Wednesday, March 19, 2008

Percaturan wakil Sabah, Sarawak dalam Kabinet cipta kelainan - Kabinet 2008

SARAWAK dan Sabah tetap bersyukur dan berpuas hati dengan jumlah penyertaan dalam pentadbiran baru yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, walaupun permintaan mereka, terutama bagi tambahan jawatan Menteri Kabinet tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Sabah diagihkan tiga menteri penuh, manakala dua bagi Sarawak iaitu kuota sama seperti sebelum ini, walaupun jumlah timbalan menteri bertambah empat menjadi sembilan untuk Sarawak dan Sabah pula bertambah satu menjadi tiga.

Untuk rekod, Sarawak sebelum ini turut diperuntukkan dua jawatan Setiausaha Parlimen dan Sabah seorang. Difahamkan, kedua-dua negeri itu masing-masing meminta tambahan sekurang-kurangnya seorang dua lagi menteri penuh, selepas memberi sumbangan terbesar kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu, iaitu 30 kerusi Parlimen dari Sarawak dan 24 di Sabah atau 38.4 peratus daripada jumlah 140 kerusi Parlimen dimenangi BN.

Berdasarkan kedudukan itulah, tidak hairan kedua-dua negeri berkenaan mengundang ‘minat’ pakatan pembangkang, terutama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan sedang berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen di sana.

Pembangkang yang terdiri daripada PKR, Pas dan DAP kini mempunyai 82 kerusi Parlimen, kurang 30 kerusi untuk memperoleh minimum 112 kerusi bagi majoriti mudah. Itu perancangan Anwar dalam usahanya mengejar jawatan Perdana Menteri. Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa wakil rakyat BN di negeri itu adalah orang yang berwibawa dan bertanggungjawab, yang sudah semestinya akan mempertahankan kewibawaan itu.

“Kita tidak boleh menghalang Datuk Seri Anwar daripada bercakap dengan wakil rakyat kita, tetapi kita percaya wakil rakyat BN akan tetap terus setia kepada BN dan tidak akan menganggotai mana-mana parti pembangkang,” katanya.

Malah, langkah Perdana Menteri untuk memperuntukkan jawatan timbalan menteri bagi beberapa parti lain seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP), akan lebih menyukarkan usaha Anwar untuk ‘mengintai’ mereka.

Dua menteri penuh dari Sarawak ialah Datuk Peter Chin Fah Kui, 63, yang kekal menerajui Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, manakala Datuk Douglas Uggah Embas, 53, dinaikkan pangkat daripada timbalan menteri kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Douglas adalah wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) keturunan Iban.

Namun, kali ini tiada menteri keturunan Islam dan kaum Bidayuh dari Sarawak selpas bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Tiki Lafe (Bidayuh) digugurkan, selain pengunduran Datuk Seri Effendi Norwawi dan Datuk Seri Adenan Satem.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mengecewakan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang tetap berpuas hati dengan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.

“Saya gembira dengan barisan Kabinet yang diumumkan itu. Begitu juga bagi PBB, kami berpuas hati dan saya berasa parti komponen lain di Sarawak juga turut gembira. Perlantikan Kabinet adalah hak dan bidang kuasa Perdana Menteri. Kita (di Sarawak) bersikap terbuka serta menerimanya dengan baik,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-27 sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac ini.

Daripada sembilan timbalan menteri mewakili Sarawak kali ini, lima adalah muka lama, termasuk dua dinaikkan pangkat iaitu Datuk Rohani Abd Karim, 53, (PBB) daripada Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Datuk Yong Khoon Seng, 67, (SUPP) yang dinaikkan pangkat daripada Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri Kerja Raya. Tiga lagi muka lama yang kekal timbalan menteri tetapi berpindah kementerian ialah Joseph Entulu Belaun, 54, (PRS); Datuk Joseph Salang Gandum, 58, (PRS) dan Datuk Robert Lau Hoi Chew, 66, (SUPP) yang kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Empat muka baru timbalan menteri dari Sarawak pula termasuk dua mewakili Pergerakan Pemuda PBB iaitu Ketuanya, Fadillah Yusof, 46, yang dilantik Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Naib Ketua Pemuda PBB, Datuk Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib, 39, yang dilantik Timbalan Menteri Pelancongan.

Dua timbalan menteri mewakili SPDP, kedua-duanya muka baru iaitu Jelaing Mersat, 60, di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Datuk Jacob Dungau Sagan, 62, di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Penyertaan Dungau dalam barisan pentadbiran kali ini juga cukup menarik perhatian kerana beliau mewakili suku Orang Ulu, khususnya di Parlimen Baram yang diwakilinya, membuktikan suara suku minoriti tidak dipinggirkan oleh kepemimpinan Pak Lah.

Bagaimanapun, di Sabah timbul tanda tanya, sama ada ia tetap diperuntukkan jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan setelah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menolak pelantikan itu. Abangnya, Musa menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan pengganti Anifah kerana percaya sesiapa saja pengganti adiknya itu akan membantu rakyat Sabah seperti yang berlaku sebelum ini.

“Walaupun timbalan menteri yang dilantik bukan berasal dari Sabah, tetapi mereka tetap boleh membantu kita di Sabah,” katanya.

Wakil dari negeri itu seperti Tan Sri Bernard Dompok kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Mohd Shafie Apdal berpindah ke Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, manakala Datuk Dr Maximus Ongkili menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Jawatan timbalan menteri diberi kepada Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah; Presiden LDP, Datuk V K Liew di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mungkin sesetengah pihak mempersoalkan bahawa negeri itu patut diberi lebih banyak lagi jawatan, namun bagi Musa yang juga Ketua Menteri, Sabah tetap menghargai penghargaan Perdana Menteri serta memahami rasional di sebalik percaturan susun letak wakil dari negeri itu.

Bagaimanapun, bagi Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah), Datuk Dr Mohd Yaakub Johari, rakyat Sabah amat mengharapkan sesuatu yang lebih kukuh daripada itu, mungkin pertambahan kuota menteri penuh atau mengetuai kementerian yang agak kanan.

No comments: