SEMUA pihak, sama ada yang kalah mahupun yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 harus menerima mandat rakyat dengan hati terbuka.
Sesungguhnya, pilihan raya umum kali ini memberi isyarat yang cukup jelas kepada semua pihak, sama ada Barisan Nasional (BN), mahupun pembangkang supaya jangan sekali-kali mengabaikan kepentingan rakyat.
Keputusan itu merupakan cara bagi rakyat menyampaikan mesej bahawa sebagai pengundi dalam sebuah negara demokrasi, merekalah yang sebenar-benarnya berkuasa dan mereka tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa mereka jika perlu.
Bagaimanapun, ia bukan penghujung bagi sebuah episod kehidupan, sebaliknya ia merupakan permulaan bagi semua pihak untuk melangkah ke hadapan membina negara menuju kemajuan, sekurang-kurang untuk tempoh lima tahun akan datang.
Bagi BN, pilihan raya ini satu pengajaran pahit yang berguna untuk muhasabah diri dan membuat perubahan, bukan sekadar perubahan biasa tetapi perubahan radikal – daripada segala aspek, kepimpinan, semangat, minda, perjuangan dan pendekatan.
BN harus kembali kepada landasan perjuangan sebenar – mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, untuk membela nasib mereka.
Kepada pembangkang yang berjaya memimpin lima negeri, jangan lena diulit kemenangan sehingga lupa janji-janji yang telah ditaburkan.
Tanggungjawab melaksanakan janji-janji pembangkang dipikul oleh empat pemimpin kerajaan negeri iaitu Azizan Razak (Pas) sebagai Menteri Besar Kedah, Lim Guan Eng (DAP) Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat) - Selangor dan Perak akan ditentukan Menteri Besarnya. Begitu juga Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang terus memimpin Kelantan.
Bagi BN, kekalahan tidak perlu diratapi, tetapi berusaha untuk memperbaiki diri. BN kini perlu berani membuat rombakan dan perubahan radikal, jika mahu mengembalikan kedudukannya sebagai parti yang masih relevan dan dapat diterima rakyat.
Perubahan ini harus diikat dengan tekad untuk melaksanakannya bukan sekadar menabur janji.
Sekurang-kurangnya ia harus bermula dengan pembentukan kerajaan yang kuat dengan barisan anggota Kabinet yang bersih, berkemampuan, bertanggungjawab, mengutamakan kepentingan rakyat, serta sanggup berkorban untuk parti, agama, bangsa dan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu berani membuat perubahan itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya dan sekali gus kepada BN sebagai parti yang akan menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Kekalahan di lima negeri dan tumbangnya ramai pemimpin utama BN serta merosotnya undi pada kali ini memang sesuatu yang menyedihkan, tetapi masa berkabung tidak harus berpanjangan kerana kerajaan BN mempunyai tanggungjawab besar untuk terus memimpin negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Rakyat pula sedang mengikuti perkembangan dengan teliti dan ingin melihat satu perubahan yang ketara dalam barisan Kabinet Pak Lah sebagai memulihkan luka hati rakyat yang terguris selama ini.
Isu-isu kepentingan rakyat harus diberi keutamaan terutama isu kenaikan harga barangan harus ditangani dengan bersungguh-sungguh.
Kepada BN, keputusan pilihan raya ini tidak seharusnya dilihat sebagai hukuman daripada rakyat, dan kepada pembangkang pula tidak seharus melihat kemenangan sebagai suatu hadiah.
Sebaliknya ia satu peringatan daripada rakyat kepada semua pemimpin, sama ada daripada parti BN mahupun pembangkang bahawa mereka dipilih untuk berkhidmat bagi rakyat.
Tuesday, March 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment