Saturday, May 10, 2008

62 tahun bersama rakyat

''PULAU Pinang sudah jadi milik DAP,'' Begitulah kata-kata yang tergerak di hati penulis sebaik saja pesawat MAS melintasi Jambatan Pulau Pinang sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada Ahad minggu lalu. Jambatan Pulau Pinang yang dulunya mendapat kritikan dan bangkangan pihak tertentu kini menjadi keperluan malahan jambatan kedua diperlukan. Dan ketika berada di dalam sebuah bangunan di Seberang Jaya, sekali lagi terdetik di hati penulis bagaimana akhirnya Lim Kit Siang memenuhi impian untuk menawan Pulau Pinang. Beliau pastinya berbangga apabila gambar anaknya yang menjadi Ketua Menteri menghiasi dinding-dinding di dalam bangunan kerajaan dan swasta
Begitulah landskap politik selepas pilihan raya umum lalu. Perubahan bukan sekadar di Pulau Pinang tetapi juga di Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Hasrat mengambil balik Kelantan tidak kesampaian. Barisan Nasional (BN) kecundang kepada Pakatan Rakyat (PR) - Pas, PKR dan DAP - yang gagasannya hanya diumumkan secara rasmi selepas pilihan raya umum.
Setelah lebih lima dasawarsa menguasai pentas politik negara, pilihan raya umum lalu merupakan detik yang sukar dilupakan oleh Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO. Sebaliknya ia perlu dijadikan iktibar untuk terus melangkah ke hadapan bagi memastikan kewujudan parti Melayu terulung itu tidak hilang di bumi ini.
Hari ini usia UMNO genap 62 tahun selepas ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru. Walaupun dimatikan seketika pada 4 Februari 1988 tetapi perjuangan UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) berterusan. Ini kerana antara tujuan penubuhan UMNO ialah memajukan dan memperbaiki keadaan orang Melayu dan selagi ada Melayu di bumi Malaysia ini - maka perjuangan itu tidak boleh dibiarkan mati. Maka sekali pun pemimpin silih berganti bermula daripada Datuk Onn Jaafar (1946 - 1951), Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj (Ogos 1951 - September 1970), Tun Abdul Razak Hussein (September 1970-Januari 1976), Tun Hussein Onn (Januari 1976 - Jun 1981), Tun Dr. Mahathir Mohamad (Jun 1981- Oktober 2003) dan kini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, perjuangan untuk Melayu tetap diteruskan.
Namun keputusan pilihan raya umum lalu menyebabkan ahli-ahli UMNO mulai gusar. Apakah UMNO masih relevan? Adakah kewujudan UMNO akan dapat terus dipertahankan sehingga mencapai usia sekurang-kurangnya 100 tahun? Apakah kuasa yang ada padanya juga dapat dipertahankan? Atau adakah ia akan mengalami kemerosotan pengaruh seterusnya disingkirkan daripada arena politik nasional seperti dialami parti-parti yang seusianya di negara-negara lain?
Hakikatnya, jika mengikut teori pendulum atau putaran hidup, apa yang naik akhirnya akan turun. Dan UMNO sebagai pertubuhan politik tidak dapat mengelak daripada mengalami zaman kemerosotan dan kejatuhan. Malahan dalam sejarah tamadun manusia, tidak ada kerajaan yang boleh bertahan hingga bila-bila. Maka ada yang berkata selepas 50 tahun, UMNO akan memasuki era menopaus, ketahanan untuk melawan 'penyakit' juga berkurangan.
Adakah apa yang dialami pada Mac lalu sebagai tanda- tanda awal ke arah itu? Apakah dalam usianya yang mencecah 62 tahun, UMNO perlu mengalah?
Jalan keluarSebenarya masih ada jalan keluar, asalkan ia sentiasa bersedia dan sanggup memperbaharui diri. UMNO tidak boleh membiarkan parti itu menopaus. Seperti amanat Abdullah pada sambutan 11 Mei tahun lalu, beliau mahu orang Melayu sentiasa berjuang mempertahankan UMNO bagi memastikan parti itu terus memimpin kerajaan.
''Saya harap pada masa 100 tahun kita merdeka, UMNO masih ada, masih kuat, masih memimpin dan masih ada dalam kerajaan bersama-sama parti komponen BN yang lain kerana agenda membangunkan bangsa dan negara belum selesai,'' katanya.
Sebagai parti politik Melayu, keunggulan UMNO masih belum dapat disaingi oleh mana-mana parti Melayu lain yang memang berusaha menjadi alternatif kepada UMNO. Justeru, UMNO tidak mampu untuk mengalah hanya disebabkan 'tsunami politik' baru-baru ini yang kesannya masih terasa sehingga sekarang.
"Apa yang perlu dilakukan ialah UMNO mesti merakyat semula. UMNO memerlukan pendekatan yang sama ketika mula-mula ditubuhkan di mana ketika itu ia benar- benar mewakili suara hati Melayu,'' kata Ketua UMNO Bahagian Lumut Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, merakyat bermaksud UMNO tidak boleh dilihat sebagai parti elitis yang tidak lagi mementingkan masalah-masalah asas masyarakat atau pemimpin di cawangan tidak lagi mewakili permasalahan yang mewakili jiwa nurani rakyat di peringkat akar umbi.
Baginya, UMNO belum mengalami 'gerhana politik' - yang merujuk kekalahan di lima negeri yang sebenarnya turut mempunyai hubung kait dengan prestasi parti-parti komponen BN. Tetapi pada masa yang sama segala kelemahan dalam UMNO sebagai tulang belakang BN perlu diperbaiki.
Dalam hal ini penjenamaan semula UMNO perlu dilakukan supaya parti itu tidak lagi digambarkan seperti mempunyai semangat cara lama sedangkan banyak perubahan sudah berlaku dalam masyarakat hari ini khususnya di kalangan generasi baru.
"Bahasa politik kini sudah lain, contohnya apabila kita memperkatakan semangat ketuanan Melayu. Apakah cara untuk memberi keyakinan kepada generasi baru mengenai ketuanan Melayu, hak dan sikap kita kepada raja-raja,'' katanya.
Dr. Zambry juga menarik perhatian mengenai sikap ahli-ahli yang terus mahu 'berperang' di peringkat bahagian dengan politik wang yang menggejala seolah-olah mereka berasa parti begitu kuat dan tidak merasai gegaran politik yang berlaku baru-baru ini.
"Mereka harus ingat ketika mereka sedang berperang dan berkelahi di bawah, ada parti politik lain yang cuba untuk menjadi lebih efektif bagi mewakili rakyat,'' katanya.
Bagi pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Mustafa Mohamad Ishak, beliau berpendapat UMNO dan kepimpinannya mesti menunjukkan bahawa mereka masih mampu memimpin, mengawal dan menguasai keadaan.
"Krisis keyakinan perlu dipulih segera. Semua peringkat pimpinan perlu bertindak supaya tidak terlambat,'' katanya yang mengakui bahawa UMNO memerlukan kepimpinan yang mampu untuk menyatukan semula parti di segenap pimpinan bagi memikat semula hati rakyat.
Pada masa yang sama, UMNO juga perlu berusaha untuk membantu memulihkan parti komponen BN yang juga dikatakan dalam kecelaruan punca dan arah.
"Tidak cukup jika sekadar UMNO memperbaiki diri. BN perlu kuat untuk menghadapi Pakatan Rakyat secara gentleman. Jangan remehkan mereka tetapi kritiklah dengan tegas dan yakin mengenai risiko jika negara berpecah belah,'' katanya.
Maksudnya negara tidak mampu bersaing malahan akan tertinggal di belakang apabila ada dua dasar yang saling bercanggah berjalan serentak iaitu satu di peringkat pusat dan satu lagi di peringkat negeri.
Berdasarkan kenyataan dan pandangan ini, jelaslah bahawa UMNO masih mempunyai peranan besar dan akan terus relevan sekiranya beberapa pembaharuan dilakukan. Dan pada masa yang sama biar apa pun cabaran yang dihadapi oleh UMNO pada hari ini, slogan parti berasaskan kepada 3B iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat perlu menjadi pegangan ahli-ahli. Mereka tidak mampu lagi bertelagah sebaliknya selesaikan segala kemelut yang melanda secara hikmah.
Ingatlah, perjuangan UMNO belum selesai biarpun di luar musuh-musuh parti itu berkata, parti berusia 62 tahun itu sudah tidak relevan. UMNO perlu menoleh ke belakang untuk melihat sejarah kejayaan tetapi pada masa yang sama harus memandang ke hadapan. Bukannya undur setapak. Bukanlah masanya untuk bernostalgik atau terlalu taksub dengan kejayaan yang lepas kerana akhirnya membuatkan ahli-ahli begitu selesa atau complacency.
Budaya selesa inilah akhirnya membuatkan ahli-ahli hilang arah dan haluan perjuangan lebih-lebih lagi di kalangan generasi yang tidak pernah merasai pahit getir perjuangan generasi lama UMNO.
Justeru idealisme perjuangan parti perlu diterapkan kepada ahli-ahli dan komitmen terhadap idealisme itu perlu terus digilap sesuai dengan perubahan masa.
Mungkin apabila disebut idealisme perjuangan, elok juga direnung kembali ucapan terakhir (1977) 'Singa UMNO' ketika memimpin Pemuda UMNO Malaysia. Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar antara lain berkata: Dalam perjuangan, kita mestilah serius. Selain dari serius, dalam keadaan serius kita juga, kita mestilah jujur. Inilah dua syarat yang penting untuk mencapai atau sampai ke matlamat yang kita tuju. Kalau kita tidak serius, (atau) kalau kita serius tetapi untuk kepentingan diri, bencana dan celaka juga padahnya kepada bangsa dan keturunan kita yang akan datang''.
Begitu juga bait-bait terakhir sajak Perjuangan yang belum selesai cetusan Dr. Mahathir bahawa: Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita, bukan sekadar merdeka dan mengisinya tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-selamanya. Hari ini jalan ini pasti semakin berliku kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa. Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekap dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya berjaya,"
Maka pada ulang tahun kelahiran ini, ahli-ahli UMNO tidak seharusnya kecewa dengan situasi politik yang berlaku pada hari ini sebaliknya berusahalah untuk bangkit meneruskan perjuangan yang belum selesai.

No comments: