Monday, March 24, 2008

Harga diri ahli Parlimen

ADA yang mendakwa harganya RM15 juta, ada yang lebih ekstrem mendakwa harganya mencecah RM100 juta.

Benar atau tidak, itulah khabar angin yang bertiup kencang di Sabah beberapa hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, pada 8 Mac lalu.

Harga yang ditujukan kepada seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu ternyata lebih hangat daripada berita kenaikan harga minyak mentah dunia yang mencecah AS$111.42 setong, 17 Mac lalu.

Malah, lebih memanaskan keadaan ialah desas-desus bahawa terdapat pemimpin pakatan pembangkang telah tiba di Sabah minggu lalu untuk ‘berbincang’ dengan mana-mana Ahli Parlimen BN untuk menyertai mereka.

Percaturannya mudah, pakatan pembangkang kini mempunyai 82 kerusi dan 140 lagi BN yang membentuk semula kerajaan melalui majoriti mudah.

Beza antara pakatan pembangkang dan BN hanya 58 kerusi, daripada jumlah tersebut pakatan pembangkang hanya perlu menarik 30 kerusi untuk menumbangkan kerajaan yang baru dibentuk menjelang tengah malam 8 Mac lalu itu.

Sabah pada masa ini mempunyai 24 kerusi, hanya terlepas satu kerusi Parlimen Kota Kinabalu kepada DAP, manakala di Sarawak juga cemerlang apabila turut tewas hanya satu kerusi di Parlimen Bandar Kuching daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.

Kedua-dua negeri ini menyumbang 54 kerusi iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan 140 kerusi yang dimenangi oleh BN sekali gus menimbulkan cakapcakap bahawa lebih ramai ahli Parlimen dari kedua-dua negeri ini akan dilantik menyertai barisan Kabinet baru.

Ironinya pengecilan jumlah anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri yang dikurangkan kepada 68 berbanding 90 orang sebelum ini serta pemansuhan jawatan setiausaha Parlimen, menjadikan harapan itu tidak menjadi kenyataan.

Sabah yang sebelum ini diwakili oleh tiga menteri penuh, dua timbalan menteri dan seorang setiausaha Parlimen hanya mendapat tiga menteri penuh dan empat timbalan menteri.

Sementara Sarawak, menerima dua menteri penuh dan tujuh timbalan menteri berbanding dua menteri, empat timbalan menteri dan seorang setiausaha Parlimen.

Walaupun berlaku sedikit tambahan jawatan, namun suatu yang tidak boleh dinafikan ialah perasaan tidak puas hati tetap wujud.

Senario itu ditambah dengan khabar angin terdapat usaha pakatan pembangkang untuk menarik sokongan ahli Parlimen BN selain janji-janji manis yang menawarkan penyertaan dalam Kabinet lebih besar daripada kedua-dua negeri ini.

Apa yang berlaku ini sewajarnya tidak dipandang ringan oleh semua pihak. Malah, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengingatkan bahawa UMNO dan BN tidak boleh ambil mudah dengan desas-desus yang ada.

“Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran perkara ini, tetapi kita tidak mungkin boleh mengetepikannya kerana tidak mahu melihat apa yang diimpikan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi satu kenyataan dan kita pun tahu PKR berminat sangat nak memimpin negara ini,” katanya.

Hari ini begitu ramai pemimpin parti termasuk parti-parti komponen membuat kenyataan bahawa tidak mungkin berlaku ahli Parlimen BN berpaling tadah.

Begitu juga ramai yang memberi amaran, ingatan dan pesanan selain mencemuh keinginan pakatan pembangkang untuk menarik sokongan ahli Parlimen BN.

Malah, pemimpin parti-parti pembangkang turut mencemuh perilaku seperti itu kerana mereka juga khuatir dengan kedudukan rapuh kerajaan negeri yang dibentuk di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Apa pun, umum perlu sedar bahawa cita-cita pakatan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat daripada BN sudah lama dan mereka sentiasa bekerja ke arah itu lebih 10 tahun lalu.

Kemenangan besar pembangkang menawan 82 kerusi sehingga mencatat sejarah mengurangkan majoriti dua pertiga kerusi BN pula ibarat cahaya di hujung jalan.

Jika kesempatan ini tidak digunakan sekarang, belum tentu pakatan parti pembangkang mampu untuk mengulangi kejayaan yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 empat atau lima tahun akan datang.

Oleh itu, hasrat Setiausaha Agung BN dan UMNO yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghantar kumpulan perisik ke seluruh negara menyiasat cubaan pembangkang membeli anggota Parlimen parti komponennya bagi menjatuhkan Kerajaan Pusat perlu disegerakan.

Tindakan itu bukan sahaja perlu untuk meredakan kebimbangan di kalangan rakyat, malah prasangka di kalangan anggota parti komponen juga perlu dihapuskan terutama dalam keadaan BN perlu bekerja keras menunaikan janji-janji dan manifesto pilihan raya lalu.

BN Sabah mempunyai enam parti komponen dan 13 kawasan Parlimen diwakili oleh UMNO, manakala PBS (tiga), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO, empat); Parti Maju Sabah (SAPP, dua); Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) (masing-masing satu).

Sementara BN Sarawak pula diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB, 14 kerusi); Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP, enam); Parti Rakyat Sarawak (PRS, enam) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP, empat).

Kelihatannya, UMNO yang telah bertapak di Sabah sejak 17 tahun lalu agak kental daripada ditembusi pengaruh pakatan pembangkang, manakala PBS pastinya sedar bahawa tidak ada untung jika berpaling tadah kepada pembangkang kerana sejarah telah mengajar erti kesetiaan berpolitik.

Begitu juga dengan UPKO, PBRS dan LDP, malah SAPP menyifatkan tindakan menghantar perisik ke Sabah sebagai satu ‘penghinaan’ kerana seolah-olah mempertikai kewibawaan dan kesetiaan ahli Parlimen BN di Sabah.

Perhatian juga tidak sewajarnya ditumpukan kepada Sabah dan Sarawak meskipun Negeri Di Bawah Bayu ini mempunyai sejarah berlaku kes melompat parti di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Ini kerana kalangan Ahli Parlimen di Semenanjung juga berpotensi untuk dipengaruhi, apatah lagi jika disogokkan dengan janji-janji manis serta lambakan wang yang banyak.
Hakikat yang perlu diterima ialah potensi pakatan pembangkang untuk menawar ‘baju baru’ kepada ahli-ahli Parlimen BN tidak akan berhenti begitu sahaja.

No comments: