BARISAN Nasional (BN) perlu bangkit dan ketepikan perasaan selesa sepanjang masa apabila berdepan pembangkang dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil selepas ini. Malah, wakil rakyat BN juga perlu berubah sikap, tidak terlalu yakin walaupun berasa diri sudah kuat di kawasan masing-masing.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berakhir, menjadi bukti dan amaran awal pakatan pembangkang yang bukan saja menjadi kenyataan sasarannya untuk menafikan majoriti dua pertiga kerajaan BN, malah lebih jauh daripada itu, mereka seolah-olah sudah ada perkiraan untuk menumbangkan BN pula pada pilihan raya umum akan datang.
Buat kali pertama juga sejarah penyertaan parti pembangkang dalam pilihan raya umum di negara ini sejak 1955, menyaksikan suatu keputusan pilihan raya yang di luar jangkaan semua pihak, tetapi ia adalah satu hakikat yang sudah berlaku.
Kecuali Kelantan, Pas sukar untuk membentuk kerajaan negeri tanpa kerjasama parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Begitu juga di peringkat Parlimen apatah lagi bagi menafikan majoriti dua pertiga suara BN.
Memang diakui prestasi Pas kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah parti itu menyertai pilihan raya umum di negara ini apabila memenangi 23 kerusi Parlimen dan 83 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. Pas, sebenarnya sudah menunjukkan keupayaan menyaingi Umno di negeri yang mempunyai majoriti orang Melayu menerusi Pilihan Raya Umum 1990 lagi apabila buat kali pertama parti itu berjaya menumbangkan kerajaan BN Kelantan.
Ketika itu, Pas menjadi kerajaan pembangkang tunggal berkuasa secara berterusan sejak 1990 hingga sekarang, menjadikan Kelantan kubu terkuat parti itu yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pada Pilihan Raya Umum 1999, Pas sekali lagi membuat kejutan dengan menumbangkan kerajaan BN Terengganu sebelum dirampas semula oleh BN pada Pilihan Raya Umum 2004. Keupayaan Pas mengekalkan kuasa pemerintahannya di Kelantan bagi penggal kelima berturut-turut apabila sekali lagi memenanginya kali ini adalah suatu pencapaian hebat bagi Pas yang mampu bertahan daripada asakan BN.
Di Kelantan, Pas menguasai 100 peratus apabila menang 38 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen. Kali ini, meskipun gagal untuk merampas semula Terengganu, Pas pula mengembangkan pengaruhnya di Kedah dengan kerjasama PKR, membentuk kerajaan negeri. Malah, kekuatan Pas terus melebar apabila turut bertapak kukuh di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Di Selangor kerajaan pembangkang diketuai PKR yang memenangi 15 kerusi DUN dan sembilan Parlimen; DAP (13 kerusi DUN, empat kerusi Parlimen) dan Pas (lapan kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen).
Bagaimanapun di negeri yang terus dikuasai BN, Pas juga masih mempunyai wakil dalam DUN apabila memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, kecuali di Terengganu, Pas memenangi lapan kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.
Jika ditinjau dari segi aspek pengaruh Pas, BN tidak boleh lagi memandang remeh ancaman parti pembangkang itu di Sarawak dan Sabah, kerana walaupun tidak menang sebarang kerusi, undi diperoleh calonnya meningkat secara mendadak. Jika kepemimpinan BN di dua negeri terbabit berasa tidak perlu melihat secara serius perkara itu, itu sesuatu langkah dan pendekatan silap walaupun Pas tidak memenangi sebarang kerusi di sana. Sebenarnya, bagi Pas yang penting melebarkan pengaruhnya ke kedua-dua negeri itu.
Sementara itu, pakar sejarah, Datuk Prof Khoo Kay Kim, berkata keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu adalah satu sejarah baru dalam amalan sistem demokrasi di negara ini yang menyaksikan kedudukan BN mula terancam, walaupun belum lagi dalam konteks 'terlambat'. "Saya sendiri terkejut sejak 50 tahun lalu, keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan rakyat mula menunjukkan hak mereka dan sekali gus mahukan wakil rakyat mematuhi kehendak mereka.
"Saya rasa keputusan pilihan raya ini sebagai amaran kepada BN supaya membuat perubahan termasuk menilai calon yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat. Ada calon yang tidak ada kebolehan tetapi apabila merayu kepada 'bos', mereka diberi tempat untuk bertanding dan inilah antara faktor yang menyebabkan rakyat bosan dan marah," katanya.
Ditanya apakah imej BN yang semakin buruk pada mata rakyat, Khoo berkata apa yang dilihatnya BN yang menjadi teraju pemerintahan negara sejak 50 tahun lalu berasa terlampau selesa dengan kedudukannya yang tidak mungkin ada pihak boleh mencabar kewibawaannya.
Katanya, BN juga dilihat seperti tidak sedar akan perubahan sikap rakyat yang mula mencari pilihan untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan memberi harapan kepada pembangkang. Bagaimanapun katanya, BN sebagai sebuah gabungan parti yang berpengalaman, masih relevan untuk terus menerajui negara. Katanya, soal sama ada akan berlaku kesan negatif atau sebaliknya jika pembangkang menjadi pemerintah akan bergantung kepada sejauh mana komited dan kejujuran mereka terhadap rakyat.
"Hari ini parti pembangkang yang berjaya membentuk kerajaan negeri perlu membuktikan untuk menunaikan janji mereka kepada rakyat ketika kempen pilihan raya lalu. Jika mereka gagal memenuhi harapan rakyat, pengundi sudah pasti menggunakan hak mereka dengan menilai semula prestasi parti dan wakil rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya. Katanya, keupayaan Pas mengekalkan penguasaannya di Kelantan sejak 1990 hingga sekarang bukan kerana parti itu kuat tetapi disebabkan wujud masalah dalaman BN sendiri.
Dalam konteks keputusan yang di luar jangkaan itu, mahu tidak mahu seluruh barisan kepemimpinan BN perlu jujur membuat 'post mortem' termasuk yang membabitkan masalah dalaman parti dan antara parti komponennya.
Tuesday, March 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment