Thursday, April 3, 2008

Pakatan pembangkang sukar saingan BN

BUKAN sesuatu yang mengejutkan apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu. Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, kelmarin. Pemimpin ketiga-tiga parti itu dalam kenyataan bersama menjelaskan semua negeri di bawah kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas akan melaksanakan dasar yang selari dengan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, nama Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu hanya akan disahkan selepas mendapat persetujuan parti masing-masing. Dengan itu juga, kerajaan Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Kita tidak pasti sejauh mana kejujuran dan keikhlasan gabungan ketiga-tiga parti ini, yang dilihat lebih kepada 'perkahwinan politik untuk keselesaan' selepas memenangi 82 kerusi Parlimen dan merampas empat negeri selain terus menguasai Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini. Memang menjadi hak mereka untuk berbuat demikian, terutama bagi menghadapi pembangkang yang kuat di beberapa negeri yang mereka kuasai itu. Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana pakatan parti berkenaan, terutama DAP dan Pas dapat bekerjasama sedangkan masing-masing memegang prinsip berlainan dan hala tuju berbeza. Umum mengetahui daripada segi ideologi dan pendekatan, DAP memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia, manakala Pas pula ke arah penubuhan negara Islam. Mungkin terlalu awal untuk kita menilai kerjasama ini, namun kita menjangkakan kedua-dua parti itu akan mengambil langkah lebih lembut dalam memperjuangkan ideologi masing-masing.

Pas, DAP dan PKR pernah bergabung atas nama Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum 1999, tetapi pertengahan jalan, DAP dan Pas bertelagah yang akhirnya membawa kepada masyarakat Cina menolak DAP kerana bersekongkol dengan Pas, manakala orang Melayu menolak Pas sehingga parti itu gagal mempertahankan Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2004. Selepas belajar daripada kesilapan itu, DAP dan Pas pada pilihan raya umum baru-baru ini bagaikan bermain sandiwara apabila masing-masing mendiamkan diri dalam soal perjuangan, malah Pas sanggup mengetepikan perkataan 'negara Islam' dalam manifestonya. Ketiga-tiga parti ini memang mempunyai satu matlamat bersama, iaitu menyaingi 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) - bagaikan Malaysia kini menuju ke arah sistem dua parti seperti diamalkan Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kejayaan sesuatu pakatan memerlukan kompromi dan pengorbanan besar sehingga boleh mengetepikan kepentingan parti masing-masing dalam menjalin kerjasama. Tiga unsur utama iaitu faham memahami, toleransi dan hormat menghormati perlu ada dalam sesuatu pakatan jika ingin kekal lama. Inilah resipi yang digunakan BN sejak ia mula diperkenalkan pada 1974 dan jauh sebelum itu oleh Perikatan yang menggabungkan tiga parti utama iaitu Umno, MCA dan MIC sehingga tiada masalah dari segi dasar perjuangan dan pengagihan kerusi kerana semua kaum diwakili sehingga sebarang isu timbul diselesaikan di meja rundingan, sejajar konsep perkongsian kuasa. Pakatan Rakyat memerlukan satu prinsip yang sama dalam memperjuangkan ideologi masing-masing supaya kerajaan campuran yang ditubuhkan dapat ditadbir dengan lebih baik.

No comments: