Thursday, April 3, 2008

Analisis: Membersihkan kembali imej Umno

Pemimpin tak boleh lagi beretorik untuk kembalikan keyakinan ahli akar umbi SEBARANG langkah untuk membuat perubahan dan membersihkan kembali imej

Umno perlu dilaksanakan secara serius, disusuli tindakan konkrit bukan lagi diperdebat di akhbar hingga melarat ke kedai kopi. Semua ini perlu bagi me-mastikan segala matlamat dapat direalisasikan. Langkah itu juga penting kerana sebarang perubahan dalam parti utama itu, akan turut memberi kesan kepada corak pemerintahan negara.

Perdebatan hangat sekarang ialah membabitkan isu sama ada sistem kuota penca-lonan bagi pertandingan pelbagai jawatan dalam parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu, termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dikekal atau dihapuskan.

Tatkala masih ada ahli Umno terutama di kalangan barisan kepemimpinan utama parti berasakan sistem kuota ini perlu dikekalkan, jumlah yang mendesak supaya kaedah yang sudah diguna pakai sejak dua dekad lalu itu dimansuhkan semakin bertambah.

Setakat ini, Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad dan tiga Ahli Majlis Tertinggi (MT) iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Noh Omar, adalah antara yang tidak bersetuju sistem kuota pencalonan itu dihapuskan.

Kalangan pemimpin yang menyokong kaedah itu dimansuhkan pula ialah Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan tiga lagi ahli MT iaitu Datuk Mohd Shafie Apdal, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Desakan supaya kuota pencalonan ini dihapuskan adalah susulan kepada kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum tiga minggu lalu. Analisis pilihan raya umum mendapati antara punca rakyat, termasuk ada ahli Umno sendiri menolak calon BN khususnya Umno, adalah disebabkan oleh perasaan tidak puas hati terhadap sikap angkuh pemimpin parti.

Malah, ada beranggapan golongan ini turut mengetepikan perjuangan untuk rakyat, sebaliknya lebih ghairah menyertai politik arus perdana untuk kepentingan peribadi.

Tinjauan di kalangan ahli Umno pula menyaksikan semakin ramai yang secara terbuka menyatakan mereka sendiri tidak mengundi BN pada pilihan raya kali ini, bukan kerana tidak sayangkan parti, sebaliknya untuk 'mengajar' pemimpin supaya kembali kepada landasan perjuangan demi bangsa, agama dan negara.

Menyedari perdebatan panas di kalangan lebih tiga juta ahli Umno mengenai isu berkenaan hanya akan lebih menjejaskan imej parti yang sudah tercalar teruk itu, Muhyiddin membuat saranan yang amat wajar diambil perhatian oleh setiap pihak.

Katanya, bahagian Umno yang inginkan perubahan terutama membabitkan penghapusan sistem kuota pencalonan bagi pertandingan pelbagai jawatan dalam parti, perlu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) untuk mencadangkan supaya pindaan Perlembagaan dibuat.

Beliau berkata, untuk memastikan usul mengadakan EGM dipertimbangkan dengan serius, lebih separuh daripada 191 bahagian Umno harus bersetuju.

"Semua usul tergempar itu perlu diserahkan kepada MT yang kena memutuskan sama ada perlu diadakan EGM pada peringkat nasional. EGM pada peringkat bahagian perlu dibuat secara rasmi, tak boleh curi-curi be-gitu. Kena ikut prosedur, tak boleh tergempar-gempar sendiri," katanya kelmarin.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata EGM yang dicadangkan hanya dapat diadakan jika diluluskan oleh MT dan 'kita ada budi bicara untuk kepemimpinan menentukannya'.

Beliau juga mengingatkan ahli parti bahawa sebarang usaha untuk mengadakan EGM bagi meminda perlembagaan parti perlu diadakan sebelum akhir bulan ini.

Hak untuk meminda Perlembagaan Umno ini terkandung dalam Fasal 30 Meminda Perlembagaan Umno iaitu: "Perlembagaan ini atau sebarang bahagian daripadanya boleh dipinda atau dimansuhkan dengan ketetapan yang dipersetujui oleh tidak kurang daripada dua pertiga ahli-ahli yang berhak hadir dalam Perhimpunan Agung Khas dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh dua puluh lapan (28) hari dari tarikh keputusan meminda Perlembagaan itu diluluskan." (30.1); dan "Cadangan pindaan kepada Perlembagaan yang dikemukakan kepada Majlis Tertinggi boleh dipinda oleh Ahli Persidangan Perhimpunan Agung Khas dengan syarat hendaklah dibuat dengan bertulis kepada Setiausaha Agung, 14 hari sebelum Perhimpunan Agung diadakan.

Bahagian-bahagian boleh mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan dengan syarat mengikut Fasal 8.5.3." (30.2) Perhimpunan Agung Khas Umno pula hanya boleh diadakan apabila satu daripada tiga permintaan dilaksanakan iaitu:
(i) Dengan kehendak Presiden,
(ii) Dengan permintaan bertulis daripada dua pertiga Ahli Majlis Tertinggi,
(iii) Dengan permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah seluruh bahagian (191 bahagian) dengan syarat bahagian-bahagian itu telah mengadakan mesyuarat Perwakilan Khas atas masalah yang sama. (Fasal 8.5.3)

Muhyiddin ketika mengulas lanjut berkata, semua Umno Bahagian yang ingin meminda Perlembagaan hanya mempunyai tempoh sebulan untuk melaksanakannya.

"Setakat ini saya tidak nampak mana-mana bahagian mengadakan EGM untuk mendapatkan resolusi itu," kata Muhyiddin. Mesyuarat Umno peringkat cawangan perlu diadakan antara 17 Julai dan 24 Ogos ini, manakala persidangan perwakilan bahagian perlu diadakan antara 9 Oktober dan 9 November.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini pula akan berlangsung dari 16 hingga 20 Disember. Justeru, ahli Umno yang inginkan perubahan dinasihatkan supaya jangan hanya bercakap kosong, sebaliknya laksanakan perubahan mengikut landasan peraturan yang ditetapkan parti.

Sebarang tindakan berbentuk retorik hanya akan membakar kemarahan lebih buruk pada peringkat akar umbi.

Pilihan raya umum lalu adalah petunjuk awal kepada parti terunggul Melayu ini supaya melakukan perubahan secara terbuka dan ikhlas, demi maruah parti, bangsa dan agama.

No comments: