Sunday, March 23, 2008

Najib ikrar sokong Pak Lah

22 Mac 2008 – Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar akan terus memberi sokongan padu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun wujud usaha pihak tertentu untuk merebut jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, beliau akan terus membantu pucuk pimpinan untuk mengukuhkan parti yang kini berdepan cabaran getir selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
‘‘Saya sebagai Timbalan Presiden, saya tetap menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden parti dan kami sedang bekerja kuat untuk memulihkan parti.
‘‘Untuk itu, kita memerlukan perpaduan dalam parti dan komitmen yang tinggi di kalangan ahli untuk memberi tumpuan kepada urusan memartabatkan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 480 mangsa banjir di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas hasrat Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan dalam perhimpunan agung parti itu tahun ini.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, jika mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, tiada sebab bagi menolak ‘harapan’ bahagian-bahagian yang mahukan perubahan pada peringkat pucuk pimpinan.
Berikutan itu, beberapa pemimpin UMNO menyifatkan hasrat Tengku Razaleigh itu sebagai ‘menangguk di air keruh’ dan tidak sesuai dengan masanya ketika parti itu sedang berusaha mengukuhkan semula kedudukan selepas ‘kejutan’ yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.
Najib seterusnya mengingatkan ahli-ahli parti supaya memberi tumpuan kepada usaha pemulihan dan tidak terlalu memikirkan kepada soal pemilihan.
‘‘Kita jangan terlalu terbawa-bawa dengan urusan pemilihan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha pengukuhan parti,” tegasnya.
Ditanya sama ada tindakan Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan presiden itu sebagai tidak wajar, katanya: ‘‘Terpulang kepada ahli-ahli parti untuk menilainya.”
Beliau tidak menolak wujud pelbagai pendapat berikutan hasrat Tengku Razaleigh itu tetapi ia tidak sampai ke tahap yang menjejaskan perpaduan parti pada masa ini.
‘‘Perbezaan pendapat memang ada tetapi ia tidaklah sampai ke tahap yang serius hingga tidak boleh dikawal,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan berlaku gerakan ‘bawah tanah’ untuk menarik kepercayaan ahli-ahli UMNO selepas pengumuman hasrat Tengku Razaleigh itu.
Najib bagaimanapun yakin ahli-ahli UMNO semakin matang dan akan mengutamakan kepentingan parti melebihi faktor-faktor lain.
Meskipun begitu, tambah beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih stabil walaupun dilanda ‘badai’ pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
‘‘UMNO masih stabil tetap ahli-ahlinya memerlukan suntikan semangat untuk mengembalikan semula keyakinan untuk menebus semula kekalahan dan menjadi teras pemerintahan negara,” jelasnya.
Beliau menambah, setiap parti komponen BN juga perlu menilai kelemahan masing-masing dan punca kemerosotan sokongan pada pilihan raya lalu.

No comments: