Monday, April 7, 2008

Di sebalik pelbagai wajah Pak Lah


Desakan letak jawatan tak goyah semangatnya untuk terus terajui negara
SESEORANG menyimpulkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalu sugul dalam temu bualnya dengan Bernama TV, 14 Mac lalu.
Tidak hanya kelihatan muram, malah suaranya sesekali terlalu perlahan untuk didengar dengan jelas.
Turut dibayangkan ialah kerutan pada wajahnya semakin jelas daripada kurang tidur, terlalu banyak berfikir dan risaukan bermacam-macam hal, dengan sesiapa saja bebas membuat perumpamaan.

Apa saja boleh diandaikan terhadap Perdana Menteri pada waktu itu daripada kemerosotan prestasi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) enam hari sebelumnya hinggalah kepada tuntutan Tun Dr Mahathir Mohamad keesokannya agar beliau meletakkan jawatan.
Tiada siapa pun harus mencemburui kedudukan Pak Lah pada saat-saat berkenaan. Harus beliau amat mengharapkan diberi waktu untuk bersendirian bagi bermuhasabah diri dan kepemimpinan. Tetapi bagi seorang yang diamanahkan tanggungjawab memimpin negara, tidak terluang keistimewaan sedemikian.
Dalam pada itu, baik Seri Perdana di puncak tertinggi Putrajaya mahupun Kompleks Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, tidak henti-henti menerima kunjungan dari pelbagai lapisan, atas apapun sebab atau urusan.

Masing-masing datang dengan teori dan analisis, ada yang dipersetujui dan ada yang diperdebatkan. Tidak kurang pula yang menuding jari terhadap itu dan ini dalam tercari-cari penawar terhadap luka hati sendiri.
Seperti diakui Pak Lah, kebanjiran sedemikian memberinya kekuatan untuk diyakini bahawa kepemimpinannya masih diperlukan dalam menghadapi cabaran terbesar untuk mengorak langkah ke hadapan bukannya mundur atau berundur.
Banyak sekali persoalan yang bermain-main di fikirannya yang belum tentu dapat ditemui jawapannya dalam sesingkat masa.
Seperti orang lain juga, Perdana Menteri tidak terkecuali daripada mendepani keadaan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang baru melanda ini.
Memang, pada pagi 9 Mac lalu, rakyat Malaysia bangun tidur dalam suasana yang sama sekali berbeza. Empat negeri lagi Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke pihak pembangkang sambil Kelantan dilanjutkan era bukan di bawah pentadbiran BN.

Buat julung kalinya selepas sekian lama, majoriti dua pertiga yang diharap-harap untuk dikekalkan BN, turut terlepas menerusi apa yang dirumuskan oleh DAP serta kemudian diterima dan diperakui ramai, sebagai 'tsunami politik'.
Sama terkejut dengan BN yang mengharapkan kemenangan yang cuma sedikit kurang daripada pencapaian pada 2004, ialah pembangkang atau terbaru atas nama Pakatan Rakyat di sebalik mereka kini mendakwa ia sesuatu yang menanti masa untuk berlaku.
Sekonyong-konyong kepada sebilangan, PRU 12 adalah untuk mereka 'mengajar' BN agar lebih peka dan prihatin terhadap keluhan rakyat biasa yang meletakkan soal sara hidup melebihi segala-galanya tanpa mereka sebenarnya meyakini pembangkang berupaya menawarkan sesuatu yang berbeza.
Buat sebilangan yang lain pula, apa yang disasarkan mereka mungkin sekadar untuk mengurangkan majoriti atau kerusi BN tanpa terniat untuk menukar kerajaan sehingga di lima negeri serentak. Harus kepada kelompok berbeza, ia mahu dijadikan mereka petanda arus kebangkitan besar dalam merealisasikan pengambilan alih pemerintahan pada pilihan raya umum akan datang. S
ekali lagi, tafsirannya harus berbeza-beza, tetapi sama ada mahu diakui atau tidak, kira-kira 63 peratus atau 140 kerusi Parlimen yang dimenangi BN daripada 222 kerusi keseluruhan, adalah majoriti selesa untuk menubuhkan kerajaan yang kuat. Cuma dari segi persepsi ia mungkin berlawanan bersandarkan kepada keterbiasaan untuk BN memperoleh majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga setiap kali.
"Ramai pemimpin parti politik utama di negara lain, biasa mendapat majoriti melebihi 60 peratus yang sudah dianggap cemerlang. Di Malaysia, pencapaian kira-kira 63 peratus itu sudah dikira mencapai standard dunia," kata Profesor Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Shad Saleem Faruqi, selepas perbincangan meja bulat Perlembagaan Persekutuan Malaysia Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 26 Mac lalu.
Di sebalik ramai yang bersetuju, harus masih ramai yang memilih untuk menidakkan pandangan berkenaan. Sebagai perbandingan lanjut, Parti Buruh pimpinan Kevin Rudd menang 83 daripada 150 kerusi untuk majoriti mudah pada pilihan raya umum Australia, November tahun lalu, manakala Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) turut menang majoriti mudah 341 daripada 550 kerusi pada pilihan raya umum Turki pada Julai 2007 menerusi apa yang harus dianggap arus baru demokrasi masa kini.
Berlawanan daripada digambarkan oleh Dr Mahathir yang sebelumnya berikrar untuk kekal memimpin Umno walaupun dengan kelebihan satu undi mandat 63 peratus yang diberikan rakyat tidak harus mencacatkan keupayaan Abdullah untuk terus memacu negara ini menerusi perancangan kerajaan pimpinannya.
"Saya tak nampak kenapa saya perlu letak jawatan kerana parti kita menang. Saya katakan di sini, saya akan tetap teruskan perjuangan dan tak akan letak jawatan," kata Abdullah kepada lebih 2,000 penyokong BN di kediaman rasminya, sehari selepas pilihan raya umum lalu.
Kenyataan itu diulanginya Rabu lalu: "Mereka semua membuat spekulasi (kononnya) saya larilah, saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan? Kerajaan saya mendapat majoriti besar... bukan dua pertiga tapi amat kukuh. Itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab."
Keadaannya seolah-olah akan sentiasa ada sekumpulan yang sentiasa mempertikaikan Pak Lah tidak terkecuali pengumumannya bagi pembentukan Kabinet baru pada 18 Mac lalu apabila kalangan tertentu menyifatkan penampilannya berbaur di antara tegas dan angkuh.
Daripada seorang Perdana Menteri yang sugul, umum menatapnya menerusi siaran langsung televisyen pada waktu itu seorang pemimpin yang kembali berkeyakinan hasil sokongan sebulat suara Dewan Tertinggi BN dan Majlis Tertinggi Umno terhadap kepemimpinannya.
"Tiada apa-apa yang berubah," kata seorang pegawai 'tingkat 4' Kompleks Perdana Putra sebagai menyimpulkan perwatakan Abdullah akhir-akhir ini yang sibuk dengan urusan harian, termasuk mempengerusikan pelbagai mesyuarat serta memenuhi temu janji di sebalik kekurangan majlis rasmi untuk dihadirinya buat beberapa ketika.
Khabarnya Pak Lah turut tercuit hati dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berlegar mengenai dirinya yang kononnya kini seorang pemarah dan tenggelam punca hingga ada yang menyebarkan khabar angin rumah tangga Perdana Menteri turut bergolak. Sekonyong-konyong juga beliau sudah beberapa kali bermalam di rumah kerajaan di Jalan Bellamy dan tidak pulang ke Putrajaya walhal memang diketahui dari dulu lagi beliau menjadikan kuarters itu tempat persinggahannya apabila perlu menghadiri majlis di ibu negara.
"Ramai yang boleh berkata apa saja mengenai Pak Lah tetapi tidak ramai sebenarnya yang berkesempatan untuk menemuinya pada waktu beliau di pejabat atau di rumah untuk melihat sendiri perkara sebenar," kata pegawai berkenaan. Sambil diakui sebarang ketidaktentuan akan segera mencetuskan pelbagai spekulasi, seterusnya tidak memberikan gambaran baik terhadap persepsi ramai, Perdana Menteri memilih untuk memperagakan daya kepemimpinan seperti diharapkan ramai.
Langkah pertamanya dihayun 25 Mac lalu apabila Perdana Menteri mengumumkan pakej tujuh langkah selepas mengambil kira masalah dan kebimbangan rakyat seperti disuarakan menerusi keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu yang dilabel sebagai agenda berani:

Mengurangkan impak kenaikan harga barang dunia ke atas golongan isi rumah berpendapatan rendah dan mengehadkan pembaziran serta kerugian disebabkan subsidi;

Mengkaji semula pelaksanaan pelan ekonomi bagi memastikan faedahnya dinikmati rakyat, terutama golongan yang paling memerlukan;

Terus berusaha mengurangkan jurang pendapatan di antara dan di kalangan kumpulan etnik serta memastikan keadilan untuk semua rakyat;
Memberi keutamaan untuk mengurangkan kadar jenayah secara drastik;

Meningkatkan usaha memerangi rasuah;

Menyokong pembaharuan dalam sistem kehakiman;

Memastikan bilangan tempat ibadat yang adil kepada semua agama.
"Kerajaan BN adalah kerajaan yang praktikal. Ia adalah kerajaan yang sedia mendengar masalah rakyat. Yang utama, ia adalah kerajaan yang bersedia untuk mengubah dan menangani masalah rakyat," kata Perdana Menteri.
"Ini masanya untuk Perdana Menteri menterjemah segala perancangannya dalam bentuk tindakan," kata seorang penganalisis. "Beliau sudah pun memperbaharui Kabinetnya dan kini rakyat menanti tindakan konkrit yang bakal menyusul."
Pagi ini, Abdullah akan memberi amanat penting kepada Ketua Penerangan Umno negeri dan bahagian serta ketua penerangan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), khususnya mengenai perkembangan politik semasa membabitkan Umno. Seharusnya tiada lagi keraguan untuk Pak Lah terus menerajui BN dan Umno selepas ini.

No comments: