ADA beberapa peristiwa turut menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia hingga meninggalkan titik hitam dalam sejarah. Justeru, masyarakat negara ini perlu hidup bersatu padu dan harmoni serta menangani masalah dengan bijak supaya hubungan etnik dapat dijalin dan dieratkan.
Rakyat berbilang agama dan bangsa harus memastikan hubungan kaum dapat dijalin dengan baik kerana mereka menetap dalam negara yang sama dan harus berkongsi nilai murni menerusi semangat muafakat dan setia kawan. Sejarah membuktikan bahawa sesetengah rakyat negara ini tidak pernah mengambil iktibar daripadanya.
Politik rakus dan kotor pada 1969 seolah-olah cuba dihalalkan kembali pada Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini.
Kempen yang terlalu lama pada asalnya bertujuan menarik perhatian masyarakat terhadap pencapai cemerlang negara bertukar menjadi medan cantas-mencantas serta membuka pekung di dada masing-masing.
Secara tidak langsung memberi ruang dan peluang bagi parti pembangkang menyatukan saf mereka untuk menongkah arus parti pemerintah. Ahad lalu, Umno menyambut ulang tahun ke-62. Pelbagai amanat keramat dilontarkan pemimpin kepada penyokongnya. Sebagai tunjang kerajaan, Umno dilihat sebagai pengubah dasar serta pencorak jalan dan hala tuju negara.
Umno seharusnya lebih aktif malah perlu proaktif dalam menangani isu perpaduan yang dilihat sebagai barah kelas kritikal dalam kehidupan rakyat negara ini. Satu penyelesaian perlu dicari. Ramuan dan ubat mustajab dikehendaki dengan segera supaya penyakit ini dapat dibendung.
Teringat saya kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi bukunya Tragedi dan Di mana Kesilapannya pada 1981 yang antara lain beliau menekankan perlunya keharmonian dan saling memahami diwujudkan di sebuah negara yang dihuni pelbagai kaum.
Jika perkara ini sejak dulu lagi dilihat sebagai satu kepura-puraan, bilakah lagi lakonan ini akan berakhir? Bilakah masanya realiti akan menyelubungi kehidupan kita dan bilakah masanya simbiosis akan hidup tanpa ada prejudis?
Sekiranya kita serius mengenai perkara ini satu pindaan perlu dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan seperti berlaku pada 10 Mac 1971, walaupun kerajaan ketika itu tidak mempunyai suara dua pertiga, tetapi atas keprihatinan semua wakil rakyat yang ada, ia dapat direalisasikan.
Pindaan yang lebih tegas perlu dilakukan seperti seseorang itu boleh dituduh menghasut atau melakukan jenayah jika mempersoalkan hak dan keistimewaan yang ditetapkan atau dilindungi mengenai kewarganegaraan, bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa lain bagi maksud tidak rasmi, kuota untuk Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, perlindungan kepentingan sah masyarakat yang lain serta kedaulatan Raja-Raja. Perkara seperti itu dilarang dipersoalkan kerana dianggap sebagai isu sensitif. Hak dan keistimewaan ini dipersetujui dalam kontrak sosial yang membabitkan isu 4+1.
Bagaimanapun, forum boleh diadakan bagi rakyat yang bertanggungjawab di mana isu ini akan dibincangkan secara tertutup, berterus terang dan secara akademik. Dengan cara ini, kerajaan boleh menubuhkan sebuah platform di mana soal sensitif boleh dibahas dan dihujahkan dalam suasana aman dan tenteram.
Memang diakui, selepas peristiwa 13 Mei 1969, ada pelbagai pembaharuan dan perubahan yang berlaku. Jika dilihat dari satu sudut, sememangnya banyak memberikan kesan negatif terhadap negara tetapi jika dilihat pula dari satu sudut lain pula ia sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada semua rakyat Malaysia.
Melalui peristiwa berdarah itulah kita kini dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai dan harmoni sehingga menjadi sebuah negara membangun yang dihuni rakyat berbilang kaum.
Mereka dapat hidup bersama-sama dalam suasana aman dan saling memahami. Peristiwa itu juga adalah salah satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kerana selepas berlakunya peristiwa itu, semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang kita dapat lihat sekarang ini.
Perpaduan yang wujud hari ini juga adalah hasil daripada perpecahan kaum terdahulu. Tetapi selama manakah dinding empangan yang dibina dapat menahan keretakan yang dicetuskan pihak tertentu yang mahu meraih politik popular?
Kini, rakyat Malaysia perlu terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik dan saling bekerjasama antara satu sama lain ke arah mewujudkan negara yang lebih adil dan stabil.
Dasar yang dirangka kerajaan seharusnya diberi sokongan dan kepercayaan sewajarnya agar usaha mewujudkan perpaduan secara berterusan yang kita kecapi akan menjadi realiti.
Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri ialah Pensyarah Jabatan Sejarah dan Kenegaraan, Bidang Kemanusiaan Universiti Utara Malaysia
Wednesday, May 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment