Tuesday, March 11, 2008

Rakyat tunggu pembangkang tunai janji

Pemimpin PKR perlu buktikan laungan reformasi, manifesto parti bukan sekadar raih undi

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dengan misi bersama sekutunya, DAP dan Pas untuk mengurangkan kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini dikatakan 'bermimpi di siang hari' tanpa disangka-sangka dapat dicapai sehingga mencatat keputusan yang memeranjatkan semua pihak. Sepanjang berkempen selama 13 hari bermula hari penamaan calon pada 24 Februari hingga jam 12 tengah malam 7 Mac lalu, pemimpin kanan dan calon PKR tidak henti-henti merayu rakyat pelbagai bangsa untuk bersama-sama menukar impian mereka menjadi realiti.

Ternyata, rakyat termakan pujuk rayu penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia dizahirkan menerusi keputusan pilihan raya umum kali ini, yang menunjukkan peningkatan apabila menang 31 daripada 97 kerusi Parlimen yang mereka tandingi berbanding satu kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum 2004.

Angin perubahan dan mesej PKR mengajak rakyat beralih sokongan kepada pembangkang bukan lagi 'omong-omong kosong' tetapi kini sudah menjadi satu realiti yang tidak boleh tidak terpaksa ditelan rakyat yang terus setia kepada BN.

Laungan 'reformasi', 'lawan tetap lawan', 'jatuhkan BN sokong pembangkang' seolah-olah mudah meresapi pemikiran rakyat tidak kira sama ada mereka yang berpendapatan rendah, sederhana dan kelas atasan di bandar atau luar bandar untuk membenarkan PKR mencatat kejayaan. Keputusan pilihan raya umum kali ini juga menyaksikan PKR mengetuai pungutan terbanyak kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang berbanding DAP yang memperoleh 28 kerusi, manakala Pas pula mendapat 23 kerusi.

PKR turut meletakkan 183 calon di DUN dan memenangi 42 kerusi di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan. Parti itu menang besar di kerusi DUN Selangor selepas 15 calonnya masing-masing berjaya menewaskan calon BN seterusnya membantu pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri campuran buat pertama kali dalam sejarah Malaysia moden.

Sehubungan itu, pakatan pembangkang yang keseluruhannya memenangi 82 kerusi Parlimen boleh mendabik dada kerana yakin suara mereka semakin bergema sekali gus memungkinkan bahawa lebih banyak masalah rakyat boleh diperdebatkan di Dewan Rakyat. PKR ditubuhkan kerana memperjuangkan nasib Anwar selepas dipecat daripada Kabinet dan Umno pada September 1998.

Angin perubahan yang dilaungkan PKR seolah-olah diterima rakyat bagi membolehkan sebahagian besar pemimpin kanan PKR yang bertanding pada pilihan raya kali ini, tersenyum lebar selepas menang di setiap kerusi yang mereka tandingi.

Langkah kanan PKR pada pilihan raya umum kali ini dimulakan dengan kejayaan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang, malah dapat meningkatkan jumlah majoritinya daripada 590 undi pada Pilihan Raya Umum 2004 kepada 13,388 undi menewaskan lawan yang sama, Datuk Pirdaus Ismail.

Justeru, ura-ura pilihan raya kecil di kerusi berkenaan untuk memberi laluan kepada Penasihat PKR bertanding dan meneruskan impian menjadi Perdana Menteri, semakin dinanti-nanti penyokong PKR. Setiausaha Agung PKR dan bekas Ketua Eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula memenangi dua kerusi yang ditandinginya iaitu Parlimen Bandar Tun Razak, menewaskan penyandang yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho selain merampas semula DUN Ijok, Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohd Azmin Ali yang juga penyokong kuat Anwar pula menang selesa di Parlimen Gombak, Selangor menewaskan calon baru BN, Said Anuar Said Ahmad selain memiliki kerusi DUN Bukit Antarabangsa, Selangor yang sebelum ini menjadi kubu kuat BN. Ketua Penerangan PKR, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua juga menang di Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dikuasai BN, sekali gus mengetepikan cabaran Lim Si Pin yang juga anak Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Selain itu, anak Anwar, Nurul Izzah boleh dianggap sebagai 'giant killer' apabila menang kerusi Lembah Pantai, menewaskan calon popular BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Walaupun mendapat majoriti 2,895 undi, sudah cukup untuk Nurul Izzah yang digelar 'puteri reformasi' oleh penyokong PKR yang mendapat 21,728 undi, untuk mengatasi Shahrizat yang mendapat 18,833 undi dan gagal mengekalkan kemenangan untuk penggal keempat. Nurul Izzah yang sebelum ini dikatakan sukar untuk menembusi kekebalan Shahrizat yang begitu sinonim dengan kawasan Lembah Pantai sudah membuktikan angin perubahan yang digembar-gemburkan mereka benar-benar berhasil.

Satu lagi keputusan yang paling mengejutkan ialah kekalahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di kerusi Parlimen Sungai Siput, Perak kepada seorang lagi pemimpin PKR, Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang memperoleh 16,458 undi berbanding Menteri Kerjaraya yang mendapat 14,637 undi. Keputusan itu menunjukkan angin perubahan yang dilakukan PKR jelas tidak memilih mangsa seperti yang dialami Samy Vellu walaupun beliau sudah menjadi wakil rakyat di kawasan yang terletak di Perak Utara sejak 1974.

Bendahari PKR, William Leong pula merampas kerusi Parlimen Selayang, Selangor yang pada Pilihan Raya Umum 2004, dimenangi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy yang tidak menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya kali ini. Leong yang juga seorang peguam menang dengan majoriti 1,332 undi menewaskan muka baru BN dari MCA, Lee Li Yew dan Koh Swe Yong dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Xavier Jayakumar juga mendapat mandat rakyat di kerusi DUN Seri Andalas, Selangor selepas menewaskan calon BN yang juga penyandang kerusi dari MIC, G Kamala dengan majoriti 10,055 undi. Seorang penganalisis politik berkata, kemenangan PKR banyak dibantu Anwar yang dikatakan masih berpengaruh terutama di kawasan bandar.

Justeru, tidak hairan jika beliau menggunakan sepenuhnya tempoh 13 hari mengelilingi negara untuk berkempen dan bertemu rakyat. "Mungkin rakyat tertarik dengan manifesto yang dicanangkan Anwar untuk menurunkan harga minyak dan barangan keperluan harian dan rakyat menggunakan kuasa dan hak mengundi untuk membawa angin perubahan yang mereka mahukan," katanya.

Namun, persoalan yang mungkin ditimbulkan selepas ini ialah adakah PKR dan pembangkang yang sebelum ini terkenal dengan sikap berdolak-dalik dan hanya pandai bercakap, tetapi tidak tahu membuat kerja boleh membalas kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

No comments: