DARI Perlis hingga ke Sabah, tersebar khabar angin kononnya Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz yang digugurkan daripada Kabinet kelmarin, akan meletakkan semua jawatan termasuk selaku Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
Khabar angin itu sudah mula tersebar lewat petang kelmarin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Ada yang kata, Rafidah kecewa kerana tiada seorang pun kepemimpinan tertinggi pergerakan itu diberi jawatan menteri penuh.
Apa yang lebih membimbangkan terutama di kalangan orang Umno ialah kemungkinan pilihan raya kecil terpaksa diadakan bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar jika benar bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan meletakkan jawatan.
Ini kemudian disusuli khabar angin bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dikatakan sedang aktif untuk menarik kemasukan beberapa Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak ke kem pembangkang, akan bertanding di situ.
Bagaimanapun, pengesahan Rafidah, 65, untuk terus bersama Umno dan mengekalkan jawatan Ketua Wanita dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, melegakan ramai pihak. Khabar angin itu dinafikan Rafidah pada sidang akhbar di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di ibu negara, petang semalam. Justeru, tidak hairanlah lebih 50 wartawan dari dalam dan luar negara menghadiri sidang akhbar berkenaan, bagi mendengar sendiri penjelasan wanita besi ini.
Bagi yang mengenali Rafidah, mereka akan tahu sikap marah dan melenting wanita bersuara lantang itu hanya seketika. Apabila marahnya sudah reda dan hati sudah sejuk, beliau akan membuat keputusan yang tidak akan memecahbelahkan perpaduan parti... apa lagi ketika ahlinya seramai 1.3 juta memerlukan pemimpin yang boleh menyejukkan keadaan.
Itulah yang dilakukan Rafidah semalam. Pengalaman sebagai ahli parti selama 42 tahun dan dalam barisan kepemimpinan negara selama 32 tahun, mengajarnya untuk tidak melatah atau melenting secara keterlaluan walaupun perasaan marah, kecewa, tidak puas hati dan sedih menguasai diri.
Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk tidak melantiknya semula ke dalam barisan Kabinet selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri dan kurang lapan kerusi yang menafikan BN kedudukan majoriti dua pertiga, adalah suatu tindakan yang serius kerana buat kali pertama dalam sejarah Umno tidak ada seorang pun pemimpin Wanita parti itu berada dalam barisan kepemimpinan utama negara.
“Saya hanya diberitahu Perdana Menteri pada jam 9 pagi hari pengumuman Kabinet (kelmarin) dan bila saya tanya mengapa, beliau cuma berkata ‘mereka mahukan muka baru’. Sudah tentu saya terkejut.
“Jika memang ada cadangan untuk tidak menyenaraikan saya dalam Kabinet, baik beritahu saya sebelum pilihan raya diadakan. Saya tidak perlu bertanding dan boleh membuat persediaan untuk bersara dengan cara lebih terhormat. Tapi itulah, ini adalah keputusan Perdana Menteri kita terima sajalah.
“Tetapi ingat, saya masih Ketua Pergerakan Wanita Umno, Ketua Wanita BN dan Naib Presiden Umno. Saya dipilih oleh ahli saya dan saya masih mempunyai kedudukan dalam Umno,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar, tanpa kelihatan sebarang tanda rasa marah kepada kepemimpinan tertinggi Umno.
Menjawab soalan, Rafidah yang sudah menyertai Kabinet sejak berusia 28 tahun berkata, beliau memang tidak meminta Perdana Menteri untuk sebarang jawatan Kabinet kali ini. “Wanita Umno hanya ada tiga wakil yang menang pada pilihan raya kali ini... saya, (Datuk) Halimah Sadique dan Noriah Kasnon. Jika dulu, masa ramai wanita menang pilihan raya memanglah saya membuat permintaan (untuk jawatan Kabinet).
“Tetapi kali ini hanya tiga orang, senarainya tak panjang, takkan nak buat permintaan... bukannya susah nak buat pilihan,” katanya dan ketawa apabila menerima komen bahawa agak aneh Ketua Wanita MCA, Datuk Ng Yen Yen, diberi jawatan menteri penuh, manakala Ketua Wanita Umno yang turut menang pilihan raya tidak diberi sebarang jawatan.
Suasana berkecamuk menyelubungi Wanita Umno sejak pengumuman senarai calon Pilihan Raya Umum ke-12 dibuat lagi. Kekecewaan pertama dirasakan oleh barisan Exco Wanita apabila banyak nama pemimpin berkaliber masih tidak disenaraikan sebagai calon. Beberapa nama popular seperti Datuk Azizah Abdul Samad, Datuk Maznah Hamid dan Datuk Norhayati Onn, tidak disenaraikan, manakala Datuk Khamsiyah Yeop pula terkejut digugurkan selepas yakin beliau sudah melaksanakan tugas dengan cemerlang di Parlimen Lenggong.
Belumpun reda sepenuhnya bahang kekecewaan pemimpin Wanita yang tidak dicalonkan, seluruh ahli Umno dikejutkan pula dengan keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Antara yang tewas pada pertarungan paling hebat dalam sejarah politik negara ialah orang nombor dua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Maruah Wanita Umno sedikit terubat apabila Rafidah menang di Parlimen Kuala Kangsar. Bagaimanapun, kemenangan itu tidak diterjemahkan kepada kerusi dalam Kabinet apabila beliau digugurkan. Mungkin itulah kejutan yang seolah-olah tidak dapat diterima oleh Pergerakan Wanita yang sudah banyak menabur jasa kepada Umno, terutama dalam tugas utama mereka memenangi hati rakyat pada peringkat akar umbi.
Ada yang berpendapat kepemimpinan tertinggi Umno pada peringkat kebangsaan dan negeri tidak membuat pertimbangan sewajarnya apabila menyenaraikan calon wanita tanpa mengambil kira sama ada mereka mewakili Pergerakan Wanita atau Puteri. Seramai 10 ahli Puteri menjadi calon pilihan raya kali ini, sekali gus membuatkan ramai pemimpin Wanita peringkat kebangsaan dan negeri berasa terkilan kerana ada antara calon Puteri dianggap tidak mempunyai pengalaman dan pengaruh pada peringkat akar umbi.
“Inilah yang dikatakan tidak ada rezeki. Bagi kami, inilah masanya kalau mana-mana pemimpin Wanita yang sudah berusia 50 tahun untuk diletakkan sebagai calon. Kalau letak lima tahun lagi, kami semua dah tua. Orang akan kata ‘tak sedarkan diri dah tua pun nak bertanding,” kata seorang anggota Exco Wanita yang sudah serik untuk menaruh harapan menjadi calon pilihan raya.
Bagaimanapun, pergerakan yang pernah diberi gelaran ‘kumpulan mak cik-mak cik’ wajar diberi penghormatan kerana hanya menghantar dua bas untuk menemui Perdana Menteri selepas mengetahui mereka tidak mempunyai wakil dalam barisan Kabinet. Mereka hanya berkumpul di depan Seri Perdana dan bersurai tidak sampai setengah jam selepas itu, Apa yang lebih penting, sumbangan dan khidmat Rafidah tidak akan terhenti dengan ketiadaannya di dalam barisan Kabinet kerana beliau masih lagi Ketua Wanita Umno, Ketua Wanita BN dan Naib Presiden. Suara lantangnya akan terus kedengaran. Tetapi selepas ini suaranya adalah ke arah untuk mengukuhkan kembali parti yang ‘terduduk sekejap’ akibat penangan rakyat yang kecewa.
Wednesday, March 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment