Monday, March 31, 2008

Samy Vellu minta semua pemimpin Hindraf dibebas

31.03.2008 Berita Harian

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, semalam meminta kerajaan membebaskan semua pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Samy Vellu berkata, dua daripada mereka, R Kenghadaran, 40, menghadapi masalah kesihatan yang serius manakala peguam, M Manoharan, 46, kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Katanya, dua lagi tahanan ISA, V Ganabatirau, 34, dan K Vasantha Kumar, 34, tidak mempunyai peranan dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjur kumpulan itu di sini pada 25 November tahun lalu.
Seorang lagi pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA ialah peguam, P Utahayakumar. “Saya akan bangkitkan (pembebasan mereka) dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) selepas beliau kembali dari Sabah.

Jika beliau (Abdullah) mahu membebaskan semua mereka, terserah kepada beliau. Kami juga tidak mahu mereka ditahan bagi tempoh yang terlalu lama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bengkel ‘Penjenamaan Semula MIC’ yang dihadiri 150 pemimpin bahagian parti itu di sini, semalam. Kelima-lima pemimpin Hindraf itu ditahan 13 Disember lalu mengikut ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Selain itu, Samy Vellu berkata, beliau juga akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bagi membincangkan perkara sama.

“Saya melakukan perkara ini demi keadilan, simpati dan merasakan bahawa kaum India perlu berbuat sesuatu mengenainya. Ia bukan untuk publisiti,” katanya.

Sementara itu, berhubung keputusan kerajaan Pahang tidak memberi kerusi Exco kepada wakil MIC, Samy Vellu berkata, parti itu sudah membangkitkan perkara ini, tetapi ia belum direalisasikan.

“Saya tidak akan meminta lagi... cukuplah meminta itu dan ini. Jika kerajaan Pahang berasa lebih baik tanpa kaum India dalam barisan Exconya, baiklah... kita sudah nyatakan apa yang kita mahu dan terpulanglah kepada kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan Barisan Nasional (BN) meminggirkan MIC atau kaum India di negara ini pada keseluruhannya. Malah, katanya, pembangkang, yang berkuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor menggunakan formula BN dalam peruntukan kerusi Exco.

No comments: