Tuesday, April 13, 2010

SUPP berdepan ujian getir di Parlimen Sibu - 2010

Strategi sesuai, berkesan pastikan BN tidak berputih mata

SEJAK beberapa malam lalu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bahagian Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh, tidak dapat tidur lena. Tidurnya sering terganggu apabila mengingatkan pemergian Ahli Parlimen Bandar Sibu, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada Jumaat lalu. Bukan menjadi rahsia bagi masyarakat Cina di bandar yang mempunyai 270,000 penduduk itu, bagaimana eratnya hubungan dua orang ahli politik ini sejak awal 1980-an lagi.

Lau menganggotai SUPP pada 1982, manakala Wong menyertainya setahun kemudian. Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang dalam politik. Hubungan Wong, Menteri Kewangan Kedua Sarawak dengan Timbalan Menteri Pengangkutan begitu mesra, malah disifatkan bagai adik-beradik.

Kehilangan Lau benar-benar memberi pukulan emosi yang hebat kepada Wong sehingga beliau berjanji untuk menyimpan nombor telefon Lau dalam telefon bimbitnya sampai bila-bila. Namun, selepas ini, deringan telefon Lau yang tidak pernah gagal menghubunginya setiap hari tidak akan lagi berdering di telinga Wong.

Bagaimanapun, SUPP perlu segera keluar daripada diselubungi kemurungan ekoran kematian Lau. Lau disifatkan sebagai pemimpin gigih dan bersedia berkorban untuk masyarakat Cina, terutama dari segi pendidikan. Hakikat bahawa Lau yang pernah menjadi Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) suatu ketika dulu, banyak menyumbang dalam mentransformasi bandar Foochow itu, terutama dari segi kemudahan dan keindahan, memang tidak dapat dipertikaikan.

SUPP perlu berdepan dengan satu ujian getir apabila pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen itu diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian Jumaat ini. Sekali lagi, dijangka akan berlaku pertarungan sengit antara SUPP dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Untuk dua pilihan raya Parlimen, majoriti yang diperoleh SUPP tidaklah begitu besar.

Pada 2008, Lau meraih 19,295 undi, dengan majoriti 3,549 undi berbanding calon DAP, Wong Ho Leng, 15,746, yang juga Pengerusi DAP Sarawak.
Walaupun DAP mengumumkan mempunyai sehingga lapan nama untuk dikemukakan dalam pilihan raya kecil Parlimen itu nanti, dipercayai nama Wong berada di papan teratas. Wong adalah umpama singa luka yang ingin membalas dendam, apatah lagi menyedari kekalahannya tidaklah begitu teruk dalam beberapa pilihan raya lalu. Mampukah Wong memenuhi impian dan melunaskan agendanya kali ini ketika SUPP belum lagi berjaya keluar daripada masalah dalaman yang membelenggunya?

Berdasarkan rekod dalam pilihan raya lalu, Wong adalah pertaruhan terbaik DAP untuk menjadi ayam tambatan bagi berdepan calon SUPP. Wong, yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, dilihat sebagai pemimpin lantang dan mempunyai keberanian intelektual. Masyarakat Cina menganggap beliau sebagai pemimpin yang dapat membela mereka, terutama dalam isu sensitif yang tidak berani disuarakan SUPP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek itu juga sudah membuktikan keberkesanannya sebagai pemimpin pembangkang, terutama apabila berdepan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam DUN Sarawak. Parlimen Bandar Sibu mempunyai tiga kerusi DUN iaitu Pelawan, Nangka dan Bawang Assan, tetapi kerusi DUN Bukit Assek adalah jiran yang berdekatan.

Dalam pilihan raya negeri 2006, ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen Bandar Sibu itu dimenangi BN. Adakah 55,000 pengundi di Parlimen Bandar Sibu mahu menghantar Wong ke Dewan Rakyat bagi menguatkan suara DAP dari Sarawak? Kini, DAP hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat, iaitu setiausaha parti, Chong Chieng Jen iaitu Ahli Parlimen Bandar Kuching, satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang dari Sarawak.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, BN memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Tetapi sejak itu, sudah berlaku perubahan dalam landskap politik negara apabila kebanyakan kerusi MCA dan Gerakan di Semenanjung, yang mewakili kaum Cina, terlepas ke tangan Pakatan Rakyat. Dijangka, sedikit banyak trend terbabit mempengaruhi corak pengundian masyarakat Cina di Sibu. Bagi kerusi Bandar Sibu, 60 peratus ialah pengundi Cina, 20 peratus Melayu/Melanau, Iban 18 peratus, 1.1 peratus Orang Hulu dan 0.9 peratus lain-lain.

Pengundi Cina yang sebelum pilihan raya negeri 2006 begitu setia kepada SUPP, sudah beralih angin. Dengan latar belakang perubahan landskap politik itu, mampukah SUPP terus menguasai Bandar Sibu? SUPP akan mengemukakan Robert Lau Hui Yew, ahli Majlis Perbandaran Sibu, yang dilantik ke jawatan itu sejak 2004 sebagai calonnya.

Hui Yew, sepupu mendiang Lau, adalah orang harapan Lau untuk menyambung perjuangannya membela pengundi di Sibu, ketika hayatnya. Dalam pilihan raya Parlimen 2004 dan 2008, beliau menjadi ejen pilihan raya Lau, membuktikan kepercayaan mendiang kepada sepupunya itu. Penolong Bendahari SUPP itu menganggotai parti tertua Sarawak, sejak 17 tahun lalu. Beliau yang berlatar belakang pendidikan undang-undang dianggap calon paling layak dan sesuai.

Pemimpin bercermin mata yang sentiasa kelihatan tersenyum itu, dikatakan disenangi komuniti Cina kerana komitmennya membantu masyarakat di bandar yang pernah menyaksikan penghijrahan kaum Cina pada 1901. Mungkinkah pemimpin muda berusia 45 tahun itu dapat meneruskan perjuangan dan harapan mendiang?

Berdasarkan rekod, Bandar Sibu hanya pernah terlepas ke tangan DAP pada pilihan raya 1982 ketika Ling Soe Ming, yang digelar ‘giant killer’ mengalahkan Tan Sri Dr Wong Soon Kai, daripada SUPP yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Pada 1986 kerusi itu kembali dirampas SUPP selama 25 tahun sehingga pilihan raya umum lalu.

Mendiang Lau memenangi kerusi selama lima penggal sejak 1990. Pada pihak SUPP, ia tidak harus terlalu yakin ketika turun ke gelanggang kali ini, kerana calonnya bukanlah Lau, yang lantang bersuara dan dekat di hati rakyat. Dalam keadaan DAP ghairah untuk membalas dendam, sokongan kaum Cina yang sukar diramalkan ketika ini, dan pengundi muda lebih memihak kepada pembangkang, kedudukan SUPP sebenarnya boleh dianggap tidak terlalu selamat.

Strategi sesuai dan berkesan dituntut bagi memastikan ia tidak berputih mata. SUPP tidak lagi boleh bersandar semata-mata kepada formula lama, iaitu kekuatan jentera parti, penguasaan media, sumber kewangan kukuh dan status BN sebagai parti yang menjana pembangunan sebagai resipi kempen.

Lagipun, pengaruh kepartian dalam mempengaruhi pola pengundian sudah berkurangan, apatah lagi SUPP tidak lagi dilihat satu-satunya parti yang boleh memperjuangkan nasib kaum Cina. Bagi pengundi bandar, politik penaungan dengan isu pembangunan tidak begitu berkesan berbanding di luar bandar Sarawak kerana kaum Cina lebih mengutamakan isu ekonomi, pendidikan, keadilan, tadbir urus kerajaan, dan kepemimpinan yang bersih.

Penulis ialah penganalisis politik, yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

BH14/04/10

No comments: