Tuesday, May 6, 2008

Lubuk emas rebutan

LETAK jawatan atau dipindahkan jika tidak boleh bekerjasama! Ini antara rumusan pendirian kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang. Kata dua ini terpacul tidak sampai dua bulan pun pembangkang menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Dalam keghairahan untuk menguasai segala-galanya, kerajaan pembangkang tidak segan-silu mempamerkan sikap rakus hingga lupa, sesetengah bidang itu bukan kuasa mutlak badan eksekutif negeri semata-mata.
Apakah mereka ini jahil mengenai had kuasa masing-masing? Namun disebabkan faktor kebanyakan pembangkang ini bukan calang-calang latar belakang akademik mereka, insiden di Perak dan Pulau Pinang boleh disimpul mudah sebagai satu tindakan melulu di pihak pucuk pimpinan kerajaan pembangkang tersebut.
Secara ringkasnya, meskipun jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri menjawab kepada Menteri Besar, perkara nyata dan jitu segala urusan berkaitan hal ehwal agama Islam terletak pada kuasa sultan sebagai pelindung dan payung agama di negeri masing-masing. Bagi negeri-negeri yang tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, kuasanya pada Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri. Rasanya, perkara ini ada diajar di sekolah menengah.
Sejak pakatan pembangkang Parti Keadilan Nasional (PKR), Pas dan DAP berjaya menggulingkan kerajaan BN di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, antara kekhuatiran pertama ialah gerakan 'pembersihan' pada jentera kerajaan.
Sesiapa yang dikenal pasti ataupun disyaki cenderung kepada BN, berdepan dengan risiko pembersihan itu. Jika tidak drastik penyingkiran yang dilakukan, ia mungkin dibuat secara perlahan-lahan atau sedikit berhemah iaitu hingga tamat kontrak. Namun, bagaimana nasib kakitangan dan pegawai berjawatan tetap?
Persoalannya di sini ialah di manakah kerajaan pakatan pembangkang meletakkan integriti pentadbiran masing-masing bila dengan mudah mahu membuang pegawai yang tidak sehaluan dengan mereka?
Rakyat akan dapat membuat penilaian kerana kerajaan BN selama ini, tidak pun melakukan witch-hunt dalam jentera kerajaan yang menyokong pembangkang. Sekurang-kurangnya kerajaan BN mengingatkan sektor awam yang cenderung kepada pembangkang supaya meneruskan tugas mereka sejajar dengan fungsi dan objektif sektor awam iaitu bekerja untuk kerajaan pemerintah semasa.
Dua kes di Perak dan Pulau Pinang yang membabitkan pegawai kanan jabatan agama kedua-dua negeri itu, sebenarnya bukan eksklusif kepada dua negeri itu sahaja. Maklumat terkini yang diperoleh ialah betapa segala 'meriam dan senapang' turut dihalakan kepada jabatan agama di dua negeri lain iaitu Selangor dan Kedah.
Apa yang istimewanya sangat jabatan agama negeri ini sehingga menjadi igauan dan rebutan pakatan pembangkang?
Teori mudahnya ialah pertama, urusan agama berkait rapat dengan orang Melayu dan amalannya sama ada di dalam atau di luar masjid. Apabila pengaruh sesuatu masjid itu berjaya dikuasai, segala mesej dan rangkaian dapat disebarkan kepada umat Islam. Benar, peraturan melarang masjid diguna sebagai medan politik sudah dikuatkuasakan. Soal pematuhan adalah satu soal yang lain sama sekali!
Teori kedua, yang sangat penting dan mendesak iaitu disebabkan sumber kekayaan yang dijana oleh jentera pentadbiran agama. Setiap negeri memiliki mekanisme pengutipan zakat yang mengikut ajaran agama sepatutnya tidak boleh jadi rebutan atau disalahgunakan untuk tujuan lain daripada niat asal orang membayar zakat itu.
Masalahnya, jika sudah nyata sesuatu jabatan atau agensi zakat itu kaya, seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berjaya mencatat kutipan RM202 juta bagi tahun 2007, tentulah ia bagai gadis jelita diidam semua jejaka.
BerjayaPada tahun lalu, LZS berjaya mengutip wang zakat sebanyak RM174.5 juta. Daripada jumlah itu sebanyak RM70.1 juta diagih kepada asnaf fisabilillah, asnaf miskin (RM51.6 juta), asnaf amil (RM23.7 juta), asnaf gharim (RM17.4 juta), asnaf mualaf (RM8.4 juta), asnaf fakir (RM1.9 juta), asnaf riqab (RM896,683) dan ibnu sabil (RM408,178).
Jumlah agihan LZS pada tahun lalu, meningkat sebanyak 20 peratus berbanding sebanyak RM146.9 juta tahun 2006. Pada awal penubuhannya pada 1995, kutipan tahunan hanyalah RM15 juta.
Usaha-usaha pembaikan dan inovasi oleh LZS mendatangkan kesan positif. Malah, LZS mempraktikkan pengagihan zakat menerusi tujuh program utama iaitu Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Sosial, Program Pembangunan Pendidikan, Program Dakwah dan Peningkatan Ilmu, Program Pembangunan Insan, Program Pembangunan Kebajikan serta Program Pembangunan Institusi Keluarga.
Kutipan LZS juga diaudit oleh akauntan bertauliah pada bulan Mac setiap tahun. Pengurusan kewangan yang telus ini penting untuk membina keyakinan umat Islam terhadap institusi seperti LZS.
Profesional yang dilantik mengemudi LZS adalah terlatih dan komited. Mereka turut menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat dengan menyediakan kaedah pembayaran secara dalam talian dan menjalin pakatan strategik dengan hampir semua bank. LZS adalah simbol agensi kerajaan yang efisien di Malaysia.
Tidak hairanlah jika LZS berjaya meraih kutipan RM202 juta kerana bukan saja kesedaran yang berjaya diluaskan kepada golongan sasaran tetapi juga keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kecekapan warganya menguruskan aset zakat.
Pada saat ini, kerajaan Selangor yang dikuasai oleh PKR begitu bersungguh- sungguh mahu menguasai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan LZS. Ini dibuktikan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 sedang berlangsung dan masih berterusan sehingga sekarang. Mungkin dengan menukar terus entiti LZS menjadi sebuah perbadanan akan dapat memenuhi cita-cita mereka.
Tidak dapat dipastikan apakah rasional di sebalik cita-cita mereka berbuat demikian, tatkala mekanisme dan profesionalisme yang wujud dalam struktur pentadbiran LZS berada di tahap tinggi.
Tekanan dan asakan kini sedang dilakukan terhadap pucuk pimpinan MAIS dan LZS. Semuanya dilihat bermotifkan politik semata-mata. Kini, hanya ada satu pihak berkuasa yang boleh menghentikan tekanan dan gangguan pakatan pembangkang dalam urusan pentadbiran agama di negeri-negeri.

No comments: