YANG perlu difikirkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas mulai sekarang ialah kewajaran mengubah sistem pilihan raya yang terpakai sekian lama supaya lebih realistik dan demokratik pada 2013 nanti.
Kewajaran itu memang ada jika keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu diambil kira secara rasional, adil lagi saksama. Ambil saja kawasan Parlimen Seputeh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai contoh. Pemilih kawasan berkenaan memberi 47,230 undi kepada calon DAP Teresa Kok.
Jika sistem perwakilan berkadar diamalkan, kawasan sebesar dan sepadat itu sepatutnya mempunyai lima wakil di Parlimen, bukan seorang kerana pilihan raya negara mengamalkan sistem 'satu kawasan satu wakil' sejak 1952 apabila pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur diadakan.
Wakil DAP itu mencatat majoriti terbesar peringkat Parlimen sebanyak 36,492 undi. Barisan Nasional (BN) yang meraih 10,738 undi melalui calonnya Carol Chew sewajarnya ada seorang wakil di Parlimen seandainya sistem 'perwakilan berkadar' terpakai seperti amalan beberapa negara Eropah terutama Jerman, Belgium, dan Scandinavia, malah Australia. Ambil pula contoh pertarungan sengit kerusi Parlimen Sarikei di Sarawak apabila Ding Kuong Hiing (BN-SUPP) meraih 10,588 undi membolehkannya mengatasi Wong Hua Seh (DAP) dengan kelebihan 51 undi saja. Jika mengikut sistem 'perwakilan berkadar', BN dan DAP masing-masing ada seorang wakil di Dewan Rakyat.
Majoriti besar dan kecil memberi kewajaran pertama kepada perubahan berkenaan. Kewajaran perubahan kedua dapat diperhatikan daripada perwakilan tidak seimbang warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jumlah pemilih nampaknya tidak setimpal apabila melihat Parlimen Putrajaya ada wakil dengan hanya 6,608 orang pemilih. Sebaliknya Seputeh dengan pemilihnya 76,891 orang, juga seorang wakil, nisbah yang tidak seimbang, bagai langit dengan bumi berbanding Putrajaya.
Labuan lebih rasional kerana mempunyai wakil tunggal dengan jumlah pemilihnya 21,521 orang. Yang lebih ironi apabila barisan Kabinet menyenaraikan seorang Menteri Wilayah Persekutuan yang terpaksa berdepan dengan 10 Ahli Parlimen pembangkang terdiri daripada DAP (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu empat dan Pas, seorang. Putrajaya dan Labuan masing-masing dimenangi calon BN. Memanglah sistem 'satu kawasan satu wakil' itu mudah dikendalikan berbanding 'sistem berkadar' yang banyak kerenah dan likunya.
Tetapi SPR tidak sepatutnya berasa terbiasa dan selesa dengan sistem mudah seperti ini demi kewajaran pilihan raya untuk dikendalikan secara adil dan demokratik.
Tentulah ada alasan konkrit di sebalik cetusan pemikiran John Stuart Mill terhadap idea sistem perwakilan ini. Secara kasarnya, perwakilan berkadar menunjukkan jumlah kerusi di Parlimen yang diwajarkan kepada satu-satu parti politik berkadar dengan jumlah peratusan undi yang diraihnya pada satu-satu pilihan raya.
Ambil keputusan pilihan raya umum baru-baru ini sebagai contoh. Dengan berdasarkan sistem 'satu kawasan satu wakil' dan 'first-past-the-post', keseluruhannya, BN memperoleh 63.06 peratus undi berbanding dengan pembangkang sebanyak 36.94 peratus. Dengan mengambil kira undi kerusi Parlimen yang dipertandingkan iaitu 222, maka BN memenangi 140 kerusi sementara pakatan pembangkang 82 kerusi. BN menang dengan majoriti mudah, berulangnya sejarah pilihan raya 1969.
Fenomena lain bakal berlaku seandainya sistem 'perwakilan berkadar' dilaksana dengan sewajarnya, telus lagi demokratik. Sistem Hare cukup popular dikaitkan dengan perwakilan berkadar ini, sempena nama Thomas Hare, yang telah merumuskannya pada 1857, untuk kemudian diperincikan dalam bukunya Jentera Perwakilan (The Machinery of Representation).
Dari segi hakikatnya, idea ini tercetus pada tahun 1793, oleh Konvensyen Nasional Perancis, tetapi terbengkalai tanpa pelaksanaan begitu saja. Mill bertanggungjawab memperkemas sistem ini di Britain sehingga menjadi popular di Australia (1839) dan Switzerland tiga tahun kemudian atas usaha inisiatif anaknya.
Secara spesifik, Sistem Hare menyaksikan perpindahan undi popular daripada calon diisytiharkan menang kepada calon lain yang pastinya ada keserasian dengannya supaya dapat meraih dan diisytiharkan menang. Dari segi matematiknya, sistem perwakilan berkadar ini benar-benar tepat dapat mencerminkan pendapat popular pemilih.
Sistem sebegini dianggap paling demokratik berbanding dengan mana-mana sistem pilihan raya. Justeru sistem ini lebih praktikal dan demokratik bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan komposisi warganya yang rencam dan pelbagai dari segi bangsa dan agama, tahap usia, pendidikan, profesion, kemahiran, dan dengan mengambil jumlah kepadatan penduduknya. Parlimen akan menjadi `cermin' kepada pendapat pelbagai lapisan pemilih jika pilihan raya bebas dijalankan menurut sistem perwakilan berkadar.
Yang pastinya minoriti ada wakil untuk membela dan menyuarakan permasalahan mereka. Kita terlalu ghairah dengan tanggapan klise bahawa SPR telah menjalankan tugas dengan adil, saksama, dan telus. Namun begitu, rakyat terkeliru dengan ketakwajaran jumlah pemilih sesuatu kawasan, khususnya antara Seputeh dengan Putrajaya seperti yang dikatakan tadi.
Ketakwajaran ini menjadikan wakil yang dipilih tidak wajar pula. Perwakilan adil dan saksama perlu mengambil kira anomali ini. Di Amerika Syarikat misalnya, sejak keputusan mercu tanda dalam kes Bakar lawan Carr (1962), mahkamah menguatkuasakan sistem persamaan matematik yang tepat bagi penduduk wilayah ke Dewan Kongres.
Pun begitu, tidak semudah itu hendak memperoleh nisbah tepat dari segi jumlah daerah `majoriti-minoriti' iaitu daerah golongan kulit hitam atau kulit putih yang patut menjadi penduduk majoriti sesuatu daerah. Sebaliknya, Britain lebih bertoleransi dalam konteks ini apabila variasi penduduk yang dianggap wajar ialah antara 22,784 hingga 99,838 orang bagi satu-satu kawasan pilihan raya, mengikut angka 1992.
Jangka waktu lima tahun mulai sekarang memberi ruang dan kesempatan cukup luas kepada SPR untuk memikirkan perubahan ini supaya pilihan raya 2013 nanti tidak lagi menantikan ombak besar tsunami politik kedua negara. Kematangan berfikir melalui pendidikan tinggi natijah daripada keberkesanan Falsafah Pendidikan Negara khususnya bagi kalangan generasi kini pastinya mengocak kancah politik dan pilihan raya negara pada masa depan.
Yang dituntut oleh rata-rata rakyat tanpa mengira bangsa, agama, dan pegangan politik ialah keadilan, kesaksamaan dan ketelusan SPR dalam pengendalian pilihan raya agar dengan itu, Parlimen negara benar-benar mencerminkan pendapat dan suara bicara mereka. Pemilih sebenarnya sudah membuat pilihan yang wajar pada pilihan raya umum kali ini bagi merealisasikan impian melihat kek kekayaan ekonomi negara lebih merata lagi menyeluruh!
Monday, March 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment