Saturday, May 10, 2008

UMNO harus perkasa agenda Melayu-Islam 11.05.2008

Hari ini usia UMNO mencecah 62 tahun. Kebiasaannya pada usia 62 tahun ini, seseorang manusia dianggap cukup matang terutamanya selepas menempuh pelbagai peristiwa suka duka dan pahit getir kehidupan. Namun pada usia sebegini, kadangkala manusia juga mampu tergelincir sekiranya segala pengalaman lalu tidak dijadikan iktibar untuk mendepani masa depan yang lebih mencabar.
Begitu jugalah dengan realiti UMNO sebagai sebuah organisasi politik yang sudah mencecah usia lebih enam dekad ini. Segala pengalaman lalu tidak kira yang manis mahupun pahit seharusnya diambil pengajaran oleh generasi pelanjut perjuangan agar masa depan mampu dilakar sebaiknya demi survival parti dan manfaat umat sejagat.
Hakikatnya, keupayaan UMNO untuk terus kekal relevan dalam mengemudi bahtera perjuangan bangsa amat tergantung kepada keupayaan warganya memahami realiti semasa yang melatari landskap sosial dan pemikiran masyarakat hari ini. Kegagalan menanggapi realiti dan mengolah strategi berkesan boleh mengakibatkan organisasi menjadi usang dimamah waktu hingga kehadirannya tidak lagi dirasai bahkan ketiadaannya pula disyukuri.
Apa yang lebih merungsingkan penulis andainya pendokong-pendokong UMNO semakin terhakis nilai perjuangan hinggakan yang lebih mengakar ialah nilai individualistik dan materialistik yang mampu menjahamkan parti. Memang ketika ini semakin banyak gejala yang mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan di kalangan para pendokong perjuangan.
Politik wangMengakarnya gejala politik wang misalnya adalah salah satu petanda bahawa perjuangan politik sedang mengalami krisis pendangkalan nilai yang parah. Lebih membimbangkan penulis sekiranya generasi pewaris diselaputi pemikiran bahawa perjuangan parti merupakan kerjaya cari makan atau lebih serius lagi jika ditanggapi sebagai wahana mengaut keuntungan, memperkayakan diri, keluarga dan suku-sakat.
Akhirnya, parti akan semakin hilang manusia-manusia berjiwa pejuang yang sanggup berkorban jiwa-raga dan harta benda demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci. Sebaliknya yang lahir adalah petualang-petualang berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.
Sebab itulah, usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membentuk idealisme luhur di kalangan generasi pewaris UMNO kini. Idealisme perjuangan yang dimaksudkan pastinya tidak boleh lari daripada matlamat asal perjuangan UMNO iaitu memartabatkan agenda Melayu-Islam sebagai teras perjuangannya.
Yang dimaksudkan dengan agenda Melayu-Islam tentunya meletakkan agama Islam sebagai teras perjuangan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia. Inilah sebenarnya keunikan dan kedinamikan perjuangan kebangsaan di Malaysia yang tidak boleh terpisah daripada unsur-unsur penyepaduan antara elemen kaum dan agama.
Malah takrif Melayu itu sendiri menurut perlembagaan negara ialah seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadiannya. Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai kemelayuan itu sendiri. Melayu yang tidak menghayati Islam tidak mungkin berjaya muncul sebagai teras bangsa Malaysia.
Sejarah jelas membuktikan bahawa hubungan Melayu dengan Islam sebenarnya telah begitu sebati sejak kedatangan Islam pada abad ke-13 Masihi lagi. Semenjak itu Islamlah yang menerasi keperibadian Melayu, mendasari pemikiran Melayu dan seterusnya membentuk jatidiri Melayu. Bahkan Islam adalah satu-satunya benteng ketahanan umat Melayu.
Sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang setiap pendukungnya. Walaupun satu ketika penjajah berjaya merobek jiwa dan citra Melayu hingga tumbuh kelompok peribumi pengagum dan pengagung Barat, namun tahun-tahun mutakhir menunjukkan Melayu semakin cenderung untuk kembali menyatu dengan Islam.
KegemilanganSesungguhya kita hanya mampu mencipta kegemilangan dengan kembali kepada akar budaya sendiri dan bukannya dengan cara mencedok dan menciplak budaya asing. Sebab itulah usaha mempersiapkan generasi pewaris yang kuat harus dimulai dengan penjanaan pendokong parti yang terbangun di atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental. Generasi muda yang dibangunkan di atas dasar tauhid pasti akan lebih memahami dan menjiwai amanah perjuangan umat yang bakal diwariskan kepada mereka.
Keterikatan kepada prinsip dan nilai-nilai agama dengan sendirinya membentengi mereka daripada segala bentuk penyimpangan yang boleh memporak-perandakan agenda besar perjuangan bangsa dan negara.
Namun kesedaran terhadap agama semata-mata tidak cukup untuk menjelmakan generasi Islam sejati. Kesedaran yang membuak-buak juga tanpa didasari kefahaman mendalam berasaskan ilmu yang sahih pastinya tidak akan mampu membentuk generasi Islam yang bertamadun dan berkualiti tinggi.
Sebaliknya apa yang lebih penting ialah bukan sahaja mewujudkan generasi yang ghairah dan berkesedaran tinggi terhadap Islam tetapi yang lebih utama menjana generasi yang benar-benar menjiwai Islam dalam segenap aspek kehidupan berpandukan suluhan ilmu yang benar.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan, kegagalan menanggapi Islam dengan faham ilmu sebenar boleh menjerumus umat ke arah kesesatan dan penyelewengan. Bahkan kesedaran tinggi sahaja tanpa didasari kekuatan ilmu pasti akan menjerumus umat kepada kebinasaan.
Justeru usaha membina generasi pewaris Melayu yang kuat merupakan jihad yang harus mendapat perhatian pucuk pimpinan UMNO terutamanya dalam menghadapi pelbagai realiti cabaran masa kini dan hari depan. Apa yang harus dikhuatiri, kegagalan mempersiapkan generasi pelanjut perjuangan yang beridealisme Islam yang luhur hanya mengundang kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa, agama dan negara.
Cukuplah isyarat al-Quran mengenai keperluan membina generasi pewaris yang kuat menjadi pedoman buat kita semua: Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah. (an-Nisa: 9).

No comments: