berakhlak mulia lagi berwibawa. Begitulah sebaliknya, penasihat yang baik dan bijaksana cenderung untuk berkhidmat dengan pemimpin memiliki sifat, ciri dan nilai yang sama.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia

SPR patut kaji sistem perwakilan berkadar

YANG perlu difikirkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas mulai sekarang ialah kewajaran mengubah sistem pilihan raya yang terpakai sekian lama supaya lebih realistik dan demokratik pada 2013 nanti.

Kewajaran itu memang ada jika keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu diambil kira secara rasional, adil lagi saksama. Ambil saja kawasan Parlimen Seputeh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai contoh. Pemilih kawasan berkenaan memberi 47,230 undi kepada calon DAP Teresa Kok.

Jika sistem perwakilan berkadar diamalkan, kawasan sebesar dan sepadat itu sepatutnya mempunyai lima wakil di Parlimen, bukan seorang kerana pilihan raya negara mengamalkan sistem 'satu kawasan satu wakil' sejak 1952 apabila pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur diadakan.

Wakil DAP itu mencatat majoriti terbesar peringkat Parlimen sebanyak 36,492 undi. Barisan Nasional (BN) yang meraih 10,738 undi melalui calonnya Carol Chew sewajarnya ada seorang wakil di Parlimen seandainya sistem 'perwakilan berkadar' terpakai seperti amalan beberapa negara Eropah terutama Jerman, Belgium, dan Scandinavia, malah Australia. Ambil pula contoh pertarungan sengit kerusi Parlimen Sarikei di Sarawak apabila Ding Kuong Hiing (BN-SUPP) meraih 10,588 undi membolehkannya mengatasi Wong Hua Seh (DAP) dengan kelebihan 51 undi saja. Jika mengikut sistem 'perwakilan berkadar', BN dan DAP masing-masing ada seorang wakil di Dewan Rakyat.

Majoriti besar dan kecil memberi kewajaran pertama kepada perubahan berkenaan. Kewajaran perubahan kedua dapat diperhatikan daripada perwakilan tidak seimbang warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jumlah pemilih nampaknya tidak setimpal apabila melihat Parlimen Putrajaya ada wakil dengan hanya 6,608 orang pemilih. Sebaliknya Seputeh dengan pemilihnya 76,891 orang, juga seorang wakil, nisbah yang tidak seimbang, bagai langit dengan bumi berbanding Putrajaya.

Labuan lebih rasional kerana mempunyai wakil tunggal dengan jumlah pemilihnya 21,521 orang. Yang lebih ironi apabila barisan Kabinet menyenaraikan seorang Menteri Wilayah Persekutuan yang terpaksa berdepan dengan 10 Ahli Parlimen pembangkang terdiri daripada DAP (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu empat dan Pas, seorang. Putrajaya dan Labuan masing-masing dimenangi calon BN. Memanglah sistem 'satu kawasan satu wakil' itu mudah dikendalikan berbanding 'sistem berkadar' yang banyak kerenah dan likunya.

Tetapi SPR tidak sepatutnya berasa terbiasa dan selesa dengan sistem mudah seperti ini demi kewajaran pilihan raya untuk dikendalikan secara adil dan demokratik.

Tentulah ada alasan konkrit di sebalik cetusan pemikiran John Stuart Mill terhadap idea sistem perwakilan ini. Secara kasarnya, perwakilan berkadar menunjukkan jumlah kerusi di Parlimen yang diwajarkan kepada satu-satu parti politik berkadar dengan jumlah peratusan undi yang diraihnya pada satu-satu pilihan raya.

Ambil keputusan pilihan raya umum baru-baru ini sebagai contoh. Dengan berdasarkan sistem 'satu kawasan satu wakil' dan 'first-past-the-post', keseluruhannya, BN memperoleh 63.06 peratus undi berbanding dengan pembangkang sebanyak 36.94 peratus. Dengan mengambil kira undi kerusi Parlimen yang dipertandingkan iaitu 222, maka BN memenangi 140 kerusi sementara pakatan pembangkang 82 kerusi. BN menang dengan majoriti mudah, berulangnya sejarah pilihan raya 1969.

Fenomena lain bakal berlaku seandainya sistem 'perwakilan berkadar' dilaksana dengan sewajarnya, telus lagi demokratik. Sistem Hare cukup popular dikaitkan dengan perwakilan berkadar ini, sempena nama Thomas Hare, yang telah merumuskannya pada 1857, untuk kemudian diperincikan dalam bukunya Jentera Perwakilan (The Machinery of Representation).

Dari segi hakikatnya, idea ini tercetus pada tahun 1793, oleh Konvensyen Nasional Perancis, tetapi terbengkalai tanpa pelaksanaan begitu saja. Mill bertanggungjawab memperkemas sistem ini di Britain sehingga menjadi popular di Australia (1839) dan Switzerland tiga tahun kemudian atas usaha inisiatif anaknya.

Secara spesifik, Sistem Hare menyaksikan perpindahan undi popular daripada calon diisytiharkan menang kepada calon lain yang pastinya ada keserasian dengannya supaya dapat meraih dan diisytiharkan menang. Dari segi matematiknya, sistem perwakilan berkadar ini benar-benar tepat dapat mencerminkan pendapat popular pemilih.

Sistem sebegini dianggap paling demokratik berbanding dengan mana-mana sistem pilihan raya. Justeru sistem ini lebih praktikal dan demokratik bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan komposisi warganya yang rencam dan pelbagai dari segi bangsa dan agama, tahap usia, pendidikan, profesion, kemahiran, dan dengan mengambil jumlah kepadatan penduduknya. Parlimen akan menjadi `cermin' kepada pendapat pelbagai lapisan pemilih jika pilihan raya bebas dijalankan menurut sistem perwakilan berkadar.

Yang pastinya minoriti ada wakil untuk membela dan menyuarakan permasalahan mereka. Kita terlalu ghairah dengan tanggapan klise bahawa SPR telah menjalankan tugas dengan adil, saksama, dan telus. Namun begitu, rakyat terkeliru dengan ketakwajaran jumlah pemilih sesuatu kawasan, khususnya antara Seputeh dengan Putrajaya seperti yang dikatakan tadi.

Ketakwajaran ini menjadikan wakil yang dipilih tidak wajar pula. Perwakilan adil dan saksama perlu mengambil kira anomali ini. Di Amerika Syarikat misalnya, sejak keputusan mercu tanda dalam kes Bakar lawan Carr (1962), mahkamah menguatkuasakan sistem persamaan matematik yang tepat bagi penduduk wilayah ke Dewan Kongres.

Pun begitu, tidak semudah itu hendak memperoleh nisbah tepat dari segi jumlah daerah `majoriti-minoriti' iaitu daerah golongan kulit hitam atau kulit putih yang patut menjadi penduduk majoriti sesuatu daerah. Sebaliknya, Britain lebih bertoleransi dalam konteks ini apabila variasi penduduk yang dianggap wajar ialah antara 22,784 hingga 99,838 orang bagi satu-satu kawasan pilihan raya, mengikut angka 1992.

Jangka waktu lima tahun mulai sekarang memberi ruang dan kesempatan cukup luas kepada SPR untuk memikirkan perubahan ini supaya pilihan raya 2013 nanti tidak lagi menantikan ombak besar tsunami politik kedua negara. Kematangan berfikir melalui pendidikan tinggi natijah daripada keberkesanan Falsafah Pendidikan Negara khususnya bagi kalangan generasi kini pastinya mengocak kancah politik dan pilihan raya negara pada masa depan.

Yang dituntut oleh rata-rata rakyat tanpa mengira bangsa, agama, dan pegangan politik ialah keadilan, kesaksamaan dan ketelusan SPR dalam pengendalian pilihan raya agar dengan itu, Parlimen negara benar-benar mencerminkan pendapat dan suara bicara mereka. Pemilih sebenarnya sudah membuat pilihan yang wajar pada pilihan raya umum kali ini bagi merealisasikan impian melihat kek kekayaan ekonomi negara lebih merata lagi menyeluruh!

Sunday, March 23, 2008

Demonstrasi pilihan terakhir – Pemuda UMNO

22 Mac 2008 – Pemuda UMNO negeri mungkin mengadakan demonstrasi sebagai jalan terakhir bagi mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai langkah yang bakal diambil bagi membela nasib orang Melayu di Pulau Pinang.
Exco Pergerakan Pemuda, Marzuki Yahya berkata, ini kerana Ketua Menteri, Lim Guan Eng masih enggan menarik balik kenyataannya sebelum ini untuk menghapuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di negeri itu.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang malang jika Guan Eng cuba memperkecil-kecilkan peranan DEB kerana pemimpin DAP itu sepatutnya sedar bahawa dasar tersebut menguntungkan semua kaum di negara ini termasuk orang Cina.
‘‘Saya tidak fikir UMNO akan lantang bersuara sekiranya DAP tidak membangkitkan isu yang sangat sensitif ini, kalau mereka yang bermain api maka mereka jugalah yang kena padamkannya,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Guan Eng menerima kecaman ramai pihak termasuk pemimpin UMNO Pulau Pinang ekoran kenyataannya pada 11 Mac lalu yang secara terbuka mengkritik amalan DEB yang didakwanya menjadi punca kronisme, rasuah dan ketidakcekapan.
Polemik ekoran kenyataan pemimpin DAP itu semakin memuncak apabila lebih 3,000 orang termasuk pemimpin Melayu mengadakan demonstrasi secara aman mengutuk kenyataan Guan Eng di Komtar baru-baru ini.
Marzuki yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan berkata, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri selagi kerajaan negeri tidak menyatakan pendirian mereka dengan jelas berhubung isu ini.
‘‘Kita bukan bercakap fasal perkara kecil, ini soal dasar nasional,’’ katanya.
Dasar itu juga katanya, menjadi antara mekanisme perpaduan selain membantu kerajaan persekutuan memberi pengagihan kekayaan negara secara saksama demi manfaat penduduk berbilang kaum termasuk di Pulau Pinang.
Beliau mempersoalkan di mana janji DAP ketika berkempen yang mahukan memansuhkan pembayaran tol di Plaza Tol Sungai Nyior dan sehingga hari ini pengguna jalan raya masih dikenakan bayaran tol sebanyak 50 sen.
“Rakyat Pulau Pinang masih menuntut janji DAP untuk memansuhkan bayaran tol 50 sen itu dan sehingga kini tiada satu pun janji dalam manifesto DAP dilaksanakan,” katanya.

Dengar isi hati ahli akar umbi - Mukhriz

22 Mac 2008 - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sudah tiba masanya pucuk pimpinan UMNO mendengar suara ahli di peringkat akar umbi, termasuk dalam soal pemilihan presiden parti itu.
Mukhriz yang sebelum ini, mencetuskan kontroversi apabila mengutus surat kepada Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan, berkata, ahli akar umbi UMNO perlu diberi kebebasan untuk menyuarakan kehendak mereka dan bukannya mengikut arahan pihak atasan semata-mata.
Sambil merujuk kepada tindakan Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden UMNO sebagai hak bekas Menteri Kewangan itu, beliau berkata, semua ahli UMNO wajar membuat pilihan masing-masing bagi menentukan hala tuju parti berkenaan.
"Saya tidak semestinya setuju dengan pendirian beliau (Tengku Razaleigh) tetapi saya menghormati hak dan keputusannya itu kerana kita mengamalkan demokrasi dalam parti kita.
"Saya kira ini satu perkara baik sekiranya kita diberikan pilihan, jadi mereka dapat menyatakan atau menyuarakan pilihan sendiri dan bukannya (mengikut) arahan dari atas," katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Jerlun di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas langkah Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti akan datang.
Tindakan Tengku Razaleigh itu bagaimanapun, dikecam oleh pemimpin-pemimpin UMNO dengan menyifatkannya sebagai satu usaha 'menangguk di air keruh'.
Mukhriz berkata, politik zaman sekarang bukan lagi era di mana arahan boleh diturunkan dari peringkat atas dengan memperlekehkan suara dan kuasa ahli di peringkat yang paling bawah.
Kini, katanya, telah tiba masanya untuk pucuk kepimpinan parti benar-benar mendengar suara ahli bermula dari cawangan sehingga ke bahagian dan seterusnya ke perhimpunan agung UMNO.

Najib ikrar sokong Pak Lah

22 Mac 2008 – Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar akan terus memberi sokongan padu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun wujud usaha pihak tertentu untuk merebut jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, beliau akan terus membantu pucuk pimpinan untuk mengukuhkan parti yang kini berdepan cabaran getir selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
‘‘Saya sebagai Timbalan Presiden, saya tetap menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden parti dan kami sedang bekerja kuat untuk memulihkan parti.
‘‘Untuk itu, kita memerlukan perpaduan dalam parti dan komitmen yang tinggi di kalangan ahli untuk memberi tumpuan kepada urusan memartabatkan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 480 mangsa banjir di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas hasrat Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan dalam perhimpunan agung parti itu tahun ini.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, jika mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, tiada sebab bagi menolak ‘harapan’ bahagian-bahagian yang mahukan perubahan pada peringkat pucuk pimpinan.
Berikutan itu, beberapa pemimpin UMNO menyifatkan hasrat Tengku Razaleigh itu sebagai ‘menangguk di air keruh’ dan tidak sesuai dengan masanya ketika parti itu sedang berusaha mengukuhkan semula kedudukan selepas ‘kejutan’ yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.
Najib seterusnya mengingatkan ahli-ahli parti supaya memberi tumpuan kepada usaha pemulihan dan tidak terlalu memikirkan kepada soal pemilihan.
‘‘Kita jangan terlalu terbawa-bawa dengan urusan pemilihan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha pengukuhan parti,” tegasnya.
Ditanya sama ada tindakan Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan presiden itu sebagai tidak wajar, katanya: ‘‘Terpulang kepada ahli-ahli parti untuk menilainya.”
Beliau tidak menolak wujud pelbagai pendapat berikutan hasrat Tengku Razaleigh itu tetapi ia tidak sampai ke tahap yang menjejaskan perpaduan parti pada masa ini.
‘‘Perbezaan pendapat memang ada tetapi ia tidaklah sampai ke tahap yang serius hingga tidak boleh dikawal,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan berlaku gerakan ‘bawah tanah’ untuk menarik kepercayaan ahli-ahli UMNO selepas pengumuman hasrat Tengku Razaleigh itu.
Najib bagaimanapun yakin ahli-ahli UMNO semakin matang dan akan mengutamakan kepentingan parti melebihi faktor-faktor lain.
Meskipun begitu, tambah beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih stabil walaupun dilanda ‘badai’ pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
‘‘UMNO masih stabil tetap ahli-ahlinya memerlukan suntikan semangat untuk mengembalikan semula keyakinan untuk menebus semula kekalahan dan menjadi teras pemerintahan negara,” jelasnya.
Beliau menambah, setiap parti komponen BN juga perlu menilai kelemahan masing-masing dan punca kemerosotan sokongan pada pilihan raya lalu.

Wakil rakyat 'lompat' parti adalah pengkhianat

22 Mac 2008 - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan segelintir wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang 'melompat' ke parti lawan sebagai pengkhianat.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pihaknya bagaimanapun belum mengenal pasti mana-mana wakil rakyat BN terutama di Sabah atau Sarawak yang bertindak 'melompat' parti selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
''Mana-mana wakil rakyat yang bertanding dengan menggunakan tiket BN dan kemudian melompat ke parti lain, itu perbuatan yang mengkhianati BN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 480 mangsa banjir di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas khabar angin bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak yang dikatakan berminat untuk berpaling tadah.
Tindakan itu dikatakan dilakukan bagi mendapatkan majoriti yang lebih besar untuk menggulingkan BN dan menubuhkan kerajaan baru.
Berikutan itu, wakil-wakil rakyat daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelaskan mereka tidak ditawarkan oleh PKR untuk 'melompat' menyertai parti pembangkang.
Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN mengingatkan wakil-wakil rakyat parti itu bahawa faktor kemenangan mereka dalam pilihan raya lalu kerana bertanding dengan menggunakan tiket BN.
Tegas beliau, tindakan 'melompat' ke parti lawan itu bukan sahaja mengecewakan BN, malah rakyat yang memilih mereka.
''Kita memilih mereka untuk bertanding menggunakan tiket BN kerana yakin dengan ketaatan mereka terhadap parti selama ini," jelasnya.

Ahmad Said boleh dikenakan tindakan disiplin

22 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said yang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh parti UMNO jika menerima jawatan tersebut.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini kerana pelantikan Ahmad yang dipilih oleh istana itu jelas mengingkari arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.
Katanya, berbeza dengan prosedur pelantikan Menteri Besar Perlis, pelantikan Ahmad tidak mendapat sokongan daripada 23 ADUN Terengganu yang sebulat suara memberikan sokongan kepada Idris.
''Pelantikan Menteri Besar Perlis Datuk Dr. Mohd. Isa Sabu mendapat sokongan daripada sembilan ADUN berbanding beberapa ahli yang memberi sokongan kepada Shahidan.
''Jadi, jika Ahmad masih tetap dengan pendirian menerima jawatan ini, tindakan tatatertib parti akan dikenakan terhadapnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tengku Adnan memberikan reaksi demikian ketika diminta mengulas pengumuman pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu mengenai pelantikan Ahmad.
Tegas beliau, sebagai ahli parti, ADUN Kijal itu perlu tahu apakah akibat yang bakal diterima olehnya jika melanggar keputusan presiden.
''Sebagai ahli UMNO dan BN, kita kena akur pada keputusan presiden parti, kita kena sayang parti, negara dan bangsa melebihi kepentingan peribadi tanpa mengira etnik kita," katanya.
Ditanya mengenai tindakan kesemua 23 ADUN yang akan memulaukan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar esok sebagai tanda protes, beliau berkata, Ahmad akan bersendirian kerana tidak disokong oleh sesiapa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ''Dia (Ahmad) sepatutnya ikut arahan yang diberikan oleh presiden kerana surat tauliah sudah diberikan kepada Idris untuk angkat sumpah, jadi apa yang orang lain nak cuba lobi."
Ditanya mengenai terdapat campur tangan istana dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu, beliau memberitahu: ''Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa."
Tengku Adnan menjelaskan, walaupun istana berhak melantik Menteri Besar, tetapi presiden parti yang menang majoriti boleh menamakan Menteri Besar untuk sesebuah negeri.

Wednesday, March 19, 2008

Percaturan wakil Sabah, Sarawak dalam Kabinet cipta kelainan - Kabinet 2008

SARAWAK dan Sabah tetap bersyukur dan berpuas hati dengan jumlah penyertaan dalam pentadbiran baru yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, walaupun permintaan mereka, terutama bagi tambahan jawatan Menteri Kabinet tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Sabah diagihkan tiga menteri penuh, manakala dua bagi Sarawak iaitu kuota sama seperti sebelum ini, walaupun jumlah timbalan menteri bertambah empat menjadi sembilan untuk Sarawak dan Sabah pula bertambah satu menjadi tiga.

Untuk rekod, Sarawak sebelum ini turut diperuntukkan dua jawatan Setiausaha Parlimen dan Sabah seorang. Difahamkan, kedua-dua negeri itu masing-masing meminta tambahan sekurang-kurangnya seorang dua lagi menteri penuh, selepas memberi sumbangan terbesar kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu, iaitu 30 kerusi Parlimen dari Sarawak dan 24 di Sabah atau 38.4 peratus daripada jumlah 140 kerusi Parlimen dimenangi BN.

Berdasarkan kedudukan itulah, tidak hairan kedua-dua negeri berkenaan mengundang ‘minat’ pakatan pembangkang, terutama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan sedang berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen di sana.

Pembangkang yang terdiri daripada PKR, Pas dan DAP kini mempunyai 82 kerusi Parlimen, kurang 30 kerusi untuk memperoleh minimum 112 kerusi bagi majoriti mudah. Itu perancangan Anwar dalam usahanya mengejar jawatan Perdana Menteri. Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa wakil rakyat BN di negeri itu adalah orang yang berwibawa dan bertanggungjawab, yang sudah semestinya akan mempertahankan kewibawaan itu.

“Kita tidak boleh menghalang Datuk Seri Anwar daripada bercakap dengan wakil rakyat kita, tetapi kita percaya wakil rakyat BN akan tetap terus setia kepada BN dan tidak akan menganggotai mana-mana parti pembangkang,” katanya.

Malah, langkah Perdana Menteri untuk memperuntukkan jawatan timbalan menteri bagi beberapa parti lain seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP), akan lebih menyukarkan usaha Anwar untuk ‘mengintai’ mereka.

Dua menteri penuh dari Sarawak ialah Datuk Peter Chin Fah Kui, 63, yang kekal menerajui Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, manakala Datuk Douglas Uggah Embas, 53, dinaikkan pangkat daripada timbalan menteri kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Douglas adalah wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) keturunan Iban.

Namun, kali ini tiada menteri keturunan Islam dan kaum Bidayuh dari Sarawak selpas bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Tiki Lafe (Bidayuh) digugurkan, selain pengunduran Datuk Seri Effendi Norwawi dan Datuk Seri Adenan Satem.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mengecewakan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang tetap berpuas hati dengan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.

“Saya gembira dengan barisan Kabinet yang diumumkan itu. Begitu juga bagi PBB, kami berpuas hati dan saya berasa parti komponen lain di Sarawak juga turut gembira. Perlantikan Kabinet adalah hak dan bidang kuasa Perdana Menteri. Kita (di Sarawak) bersikap terbuka serta menerimanya dengan baik,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-27 sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac ini.

Daripada sembilan timbalan menteri mewakili Sarawak kali ini, lima adalah muka lama, termasuk dua dinaikkan pangkat iaitu Datuk Rohani Abd Karim, 53, (PBB) daripada Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Datuk Yong Khoon Seng, 67, (SUPP) yang dinaikkan pangkat daripada Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri Kerja Raya. Tiga lagi muka lama yang kekal timbalan menteri tetapi berpindah kementerian ialah Joseph Entulu Belaun, 54, (PRS); Datuk Joseph Salang Gandum, 58, (PRS) dan Datuk Robert Lau Hoi Chew, 66, (SUPP) yang kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Empat muka baru timbalan menteri dari Sarawak pula termasuk dua mewakili Pergerakan Pemuda PBB iaitu Ketuanya, Fadillah Yusof, 46, yang dilantik Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Naib Ketua Pemuda PBB, Datuk Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib, 39, yang dilantik Timbalan Menteri Pelancongan.

Dua timbalan menteri mewakili SPDP, kedua-duanya muka baru iaitu Jelaing Mersat, 60, di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Datuk Jacob Dungau Sagan, 62, di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Penyertaan Dungau dalam barisan pentadbiran kali ini juga cukup menarik perhatian kerana beliau mewakili suku Orang Ulu, khususnya di Parlimen Baram yang diwakilinya, membuktikan suara suku minoriti tidak dipinggirkan oleh kepemimpinan Pak Lah.

Bagaimanapun, di Sabah timbul tanda tanya, sama ada ia tetap diperuntukkan jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan setelah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menolak pelantikan itu. Abangnya, Musa menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan pengganti Anifah kerana percaya sesiapa saja pengganti adiknya itu akan membantu rakyat Sabah seperti yang berlaku sebelum ini.

“Walaupun timbalan menteri yang dilantik bukan berasal dari Sabah, tetapi mereka tetap boleh membantu kita di Sabah,” katanya.

Wakil dari negeri itu seperti Tan Sri Bernard Dompok kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Mohd Shafie Apdal berpindah ke Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, manakala Datuk Dr Maximus Ongkili menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Jawatan timbalan menteri diberi kepada Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah; Presiden LDP, Datuk V K Liew di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mungkin sesetengah pihak mempersoalkan bahawa negeri itu patut diberi lebih banyak lagi jawatan, namun bagi Musa yang juga Ketua Menteri, Sabah tetap menghargai penghargaan Perdana Menteri serta memahami rasional di sebalik percaturan susun letak wakil dari negeri itu.

Bagaimanapun, bagi Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah), Datuk Dr Mohd Yaakub Johari, rakyat Sabah amat mengharapkan sesuatu yang lebih kukuh daripada itu, mungkin pertambahan kuota menteri penuh atau mengetuai kementerian yang agak kanan.

Rafidah terus setia bersama Umno

DARI Perlis hingga ke Sabah, tersebar khabar angin kononnya Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz yang digugurkan daripada Kabinet kelmarin, akan meletakkan semua jawatan termasuk selaku Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Khabar angin itu sudah mula tersebar lewat petang kelmarin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Ada yang kata, Rafidah kecewa kerana tiada seorang pun kepemimpinan tertinggi pergerakan itu diberi jawatan menteri penuh.

Apa yang lebih membimbangkan terutama di kalangan orang Umno ialah kemungkinan pilihan raya kecil terpaksa diadakan bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar jika benar bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan meletakkan jawatan.

Ini kemudian disusuli khabar angin bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dikatakan sedang aktif untuk menarik kemasukan beberapa Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak ke kem pembangkang, akan bertanding di situ.

Bagaimanapun, pengesahan Rafidah, 65, untuk terus bersama Umno dan mengekalkan jawatan Ketua Wanita dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, melegakan ramai pihak. Khabar angin itu dinafikan Rafidah pada sidang akhbar di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di ibu negara, petang semalam. Justeru, tidak hairanlah lebih 50 wartawan dari dalam dan luar negara menghadiri sidang akhbar berkenaan, bagi mendengar sendiri penjelasan wanita besi ini.

Bagi yang mengenali Rafidah, mereka akan tahu sikap marah dan melenting wanita bersuara lantang itu hanya seketika. Apabila marahnya sudah reda dan hati sudah sejuk, beliau akan membuat keputusan yang tidak akan memecahbelahkan perpaduan parti... apa lagi ketika ahlinya seramai 1.3 juta memerlukan pemimpin yang boleh menyejukkan keadaan.

Itulah yang dilakukan Rafidah semalam. Pengalaman sebagai ahli parti selama 42 tahun dan dalam barisan kepemimpinan negara selama 32 tahun, mengajarnya untuk tidak melatah atau melenting secara keterlaluan walaupun perasaan marah, kecewa, tidak puas hati dan sedih menguasai diri.

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk tidak melantiknya semula ke dalam barisan Kabinet selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri dan kurang lapan kerusi yang menafikan BN kedudukan majoriti dua pertiga, adalah suatu tindakan yang serius kerana buat kali pertama dalam sejarah Umno tidak ada seorang pun pemimpin Wanita parti itu berada dalam barisan kepemimpinan utama negara.

“Saya hanya diberitahu Perdana Menteri pada jam 9 pagi hari pengumuman Kabinet (kelmarin) dan bila saya tanya mengapa, beliau cuma berkata ‘mereka mahukan muka baru’. Sudah tentu saya terkejut.

“Jika memang ada cadangan untuk tidak menyenaraikan saya dalam Kabinet, baik beritahu saya sebelum pilihan raya diadakan. Saya tidak perlu bertanding dan boleh membuat persediaan untuk bersara dengan cara lebih terhormat. Tapi itulah, ini adalah keputusan Perdana Menteri kita terima sajalah.

“Tetapi ingat, saya masih Ketua Pergerakan Wanita Umno, Ketua Wanita BN dan Naib Presiden Umno. Saya dipilih oleh ahli saya dan saya masih mempunyai kedudukan dalam Umno,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar, tanpa kelihatan sebarang tanda rasa marah kepada kepemimpinan tertinggi Umno.

Menjawab soalan, Rafidah yang sudah menyertai Kabinet sejak berusia 28 tahun berkata, beliau memang tidak meminta Perdana Menteri untuk sebarang jawatan Kabinet kali ini. “Wanita Umno hanya ada tiga wakil yang menang pada pilihan raya kali ini... saya, (Datuk) Halimah Sadique dan Noriah Kasnon. Jika dulu, masa ramai wanita menang pilihan raya memanglah saya membuat permintaan (untuk jawatan Kabinet).

“Tetapi kali ini hanya tiga orang, senarainya tak panjang, takkan nak buat permintaan... bukannya susah nak buat pilihan,” katanya dan ketawa apabila menerima komen bahawa agak aneh Ketua Wanita MCA, Datuk Ng Yen Yen, diberi jawatan menteri penuh, manakala Ketua Wanita Umno yang turut menang pilihan raya tidak diberi sebarang jawatan.

Suasana berkecamuk menyelubungi Wanita Umno sejak pengumuman senarai calon Pilihan Raya Umum ke-12 dibuat lagi. Kekecewaan pertama dirasakan oleh barisan Exco Wanita apabila banyak nama pemimpin berkaliber masih tidak disenaraikan sebagai calon. Beberapa nama popular seperti Datuk Azizah Abdul Samad, Datuk Maznah Hamid dan Datuk Norhayati Onn, tidak disenaraikan, manakala Datuk Khamsiyah Yeop pula terkejut digugurkan selepas yakin beliau sudah melaksanakan tugas dengan cemerlang di Parlimen Lenggong.

Belumpun reda sepenuhnya bahang kekecewaan pemimpin Wanita yang tidak dicalonkan, seluruh ahli Umno dikejutkan pula dengan keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Antara yang tewas pada pertarungan paling hebat dalam sejarah politik negara ialah orang nombor dua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Maruah Wanita Umno sedikit terubat apabila Rafidah menang di Parlimen Kuala Kangsar. Bagaimanapun, kemenangan itu tidak diterjemahkan kepada kerusi dalam Kabinet apabila beliau digugurkan. Mungkin itulah kejutan yang seolah-olah tidak dapat diterima oleh Pergerakan Wanita yang sudah banyak menabur jasa kepada Umno, terutama dalam tugas utama mereka memenangi hati rakyat pada peringkat akar umbi.

Ada yang berpendapat kepemimpinan tertinggi Umno pada peringkat kebangsaan dan negeri tidak membuat pertimbangan sewajarnya apabila menyenaraikan calon wanita tanpa mengambil kira sama ada mereka mewakili Pergerakan Wanita atau Puteri. Seramai 10 ahli Puteri menjadi calon pilihan raya kali ini, sekali gus membuatkan ramai pemimpin Wanita peringkat kebangsaan dan negeri berasa terkilan kerana ada antara calon Puteri dianggap tidak mempunyai pengalaman dan pengaruh pada peringkat akar umbi.

“Inilah yang dikatakan tidak ada rezeki. Bagi kami, inilah masanya kalau mana-mana pemimpin Wanita yang sudah berusia 50 tahun untuk diletakkan sebagai calon. Kalau letak lima tahun lagi, kami semua dah tua. Orang akan kata ‘tak sedarkan diri dah tua pun nak bertanding,” kata seorang anggota Exco Wanita yang sudah serik untuk menaruh harapan menjadi calon pilihan raya.

Bagaimanapun, pergerakan yang pernah diberi gelaran ‘kumpulan mak cik-mak cik’ wajar diberi penghormatan kerana hanya menghantar dua bas untuk menemui Perdana Menteri selepas mengetahui mereka tidak mempunyai wakil dalam barisan Kabinet. Mereka hanya berkumpul di depan Seri Perdana dan bersurai tidak sampai setengah jam selepas itu, Apa yang lebih penting, sumbangan dan khidmat Rafidah tidak akan terhenti dengan ketiadaannya di dalam barisan Kabinet kerana beliau masih lagi Ketua Wanita Umno, Ketua Wanita BN dan Naib Presiden. Suara lantangnya akan terus kedengaran. Tetapi selepas ini suaranya adalah ke arah untuk mengukuhkan kembali parti yang ‘terduduk sekejap’ akibat penangan rakyat yang kecewa.

Monday, March 17, 2008

Analisis: Umno perlu menangi hati Melayu

Barisan Nasional kena ubah strategi politik, dengar rintihan rakyatAPA yang paling ketara pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah perubahan sikap orang Melayu yang sanggup membelakangkan calon Barisan Nasional (BN) terutama Umno, untuk memihak kepada pembangkang. Keadaan itu turut mengguris hati pejuang veteran Umno seperti Tan Sri Aishah Ghani yang nyata terkilan dengan keadaan yang berlaku.
"Saya ni... sejak hari mengundi lagi dok menangis dalam hati saja. Nak buat macam mana lagi, semua dah berlalu, orang Melayu dah tak sebijak dulu dalam memilih kerajaan dan pemimpin," katanya. Itu baru satu keluhan yang diluahkan tokoh veteran Umno itu. Bayangkan bagaimana pula perasaan ramai lagi pejuang parti yang rela menggadai nyawa dan harta sejak sebelum merdeka semata-mata untuk mempertahankan tanah air dan kedaulatan Melayu. Memang bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno itu mengaku 'patah hati' dengan orang Melayu dan pada mulanya sukar menerima keputusan pilihan raya umum baru-baru ini.
Pada beliau, apa yang berlaku mungkin kerana orang Melayu sekarang tidak sedar, orang Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun tidak sedar bahawa DAP sebenarnya mempergunakan mereka untuk mendapatkan kuasa memerintah. "Jangan terlalu lama biarkan keadaan seperti ini, kalau tidak semua orang Melayu akan jadi hamba di tanah air sendiri. Sekarang ini pun dah nampak bayangan mereka nak hapuskan orang Melayu," katanya. Jika Aishah begitu kesal, marah, sedih, geram dan kecewa kerana tindakan orang Melayu memihak kepada parti pembangkang menyebabkan lima negeri tumpas ke tangan pakatan - DAP, Pas dan PKR, bagaimana pula perasaan orang Melayu keseluruhannya. Apakah veteran wanita itu membayangkan suara orang Melayu atau ia sekadar menyampaikan mesej segelintir pengundi saja. Sukar untuk dijawab kerana umum tahu, undi adalah rahsia dan bancian sikap yang dijalankan Wanita Umno terhadap orang Melayu seluruh negara pula menunjukkan sokongan memihak kepada Umno dan BN.
Jika itulah hasil kajiannya, kenapa pula keputusan pilihan raya umum lalu yang turut menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri selain tokoh parti komponen, tumbang di tangan pembangkang. Jelas di sini, sama ada menyokong pembangkang atau tidak - hakikatnya, terlajak perahu boleh diundur tapi tersalah pangkah (kertas undi), empat lima tahun lagi pun belum tentu dapat menebus kekesalan. Pilihan raya umum kali ini menyaksikan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi apabila menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan selebihnya dikuasai parti pembangkang, dan 307 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan empat negeri baru dirampas pembangkang iaitu Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, manakala Kelantan kekal di tangan Pas. Ini adalah pencapaian terburuk BN dalam sejarah. Berikutan itu, Pulau Pinang mempunyai Ketua Menteri baru dengan pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sebaik majlis angkat sumpah jawatan itu mengumumkan untuk membebaskan pentadbiran negeri itu daripada amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk Melayu negeri itu hingga mendorong mereka mengadakan perhimpunan bagi membantah keputusan pentadbiran baru negeri berkenaan. Kali ini juga istana turut terheret dalam pergolakan pemilihan Menteri Besar. Keadaan ini, bagaimanapun jelas menunjukkan bahawa institusi diraja akan tetap menjadi rujukan tertinggi bagi mempertahankan kedudukan dan kedaulatan orang Melayu di tanah air sendiri. Bagi Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, arus perubahan yang melanda senario politik negara tidak seharusnya diletakkan pada orang Melayu saja dan jangan pula menganggap orang Melayu tidak lagi matang hanya kerana keputusan banyak memihak kepada pembangkang. "Hanya 10 hingga 15 peratus orang Melayu yang beralih kepada pembangkang, itu pun di kalangan pengundi atas pagar yang majoritinya muda dan kontemporari. Mereka ini sebenarnya golongan yang kecewa dan tertekan dengan suasana hidup serta mahukan kelainan dan tidak dapat dielak lagi tentunya mereka percaya pada janji pembangkang yang memberangsangkan. "Tidak dinafikan, faktor calon, jentera pilihan raya BN yang lemah, manifesto Selamat, Aman dan Makmur yang klise serta perpaduan yang belum mantap turut menyumbang kepada keputusan pilihan raya baru-baru ini," katanya. Walaupun apa pun yang diperkatakan, sama ada kecewa, marah, geram dan sebagainya seperti luahan Aishah itu, semuanya harus dilihat secara positif kerana rakyat mahu menyampaikan mesej untuk membuka mata pemerintah, tetapi jangan pula anggap orang Melayu tidak bersama BN atau Umno kerana itu tidak betul. Oleh itu, kata Dr Mohammad Agus, pemimpin Umno perlu melaksanakan pendekatan politik yang lebih elok. "Politik Umno perlu lebih relevan dengan keadaan semasa, tidak sepatutnya menampilkan sikap menafikan, tidak terima kenyataan dan menyalahkan orang hingga hilang kepercayaan rakyat. "Rakyat kini sudah maju, dan pemimpin perlu kejar pemikiran mereka untuk mendapat sokongan," katanya. Bagi Dr Mohammad Agus, teguran yang disampaikan rakyat itu bukan sekadar diberi perhatian saja, malah perlu dihayati dan seterusnya mencari jalan terbaik untuk diterapkan bagi memastikan majoriti undi orang Melayu berpihak kepada BN pada pilihan raya umum akan datang. "Walaupun ada tekanan, pemimpin yang ada perlu menanam azam dan memahami aspirasi rakyat dalam pelbagai perkara. Malah, wakil rakyat juga perlu faham mereka sebenarnya berkhidmat bukan berkuasa pada rakyat," katanya. Jika itulah pandangan yang diluahkan seorang penganalisis politik negara, apa lagi yang perlu dilakukan Umno dan BN, selain terus menggerakkan jentera untuk turun padang dan mendekati rakyat secara lebih telus, bukan hanya untuk memenuhi syarat sebagai wakil rakyat atau pemimpin parti. Perlu diingat, iktibar pilihan raya kali ini hampir membawa kepada runtuhnya empayar BN walaupun tidak secara menyeluruh, tetapi sekurang-kurangnya tragedi 8 Mac lalu wajar disemat rapi dalam kotak ingatan setiap ahli dan pemimpin parti yang sudah sekian lama menguasai persada politik tanah air. Rata-rata melihat pembangkang dapat merampas lima negeri daripada BN tanpa perlu berbelanja mewah untuk meletakkan poster atau gambar calon mereka di merata pelosok kawasan yang ditandingi, tetapi calon BN dengan peruntukan besar disediakan parti serta strategi jentera yang begitu lengkap, kenapa pula keputusan mengecewakan yang diperoleh. Memang Aishah begitu sedih dengan pencapaian Umno dan BN kali ini, tetapi bak kata Dr Mohammad Agus, perasaan sedemikian mungkin dirasai golongan pejuang kemerdekaan dan pemimpin veteran parti yang bertungkus-lumus untuk mempertahankan hak orang Melayu dan memastikan tanah air bebas penjajah. "Jadi, penting sekali untuk Umno dan BN mendekati golongan muda yang menjadi kumpulan yang mempunyai pendirian sendiri ketika memangkah kertas undi mereka," katanya. Malah ada yang berpendapat, generasi baru Melayu yang mengundi pembangkang tidak mempunyai semangat kebangsaan, fikiran mereka bercelaru dan hanya terikut-ikut mahukan perubahan. Pandangan itulah yang selalunya menjadi pegangan veteran parti kerana bagi mereka hanya dengan semangat kebangsaan, golongan itu akan mengundi BN kerana parti tulang belakang BN ialah Umno, yang memperjuangkan nasib Melayu. Walau apa juga yang disampaikan, kata-kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik untuk dihayati: "Inilah antara waktu genting dalam sejarah Umno. Keputusan rakyat menidakkan majoriti dua pertiga BN buat pertama kali sejak negara merdeka 50 tahun lalu bermakna ada sesuatu yang dekat di hati rakyat tetapi tidak tercapai oleh kerajaan."

Kabinet baru permulaan pulih kuasa, prestasi BN

KECUALI Terengganu, negeri yang bermasalah dengan pelantikan Menteri Besar sama ada dikuasai Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, sudah menyelesaikan kemelut itu. Semalam, Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dan Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu masing-masing mengangkat sumpah jawatan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah mengangkat sumpah jawatan masing-masing sebelum ini. Bila Menteri Besar Terengganu dijangka mengangkat sumpah jawatannya belum diketahui tetapi kemungkinan besar Datuk Seri Idris Jusoh akan kekal menerajui negeri itu. Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri lain juga sudah mengangkat sumpah. Jemaah Menteri dalam Kabinet Persekutuan pula dijangka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan senarai itu hari ini. Sudah semestinya, tumpuan seluruh negara terarah kepada siapa akan dilantik dalam Kabinet baru Abdullah setelah berjaya membentuk kerajaan di peringkat Pusat dengan majoriti mudah. Kabinet itu akan bermesyuarat buat kali pertama, yang lebih berupa suai kenal, esok. Harapan rakyat memang tinggi dan barisan Kabinet yang bakal dibentuk Perdana Menteri juga perlu terdiri daripada golongan yang benar-benar boleh menjalankan tugas dengan baik dan berkesan di samping mempunyai integriti tinggi, rekod bersih daripada masalah dan isu. Inilah peluang terbaik Abdullah dan BN mengembalikan keyakinan rakyat dengan menyenaraikan barisan Kabinet yang kita harap memberi nafas baru untuk terus memacu negara ke arah lebih membangun walaupun memerintah tanpa majoriti dua pertiga. Selepas ini, semua wakil rakyat yang dipilih sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen hendaklah memulakan tugas dengan baik. Begitu juga barisan jemaah menteri, timbalan menteri dan Setiausaha Parlimen. Mereka perlu memikul tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan jangan sesekali mengabaikan tugas itu. Biarlah segala kenangan pahit dan manis sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 dijadikan iktibar. Tidak perlu lagi untuk menuding jari atau mencari 'kambing hitam'. BN selepas ini akan mengkaji segala kelemahan yang ada dan memperbaikinya segera untuk memastikan segala kesilapan tidak berulang menjelang pilihan raya umum akan datang. Rakyat, yang menjadi hakim setiap empat atau lima tahun sekali akan menilai prestasi setiap wakil rakyat sama ada wakil pembangkang atau kerajaan. Mereka hendaklah memberi khidmat yang terbaik dan mengelak daripada sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Rakyat kini sudah matang untuk menilai sendiri wakil rakyat mereka. Zaman retorik sudah berlalu dan rakyat lebih suka melihat wakil mereka sama ada di DUN atau Parlimen bertindak membela nasib mereka. Justeru, langkah pertama yang perlu diambil oleh wakil rakyat adalah untuk segera turun padang dan mendalami masalah rakyat di kawasan masing-masing serta menyalurkannya kepada pihak yang berkaitan bagi membolehkan tindakan segera diambil. Wakil rakyat yang sudah menang dalam pilihan raya jangan hanya menunjukkan muka sewaktu berkempen tempoh hari, dan selepas itu sudah tidak lagi turun mendekati rakyat dan bersama mereka. Sifat eksklusif yang ada pada golongan tertentu, perlu segera dihapuskan kerana seseorang wakil rakyat bukan saja mewakili kaumnya bahkan semua kaum dalam negara majmuk seperti Malaysia.

Sunday, March 16, 2008

Zaman fitnah politik membadai negara

SEKALIPUN pelbagai pihak menghubungi saya dengan ‘jenuhnya’ meminta saya memberikan ulasan tentang perkembangan suasana politik tanah air kita yang dinamakan sesetengah pihak sebagai tsunami politik tanah air, namun saya hampir mengambil keputusan untuk tidak mahu mencoretkan apa-apa pada minggu ini.

Saya ingin tangguhkan sedikit agar lebih mantap. Bukan lari daripada tanggungjawab dan harapan masyarakat awam yang dahagakan pandangan pada musim gawat ini, tetapi bimbang pandangan yang salah hanya menambahkan kekusutan sahaja. Ramai yang resah kerana belum pasti apakah yang akan berlaku keesokannya? Ramai bimbang dengan keadaan yang terumbang-ambing. Tempoh ini bagaikan musim ‘fitnah politik’.

Perkataan fitnah selalu ditafsirkan oleh masyarakat Melayu kita sebagai ‘menuduh secara tidak benar’. Namun perkataan fitnah apabila digunakan oleh al-Quran dan sunah tidak pula bermaksud demikian. Perkataan fitnah dalam al-Quran dan sunah membawa pelbagai maksud. Antaranya; syirik, maksiat, ujian atau bala, melakukan kerosakan, pembunuhan, kesakitan, peperangan dan lain-lain. Maka ramai ustaz yang tersilap apabila memahami ayat Allah (maksudnya) Dan fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh (surah al-Baqarah: 191) dengan maksud menuduh orang itu lebih dahsyat dari membunuh. Itu fahaman secara Melayu, seperti menyamakan tuak di Kelantan dengan tuak di Kedah. Bukan itu maksudnya, tetapi yang dimaksudkan dengan fitnah dalam ayat tersebut adalah ‘syirik’.

Adapun apabila disebut sebagai zaman fitnah ianya bermaksud zaman ujian dan cubaan yang boleh menggugat keimanan dan ketenteraman hidup. Ianya menjadikan manusia keliru dalam membuat pendirian atau begitu sukar untuk berpegang teguh atas prinsip yang benar disebabkan cabaran, ujian dan tekanan yang wujud pada waktu tersebut. Suasana politik kita sekarang juga hampir sedemikian keadaannya. Ramai yang bingung dan terkedu. Ada yang menyatakan kita tunggu dan lihat.

Ada pula yang berkata kita kena segera bertindak. Nabi pernah mengingatkan para sahabah: Sesungguhnya nanti akan berlakunya fitnah, orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang yang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang berkenderaan (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya, yang cuba mengelakkan diri dari mencampuri perkara yang tidak pasti dalam zaman fitnah adalah lebih baik.

Terkedu

Berbalik kepada keadaan hari ini, saya juga terkedu seketika. Walaupun, jika anda membaca artikel saya yang lepas, saya seakan mengagak keputusan yang bakal lahir sebelum saya pergi mengundi. Namun hari ini realiti itu benar-benar terjadi bukan lagi ramalan. Lalu disusuli dengan suasana yang tidak menentu. Rakan-rakan penganalisis politik yang hebat-hebat apabila berbicara, juga tidak tahu apa yang hendak mereka katakan ketika ini. Cakap-cakap pelbagai kedengaran di sana sini. SMS berterbangan ke sana ke mari. Membawa pelbagai cerita. Ada yang lucu, ada yang resah, ada yang kecut. Sangat sukar hendak ditentukan mana satukah berita yang sahih. Suasana ini sangat baru dan asing bagi kita. Ini mengingatkan saya kepada kata-kata al-Nadwi mengulas suasana gelisah selepas peristiwa pembunuhan Sayidina Uthman. Katanya: “Dibaiah Sayidina Ali sebagai khalifah pada ketika yang paling gawat dan penuh ujian dalam sejarah. Ini kerana apabila beliau dilantik memimpin kerajaan dan masyarakat atau dibaiah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya khalifah muslimin Uthman bin Affan baru sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas. Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor tidak puas hati, sentuhan perasaan dan jiwa, banyak pula berita khabar angin, persoalan dan salah faham. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan bertambah kuat. Berita syahidnya Uthman menjadi tajuk bicara di mana-mana. Suara orang ramai kedengaran di sana sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh Uthman... Memang begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman bila sahaja berlakunya kejadian yang asing bagi mereka, maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan...” (Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwiy, Al-Murtada, m.s. 141, Damsyik: Dar al-Qalam).

Apa pun, kita semua mengharapkan perkembangan politik yang sedang berlaku ini tidak akan membawa kerugian kepada umat Islam. Ya, kita ingin perubahan ke arah yang lebih baik. Itulah hasrat kita semua. Kita benci keangkuhan dan penyelewengan. Namun kita juga tidak mahu “menang sorak, kampung tergadai”. Atau “yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran”. Jika pilihan raya yang baru berlaku ini berjaya me‘nyah‘kan calon-calon tidak berkualiti, alhamdulillah. Namun, janganlah dalam masa yang sama ia mengundang keburukan yang lebih besar untuk umat ini. Saya tidak bimbang di negeri majoriti umat Islam seperti Kelantan, Perlis, Terengganu dan Kedah. Namun saya gusar dengan negeri yang nasib umat kita boleh diperjudikan.

Seperti kebiasaan, tulisan saya mengingat semua pihak secara adil. Hasrat yang baik belum tentu akan memberikan natijah yang baik jika tidak dibuat atau diatur secara teliti. Saya teringatkan kejujuran isteri Rasulullah s.a.w. iaitu Saidatina Aisyah ketika ditanya mengapakah beliau membawa angkatan tentera seakan ingin berbalah dengan Sayidina Ali selepas pembunuhan Sayidina Uthman. Ini sebelum berlaku peperangan Jamal yang membabitkan pertempuran antara tenteranya dengan tentera Sayidina Ali. Jawab Aisyah: “Demi Allah! Orang yang sepertiku tidak bergerak dengan suatu perkara yang disembunyikan dan menyimpan berita dari memberitahu anak-anaknya (maksudnya: Beliau adalah Umm al-Mu‘minin iaitu ibu orang-orang beriman, oleh itu mereka semua adalah anak-anaknya seperti yang dijelaskan oleh al-Quran.)

Sesungguhnya golongan yang bodoh yang datang dari beberapa negeri dan para pemberontak kabilah telah memerangi tanah suci Rasulullah dan melakukan beberapa perkara di dalamnya. Mereka telah menempatkan di dalamnya orang-orang luar. Dengan itu mereka telah mengundang laknat Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi mereka telah membunuh imam orang-orang Islam tanpa kesalahan dan alasan.

Mereka telah menghalalkan darah yang haram lalu mereka menumpahkannya. Mereka mengambil harta yang haram dan menghalalkan tanah yang haram. Mereka telah mengoyak maruah dan nilai. Mereka mendiami negeri yang penduduknya membenci mereka tinggal di dalamnya, kerana mereka memberi mudarat dan tidak memberi manfaat.

Penduduk Madinah tidak mampu menghalang dan mereka berasa tidak aman. Aku pun keluar di tengah-tengah orang Islam untuk memberitahu apa yang para pemberontak itu lakukan dan kewajipan mereka untuk bangun membaiki keadaan.” Lalu Aisyah membaca firman allah surah al-Nisa’ ayat 114 (maksudnya) Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma‘ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Kata Aisyah lagi, “Kami bangkit untuk mengadakan perdamaian seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah. Inilah sikap kami, kami mengajak kamu kepada yang makruf dan menggalakkannya. Menghalang kamu dari yang mungkar dan menggesa supaya kamu mengubahnya.” (Al-Tabariy, Tarikh al-Tabari, 4/461-462 melalui riwayat Saif bin Umar, Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).

Indah

Hasratnya sangat indah, namun kesudahannya tidak sedemikian indah, sehingga berlaku pertumpahan darah di antara sesama kaum muslimin dalam peperangan Jamal. Kata Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya Aisyah tidak berperang dan tidak pula keluar untuk berperang. Tujuan beliau keluar hanyalah dengan hasrat untuk mendamaikan orang Islam dan beliau menyangka bahawa dengan keluarnya itu akan membawa kebaikan kepada orang Islam.

Kemudian ternyata kepadanya bahawa tidak keluar itu lebih baik. Oleh itu, setiap kali beliau mengingati peristiwa itu beliau akan menangis sehingga membasahi kain tudungnya. Demikian jugalah semua al-Sabiqin (mereka yang menganut Islam pada peringkat awal) termasuk Talhah, Zubair dan Ali yang Allah meredai mereka semua, mereka menyesali penyertaan mereka di dalam peperangan tersebut.” (Ibn Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/185, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian juga Sayidina Ali selepas berlakunya peperangan Jamal. Apabila melihat kaum muslimin terkorban dengan begitu ramai, beliau berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Alangkah baiknya kalau ayahmu telah mati sejak dua puluh tahun yang lalu.” Jawab Sayidina Hasan: “Saya telah melarang ayah dari ini semua.” Jawab Saidina Ali: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku tidak sangka akan berlaku sampai begini.” Lantas Saidina Ali memeluk Sayidina Hasan dan berkata, “Apa lagi kebaikan yang diharapkan selepas ini.” (Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/251, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Bukanlah hasrat saya mematahkan semangat islah dan perubahan kepada iklim dan cuaca yang lebih harmoni dan selesa. Namun saya membekalkan anda semua dengan bingkisan sejarah yang boleh dibuat kenangan dan pengajaran. Supaya semangat anda dikawal oleh keputusan akal yang matang. Langkah-langkah perubahan politik dalam sejarah telah banyak membawa kebaikan untuk kehidupan manusia kepada yang lebih adil dan damai.

Juga, bukan sedikit langkah-langkah itu apabila tersilap mampu membawa padah yang tidak ada sudahnya. Berhati-hatilah kita semua dalam meneruskan proses pengislahan politik ini.

Ingin saya memuji bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyerahkan tugasannya dengan senyuman kepada Ketua Menteri yang baru dari parti lawannya. Bahkan dia mempertahankan pula agar projek-

projek mega dari Kerajaan Pusat jangan dihenti untuk Pulau Pinang demi kebaikan rakyat. Sikapnya ini membayangkan betapa kepentingan kaumnya lebih diutamakan dari yang lain. Beginilah juga sepatutnya para pemimpin Melayu Islam. Jangan hanya kerana fanatik parti, kita sanggup memboikot dan menahan bantuan untuk negeri-negeri yang diperintah oleh sesama Islam tetapi berlainan parti.

Di manakah ukhuwwah islamiah antara kita. Marilah kita berpolitik dengan lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan umat melebihi emosi diri. Jangan pula ada di antara kita yang sanggup berpakat dengan ‘orang lain’ melebihi saudara muslimnya sendiri.

Firman Allah (maksudnya): Sekiranya ada dua golongan daripada orang-orang beriman berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu golongan itu melampau terhadap yang lain maka perangilah golongan yang melampau itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. J

ika golongan itu telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kerana Allah sukakan mereka yang melakukan keadilan. (Surah al-Hujurat: 9).

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Masa untuk umat bersatu

KETIKA ini rakyat di pelbagai peringkat masih hangat membicarakan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12. Bukanlah hajat penulis untuk turut serta berpolemik dengan pelbagai andaian dan analisis pilihan raya yang kadangkala tidak membawa apa-apa makna.

Apa yang jelas atas dasar apa sekalipun sentimen pemilihan kepemimpinan dalam pilihan raya kali ini, rakyat telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh kesedaran.

Namun apa yang lebih mustahak, dalam mendepani realiti yang wujud selepas keputusan diumumkan, umat harus kekal rasional dengan meletakkan kepentingan agama dan bangsa sebagai keutamaan.

Bagi umat Islam, inilah masanya kita kembali memperapat dan memperteguhkan saf selepas saling berselisihan dan berlawanan terutamanya dalam upaya menonjolkan pemimpin pilihan melalui kepelbagaian parti-parti politik yang bertanding. Keghairahan berkempen tidak wajar melarat-larat selepas selesainya pilihan raya sehingga umat berterusan terheret dalam sentimen dendam dan benci.

Berbeza parti bukannya berbeza dari segi akidah. Berbeza parti bukannya berbeza tahap keimanan dan keislaman seseorang. Sebaliknya berbeza parti hanyalah bersifat ijtihadi dan khilafiah yang dibenarkan syarak dalam menentukan parti mana yang berkemampuan mentadbir urusan umat dengan lebih berkesan.

Memang Islam tidak pernah menghalang perselisihan dan perbezaan dalam menentukan kepemimpinan. Malah ulama tersohor Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Min Fiqhi Daulah Fil Islam, jelas menyebutkan bahawa berbilangnya parti atau jamaah yang memperjuangkan Islam adalah tidak dilarang selagi kesatuan tidak mampu dicapai rentetan daripada berlainan matlamat, pendekatan, fahaman dan juga berlainan perwatakan antara satu sama lain.

Namun, penegasan turut dibuat beliau bahawa apabila menghadapi situasi yang mencabar kepentingan Islam, aqidah Islam, syariat Islam dan juga umat Islam, semua ahli daripada pelbagai parti wajib bersatu dan berdiri dalam satu barisan.

Sebab itulah dalam keghairahan berpolitik dan berparti, umat harus tahu sempadan dan batasannya. Keseronokan berpolitik dan berparti jangan sampai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Malah perbezaan parti dalam sistem demokrasi tidak wajar melarat-larat sehingga mencetuskan permusuhan emosi yang mencairkan kekentalan ukhuwah, memecah kesepaduan umah dan menghancurkan prinsip keadilan dan kebenaran.

Harus

Umat harus sentiasa saling berbaik sangka dan bermaafan di antara satu sama lain, bukannya saling menuduh orang lain sesat, berdosa mahupun kafir. Perselisihan seperti inilah yang dibenarkan kerana ia tidak akan membawa kepada perpecahan dan permusuhan emosi yang membinasakan. Perbezaan parti atas dasar Islam sejati ini juga tidak akan menjadikan umat berpuak-puak yang sentiasa menghidu peluang dan ruang untuk menghentam satu sama lain.

Setiap kumpulan berhak mengutarakan pendapatnya selagi mana dia mempunyai hujah yang kuat juga penyokong yang berada di belakangnya.

Apa yang wajar disanggah adalah budaya politik asabiah yang meletakkan ketaatan melulu dan taksub buta kepada parti hingga terhalangnya pertimbangan adil dalam membuat keputusan. Memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi jugalah yang selalunya menjadi punca pergolakan dan perpecahan sesama sendiri.

Dalam konteks ini Allah jelas menegaskan: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. (Al-Maidah:8)

Justeru sudah tiba masanya dilakukan usaha bersepadu ke arah melakar dimensi baru budaya berpolitik dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.

Pendekatan politik baru ini haruslah melangkaui kepentingan politik kepartian yang berlandaskan asabiah jahiliah dan retorik semangat membuta tuli. Pendekatan politik juga tidak harus terus terjerat dengan serakah dendam dan benci.

Pendekatan politik baru wajib mengetepikan unsur-unsur fitnah dan adu domba demi kepentingan agama yang lebih murni.

Sebaliknya budaya politik baru adalah budaya politik yang berteraskan prinsip dan akhlak Islam yang menjunjung tinggi nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan saling berlapang dada antara satu sama lain. Apabila melibatkan kepentingan bangsa dan agama, umat wajib bersepakat dan bersatu tanpa mengira parti mahupun ideologi politik.

Inilah budaya politik yang wajar dimartabatkan dalam kerangka kepartian kini. Apa yang penting, umat harus dipasakkan di dalam minda agar meletakkan agama lebih tinggi di atas segala kepentingan dan matlamat mana-mana parti.

Hakikatnya, kekuatan tamadun tidak selamanya mampu berdiri kukuh sekiranya sesuatu bangsa itu sudah hilang jati diri dan idealisme perjuangan lantaran pergeseran dan percaturan politik sempit yang tidak berkesudahan.

Thursday, March 13, 2008

Umno mesti raih semula sokongan rakyat

ANTARA asas politik ialah memenangi hati rakyat. Justeru, kerja baik pulih, perubahan serta pembetulan mesti disegerakan dan difokus kepada Umno selaku tunjang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menaungi seluruh rakyat. Pelbagai analisis diutarakan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu yang memberi isyarat keras bahawa kepemimpinan parti komponen BN gagal memenangi hati hampir separuh daripada 10 juta pengundi. Berikutan itu, pentadbiran kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor berpindah ke tangan parti pembangkang yang bergabung secara tidak rasmi melalui pakatan pembangkang.
Apakah yang harus dilakukan oleh Umno sekarang? Apakah Umno rela melihat kepingan domino pakatan pembangkang terus jatuh menimpa Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu? Apakah Umno berasakan sama seperti kebimbangan Asia Tenggara terhadap teori domino disebabkan kebangkitan komunis Vietnam Utara di Indochina pada era awal 1980-an? Umno ada masa kira-kira empat tahun untuk melakukan penyusunan semula struktur partinya. 'Do or die' – demikian tahap seriusnya kejatuhan yang dialami Umno sekarang. Jangan beranggapan Umno dulu pun pernah jatuh dan bingkas pantas untuk melakukan lonjakan semula.
Jangan samakan kes dulu dengan parah yang dialami 8 Mac lalu. Dalam beberapa peristiwa besar Umno, krisis hanya berlaku pada peringkat pucuk pimpinan dan sekumpulan penyokong bersama ahli. Tetapi sekarang Umno berdepan dengan penolakan bukan saja pemimpin peringkat bahagian, cawangan dan ahli malah rakyat serta pengundi peringkat akar umbi. Jangan lagi bersikap ambil mudah, selesa, lalai dan mensabotaj. Keempat-empat sikap inilah yang dipaparkan oleh kebanyakan jentera pilihan raya BN sehingga menjerumuskan mereka ke jurang kekalahan. Perkara serta-merta yang mesti dilakukan oleh Umno ialah kenal pasti kelemahan dan gembleng semula kekuatan Umno. Cari punca penolakan pengundi. Juga, nilaikan prestasi parti pembangkang – kelemahan dan kekuatannya. Kemudian susun dan laksanakan program memenangi hati rakyat. Pada masa sama, patahkan segala kekuatan pembangkang dan serlahkan kelemahan mereka. Empat tahun bukan tempoh yang lama. Selepas parah dalam pilihan raya lalu, Umno berdepan gelombang parah kedua apabila berlaku pemilihan bahagian dan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi (MT) tidak lama lagi.
Parah berganda pasti menyukarkan Umno berdiri dan melakukan pemulihan kemudian merancang semula sebelum melaksana. Jadi, antara tugas berat Umno dalam masa terdekat ini ialah memastikan pemilihan kali ini hanya menyebabkan impak atau luka minimum. Pemimpin Umno perlu insaf dan kembali ke pangkal jalan perjuangan asal. Umno bukan batu loncatan untuk mencari kekayaan dan pangkat. Pemimpin Umno segenap peringkat perlu kembali ke akar umbi. Mereka perlu mengimarahkan semula masjid yang menjadi forum paling penting akar umbi. Lobi, bistro, coffee house, spa dan karaoke mesti dilupakan. Akar umbi kali ini benar-benar menggunakan kuasa undi mereka untuk menyatakan protes mereka termasuk kerana ahli dan pemimpin Umno tidak mengimarahkan masjid. Protes serupa tidak harus berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 selewat-lewatnya pada 2012. Justeru, Umno perlu memanfaatkan platform masjid. Pemimpin Umno perlu kembali ke akar umbi untuk memenangi semula hati mereka. Akui kesilapan dan memohon maaf kemudian bertekad untuk melakukan pembetulan. Akar umbi pasti menerima hakikat ini dan pasti menjulang semula kepemimpinan Umno. Bersikap lebih mesra, merendah diri, prihatin dan cakna, tinggal dalam kawasan mahupun mendengar semua rungutan dan menangani masalah akar umbi akan membibitkan semula kasih sayang serta meningkatkan lagi sokongan mereka kepada Umno. Pada masa sama, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut melalui 'tempoh kepayahan' kerana diberi mandat mentadbir empat negeri. Cuma Pas mungkin ada kelebihan kerana pengalaman mentadbir Kelantan masuk empat penggal dan satu penggal di Terengganu. Jadi modul urusan pentadbiran itu boleh dibawa ke Kedah. Oleh itu, urusan yang lebih mudah di Kedah sudah pasti tidak banyak menjejaskan kerja kempen parti itu di seluruh negara untuk terus berusaha menolak jatuh domino Pas ke negeri lain. Inilah ancaman besar Umno. DAP mungkin perlu bekerja keras kerana kali pertama mentadbir negeri. Apakah dasar 'Malaysian Malaysia' diterima penduduk Pulau Pinang? Apakah sikap 'Robin Hood' pada Lim Guan Eng yang membatalkan saman orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan akan memberi laba atau bahana kepada politiknya? Dalam ghairah dan terkejut menjadi Ketua Menteri, beliau pasti melakukan banyak 'try and error' yang akan memberi kesan buruk kepada DAP. Justeru, DAP bukan urusan Umno tetapi kerja berat buat sekutunya – MCA dan Gerakan. Tetapi sebagai tonggak BN, Umno perlu memantau perkembangan ketiga-tiganya. Malah, selaku ketua BN, Umno perlu mengajak rakan 13 komponen lain menyelaraskan tindakan dan memperkukuhkan parti masing-masing. Hasil 'post-mortem' perlu dikongsi dan diambil tindakan bersama. PKR pula menjadi wadah pengundi Melayu dan India meluahkan protes kepada kerajaan. Parti itu mendapat perhatian pengundi muda yang kritis dan belum matang, tetapi mudah dipengaruhi. Antara yang tidak relevennya Umno ialah tidak menggunakan alam siber sepenuhnya untuk berkempen, melaksanakan perang saraf mahupun melakukan serangan balas. Golongan muda yang lebih menghampiri alam siber akhirnya dimusnahkan kewarasan dan pendirian mereka dengan dakyah siber melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Apa yang tidak ada dalam internet mengenai serangan pembunuhan karakter pemimpin Umno dan BN? Ini tidak dilakukan oleh Umno pun yang mengekalkan sikap 'tenang dan bersopan'! Sebagai elemen komunikasi berkuasa tinggi, propaganda dan dakyah melalui internet boleh mengubah corak pemikiran seseorang. Inilah yang berlaku kepada pengundi khususnya yang muda di Lembah Klang dan komuniti masyarakat yang sangat terdedah kepada akses ke alam siber, sehingga tumpasnya majoriti calon BN di Kuala Lumpur dan Selangor tempoh hari. Justeru, Umno perlu melakukan perkara sama dalam internet mulai sekarang dan impak maksimum perang saraf itu akan dirasakan pada masa akan datang. Namun, Umno dan BN perlu menyelaraskan propaganda. Kerja dibahagi mengikut keutamaan dan pengkhususan supaya impaknya padu dan tidak bertindih. Umno perlu diremajakan semula dan lebih relevan. Parti itu perlu melakukan revolusi minda dan strategi dalam kepemimpinan mahupun gerakan perang saraf. Kaedah kempen perlu ditukar kerana stereotaip dan antik sejak zaman dulu. Jentera pilihan raya perlu digerakkan sepanjang masa sekurang-kurangnya pada skala kecil. Ini bagi mengimbangi kesan kempen tukang pembangkang sepenuh masa yang dilakukan di seluruh negara. Umno selaku peneraju kerajaan juga akan berdepan dengan barisan pembangkang yang kuat di Parlimen. Jadi, cara menyusun barisan penyokong kerajaan juga perlu bijak dan penuh taktikal. Wakil DAP, PKR dan Pas yang rata-rata profesional atau bijak bercakap memerlukan sekumpulan penyokong kerajaan yang juga bijak, petah, ada kerja rumah (home-work) serta berwibawa. Sebagai forum terbuka, hujah dalam Parlimen juga boleh dimanipulasikan pembangkang sekali gus memberi gambaran ketidakupayaan BN yang menguasai majoriti mudah dalam rumah demokrasi itu. Jelas, terlalu banyak perkara perlu dilakukan oleh Umno dalam masa persiapan yang singkat sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum 2012. Di sini, kebijaksanaan kepemimpinan adalah dituntut supaya tindakan dilakukan secara fokus, ada keutamaan dan pengkhususan serta berterusan. Umno sesungguhnya berdepan pembangkang yang ghairah mengembangkan pengaruh selepas kemenangan Sabtu lalu. Jadi, kembali kepada asas politik iaitu bersatu dalam parti dan memenangi hati rakyat.

Kerajaan campuran bagai api dalam sekam

Kekecohan DAP, PKR dan Pas pilih Menteri Besar Perak bukti kepemimpinan tiga parti goyah RAPUH! Itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang berusaha menubuhkan kerajaan negeri di Perak selepas menang dengan majoriti mudah 31 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Proses peralihan kuasa yang kelihatan berjalan lancar nampaknya hanya sekadar di permukaan kerana di dalam benak masing-masing masih cuba mengatasi satu sama lain dan menunjukkan siapa lebih berkuasa. Istiadat mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pas sebagai Menteri Besar Perak yang dijadual berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang semalam terpaksa ditangguhkan.
Penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, PKR dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran. Ini berikutan bantahan PKR yang kecewa dengan langkah Pas menyerahkan lapan kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada DAP. PKR meminta supaya DAP dan Pas membincangkan semula isu pembahagian kerusi Exco. Malah PKR mengancam tidak akan menyertai pentadbiran kerajaan campuran itu selagi masalah berkenaan tidak diselesaikan. Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya mahu DAP memulau majlis angkat sumpah di Istana Iskandariah itu selepas beberapa jam Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin diumum sebagai Menteri Besar Perak Ke-10.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya memberi kelulusan bagi pembentukan sebuah kerajaan campuran parti pembangkang di Perak untuk diketuai DAP atau PKR. Semalam, Kit Siang secara terbuka memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu, walaupun ia sudah mengguriskan hati ramai pihak. Kenyataan Kit Siang sebelum memohon maaf itu jelas bercanggah dengan persetujuan ketiga-tiga parti - DAP, PKR dan Pas pada peringkat negeri untuk menyerahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menentukan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar. Amat jelas kenyataan kepemimpinan DAP pada peringkat negeri jelas tidak senada dengan kepemimpinan Pusat parti itu sedangkan berkali-kali Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata perkara itu (pemilihan Menteri Besar) diserahkan kepada Sultan Perak.
Adalah mustahil Ngeh 'memandai-mandai' mengeluarkan persetujuan itu jika tidak mendapat restu daripada CEC DAP sendiri. Selain itu, pemilihan pelantikan Menteri Besar di kalangan ketiga-tiga parti juga dipersetujui pemimpin Pas dengan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang turut mengeluarkan kenyataan sama bahawa parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Perak untuk membuat keputusan berhubung siapa yang bakal menjadi Menteri Besar. Pada sidang media diadakan di pejabat Pas Perak baru-baru ini yang turut dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Ahmad berkata: "Kami ketiga-tiga parti sudah bersetuju untuk menerima sesiapa saja diperkenankan Tuanku Sultan sebagai Menteri Besar Perak yang baru." Arahan juga dikeluarkan kepada ahli Pas pada peringkat akar umbi jika Menteri Besar dilantik di kalangan Pas, mereka tidak boleh mendakwa ia sebagai milik parti itu, tetapi ketua negeri untuk kerajaan campuran. Kelmarin, Sultan Perak memperkenankan Adun Pasir Panjang, Mohamad Nizar dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru, manakala Ngeh sebagai Timbalan Menteri Besar 1 dan Timbalan Menteri Besar 2 akan diisi oleh calon PKR keturunan India, iaitu Adun Hutan Melintang, S Kesavan satu-satunya calon keturunan India yang menang atas tiket PKR. Mohamad Nizar, 51 berasal dari Kampar, Perak seorang jurutera perunding yang mendapat pendidikan di Birmingham, England dan menyertai Pas sejak 1995 dengan memegang pelbagai jawatan dalam parti itu termasuk pernah menjadi calon Pas bagi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum 2004. Ngeh, 47, seorang peguam berasal dari Ayer Tawar, Perak, lulusan undang-undang dari Universiti Malaya (UM) pada 1985, adalah ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas menang Pilihan Raya Umum 2004 bagi DUN Sitiwan. Yang pasti Sultan Perak membuat pilihan selepas menilai latar belakang dan pengalaman calon berkenaan dalam politik dan kerjaya masing-masing sebelum ini kerana untuk mentadbir negeri bukanlah sesuatu yang mudah. Berbanding ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini yang hanya pandai meminta orang lain membuat itu dan ini dan sekarang mereka terpaksa melaksanakannya sendiri dalam sebuah masyarakat majmuk yang kehendak dan keperluannya tidak terhad. Yang jelas DAP terperangkap dengan mainan kempen politik mereka sendiri apabila terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Pas dan ini tentu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti dan penyokong mereka yang mengundi DAP pada pilihan raya lalu. Kebanyakan penyokong DAP berasakan mereka lebih berhak mendapat jawatan Menteri Besar kerana mereka menang 18 kerusi, manakala Pas cuma enam kerusi dan PKR tujuh. Bagi penyokong DAP, mereka bimbang Pas yang dilihat parti Islam ekstrem berbanding Umno akan melaksanakan dasar yang mungkin bertentangan dengan kehendak dan keperluan mereka selepas menyandang jawatan Menteri Besar. Pemerhati politik berpendapat bagi meredakan kebimbangan dan rasa tidak puas hati penyokongnya, Kit Siang dilihat cuba bermain sentimen bahawa mereka tidak bersetuju dengan perlantikan itu dan sekali lagi gus memberi bebanan kepada istana sebagai pihak yang bertanggungjawab memilih Menteri Besar Perak daripada Pas. Jika Kit Siang dan CEC DAP tidak bersetuju dengan keputusan pucuk kepemimpinan DAP negeri membenarkan Mohamad Nizar daripada Pas menjadi Menteri Besar, kenapa beliau tidak mengarahkan DAP Perak membantahnya pada peringkat awal lagi. Yang jelas Kit Siang cuba bermain sandiwara melenyapkan rasa tidak puas hati penyokong DAP terhadap parti itu kerana gagal mendapat jawatan Menteri Besar Perak selepas sokongan besar diberikan kepada mereka. Kit Siang bagaimanapun, kemudian memohon maaf kepada Sultan Perak, Sultan Azlah Shah dan pemangkunya, Raja Dr Nazrin Shah berhubung kenyataan itu yang dilihat mempertikaikan keputusan Tuanku Baginda dan boleh mencemarkan nama baik Sultan Perak. Permohonan maaf itu juga dipercayai dibuat apabila ada desakan sebilangan pembaca laman web peribadi Kit Siang yang mahu Menteri Besar Perak yang baru diberi peluang mentadbir kerajaan negeri dalam kerajaan campuran. Pembangkang terutama DAP barangkali tidak menyangka mereka mampu menang besar dan membentuk kerajaan campuran di Perak pada pilihan raya umum kali ini. Jika DAP benar-benar yakin dan bersedia merampas Perak sekali gus membentuk kerajaan negeri mereka sepatutnya meletakkan calon DAP di kalangan orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar. Mengikut Perlembagaan Negeri Perak hanya Melayu beragama Islam boleh dilantik menjadi Menteri Besar. Ini bermakna, peluang calon DAP menjadi sukar walaupun memperoleh kerusi yang banyak berbanding Pas dan PKR. Bagaimanapun, Seksyen 12(2) Perlembagaan itu menyatakan Sultan Perak mempunyai kuasa mengetepikan salah satu syarat berkenaan atau kedua-duanya sekali berdasarkan kepada pertimbangan Baginda. Mengulas kekeliruan yang timbul antara DAP Perak dan CEC DAP, Ngeh berkata, pada mulanya CEC DAP mencalonkan nama beliau sebagai pilihan pertama, tetapi selepas bertemu dengan pemimpin Pas dan PKR negeri, mereka bersetuju menyerahkan ketiga-tiga nama daripada setiap parti. Mengenai Pas yang hanya memenangi enam kerusi dilantik ke jawatan Menteri Besar, Ngeh berkata, perkara itu dilihat mampu melicinkan sistem penyampaian kerajaan negeri kerana kebanyakan kakitangan awam daripada keturunan Melayu. Katanya, Menteri Besar daripada keturunan Melayu akan mendorong kakitangan awam berkenaan bertugas dengan sepenuh hati.

Hak istimewa Melayu tetap kekal

Budi bicara Yang di-Pertuan Agong alternatif kepada kehilangan majoriti dua pertiga

SELEPAS keputusan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, ramai yang mula tertanya-tanya berkaitan soal Perlembagaan, Parlimen, hubungan antara Kerajaan Pusat-negeri dan hak keistimewaan orang Melayu.

Misalnya, ada yang bertanya apa akan jadi kepada Barisan Nasional (BN) berikutan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, apabila memperoleh cuma 140 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan atau 63 peratus sokongan dalam Dewan Rakyat.

Ini adalah pencapaian paling rendah dalam sejarah BN. Tetapi kehilangan majoriti dua pertiga sebenarnya bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keadaan serupa berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969. Perikatan (kini BN) hanya menang 49 peratus undi popular dan 66 peratus kerusi di Dewan Rakyat.

Tetapi ketika ini, ia melebihi 50 peratus undi popular dan 63 peratus kerusi. BN mempunyai lebih 28 Ahli Parlimen bagi mengatasi jumlah 112 majoriti mudah dan cuma kurang lapan bagi mendapat majoriti dua pertiga.

Jika mengguna pakai standard dunia, keputusan itu dianggap kemenangan yang hebat dan cukup selesa. Penyandang jawatan Perdana Menteri di United Kingdom (UK), India dan Jepun boleh bertahan dan kekal di jawatan itu, walaupun kemenangan itu lebih berkurangan.

Apa yang membimbangkan ialah kehilangan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, bermakna pindaan terhadap undang-undang dan bajet mungkin tidak boleh diluluskan

Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas. Secara psikologinya, kita sudah biasa dengan majoriti yang tinggi dan tiada halangan perundangan, tetapi apabila sesuatu yang ‘biasa dan sihat’ seperti majoriti 63 peratus terjadi, kita melihat akan ada bahaya.

Mengikut Artikel 62 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua rang undang-undang biasa memerlukan majoriti mudah mereka yang hadir di Parlimen dan mengundinya. Rang Undang-Undang Kewangan memerlukan majoriti mudah. Undang-undang untuk menangani subversif mengikut Artikel 149 dan perkara berkaitan darurat mengikut Artikel 150 juga memerlukan majoriti mudah.

Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dulu atau kemudian dan kerajaan boleh bersandarkan kepada kuasa biasa ini dalam keadaan luar biasa seperti itu.

Jumlah cabang perundangan yang banyak ini yang dirangka oleh eksekutif tidak memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dulu.

Sekiranya Perlembagaan perlu dirangka semula mengikut Seksyen 10 Jadual 13, ia memerlukan undi ‘tidak kurang separuh daripada jumlah ahli di Dewan Rakyat’. BN mempunyai lebih separuh daripada jumlah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, halangan memang wujud dalam tiga bentuk:

Mengikut Artikel 2 (b), jika persempadanan negeri (contohnya Selangor dan Sabah pada masa lalu) diubah, pindaan itu akan memerlukan pertimbangan Dewan Undangan Negeri;

Dalam usaha untuk menyeragamkan undang-undang mengikut Artikel 76, misalnya hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meminda undang-undang yang berada dalam kuasa negeri, kemudian tertakluk kepada pengecualian tertentu, maka undang-undang seperti itu mesti diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri.

Amat jelas, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan akan menyokong langkah itu, tidak boleh diambil ringan.

Selain tiga perkara itu, kita juga boleh menjangka berlaku perdebatan yang hangat apabila tiba waktu perbahasan selepas bacaan kedua terhadap sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan cadangan kerajaan itu akan melalui penelitian yang lebih rapi.

Pembangkang sudah pasti, mahukan suara mereka kedengaran di situ, tetapi akhirnya kerajaan akan mendapat apa yang mereka mahu dan kemudian melaksanakannya.

Bagaimana pula dengan kedudukan Perdana Menteri?. Secara perundangan, mana-mana ahli Dewan Rakyat yang disokong oleh majoriti mudah daripada jumlah keseluruhan ahli, layak menyandang jawatan itu mengikut Artikel 43 (2).

Tiada keperluan bahawa orang ini mesti mewakili parti terbesar atau mana-mana parti sekali pun.

Sebagai contoh, pada suatu ketika dulu, Perdana Menteri India, Indira Gandhi pernah dipecat daripada Parti Kongres pimpinannya. Pada akhir 1980-an, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berparti apabila Umno diisytiharkan haram. Namun, kedua-dua Perdana Menteri itu kekal dengan jawatan disebabkan sokongan di Parlimen.

Bagaimanapun, jika sokongan hilang, yang mengubah suasana politik dan soal perundangan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara untuk memilih orang lain yang mendapat sokongan majoriti.

Berikutan lima negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang selain Kelantan kini dikuasai pembangkang, timbul pula soal berkaitan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Adalah dijangka berlaku ketegangan antara Kerajaan Persekutuan dengan lima negeri yang dikuasai pembangkang itu. Tetapi ini adalah sesuatu yang bukan luar biasa dalam sistem Persekutuan.

Apa yang perlu diingat ialah Perlembagaan Persekutuan menyediakan mekanisme yang cukup (dalam bentuk Majlis Kewangan Kebangsaan, Majlis Tanah Kebangsaan dan Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, beberapa sumber hasil pendapatan dijamin masuk ke kantung negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak berhak untuk menahan sumber kewangan itu. Sumber itu ialah pemberian ikut kepala mengikut Artikel 109; Peruntukan Jalan raya Negeri mengikut Jadual 10 dan 14, mengenai sumber pendapatan yang disebut mengikut Artikel 110 dan Jadual 9.

Sebagai tambahan, ada Tabung Simpanan Negeri mengikut Artikel 109 (6), Peruntukan bersyarat kepada negeri mengikut Artikel 109 (3) dan pinjaman. Kerajaan Persekutuan mempunyai budi bicara yang luas dalam aspek ini.

Apakah keadaan sekarang juga boleh menggugat kedudukan hak keistimewaan orang Melayu?. Mengikut Artikel 153 Perlembagaan adalah satu perlindungan terbaik dan peruntukan yang kukuh sebagai asas kepada perkara ini. Di samping majoriti dua pertiga, pindaan atau pemansuhannya akan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Ia bukanlah sesuatu hujah yang boleh dipermain-mainkan bagi meminda artikel ini.

Dalam hal peruntukan Perlembagaan kepada Kerajaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung dan pertahanan kepada hak keistimewaan orang Melayu. Apa juga perubahan dalam keputusan pilihan raya, hak keistimewaan orang Melayu tidak akan terjejas secara perundangan.

Pada peringkat negeri, semua Perlembagaan di negeri Melayu mengandungi peruntukan yang sama seperti Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Pulau Pinang dan Melaka tidak ada seperti peruntukan mengikut Artikel 153. Tetapi dalam semua perkara di mana kuasa Pusat wujud, dasar tindakan afirmatif akan terus dilaksanakan. Saya tidak percaya Melayu perlu bimbang mengenai perkara ini.

Penulis ialah Profesor Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cetak artikel Hantar