Keyakinan, ketahanan diri perlu untuk mempertahankan maruah di tanah air sendiri
SELEPAS ini nampaknya pemimpin Melayu akan berfikir banyak kali untuk bercakap secara terbuka mengenai soal kemelayuan atau untuk memperjuangkan nasib bangsa mereka. Konsep kemelayuan atau 'Malay-ness' menjadi momok baru selepas Pilihan Raya Umum 2008. Apa saja yang berkait dengan kemelayuan harus dibuat secara berhati-hati. Tujuannya bagi menjaga hati orang lain.
Ia termasuk ritual yang membabitkan tradisi orang Melayu seperti menghunus keris pada majlis rasmi. Dasar yang membantu orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), walau dalam apa bentuk jelmaan juga terbabit. Malah, menjadi semakin sukar orang Melayu mahu memperagakan kemelayuan mereka takut nanti dilihat akan menakutkan orang lain.
Demikianlah ironi sebuah bangsa majoriti di negaranya sendiri. Satu pilihan raya nampaknya mengubah segala-galanya. Tiba-tiba akibat berkurangnya sokongan terhadap sesuatu parti, maka seluruh pendekatan dan kaedah dalam kerangka hubungan Melayu dan kaum lain harus difikirkan semula. Tiba-tiba pertimbangan lain - yang tidak ada kena mengena dengan bangsa Melayu - harus diambil kira.
Sensitiviti kaum lain harus menguasai sebarang pertimbangan dan tindakan. Tidak ada salahnya hal ini. Lagipun kita hidup dalam sebuah negara pelbagai kaum. Silapnya apabila sensitiviti orang Melayu tidak dihormati. Benarlah kata orang, tidak mudah menjadi Melayu hari ini. Sudahlah tertinggal dalam hampir semua lapangan, kuasa politik di tangan kita pun mulai terhakis. Kuasa politik itu malangnya dipecahkan bukan oleh orang lain, tetapi sesama sendiri.
Setiap parti yang membabitkan orang Melayu mempunyai definisi kemelayuan sendiri, berserta wadah dan perjuangan yang berbeza. Kita menyalahkan penjajah kerana mengasingkan pelbagai kelompok dalam satu diaspora Melayu yang besar. Kita menyalahkan penjajahan yang memenjarakan minda Melayu hingga menjadikan mereka berpuak-puak sesama sendiri. Kemelayuan pada akhirnya didefinisikan oleh sempadan ilmu alam dan realiti politik.
Hari ini kita mula melihat bagaimana konsep 'saudara serumpun' semakin terhakis. Perihal rangkaian kemelayuan senusantara semakin hilang maknanya tidak perlu ditangisi lagi. Apa yang lebih mengkhuatirkan ialah di dalam negaranya sendiri orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh. Belum pernah dalam sejarah bangsa ini, orang Melayu sedemikian berpecah-belah seperti sekarang. Alasan awalnya tentulah tafsiran agama, kemudian perbezaan politik.
Lebih menakutkan ialah orang Melayu yang menganggap apa saja yang namanya Melayu itu mundur, kecil dan tidak moden. Malah, ada yang menolak bahasa, budaya dan nilai kemelayuan. Seorang ahli perniagaan yang tidak begitu berjaya secara terbuka mengisytiharkan, apa susahnya menjadi Melayu, asal tidak makan babi dan memijak al-Quran, Melayulah dia.
Mungkin juga kita menjadi bangsa yang paling bersedia mengutuk kelemahan sendiri. Tidak ada yang baik dikaitkan dengan kita. Kita membiarkan diri kita didedahkan, ditelanjangkan dan dimalukan. Malah, nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri. Siapa saja yang berjaya mesti dicari cacat celanya, kalau bukan kelemahannya, gosip orientasi seksnya atau kalau tidak pun kisah lampaunya. Tidak cukup dengan internet ditambah dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) sekali.
Teori propaganda menyebut, sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran. Teori komunikasi moden menyebut, setiap e-mel dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih. Kita terlupa dalam apa skandalpun di negara ini - dari kes video peguam Lingam hingga khabar angin korupsi seorang pemimpin - yang tertonjol ialah orang Melayu. Seolah-olah orang Melayu menjuarai segala penyakit masyarakat - dari korupsi, dadah, mat rempit, entah apa lagi. Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama Islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi utama.
Apa yang tidak kita dedahkan lagi? Apa yang tidak cukup terdedah? Kita menjadi bangga mengisytiharkan keaiban anak bangsa kita. Tidak hairanlah jika tokoh korporat yang terbina atas keringat dan air mata tidak pernah mengagumkan kita. Malah, kita labelkan mereka 'keparat.' Setiap kali berlaku perubahan pimpinan, yang menjadi mangsa ialah anak Melayu.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Setiap kali seorang pemimpin politik Melayu terpinggir atau dipinggirkan, satu generasi bijak pandai dan tokoh korporat yang mendampinginya akan terhapus. Orang baru akan membina yang baru pula. Mereka akan tercantas pula apabila orang lain mengambil alih. Proses ini berterusan nampaknya sedangkan peniaga Cina tidak pernah terjejas akibat perubahan pimpinan politik Melayu.
Apakah kerana mereka dengan pantas membuat penyesuaian atau kerana pimpinan Melayu tidak pernah selesa dengan kelompok yang bukan mereka cipta atau rangsang pertumbuhannya? Akibatnya kesinambungan dalam bidang perniagaan di kalangan orang Melayu sukar berlaku. Ahli perniagaan tidak terbina dalam semusim atau dua musim pilihan raya. Mereka mengambil masa yang lama.
Tetapi, cantas mencantas menjadikan mereka tak lebih daripada peribahasa 'patah tumbuh hilang berganti'. Malangnya tidak mudah menumbuhkan yang baru. Yang lama juga perlukan perlindungan, bukan pandangan yang curiga. Orang Yahudi juga amat kritikal terhadap bangsa mereka. Malah synagogue mereka menjadi medan perbahasan dan debat. Kecerdikan bangsa itu ada kaitannya dengan tradisi kritis yang terbina di kalangan kaum mereka sejak kecil lagi.
Tetapi, mereka punya strategi dan agenda yang lebih besar. Bilangan mereka kecil, tetapi mampu menguasai hampir semua disiplin daripada perbankan hingga kesarjanaan dan dunia hiburan. Mereka juga kaum yang paling ramai menjadi pemenang Hadiah Nobel dalam pelbagai kategori sejak anugerah itu bermula pada 1901. Sepuluh orang dari kaum itu memenangi kategori sastera, 37 dalam bidang fizik, 21 bidang kimia, 39 dalam perubatan, 13 dalam bidang ekonomi dan 7 hadiah keamanan. Seramai 127 orang Yahudi atau 18 peratus memenangi Hadiah Nobel daripada sejumlah 687 penerima setakat ini. Mereka bangsa kecil yang bermentaliti ditawan.
Maka, mereka harus menjadi cemerlang dan berjiwa penakluk. Apakah kita boleh menjadi bangsa yang berjiwa penakluk dengan sikap dan pendirian kita? Apakah kita bersedia dengan kemahiran dan kepandaian seperti bangsa Yahudi? Bagaimanakah 250 juta orang Melayu di seluruh dunia tidak dapat menandingi keupayaan kaum lain yang lebih kecil jumlahnya? Apakah salahnya tradisi, budaya dan sejarah? Atau kerana kita sememangnya berhati kecil, enggan berjiwa besar dan berminda terbuka? Soalan itu tidak perlu dijawab.
Orang Melayu sudah rela mengetepikan bangsa dan kepentingan bangsanya kerana keyakinan yang ada pada diri mereka. Menurut pandangan sesetengah orang, tidak ada salahnya memburukkan bangsa sendiri atas nama kebenaran dan keterbukaan. Mungkin ini proses pembelajaran bagi orang Melayu agar mereka bangun daripada kealpaan dan kelalaian. 'Malay-bashing' dilakukan oleh orang Melayu di negaranya sendiri.
Semakin hari semakin lantang desakan untuk menelanjangkan kelemahan bangsa Melayu. Perkataan maaf tidak ada maknanya lagi. Peribahasa 'buang yang keruh, ambil yang jernih' juga tidak bererti. Kita nampaknya akan terus mendedahkan pekung di dada sendiri kerana kita yakin dengan berbuat demikian kelambu yang kita bakar akan menguntungkan bangsa kita.
Saya mengharapkan akan terusik juga conscience kita atau sekurang-kurang terdetik keinsafan bahawa yang sudah-sudahlah, marilah kita memperbaiki imej dan maruah kita yang begitu tercalar di tanah air kita sendiri.
Monday, April 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment