Tuesday, March 11, 2008

Majoriti mudah tak gugat pentadbiran

BUAT kali kedua dalam sejarah pilihan raya umum selepas 1969 Barisan Nasional (BN) - sebelum ini Perikatan, memperoleh mandat bagi mentadbir negara dengan majoriti mudah untuk tempoh penggal pemerintahan akan datang. BN meraih 140 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, kekurangan lapan kerusi bagi mendapat majoriti dua pertiga. Senario sama dihadapi parti pembangkang yang membentuk kerajaan campuran di Kedah, Perak dan Selangor. Di Selangor, pembangkang memperoleh 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang 15, DAP (13) dan Pas (lapan), kekurangan lapan kerusi bagi mendapat majoriti dua pertiga. Di Perak, ketiga-tiga parti itu mengumpul 31 kerusi DUN - kurang sembilan kerusi bagi mendapat majoriti dua pertiga, manakala di Kedah, kerajaan campuran Pas dan PKR (termasuk seorang calon Bebas yang menyertai PKR) hanya mempunyai 22 kerusi DUN, berbanding 24 kerusi yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga. Hanya kerajaan Pas di Kelantan serta kerajaan campuran DAP dan PKR di Pulau Pinang, yang mempunyai kelebihan majoriti dua pertiga.

Sebenarnya, undi dua pertiga yang turut dikenali majoriti super dalam sistem demokrasi di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, diamalkan bagi menyelesaikan sebarang isu besar atau membuat pindaan undang-undang. Ia tidak boleh dilakukan dengan undian majoriti mudah, iaitu 50 peratus sebaliknya mesti mendapat persetujuan dua pertiga perwakilan. Kalau kita melihat kembali sejarah pilihan raya di negara ini, ketika Pas mentadbir Kelantan selepas pemilihan pada 2004, parti berkenaan juga tidak memperoleh majoriti dua pertiga, namun pentadbiran negeri berjalan seperti biasa. Begitu juga di negara yang berhadapan dengan kemenangan tipis menguasai Parlimen dan Dewan Perwakilan, perjalanan pentadbiran negara terbabit juga berjalan lancar. Mungkin, ini percubaan pertama kita berdepan keadaan itu, namun kita yakin wakil rakyat yang dipilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang, melihat kepada kepentingan awam ketika membuat keputusan mengenai sesuatu peraturan atau undang-undang. Kita tidak mahu, kepentingan rakyat terabai semata-mata kerana kerajaan tidak memperoleh majoriti ditetapkan dalam menjalankan tugas. Mungkin, pada peringkat awal, ia agak sukar atau ganjil, namun lama kelamaan, apabila pentadbiran termasuk persidangan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mengambil tempat, masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan lebih baik. Selain itu, rakyat perlu melihat keganjilan dalam sistem pentadbiran negara dan negeri berikutan kegagalan parti menguasai majoriti super, sebagai sesuatu yang bakal menjadi kebiasaan dalam politik negara. Kalau sebelum ini kita tidak pernah melaluinya, kini kita terpaksa berdepan dengannya dan perlu mencari kaedah terbaik termasuk berkompromi, bagi menyelesaikan isu, sekiranya timbul ketegangan ketika membahaskannya. Mungkin dalam tempoh penggal pemerintahan ini, kedua-dua pihak juga dapat bertindak lebih matang dan tidak hanya menjadikan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai pentas untuk bercakaran, sebaliknya membuat teguran lebih membina untuk kepentingan rakyat.

No comments: