Tuesday, June 17, 2008

Amalan politik baru bawa kebahagiaan

Kerangka kawal selia dilaksana babit penyertaan rakyat dalam proses pembangunan

AHAD lalu genap 100 hari sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Banyak sudah dibincangkan mengenai keputusan pilihan raya dan kesannya terhadap landskap politik negara pada masa depan. Sebahagian perbincangan itu adalah artikulatif dan objektif, tetapi sebahagiannya hanya sekadar spekulatif dan manipulatif.

Apa yang lebih penting ialah meneruskan dan menambah-nilai perjuangan meningkatkan kemajuan, kemakmuran negara untuk kebahagiaan rakyat. Jika tempoh 100 hari itu kita gunakan untuk muhasabah, mengambil iktibar, belajar sesuatu yang baru, merancang masa depan dan mula melaksanakan dasar dan program pembangunan dengan bidang dan pendekatan baru, maka kita berada di jalan yang menjanjikan.

Sebaliknya, jika tempoh itu digunakan untuk politiking semata-mata, maka kita mengundang bencana.
Kini, masanya sudah tiba untuk pemikiran dan amalan 'politik baru'. Tetapi saya menggunakan frasa politik baru dengan makna dan maksud berbeza. Ia adalah sebagai satu pemikiran berhubung amalan politik yang merangkumi dua komponen utama, iaitu integriti politik dan kawal selia baru (new governance). Beza antara frasa politik baru yang digunakan penentang BN dengan yang saya gunakan ialah mereka menggunakannya sebagai satu 'ramalan', manakala saya menggunakannya sebagai satu 'amalan'.

Politik secara idealnya membahagiakan semua atau sekurang-kurangnya tidak melaga-lagakan sesiapa. Ia menjanjikan sebuah negara ibarat sebidang taman yang nyaman. Tetapi, oleh kerana politik juga membabitkan kelicikan dan muslihat, maka ia tidak semestinya menghasilkan taman yang nyaman.

Justeru, ada keperluan mendesak untuk mengadakan pemikiran semula mengenai amalan berpolitik. Kita memerlukan aspirasi politik yang murni dan tinggi atau sekurang-kurangnya tidak berdaki dan berusaha menghidupkan serta menggerakkan politik baru yang menghampiri ideal politik itu. Satu daripada pendekatannya – malahan adalah pendekatan paling integral lagi kritikal – untuk merealisasikan politik yang ideal ialah dengan menghayati konsep integriti politik.

Menurut Pelan Integriti Nasional (PIN), agenda integriti politik bertujuan untuk mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara berasaskan demokrasi yang menggabungkan institusi Raja Berperlembagaan dan pemerintahan berparti; mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur; mengamalkan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri; dan memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan kawal selia terbaik (good governance). Matlamatnya ialah mempertahan dan memperkukuhkan sistem politik yang sudah kita amalkan selama ini yang terbukti berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum, budaya dan agama.

Pada masa sama, apa-apa kelemahan dan kekurangannya perlu diperbaiki. Antara kelemahan dan kekurangan itu ditandai, misalnya oleh unsur seperti politik wang, politik cantas mencantas, politik payung terjun, politik kronisme, politik nepotisme, politik cepat kaya, politikus badut dan sebagainya.

Dalam konteks amalan politik baru, integriti politik bermakna politik perjuangan. Sebagai perjuangan, ia perlu mempunyai rukun tertentu. Pada saya, ada tiga rukun politik perjuangan, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Pada pelaksanaannya, integriti politik bermakna menegakkan tiga sendi idealisme politik, iaitu: politik ilmu, (bukan politik ampu); politik hikmah (bukan politik fitnah) dan politik bakti (bukan politik undi). Dari sudut kepemimpinan pula, integriti politik bermakna pemimpin perlukan tiga ciri kepemimpinan iaitu berwawasan, menguasai apa yang dilakukannya dan mampu membina jaringan kerjasama. Komponen kedua amalan politik baru ialah mewujudkan suatu kerangka kawal selia baru. Dalam hal ini, apa yang lazim dibincangkan ialah kawal selia terbaik. Kawal selia terbaik seperti ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah sebahagian daripada kerangka kawal selia baru. Tetapi, kawal selia baru adalah lebih luas daripada kawal selia terbaik. Kawal selia baru merujuk kerangka pengurusan negara yang lebih segar daripada apa yang ada sekarang. Apa yang ada sekarang ialah kerangka pengurusan negara yang terlalu berorientasikan kerajaan dan politik, sedangkan masa sudah berubah dan memerlukan satu kerangka yang baru. Dalam kerangka baru, yang digelar kawal selia baru, ia membabitkan ketiga-tiga sektor pembangunan negara (iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) secara 'interface' sebagai rakan pembangunan pada kedudukan yang saksama. Kawal selia baru bertitik tolak daripada beberapa kepercayaan antaranya bahawa kerajaan/politik bukan satu-satunya sektor yang berperanan dalam membuat keputusan mengenai negara, tetapi ada dua lagi sektor lain iaitu perniagaan dan masyarakat sivil, yang mampu memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dan bahawa demokrasi tidak terhad kepada sekadar mengadakan pilihan raya umum setiap lima tahun sekali saja, sebaliknya memerlukan penghayatan lebih komprehensif, misalnya dengan lebih banyak membabitkan rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan, iaitu participatory democracy serta mengamalkan beberapa konsep seperti penghakupayaan (empowerment), perwakilan dan perundingan. Hari ini, sektor perniagaan dan masyarakat sivil hanya terbabit dalam proses membuat keputusan pada beberapa peringkat yang amat terbatas. Model kerangka kawal selia baru yang sempurna sukar didapati. Pada peringkat kebangsaan, antara modelnya Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 1972. Kini, MPBN diperluaskan sehingga ke peringkat negeri dan daerah.

Di samping itu, antara kementerian yang turut mempunyai kerangka kawal selia baru yang baik ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi iaitu melalui Jawatankuasa Pembangunan Usahawan peringkat kebangsaan dan negeri serta Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD). Pada peringkat yang melangkaui kementerian pula, contohnya ialah Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) dan, satu ketika dulu, Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC).

Kerangka kawal selia baru penting kerana dalam kehidupan yang semakin kompleks dan canggih, serta rakyat semakin terdidik dan cerdik, soal kebahagiaan tidak lagi terhad kepada hanya menerima nikmat dan manfaat pembangunan saja, tetapi, sebaliknya, soal kebahagiaan turut membabitkan penyertaan rakyat dalam proses pembangunan ketika dirancang, dilaksana dan dinilai.

Sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya menubuhkan kerangka kawal selia baru peringkat tempatan, iaitu Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT). MPPT ialah sebuah forum musyawarah dan permuafakatan – Parlimen akar umbi – untuk mengiktiraf dan meningkatkan pembabitan rakyat dan semua pihak berkepentingan dalam struktur dan proses membuat keputusan bagi pembangunan kawasan Parlimen ini, khususnya, dan bagi Pahang dan negara, amnya.

Objektifnya untuk mendengar dan menyalurkan aduan dan sungutan rakyat serta mendapatkan dan memperakui idea dan pendapat rakyat mengenai pembangunan.

Forum itu saya pengerusikan sendiri dan disertai 50 perwakilan yang mewakili ketiga-tiga sektor kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil. Persidangannya yang pertama telah diadakan pada 14 Jun lalu dan mendapat sambutan amat menggalakkan.

Banyak isu dan idea diketengahkan dan beberapa program sudah dikenal pasti untuk dilaksanakan. MPPT juga adalah wadah untuk memantau dan menilai enam bidang pembangunan tempatan yang saya janjikan dalam kempen PRU12 iaitu pendidikan dan latihan, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya, penyertaan masyarakat sivil, prasarana serta kemudahan asas dan awam. Pemikiran dan amalan politik baru memerlukan satu perubahan paradigma, iaitu daripada paradigma melaksanakan pemerintahan kepada paradigma melaksanakan pengawalseliaan.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

No comments: