Tuesday, March 4, 2008

Karisma calon Pemuda penuhi selera pengundi pembangunan negara

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-12 berakhir malam Sabtu ini, barisan wakil rakyat di kalangan golongan muda yang menang sudah pasti mengubah imej Barisan Nasional (BN), sejajar usaha untuk meremajakan gabungan 14 parti komponen itu.

Bayangkan, BN kali ini menampilkan seramai 149 calon di kalangan pergerakan Pemuda, satu penambahan mendadak berbanding cuma 109 calon pada pilihan raya umum lalu, sekali gus menggambarkan pengiktirafan pucuk kepemimpinan terhadap tenaga muda dalam sayap kanan parti.

Yang pasti penampilan mereka yang rata-ratanya berumur 40 tahun ke bawah, dijangka memenuhi selera pengundi di kalangan generasi baru dan pada masa sama, masyarakat umum keseluruhannya mengharapkan pembaharuan dibawa oleh golongan profesional ini dalam memperjuangkan nasib mereka.

Hatta, peningkatan jumlah calon Pemuda BN kali ini membuktikan sayap terbabit berjaya melaksanakan peranan sebagai 'kilang' mengeluarkan pelapis berpotensi untuk diketengahkan menjadi wakil rakyat. Kebanyakan calon sama ada sudah digilap daripada peringkat awal untuk berdamping dalam kancah politik atau mewarisinya dalam keluarga sendiri, membuktikan betapa dinamiknya golongan muda untuk memacu kemajuan negara pada masa depan sambil terus belajar daripada orang lama.

Daripada 149 orang calon kali ini, 58 adalah wakil Pemuda Umno; MCA (51); Gerakan (21); MIC (9); Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) (3) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dua orang, manakala seorang masing-masing ditampilkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, lebih awal menyedari bahawa kemampuan Pemuda BN melahirkan pelapis amat penting nilainya berbanding menuntut jumlah kerusi yang banyak.

Selain nama besar yang cukup dikenali ramai seperti Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (Parlimen Rembau) dan Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim (Parlimen Baling), beberapa nama calon baru lain juga dilihat cukup gah untuk memenangi pilihan raya kali ini berbekalkan kredibiliti sebagai tokoh disegani masyarakat.

Antaranya, karisma yang dimiliki calon Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah sudah cukup hebat untuk menarik perhatian pengundi lantaran kedudukannya sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menaungi 40 pertubuhan belia seluruh negara.

Tidak cukup dengan itu, pengaruh beberapa calon baru lain juga tidak kurang hebatnya dengan penampilan anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz Mahathir yang dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun.

Nama lain pula seperti Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subahan Kamal (DUN Taman Templer) dan Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abdul Rahman Dahalan (Parlimen Kota Belud) juga bukan calang-calang di kalangan barisan baru Pemuda Umno kali ini.

Tidak dilupakan calon yang dikatakan mempunyai harapan besar memenangi kerusi masing-masing lantaran pengalaman berpolitik serta kedudukan sebagai Exco Pemuda ialah Johan Aziz (DUN Semenyih) dan Md Jais Sarday (DUN Mahkota).

Walaupun ada antara mereka akan menentang calon pembangkang yang lebih veteran dan dikatakan berpengalaman dalam kancah politik, reputasi calon baru Pemuda BN kali ini kelihatan cukup mantap untuk memastikan mereka menjadi antara faktor penentu kemenangan BN.

Apa tidaknya, jika merujuk kepada kemampuan calon baru yang disenaraikan di atas, pasti ia akan memberi tekanan dan rasa gentar calon pihak lawan, apatah lagi apabila melihat kelebihan mereka yang begitu agresif mengepalai unit masing-masing. Setiausaha Kerja Pemuda BN, Mohd Sharizal Amir Shah, berkata tidak dinafikan Pemuda BN umpama kilang mengeluarkan kader dan pelapis bermutu serta berkualiti tinggi yang boleh diberi kepercayaan dan diketengahkan sebagai calon untuk akhirnya bergelar Yang Berhormat.

"Pemuda BN sentiasa menyanjung tinggi amanah dan kepercayaan diberikan pucuk pimpinan. Lebih-lebih selepas kita berjaya menggilap tokoh Pemuda yang berupaya menggalas tanggungjawab dalam politik dan pentadbiran negara.

"Tidak dinafikan juga kalangan Pemuda yang sudah mengukir nama dalam kancah politik ketika ini digilap pada usia yang muda termasuk gerak kerja di akar umbi. Mereka diasuh dengan cara untuk turun ke padang dan pengisian yang perlu dibuat bagi mendekati masyarakat dan seterusnya memantapkan jati diri mereka," katanya.

Lebih daripada itu, kemampuan Pemuda yang mewarisi bakat kepemimpinan bapa mereka turut menyumbang kepada kemantapan dan kemampuan sayap berkenaan. Anak bekas pemimpin tertinggi BN seperti Mukhriz, Datuk Ling Hee Leong (anak bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Leong Sik) dan Lim Si Pin (anak bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik), bukan secara tiba-tiba terjun dalam arena politik.

Sebaliknya mereka sudah digilap pada usia yang amat muda, bermula di rumah sehingga dibawa ke majlis ceramah politik dan sememangnya bukan orang asing.

Yang pasti, darah pemimpin yang membara dalam diri bapa mereka dapat diwariskan dan apabila dipilih sebagai calon, tentu sekali dapat mewarnai politik tanah air yang tidak pernah ketandusan pemimpin muda.

Melentur buluh biar waktu rebung amat sesuai bagi menggambarkan kemampuan semua calon Pemuda BN yang tentu sekali tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga dan sama sekali enggan sekadar melukut di tepi gantang.

Pengundi muda khususnya pula menaruh keyakinan kepada kredibiliti calon Pemuda kerana mereka inginkan permasalahan membabitkan kepentingan mereka dikupas dan dibahas dengan mendalam di Parlimen.

No comments: