Tuesday, May 20, 2008

Tindakan Dr Mahathir keluar UMNO tak jejas Abdullah

KITA percaya tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar Umno, parti yang dianggotainya sejak 1946 dan mengetuainya pula selama 22 tahun sehingga 2004 selain pernah dipecat pada 1969, adalah usaha terakhirnya dalam kempen berterusan untuk menyingkirkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri. Sebagai tokoh yang pernah memimpin parti dan negara selama lebih dua dekad, Dr Mahathir tahu akan risiko tindakannya itu. Alasan Dr Mahathir untuk bertindak sedemikian ialah kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Abdullah yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu, sambil meminta ahli Umno yang sayangkan parti supaya mengambil tindakan berani untuk keluar parti dan akan hanya menyertai semula Umno apabila Abdullah melepaskan jawatan. Umum mengetahui beberapa usaha sudah dilakukan Dr Mahathir sejak lebih dua tahun lalu untuk memberi tekanan kepada Abdullah supaya melepaskan jawatan. Usaha terdesaknya sebelum ini dengan meminta bahagian Umno supaya mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang antara lainnya bagi meluluskan usul supaya sistem kuota pemilihan, yang diperkenalkan pada zamannya dihapuskan, tidak mendapat sokongan setelah hanya empat bahagian berbuat demikian. Dr Mahathir terus menjelajah seluruh negara, mengadakan ceramah dengan mesej utamanya, singkirkan Abdullah. Kita tidak pasti sejauh mana kesan atau kejayaan langkah terbarunya untuk keluar Umno, terutama desakannya supaya ahli parti yang sayangkan Umno mengikut jejak langkahnya.

Kita akui mungkin ada sebilangan ahli berbuat demikian kerana tentu ada penyokong yang setia kepada pemimpin sehingga sanggup mengenepikan kesetiaan kepada parti yang banyak berjasa kepada perjuangan bangsa. Sejarah lalu sudah terbukti apabila Parti Semangat 46 ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, akan ada pengikutnya sama-sama keluar Umno tetapi parti itu kemudian dibubarkan. Namun, ikrar Ahli Parlimen di kalangan Umno semalam untuk terus memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Abdullah sebagai Presiden Umno serta memberi jaminan bahawa mereka tidak akan meninggalkan parti seperti disarankan Dr Mahathir, sudah pasti memberi kemenangan moral kepada Perdana Menteri, sekali gus tamparan kepada Dr Mahathir dan penyokong setianya. Namun, kita tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa kejutan lagi daripada Dr Mahathir selepas ini kerana bekas Perdana Menteri itu diketahui tidak mudah putus asa apabila sesuatu yang dihajati tidak kesampaian. Dr Mahathir sentiasa memastikan tindakannya itu berjaya meskipun berhadapan Raja dan Sultan sehingga membawa krisis perlembagaan pada 1983 dan mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Kita tidak pasti, apa tindakan Dr Mahathir selepas ini. Kita juga tidak menolak kemungkinan beliau bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu untuk terus memberi tekanan kepada Abdullah dari luar Umno, dengan alasan untuk mempertahankan hak orang Melayu. Beliau kerap mendakwa bahawa Abdullah gagal mempertahankan kepentingan Melayu. Malah, kita juga tidak menolak beliau akan menggunakan Raja dan Sultan untuk tujuan sama. Apa yang kita harapkan ialah tindakan Dr Mahathir itu tidak akan melumpuhkan Umno, melemahkan orang Melayu dan membuka pekung di dada betapa Malaysia kini dikatakan dilanda krisis sehingga menakutkan pelabur. Dalam keadaan sekarang, kita berharap pembangkang tidak mengambil kesempatan.

No comments: