MENCEGAH lebih baik daripada mengubati. Itulah yang sepatutnya menjadi pegangan dalam menangani apa juga masalah termasuk gejala politik wang yang didakwa berleluasa di peringkat cawangan UMNO.
Walaupun dakwaan itu masih belum pasti kebenarannya, namun ia satu tuduhan yang serius. Maka ia tentunya perlu disusuli dengan tindakan yang serius juga.
Politik wang bukan perkara kecil. Ia bukan perkara yang boleh dipandang mudah kerana membabitkan imej dan maruah.
Ini soal integriti parti. Kalau di peringkat akar umbi sudah kecoh dengan gejala negatif ini, ia boleh menyebabkan parti goyah dalam menghadapi gelombang politik pasca pilihan raya umum ke-12 yang cukup mencabar.
Ketika pucuk pimpinan terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu termasuk yang d iluar kawalan seperti kenaikan harga minyak, UMNO tidak boleh dibiarkan diganggu gugat oleh isu-isu dalaman.
Apa juga isu yang berbangkit perlu ditangani dari awal supaya tidak menular menjadi barah yang menghancurkan parti.
Sebab itu kes politik wang yang didakwa berlaku pada mesyuarat cawangan tidak boleh dibiarkan. Kalau ia hanya timbul di satu dua cawangan mungkin boleh dianggap kes terpencil. Tetapi banyak cawangan mengadu hal yang sama. Yang terbaru pendedahan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Syed Hamid Albar sendiri.
Sebagai orang lama dalam UMNO dan berada pula dalam barisan MT, pendedahan Syed Hamid tentu ada asasnya.
Ia tentu bukan didorong oleh niat untuk meraih simpati menjelang pemilihan bahagian kerana taruhannya adalah imej parti.
Oleh itu ibu pejabat UMNO perlu pantas bertindak supaya gejala ini dapat dibanteras di peringkat awal lagi.
Jika pemilihan di peringkat cawangan orang sudah heboh bercakap pasal sogokan, beli undi dan sebagai, bayangkan apa akan jadi pada pemilihan bahagian Oktober ini. Ini bukan perkara kecil yang boleh diambil pendekatan tunggu dan lihat. Ini soal imej dan maruah.
Biar sekecil mana sekalipun aduan mengenai politik wang ia perlu disiasat dan dipastikan kebenarannya supaya ahli-ahli terus yakin dengan perjuangan parti. Pada masa sama rakyat tidak memandang serong terhadap UMNO.
Oleh itu sekretariat bagi memantau gejala tidak bermoral di peringkat cawangan seperti yang diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam perlu digerakkan serta merta.
Sebelum imej dan maruah parti dipersenda, adalah lebih baik UMNO memerangi habis-habisan golongan yang sanggup menggadaikan parti hanya untuk mencapai kepentingan peribadi.
Segera kenal pasti golongan yang rendah moral ini supaya mereka tidak terus menjadi duri dalam daging kepada parti. Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur. Jangan biarkan golongan yang tidak bertanggungjawab terlepas begitu sahaja. Pastikan mereka dihukum sekeras-kerasnya.
Wednesday, August 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment