Tuesday, April 13, 2010

Pengundi wanita diyakini mampu mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bp 13/04/10 :- Pengundi wanita diyakini mampu mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datin Fatimah Abdullah berkata, ini kerana pengundi wanita digambarkan lebih ramai berbanding lelaki.

Beliau sehubungan itu berkata, Pergerakan Wanita PBB akan mengadakan mesyuarat di Sibu pada Sabtu depan untuk menyusun strategi bersama sayap wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dalam mendekati pengundi wanita di kawasan Parlimen itu.

"Undi daripada kaum ini (wanita) dilihat signifikan dalam menentukan keputusan pilihan raya kecil di Parlimen Sibu dan kita (wanita BN) akan membantu memperhebatkan persiapan jentera parti bagi mempertahankan kerusi itu.

"Ini kerana dalam pilihan raya biasanya yang bertanding ialah antara parti kerajaan dan parti lawan di mana penyokongnya pula hampir sama banyak namun yang menentukan menang atau kalah mereka itu ialah golongan yang kecil seperti kaum wanita," katanya di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Sibu kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew, 68, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan di kediamannya di Kuala Lumpur pada 9 April lalu selepas menderita barah hati.

Sehubungan itu, satu pilihan raya kecil dijangka diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari ekoran kematian mendiang.

No comments: