DI ANTARA dilema yang dihadapi negara yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Malaysia ialah untuk memastikan setiap kaum diwakili ataupun terbabit secara langsung dalam proses pentadbiran. Ia berkait rapat dengan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan yang dibentuk dapat memenuhi aspirasi setiap kaum yang pelbagai. Ini kerana setiap kaum mempunyai sistem kepercayaan serta kebudayaan mereka sendiri.
Oleh itu, kegagalan kerajaan yang dibentuk membuat keputusan yang mampu menyantuni kehendak setiap kaum, dikhuatiri akan mengakibatkan ketidakstabilan terutama sekali di peringkat akar umbi. Keadaan diburukkan lagi seandainya kerajaan yang memerintah, membuat keputusan ataupun dasar berasaskan kepada persepsi ataupun kehendak sesebuah etnik semata-mata.
Pakar sains politik terkemuka, Arend Lijphart, menawarkan penyelesaian kepada persoalan ini. Beliau memperkenalkan konsep Consociational Democracy yang kini diamalkan di Belgium, Belanda serta beberapa negara di Eropah. Dalam konsep ini, setiap etnik mempunyai peluang untuk berpartisipasi secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta pentadbiran, melalui pemimpin yang dipilih untuk mewakili sesuatu etnik.
Pemimpin yang dipilih akan bekerjasama dengan pemimpin yang mewakili etnik lain. Untuk memudahkan kerjasama ini berlaku, pemimpin itu akan menubuhkan pakatan kerjasama di antara parti politik yang dipimpin mereka. Parti-parti politik ini ditubuhkan untuk menjaga kepentingan etnik yang diwakilinya.
Di Malaysia, konsep ini dipelopori Parti Perikatan. Ia ditubuhkan pada 1955, di mana ia membabitkan Umno, MCA, dan MIC. Ketiga-tiga parti politik dibentuk untuk mewakili kepentingan tiga etnik terbesar iaitu; Melayu, Cina, dan India. Melalui konsep perkongsian kuasa ini, ia memberikan ruang sama rata untuk semua etnik yang ada di negara ini, melalui pemimpin yang dipilih, untuk membabitkan diri secara langsung dalam proses pentadbiran. Kini, kesinambungan konsep perkongsian kuasa yang dirintis melalui Parti Perikatan, diteruskan pula oleh Barisan Nasional (BN), yang turut dinaungi beberapa lagi parti politik termasuk yang mewakili etnik Sabah dan Sarawak.
Dalam barisan Kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, konsep perkongsian kuasa diterapkan dengan bijaksana. Buktinya, barisan Kabinet kali ini terdiri daripada pemimpin Melayu, Cina, India dan beberapa suku kaum di Sabah dan Sarawak. Kemampuan menteri baru belum diuji kerana mereka baru saja dilantik, namun dengan bimbingan Perdana Menteri dan beberapa menteri veteran, sudah pasti mereka dapat menyesuaikan diri dalam keadaan politik semasa dengan menerapkan konsep berkhidmat dengan ikhlas untuk rakyat.
Dalam konteks politik Malaysia, proses perkongsian kuasa ini telah berjaya mencipta kestabilan kepada iklim politik di negara ini. Kejayaan ini dibantu oleh dua faktor utama. Faktor pertama membabitkan interaksi di antara pemimpin serta etnik yang diwakilinya. Untuk menjamin kejayaan perkongsian kuasa ini, barisan pemimpin terbabit dituntut untuk sentiasa berinteraksi serta peka terhadap sebarang pandangan atau isu yang diutarakan oleh etnik yang diwakili di peringkat akar umbi. Segala permasalahan yang diutarakan, kemudian akan diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar oleh kerajaan yang memerintah. Pemimpin ini juga perlu memainkan peranan di dalam menerangkan sebarang kekeliruan terhadap sebarang isu yang timbul. Melalui interaksi ini, keharmonian perhubungan di antara etnik dapat dijaga.
Faktor kedua membabitkan interaksi serta permuafakatan yang dicapai di kalangan pemimpin yang dipilih, dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit. Permuafakatan ini tercapai melalui sikap toleransi serta keprihatinan pemimpin terbabit, terhadap batas-batas sensitiviti yang telah dipersetujui bersama. Malaysia adalah salah satu negara yang berjaya menerapkan sistem perkongsian kuasa ini dengan jayanya. Kejayaan ini dibantu sikap toleransi serta saling hormat menghormati yang diamalkan rakyat negara ini. Dalam hal ini, interaksi pada peringkat akar umbi adalah penyumbang utama kepada kejayaan yang dicapai. Justeru, keharmonian hubungan di antara kaum perlu sentiasa dijaga dan disuburkan, agar setiap lapisan rakyat dapat menjalani kehidupan mereka dengan aman dan damai.
Tuesday, March 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment