KRISIS kepimpinan MCA nampaknya masih belum selesai. Peletakan jawatan oleh 21 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA pada Khamis lalu mengejutkan dan memaksa pemilihan baru perlu diadakan pada 28 Mac ini.
Meminjam kata-kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat - parti itu sedang berdepan "satu ujian getir".
Dalam mesyuarat agung Wanita dan Pemuda dan parti induk MCA itu sendiri sudah kelihatan kumpulan peyokong pemimpin tertentu memboikot aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MCA Pusat.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, empat naib presiden dan anggota CC yang telah meletak jawatan tidak hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-56 parti itu semalam.
Sabtu lalu, mesyuarat agung Wanita MCA hampir ditangguhkan selepas diarah oleh ketuanya, Datin Paduka Chew Mei Fun. Namun seramai 350 perwakilan Wanita MCA tetap meneruskannya.
Mesyuarat Agung Pemuda MCA Ke-46 pula terpaksa ditangguhkan kerana 87 perwakilan yang hadir daripada 1,742 orang perwakilan Pemuda parti itu. Ini kerana mesyuarat itu tidak mendapat kuorum minimum 200 orang untuk membolehkan ia dijalankan.
Sambutan kurang menggalakkan daripada kehadiran perwakilan ke mesyuarat agung parti itu membayangkan krisis dalaman MCA sungguh serius. Apakah pemilihan baru MCA dalam tempoh tiga minggu lagi akan menamatkan masalah yang sudah bermula sejak pemilihan Oktober 2008?
Ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional ke AGM parti itu semalam satu langkah yang betul supaya tidak menampakkan memihak kepada sesiapa. Sebaliknya beliau masih memberi peluang kepada pemimpin MCA untuk menyelesaikan masalah parti dengan segera.
Sudah 16 bulan krisis kepimpinan MCA berlarutan. Banyak masa terbuang hingga memberi persepsi yang salah kepada rakyat terutama masyarakat Cina kepada parti komponan Barisan Nasional (BN) itu.
Jadi lebih cepat krisis kepimpinan diselesaikan, ia bukan sahaja baik untuk MCA tetapi juga kepada BN. MCA perlu mengembalikan kekuatannya. Banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan penyokong kepada MCA.
Ada kebenaran komen Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa selesainya proses pemilihan baru bukan bermakna sudah selesai semua masalah MCA. Pemimpin yang terpilih pada 28 Mac depan mempunyai satu beban tugas yang besar.
Kita percaya pemimpin tertinggi MCA sedar dengan keadaan yang serba mencabar ini. Masyarakat Cina ingin melihat MCA kembali menjadi sebuah parti yang kuat.
Rakyat sudah muak dengan perbalahan sesama pemimpin dalam tampuk kuasa dalam parti. Pemimpin-pemimpin MCA patut bersatu mengukuhkan parti dan mengambil peluang daripada krisis yang dihadapi dalam pakatan pembangkang sekarang.
Kuasa dalam parti penting tetapi yang paling utama ialah para pemimpin MCA perlu menguatkan semula jentera parti untuk memenangi hati pengundi China supaya menyokong MCA dan BN.
Sunday, March 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment