Masa membuat keputusan waras demi bangsa BEGINILAH 'cerita rakyat berkaitan pemilihan dalam Umno:
Pertandingan Umno satu perniagaan.
Untuk menjadi Ketua Bahagian perlu berbelanja di antara RM3 juta hingga RM5 juta.
Perwakilan yang dilabelkan 'G7' akan membawa pulang RM20,000 hingga RM30,000 semasa Perhimpunan Agung kali ini.
Pertandingan kali ini membabitkan wang di antara RM250 juta hingga RM300 juta. Sama ada benar atau tidak, cakap-cakap begini tidak baik untuk Umno. Lebih malang lagi apabila kenyataan sedemikian datangnya dari pimpinan politik Umno sendiri. Sekiranya diteliti pelbagai kenyataan media setakat ini hampir semua mengakui politik wang wujud dalam Umno. Malah hal ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen yang mengakui 'politik wang dalam Umno sukar dibendung'.
Kita juga mendengar kenyataan sepedas ini dikeluarkan seorang pemimpin Umno: "Tenderkan saja semua jawatan dalam Umno." Jadi apakah yang sebenarnya yang berlaku? Umno parti korup? Umno tidak boleh 'dibetulkan' lagi? Politik wang begitu berakar umbi dalam Umno hingga menjadi sebahagian daripada budayanya?
Umno tidak akan mengubah dirinya? Sistem nilai dalam Umno begitu bobrok hingga parti itu sudah tidak lagi dapat membezakan mana yang ideal dengan yang samping dan remeh?
Seorang pemimpin muda Umno yang menjadi ahli panel sebuah majlis anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) bersama-sama saya dan seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selasa lalu terang-terang mendedahkan modus operandi mereka yang mengamalkan politik wang. Ada 'code word' dan isyarat tertentu dalam mengagih-agihkan wang.
Ada kaedah dan cara tersendiri bagaimana pecacai politik tokoh-tokoh tertentu menjalankan tugas mereka. Pemimpin muda PKR itu tidak perlu menuding jari menunjukkan betapa rosaknya Umno. Pemimpin Umno itu sendiri mendedahkan segala-galanya.
Mungkin beliau yang juga Ketua Bahagian sudah patah hati untuk melawan gelombang sogokan dalam partinya sendiri. Hanya dengan mendedahkannya secara terbuka kepada peserta yang terdiri dari wartawan media cetak dan elektronik akan melepaskan beban penanggungan beliau.
Beliau mengakui masih ada bara idealisme dalam Umno.
Politik wang belum bernanah dalam sistem yang sedia ada. Dan masih ada suara jujur, benar dan waras dalam parti itu. Suara ini menjadi sebahagian dari conscience pimpinan dan ahli parti yang insaf. Merekalah yang bersuara lantang menentang amalan yang berbahaya itu. Menurut beliau, biarlah suara itu minoriti tetapi harus bergema di dalam parti. Memang mudah membuat andaian atau generalisasi mengenai politik wang dalam Umno. Lebih mudah lagi untuk menjatuhkan hukum ke atas semua yang disyaki.
Memang benar wujud perlakuan sesetengah pemimpin yang akan berbuat apa saja demi mengekalkan kuasa atau untuk mendapatkan kuasa. Bukan saja wang digunakan, malah penganugerahan 'Datuk' juga khabarnya menjadi modal meraih sokongan. Pemberian gelaran itu dikatakan membeli 'polisi insurans' untuk masa depan. Sewaktu pemilihan, orang ini akan sentiasa berasa terhutang budi.
Tidak cukup dengan itu, dengan menjanjikan 'projek' ramai yang akan menjadi penyokong pemimpin tertentu. Pada saat-saat akhir pula apa yang diperlukan bukan saja 'salam cengkuk' (salam yang mengandung wang) tetapi istilah seperti 'tabur' dan 'carpet bombing' akan kedengaran. Seperti juga cara tentera Amerika Syarikat (AS) meratakan tanah Vietnam Utara pada tahun 70-an dan Afghanistan pada awal dekad ini dengan bom, wang yang 'diturunkan merata-rata' akan mencorakkan pola pemilihan pada saat-saat akhir. Sebahagian cerita ini tidak lebih khabar angin saja.
Atau sengaja diada-adakan untuk memburuk-burukkan imej pesaing. Saya memimpin sebuah akhbar sewaktu pemilihan Umno tahun 1993 dan 1996. Saya melihat sendiri bagaimana perwakilan atau wakil mereka berbondong-bondong ke hotel tertentu atau ke bilik hotel tertentu apabila mendengar khabar wakil calon tertentu sedang 'menabur' wang.
Saya mendengar khabar angin seorang pemimpin yang ingin bertanding jawatan menghantar orangnya dengan beg penuh berisi wang menggunakan helikopter. Kesemuanya ternyata tidak benar. Tetapi cerita sebegini menjadi sebahagian dari mitos sewaktu pemilihan Umno. Umno harus membezakan di antara mitos dengan realiti. Pimpinan dalam Umno harus bertegas membetulkan imej yang sedemikian buruk mengenai parti itu. Malangnya dalam keadaan pemilihan, tiada siapa yang peduli hal-hal begini.
Tugas memastikan mereka yang bertanding tidak terbabit politik wang nampaknya terserah pada Jawatankuasa Disiplin Umno. Orang lain terlalu sibuk berkempen, untuk memastikan kemenangan, dan lebih buruk lagi untuk 'meneruskan' budaya sedia ada. Tengku Ahmad Rithauddeen berpendapat Umno harus mengatur strategi berkesan bagi mengatasi masalah itu. Beliau bimbang politik wang sudah menular pada pemilihan peringkat paling bawah cawangan misalnya sesuatu yang selama ini tidak berlaku. Memang ada cadangan untuk membuat 'pembersihan dari dalam'.
Tetapi hal itu hanya mungkin berlaku jikalau semua pihak komited. Tidak ada maknanya bertepuk sebelah tangan dalam soal ini. Kebijaksanaannya ialah "jikalau orang menang kerana memberi, mengapa tidak saya." Lagipun bagi si penerima, 'Jikalau orang bagi, apa salahnya ambil'.
Oleh sebab itulah 'harga' semakin melonjak. Si A akan memberi lebih dari Si B. Penerima akan menunggu siapa yang memberi lebih. Soal pangkah siapa cerita lain. Politik wang juga merupakan konsep yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa satu definisi jelas. Mungkin Umno harus belajar dari cari cara parti utama di AS mengendalikan dana politik dan kaedah memberi sumbangan.
Cara ini lebih telus daripada kaedah yang digunakan oleh banyak parti di negara membangun. Mungkin ada yang mengatakan cara AS itu tidak sesuai untuk kita tetapi demi mengatasi masalah ini, Umno harus melihat di luar kotak. Supaya berlaku adil, janganlah dek seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Soalnya ialah di kalangan sekawan kerbau, jikalau hanya seekor yang belum terpalit, lama kelamaan tubuhnya akan terpalit juga.
Ada yang berpendapat budaya dalam Umno menyebabkan usaha menolak politik wang hampir-hampir mustahil. Sekiranya hal itu berlaku, maka Umno akan hancur. Apa yang penting ialah memahami kedudukan Umno itu sendiri pada masa ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa Umno hari ini adalah parti tauke dan parti orang berada bukan parti cikgu dan orang biasa seperti satu masa dulu.
Ini satu andaian mudah yang boleh dipertikaikan. Kelangsungan Umno ialah kerana sifat dinamisnya, juga kerana kesediaannya membuat perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan keadaan semasa. Keahlian hanyalah sebahagian daripada masalah Umno yang kompleks itu. Umno tidak musnah kerana jenis ahli dari kalangan tertentu yang mendominasinya tetapi kerana kualiti ahli itu sendiri.
Maka itu Umno harus melancarkan jihad memerangi politik wang dengan apa cara sekalipun. Itu saja yang akan mengembalikan keyakinan ahlinya, selain membetulkan imej dan persepsi masyarakat terhadapnya.
Memerangi politik wang seperti juga menangani gejala rasuah: Bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir. Tindakan lebih penting dari riuh rendah dan janji.
Sunday, November 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment