Thursday, January 31, 2008

Antara politik dan agama

MERENUNG semula implikasi kepada kempen negara kebajikan Pas, kita mungkin terfikir satu soalan yang besar iaitu apakah ada masa depan bagi parti politik agama di negara kita?
Jawapan kepada soalan ini boleh kita dapati berasaskan kepada pengalaman negara yang telah melaluinya di kalangan negara di dunia Islam masa kini.

Gagasan penubuhan sebuah negara Islam bukan satu pandangan yang sama sekali baru, begitu juga kempen negara kebajikan. Novel Senja di Jakarta tulisan Mokhtar Lubis, terbitan Pustaka Antara sekitar tahun 60-an mengangkat tema politik agama dan kesan-kesannya kepada rakyat.

Menurut kata watak dalam novel tersebut (Suryono) bahawa politik agama akan menghasilkan autokrasi agama, kerana mereka mengatas namakan Tuhan sebagai pemberi justifikasi ke atas setiap tindakan dan dasar yang dilakukan pemerintah. Kesedaran inilah yang mungkin memberikan ilham kepada Pas dalam menyusun kempen terbaru mereka.

Menyedari bahawa orang muda, iaitu bakal pengundi, serta aspirasi parti yang bergabung dengan mereka, maka kempen negara Islam digugurkan dalam pilihan raya kali ini. Mereka yang menjadi sebahagian penyokong Pas dan Barisan Alternatif menganggap isu negara Islam sudah lapuk dan bukan lagi satu keperluan yang mendesak untuk kehidupan mereka.
Rupanya, kita sukar belajar daripada sejarah kerana kebenaran pandangan tersebut sangat jelas. Menyorot semula sejarah, pada pilihan raya ke-11, perisytiharan Dokumen Negara Islam oleh Pas dianggap oleh orang muda dan masyarakat bukan Islam sebagai langkah yang secara perlahan-perlahan membawa negara ke arah autokratik agama.

Sebagai ingatan semula, dalam usaha Pas menjelaskan betapa benarnya dokumen tersebut, mereka lebih banyak menyatakan bahawa dokumen itu adalah kehendak dan berdasarkan kata-kata tuhan dan al-Quran, maka isinya tidak boleh dibantah oleh seluruh rakyat sama ada Islam mahupun bukan Islam.

Bagaimanakah masa depan politik Islam di negara ini tanpa perjuangan negara Islam? Untuk menjawabnya elok rasanya kita tinjau pengalaman negara Islam yang telah menerapkan apa yang difahami sebagai sistem pemerintahan Islam yang akhirnya menemui kegagalan atas beberapa sebab tertentu.

Faktor utama adalah disebabkan tafsiran yang mentah dan tidak matang terhadap sistem pemerintahan Islam sebenar. Antaranya pengalaman Pakistan dan Iran yang telah berjaya menubuhkan sebuah negara atau kerajaan Islam.

Kematangan tafsiran itu tidak terbentuk kerana kecenderungan pihak pemerintah di negara-negara tersebut meletakkan hampir segala-galanya kepada sumber agama, dan sangat jarang menitikberatkan keupayaan kognitif sumber manusia dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan semasa.

Menarik untuk diperhatikan pergolakan politik di Iran yang menyaksikan rakyat yang sudah lemas dalam permainan kekuasaan politik agama. Perkembangan politik Iran suatu ketika dahulu menyaksikan perebutan kuasa antara kumpulan fundamentalis melawan kumpulan propembaharuan, yang diketuai Presiden Khatami. Selepas beberapa tahun pemerintahan, kumpulan propembaharuan tunduk semula kepada pemerintah konservatif pimpinan Ahmadinejad.

Jika berdasarkan sejarah Iran, rakyatnya memang mengalu-alukan kejayaan Ayatollah Khomeini melalui revolusi bersejarah menundukkan pemerintahan Shah Iran yang tidak disukai mereka menjelang akhir 70-an. Pada masa itu, begitu banyak kekeliruan berlaku di kalangan penganalisis politik antarabangsa dengan ramai menganggap kejayaan tersebut adalah kejayaan parti agama menguasai dan menghapuskan pemerintahan sekular.

Hari ini analisis tersebut dianggap kurang tepat kerana terdapat pandangan baru yang menyatakan bahawa pada masa itu, rakyat yang merasa terkongkong dengan pemerintahan Shah Iran akan menyokong sesiapa sahaja yang dirasakan menawarkan alternatif terbaik kepada mereka sekalipun dengan jalan revolusi.

Faktor agama hanyalah sebagai pemangkin sahaja kepada kejayaan Khomeini, disebabkan keupayaan faktor agama mengumpul massa di kalangan kelompok tertentu khususnya kelompok yang lebih ke bawah.

Kesannya, rakyat yang mengharapkan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi, perlahan-lahan mendapati bahawa mereka sebenarnya terkongkong dalam suatu pemerintahan kuku besi agama.

Segala pergerakan dan kegiatan harian ditentukan oleh beberapa orang ulama yang bertindak sebagai pengawal revolusi, termasuklah cara berpakaian, apa yang dimakan, pelbagai etika agama yang perlu dipatuhi, cara membina rumah dengan penyediaan ruang-ruang khas untuk lelaki dan wanita dan sebagainya.

Nasib wanita tidak berubah dengan ketara di bawah pemerintahan baru. Kemuncaknya, apabila seorang peguam wanita dan pejuang hak asasi Iran, Shirin Ebadi dinobatkan sebagai pemenang anugerah Nobel Keamanan, beliau tidak diraikan oleh pemerintah di negaranya.

Pembaharuan

Iran pada masa itu walaupun mempunyai Khatami sebagai Presiden daripada kalangan pembaharuan, ternyata tidak berani melanggar kehendak Pengawal Revolusi. Rakyat Iran lemas dan terhimpit di bawah pentadbiran ulama yang tidak boleh dibantah segala kata-katanya. Tahun demi tahun, pengaruh kumpulan ulama konservatif ini semakin terhakis tetapi dalam masa yang sama mereka telah menyediakan benteng kukuh, iaitu meletakkan ulama-ulama konservatif berpengaruh sebagai anggota Majlis Pengawal Revolusi.

Ini bermakna kuasa sebenar kerajaan Iran adalah terletak kepada segelintir ahli yang berada dalam Majlis Pengawal Revolusi, bukannya Dewan Parlimen yang ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat. Walaupun Iran menganggap mereka mengamalkan demokrasi, ternyata kuasa sebenar dipegang oleh kumpulan agama, dan mereka ini ternyata begitu liat dan akan menggunakan segala cara, khususnya cara agama untuk terus berkuasa.

Di Malaysia, hal yang sama wujud di mana parti agama walaupun mengadakan pemilihan secara demokrasi tetapi kuasa sebenar terletak kepada segelintir ahli yang akan mengawal moral ahli-ahli parti, iaitu Dewan Ulama. Malah, kuasa kumpulan agama ini menjadi sangat kukuh apabila presiden parti juga dipegang oleh kumpulan agama.

Sebarang usaha untuk menceroboh kuasa tertinggi parti atau menggantikan dengan kumpulan ‘sekular’ akan dihalang dengan pelbagai cara oleh penyokong dan pemimpin mereka. Sekalipun pada pemilihan parti Pas yang lalu kelihatan kumpulan ‘sekular’ telah maju dan memegang jawatan Timbalan Presiden Pas, pemilihan selepas pilihan raya 2004 itu gagal membawa apa-apa perubahan kepada parti itu. Presidennya gagal didesak untuk meletak jawatan atas kegagalan teruk pada pilihan raya ke-11.

Sekiranya dalam penggabungan dengan PKR (dan DAP secara tidak rasmi) kumpulan agama ini menjadi besar dan berkuasa, apakah harapan akan wujud lagi demokrasi apabila tafsiran mereka selepas berkuasa juga akan menggunakan agama untuk mengukuhkan tindakan dalam pemerintahan mereka.

Pas setelah mendapat dua negeri pada pilihan raya 1999 telah mengenakan pelbagai peraturan yang pelik dan aneh-aneh di negeri-negeri tersebut termasuklah etika berpakaian untuk setiap rakyatnya. Agak melucukan pada waktu itu, banyak larangan yang disebut khusus untuk kaum wanita sahaja, tidak ada larangan atau kod etika pakaian untuk lelaki.

Walaupun tafsiran kerajaan Terengganu dan Kelantan pada masa itu bahawa lelaki tidak dibenarkan memakai seluar pendek, kerana kepentingan politik mereka tidak berani menegur pasukan bola sepak negeri itu yang berseluar pendek, kerana tahu bahawa bola sepak mempunyai pengaruh yang sangat kuat kepada rakyat.

Telah terdapat banyak tanda bahawa kuasa politik agama akan berjaya dikurangkan setelah meningkatnya kefahaman agama rakyat terbanyak. Peningkatan yang paling penting adalah bahawa rakyat sedar agama tidak perlu dijadikan bahan politik untuk meraih undi daripada mereka.

Rakyat nantinya akan sedar bahawa agama sangat penting, tetapi bukanlah satu ideologi bertaraf rendah sehingga menjadi bahan politik pemecah belah umat, sehingga ke tahap mengkafirkan rakan seagama. Bayangkan bagaimana seseorang boleh mengkafirkan seorang yang lain sebagai strategi pilihan raya.

Masa itu telah berlalu, dan sudah ada pandangan bahawa agama selepas ini lebih sesuai diperjuangkan di peringkat tertentu sahaja, supaya pencemaran terhadap agama tidak berlaku seumpama masa kini.

Wednesday, January 30, 2008

Politik Sarawak berubah

Abdul Taib Mahmud menyatakan sesuatu kepada Abang Johari Tun Openg (kiri), Awang Tengah Ali Hassan (dua dari kiri) serta Alfred Jabu (kanan) sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) tahun lalu.

KETIKA kebanyakan orang hangat berbicara tentang pilihan raya dikatakan tidak lama lagi, suasana politik Sarawak agak berbeza.

Walaupun pilihan raya menjadi tumpuan para pemimpin politik, tetapi cakap-cakap politik lebih menjurus kepada kisah bertautnya kembali hubungan yang retak lebih 20 tahun lalu di antara Tun Abdul Rahman Yaakub, 80, dengan anak saudaranya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 72.

Adegan berpelukan Abdul Taib dengan bapa saudaranya itu semasa sambutan ulang tahun ke-80, selepas lebih 20 tahun tidak bertegur sapa memang dramatik, tetapi lebih dramatik ia adalah penentu hala tuju politik Bumi Kenyalang.

Bara dendam politik yang mulai padam itu dilihat memberi laluan yang lebih mudah untuk Abdul Taib mencari penggantinya dan proses peralihan kuasa yang lebih lancar.

Jika dahulu dendam itulah yang menjadi penghalang Abdul Taib selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk memilih timbalannya, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg sebagai penggantinya, tetapi keadaan itu kini berbeza.

Ini adalah kerana Abang Johari sebelum ini dituduh bersekongkol dengan Abdul Rahman untuk menamatkan karier politik Abdul Taib menyebabkan beliau terus terpinggir walaupun suara akar umbi sebaliknya.

Selaku Presiden dan Ketua Menteri, Abdul Taib mempunyai kuasa untuk melantik Datuk Seri Adenan Satem sebagai Naib Presiden Kanan PBB selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PBB yang dimenangi oleh Abang Johari.

Langkah itu dilihat bertujuan mengurangkan kuasa Abang Johari dan Adenan dikatakan dididik serta diberi laluan untuk menjadi pengganti Abdul Taib.

Ini jelas dilihat apabila Adenan juga diberi keistimewaan bertanding bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri iaitu tradisi diamalkan oleh Abdul Taib selaku presiden parti tonggak BN negeri.
Bagaimanapun selepas Adenan dikatakan gagal beberapa ujian, kini Abang Johari berada senarai teratas bakal mengambil alih pucuk pimpinan negeri.

Sebenarnya semasa pilihan raya negeri yang lalu, riak hubungan Abdul Taib dan Abang Johari kembali jernih telah kelihatan apabila kedua-dua pemimpin itu berpelukan begitu erat semasa meraikan kemenangan BN di kediaman Ketua Menteri.
Senarionya semakin jelas apabila baru-baru ini timbul ura-ura Abang Johari yang juga Menteri Perumahan Sarawak itu akan bertanding bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Pada masa sama Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Batang Sadong yang disandangnya.
Jika benar Abang Johari bertanding pada pilihan raya Parlimen Sarawak kali ini, maka hampir pastilah beliau akan menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Kemampuan

Mengenai kedudukan Abdul Taib pada pilihan raya kelak, difahamkan beliau masih menaruh minat untuk bertanding, tetapi sedang menunggu lampu hijau daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seorang wakil rakyat di Sarawak memberitahu usia pemimpin itu tidak harus dijadi ukuran kepada kemampuan beliau memimpin dan membawa perubahan di negeri berkenaan.
Beliau masih menaruh harapan Abdul Taib akan bertanding sekali lagi kerana menyifatkan khidmatnya masih diperlukan.

Sarawak akan terus menjadi kubu kuat BN dan kemenangan besar akan dicatatkan sekali lagi terutama bagi kawasan milik PBB.

Bagaimanapun bagi kerusi milik Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) keadaannya agak kelabu, kerana keyakinan pengundi di bandar belum pulih sepenuhnya terhadap parti kaum Cina itu yang dikatakan gagal memperjuangkan nasib kaum berkenaan kerana dilabel sebagai ‘pak turut’ sahaja.

Pada masa sama wakil-wakil rakyat muda dari DAP cukup menonjol dan dilihat mampu memenuhi kehendak rakyat dengan bersuara lantang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kawasan bandar Kuching dan Sarikei mungkin boleh jatuh ke tangan pembangkang jika sesuatu tidak dilakukan segera, manakala bandar Sibu dan Lanang juga agak rapuh.

Pas pula dijangka bertanding di Batang Lupar yang dikategorikan sebagai kawasan kelabu, sementara Parti Keadilan Rakyat tidak mendapat sambutan masyarakat di Sarawak kerana perjuangannya tidak relevan dengan penduduk setempat.

Jadi pilihan raya Parlimen Sarawak kali ini akan lebih menarik dan diberi perhatian kerana ia bakal menjawab pelbagai persoalan termasuk tentang masa depan serta hala tuju politik Bumi Kenyalang.

Sunday, January 27, 2008

Memanfaatkan 'kuasa satu undi'

Bakal pengundi kena bijak pilih calon pastikan kebajikan jadi keutamaan TEKA-TEKI tarikh pilihan raya kini menjadi bualan hangat khususnya orang politik sama ada daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu pun parti pembangkang.

Namun, keputusan pembubaran Parlimen dan penetapan tarikh mengundi akan diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti yang bertanding sudah memasang kuda-kuda masing-masing untuk memenuhi tuntutan demokrasi. Soalnya, bagaimana dengan kita sebagai rakyat Malaysia yang mendaftar dengan SPR? Adakah kita sudah bersedia untuk menterjemah 'kuasa satu undi' yang menjadi hak kita di bawah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang diguna pakai secara menyeluruh sejak sebelum Merdeka pada 1955 hingga ke hari ini dengan sebaik-baiknya.

Sering kali kita mendengar ada sebilangan orang ramai bersungut dan mengkritik keputusan pilihan raya, walaupun segala-galanya dilaksanakan dengan telus dan penuh integriti oleh SPR. Apa yang menyedihkan ada yang tidak berpuas hati itu, tidak pula menterjemahkan hak mereka dengan mendaftar sebagai pengundi. Mereka sekadar bercakap dan mengkritik, tetapi tidak pula mengundi. Berdasarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Rahman, setakat Jun 2007, jumlah pengundi berdaftar di seluruh negara adalah 10,322,956 orang dan masih ada kira-kira 4.6 juta lagi rakyat Malaysia yang layak mengundi masih gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Hakikatnya perbezaan satu undi mampu memisahkan antara yang menang dan kalah. Contohnya jika Parti A mendapat 1,000 undi dan Parti B mendapat 1,001 undi 'sudah terang lagi bersuluh' dan 'setelus peti lutsinar' yang bakal digunakan nanti, Parti B akan diisytiharkan menang. Yang kalah pasti akan meminta pengiraan semula dibuat. Kebetulan Parti B menang kerana kuasa satu undi itu tidak dinikmati penuh syukur oleh pengundi yang berhak. Pada masa itu, jika Parti B bukan yang kita hasratkan untuk mewakili suara kita tidak perlu kita bersungut dan mengatakan SPR tidak adil. Bak kata pujangga 'lama tak dapat tanduk telinga dipulas.'

Di bawah Bahagian 8 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah kelayakan pemilih, setiap warga negara berusia 21 tahun, bermastautin di dalam suatu bahagian atau kawasan pilihan raya serta berada dalam senarai daftar pemilih adalah layak untuk mengundi. Jika kriteria yang dinyatakan dipenuhi anda adalah seorang warga negara yang sahih sudah mendapat kuasa satu undi. Inilah masa dinantikan orang yang mempunyai kuasa satu undi untuk menunaikan hak perlembagaan mereka.

Melainkan anda individu yang ditakdirkan sakit otak atau cacat otak dan dirawat atau dijaga di suatu bahagian pilihan raya kapasiti anda untuk mengundi terjejas dan dianggap bukan pemastautin di bahagian itu. Keadaan ini menunjukkan perlunya kita yang sihat dan waras menggunakan kesihatan kita yang baik untuk memangkah kertas undi bagi memilih calon yang menjadi 'pilihan hati'.

Dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan, komunikasi tanpa wayar hari ini kuasa satu undi ini tidak dapat dinikmati semua penduduk di dunia. Cuma negara yang mengamalkan sistem kerajaan demokrasi mendapat hak istimewa ini. Demokrasi dalam istilah kerajaan Rumawi bermaksud pemerintahan rakyat, yang bermaksud kita akan memilih anggota Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen bagi mewakili suara kita di kedua-dua dewan ini. Suara Ahli Dewan Rakyat adalah suara yang kita pilih dan sebarang pilihan yang dibuat perlu dibuat dengan mengambil kira kempen pilihan raya yang diadakan sebelum dan sepanjang pilihan raya. Siapa yang layak atau tidak perlu kita perhalusi dalam minda. Gunakan lima pancaindera kurniaan Ilahi sebaik-baiknya kerana di sesetengah negara tidak kira dalam Asean atau negara Asia lain, ada negara yang rakyatnya memperjuangkan impian kosong untuk mendapatkan kuasa satu undi bagi memilih pemimpin mereka. Mereka sanggup berdemonstrasi dan berpiket demi mendapat hak yang sudah lahir dengan kita di Malaysia bumi bertuah ini. Perlulah kita sedar tidak kira apa bangsa, kaum, agama, suku-sakat, kroni, usahawan, pelajar dan lain-lain jika kita warga negara hargai dan bersyukur dengan kuasa satu undi yang ada di antara ibu jari, pen dan jari telunjuk kita ketika memangkah kelak. Bagi bakal calon pilihan raya pula sewajarnya tidak menjadikan pilihan raya medan untuk mereka menunjukkan kuasa berlengan, bertegang urat dan siapa yang paling kuat fizikalnya kerana bagi generasi muda-mudi masa kini yang kebanyakannya generasi ketiga selepas Merdeka sudah terdedah dengan berbagai propaganda politik sama ada dalam media cetak dan internet. Mereka didedahkan dengan laman 'sawang labah-labah' yang memerangkap semua elemen tidak kira prokerajaan atau sebaliknya.

Generasi ketiga ini masih lagi mentah dengan tanggungjawab sivik mereka. Lebih menyedihkan kemakmuran negara ada kalanya melalaikan mereka. Kadang-kadang mereka berasakan segala-galanya datang bergolek dan bukan kerana usaha pemimpin terdahulu. Sebagai orang muda berdarah panas, jika diayak-ayak dengan kempen tanpa tapisan pasti akan menggunakan kuasa satu undi sewenang-wenangnya. Perlulah setiap calon bertanding lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan manifesto pilihan raya, kerana generasi ketiga ini yang masih muda kebanyakannya penyokong atas pagar. Mereka akan melihat apa faedah yang akan dibawa calon bertanding kepada mereka dan apakah input kempen calon dan wakil komponen sepanjang kempen berlangsung. Sememangnya peluang menanti untuk kita sebagai pengundi yang layak untuk memenuhi tanggungjawab sosial kepada negara yang kita cintai ini. Bagi yang layak jangan kerana keselesaan kita kepada keadaan masa kini kita membuat pilihan yang tidak tepat, memilih calon sama seperti kita memilih orang yang bertanggungjawab menyediakan kehidupan kita agar lebih selesa. Calon yang menang ini akan menjadi orang yang kita cari untuk mendapat peruntukan jalan raya, lampu jalan dan terbaru CCTV. Kita boleh merujuk rekod lampau dan bagi calon baru seperti biasa akan cuba membuktikan ketrampilannya untuk dipilih tanpa banyak soal dan fikir oleh pengundi. Di wajah calon pilihan raya kelak senyuman akan sering berlari di wajah mereka, gigi akan lebih lembut daripada lidah hingga sukar membezakan peraih undi dan calon itu sendiri. Oleh itu, kepada bakal pengundi apabila semboyan pilihan raya berbunyi, marilah kita melaksanakan hak kita. Jika bekerja di bandar dan mendaftar mengundi di kampung segeralah memohon cuti. Jika yang baru mendaftar, segera menyemak nama di pejabat SPR terdekat kerana khuatir langkah pulang ke kampung menjadi sia-sia. Berpeluh-peluh beratur di dewan sampai giliran, nama tiada dalam pendaftaran pemilih. Justeru, lakukan segera jika berlaku kemungkinan pemindahan tempat mengundi kerana kuasa satu undi ini bukanlah selalu boleh digunakan kerana ia datang lima tahun sekali. Walaupun undi kita hanya satu, percayalah 'tiada satu tiada seribu'.

Saturday, January 26, 2008

Mengenal calon pilihan rakyat

Bagi menjulang martabat bangsa dan menunjang kegemilangan negara

DEMAM Pilihan Raya Umum ke-12 sudah lama terasa. Soal siapa bakal calon, siapa yang kekal dan siapa pula yang digugurkan menjadi bahan perbualan di mana-mana. Bakal calon bukan sedikit � cuma tempat dalam pilihan raya terbatas, jadi proses memilih calon sudah tentu sukar dan mencabar.

Mereka daripada Barisan Nasional (BN) yang terpilih sebagai calon Ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri jika menang boleh dipertimbangkan ke pelbagai jawatan � daripada Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, juga Menteri Besar dan Exco pada peringkat negeri.

Mungkin akan berlaku perubahan pada peringkat Kabinet. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentulah mahu memperagakan Kabinet beliau sendiri yang tidak dilihat sebagai mewarisi pentadbiran lalu. Pada peringkat negeri juga tentulah akan berlaku perubahan pucuk pimpinan.

Dalam suasana menghadapi pilihan raya ini, tentulah siapa calon akan menjadi isu besar. Tambahan pula keadaan hari ini berbeza dari dulu. Satu ketika dulu, pengundi memilih parti tanpa banyak mengambil kira siapa yang mewakili parti itu. Hari ini parti juga penting tetapi siapa yang mewakili parti itu lebih penting lagi. Rakyat lebih kritikal sekarang dan mereka lebih berhati-hati membuat pilihan. Dalam keadaan inilah, maka pemilihan calon boleh menentukan menang kalah.

Baik BN atau parti pembangkang tidak kurang calon berkualiti. Malah, salah satu selling point bagi pembangkang khususnya Pas sejak beberapa pilihan raya terakhir ini ialah menampilkan golongan muda dari kalangan profesional. Pas berpendapat hanya dengan menampilkan imej baru golongan profesional ini (selain pimpinan tradisional dalam hirarki parti) mereka dapat meyakinkan pengundi bahawa calon mereka bukan saja berkebolehan tetapi juga berpengetahuan.

BN, khususnya Umno tidak ada pilihan melainkan mengimbangkan antara kepemimpinan sedia ada dengan generasi baru baik melalui sayap Pemuda, Puteri atau Putera. Pada masa ini kelompok ini dipercayai mewakili lebih 40 peratus jumlah perwakilan dalam perhimpunan Agung Umno. Maka itu suara mereka semakin penting dalam parti. Pergerakan Pemuda Umno dan Puteri kini turut diwakili oleh golongan ahli perniagaan dan profesional yang bila-bila masa saja boleh menandingi kelompok muda dalam Pas.

Begitulah sistem pemilihan pimpinan di negara ini � patah tumbuh hilang berganti, yang lama digantikan, yang berpengalaman menurunkan mandat dan azimat, yang muda mengambil alih. Sistem ini berjalan lancar dalam semua parti politik � malah corak dan hala tuju parti ini banyak ditentukan oleh generasi muda. Umno tidak terkecuali. Sayap Pemuda, Puteri dan Puteranya mewakili generasi pimpinan muda yang dinamis dan penuh cita-cita. Mereka menganggap diri mereka pewaris pada kepemimpinan sedia ada dan mereka sedang mempersiapkan diri untuk cabaran masa depan.

Ingatlah, tidak mudah sebenarnya menjadi pemimpin pada peringkat manapun. Pemimpin, meminjam ungkapan yang dikutip daripada buku Tenas Effendy (Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu terbitan DBP) adalah mereka "yang didahulukan selangkah, yang ditinggikan seranting, yang dilebihkan serambut, yang dimuliakan sekuku.

" Menurut buku itu lagi, pemimpin adalah mereka "yang diberikan kepercayaan, yang diberikan kekuasaan, yang diberikan beban berat, yang diberikan tanggungjawab, yang diikat janji dan sumpah, yang disimpai petua amanah." Pemimpin memimpin dengan menunjukkan teladan. Pemimpin tidak boleh menjadi ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.

Pemimpin tidak boleh menjadi guru yang kencing berdiri kerana anak muridnya pasti akan kencing berlari. Maka itu ada kualiti tertentu yang diharapkan daripada mereka, selain pertimbangan membabitkan agama, akhlak dan moral. Tidak kurang pentingnya ialah prinsip perjuangan di dalam dirinya � bara perjuangan yang tidak harus pudar dalam apa keadaan sekalipun. Bara inilah yang menjadi penggerak dan penentu arah perjuangannya. Maka itu idealisme harus menjadi teras kekuatannya.

Mana-mana pemimpin yang bara perjuangannya tidak lagi bertolak daripada idealisme akan hanya menjadi pemimpin yang kebetulan berada di tempatnya. Orang seperti ini tidak banyak gunanya pada bangsa, agama dan negaranya. Benarkah bara perjuangan dan idealisme sudah pudar di kalangan pimpinan muda kita?

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Pemuda Umno yang baru lalu, Datuk Hishammuddin Hussein mengemukakan cabaran itu. Katanya, "ramai orang yang berpendapat bahawa politik akan mengubah pengamalnya. Malah politik � dengan segala amalan dan tabiatnya � dikatakan akan menjerumuskan pengamalnya pada pusaran air yang deras dan tanpa dasar. Segala-galanya dalam pusaran itu akan ditelan � nilai, harga diri, integriti dan prinsip."

Katanya lagi, politik boleh menjadikan seseorang terkenal, gah, hebat dan berkuasa. Demikian juga kuasa boleh merosakkan seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Pemimpin politik mudah menjadi angkuh, rakus dan lupa daratan. Katanya lagi ada pandangan yang menyatakan innocence lama berkubur dalam politik, "yang tinggal hanya sistem yang tidak lagi bertolak daripada idealisme, amanah dan kewarasan." Beliau bagaimanapun tidak dapat bersetuju bahawa politik begitu mudah boleh menenggelamkan identiti dan idealisme pengamalnya.

Pandangan jujur ini wajar diberikan perhatian oleh pemimpin muda hari ini. Mereka selalu ditanyakan mengenai komitmen, asas perjuangan dan matlamat mereka. Sudah tentulah masing-masing mempunyai alasan mengapa mereka menceburi bidang politik. Malah banyak yang mengenepikan bertahun-tahun waktu belajar dalam bidang-bidang tertentu semata-mata untuk terbabit dalam politik. Alasan "saya mahu berkhidmat" bunyinya enak tetapi belum tentu menunjukkan kejujuran.

Pastilah politik menjanjikan sesuatu pada mereka. Sudah tentulah politik boleh menjadi batu loncatan untuk mencapai kejayaan lebih besar, untuk menjadi berkuasa atau untuk menjadi terkenal. Malah bukan rahsia lagi banyak yang masuk politik untuk menggunakan kedudukan bagi mengkayakan diri, keluarga dan kroni. Banyak pemimpin yang bermula sebagai idealis tetapi berakhir sebagai pemimpin yang tamak, korup dan kejam.

Sejarah banyak menunjukkan pemimpin jenis ini. Banyak pejuang kebangsaan yang kemudiannya menjadi pemimpin negara � mereka dihormati dan disanjung dan digelar Bapa Perjuangan. Tetapi mereka akhirnya termasuk dalam lubuk yang menjerumuskan banyak pemimpin besar. Mereka terseret di dalam apa yang disebutkan oleh Hishammuddin sebagai "pusaran air yang deras dan tanpa dasar" tadi.

Kita boleh mengambil contoh dua tokoh yang diseret ke penjara selama bertahun-tahun kerana perjuangan mereka, kemudiannnya menjadi pemimpin negara tetapi dengan rela melepaskan jawatan mereka apabila sampai masanya. Nelson Mandela merengkok dalam tahanan selama 27 tahun kerana menentang dasar apartheid, sementara Vaclav Havel dibenam di penjara kerana mengepalai Valvet Revolution yang mempersoalkan kehadiran tentera Russia di negaranya Chekoslovakia ketika itu. Apabila Republik Czech muncul daripada kehancuran Chekoslovakia, Havel dilantik menjadi

Presidennya. Mandela menjadi Presiden Afrika Selatan. Mandela dan Havel memberi luang pada pimpinan baru apabila tugas mereka selesai. Mereka akan sentiasa diingat sebagai negarawan sebenar. Tidak banyak pemimpin seperti ini di dunia ini. Pimpinan muda harus belajar daripada sikap dan pendirian pemimpin sedemikian. Juga banyak lagi pemimpin dalam sejarah Islam yang menampakkan kesederhanaan, kesediaan untuk berkompromi dan turun ke gelanggang rakyat. Tradisi dan sejarah kehebatan empayar Islam banyak ditandakan oleh pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat tetapi punya visi dan wibawa yang hebat untuk memajukan agama, bangsa dan negara selain menaungi kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kesenian tinggi.

Terlalu banyak harapan rakyat pada Pak Lah dalam menentukan calon untuk pilihan raya kali ini. Ia kesempatan yang terbaik untuk beliau meletakkan calon yang berkualiti, berwibawa, bermoral dan berakhlak tinggi dan pada waktu yang sama dapat membantunya membina tamadun, menjulang martabat bangsa dan menunjang kegemilangan negara.

Wednesday, January 23, 2008

YB kena bijak menangi hati rakyat

‘PAK Lah dah panaskan enjin, tetapi belum masuk gear saja,” kata seorang pemerhati politik selepas Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memberi penerangan kepada lebih 2,000 pemimpin Umno mengenai pandangan rakyat terhadap prestasi parti terunggul Melayu itu sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2003. Majlis yang dibuat khusus untuk Presiden menyampaikan amanat kepada barisan kepemimpinan 169 bahagian Umno di ibu negara kelmarin adalah satu lagi petanda meyakinkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-12 hanya menanti hari, tetapi jentera yang ada perlu diperkemaskan. Seharusnya, lebih 2,000 ahli Umno yang keluar dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyelami nasihat Presiden bahawa pilihan raya umum akan datang bukan lagi hanya tertumpu kepada cara menumpaskan pembangkang, sebaliknya untuk memenangi hati rakyat.
Pak Lah mengakui hakikat bahawa kemenangan besar Umno dan BN pada pilihan raya 2004, disebabkan rakyat menaruh harapan tinggi kepada beliau untuk membawa beberapa perubahan terutama membabitkan usaha membanteras rasuah, menangani pelbagai isu dengan lebih telus, meneruskan kecemerlangan di bidang ekonomi serta terus mengukuhkan integrasi antara kaum yang menjadi kunci utama kepada kemakmuran negara. Tetapi pada pilihan raya umum akan datang, rakyat akan sekali lagi membuat penilaian sendiri. “Bukan senang... kita boleh buat macam-macam janji dalam satu ayat, tetapi nak melaksanakannya mengambil masa. Bukan bermaksud kita belum melakukan apa-apa. Saya sudah mula laksanakan dan ia dalam proses pelaksanaan,” kata Pak Lah.
Penilaian rakyat kali ini bukannya hanya membabitkan prestasi pemerintahan Pak Lah secara berseorangan, sebaliknya membabitkan keseluruhan jentera pentadbiran politiknya daripada menteri Kabinet sehinggalah wakil rakyat yang dipilihnya. Justeru, dalam menghadapi kemelut pelbagai isu yang melanda negara sejak kebelakangan ini, Pak Lah ternyata tidak lagi memandang remeh laporan yang diterima daripada pelbagai agensi yang meninjau perkembangan di akar umbi. Mengambil kira laporan terbabit, nasihat dan amanat Pak Lah kelmarin lebih banyak menjurus kepada usaha memberi penjelasan yang masih tidak sampai kepada rakyat dan kewibawaan wakil rakyat serta pemimpin Umno. Dan yang pasti ia bukan lagi sekadar nasihat daripada Presiden parti, tetapi sesuai dianggap sebagai amaran apabila beliau mengingatkan mereka yang akan terus menjadi Yang Berhormat (YB) atau yang bakal menjadi YB, bahawa persekitaran politik masa kini amat jauh berbeza.
“Pak Lah kata, zaman ‘letak songkok’ pasti menang, sudah berlalu. Kalau dulu rakyat tidak kira siapa yang diletakkan, tunggul kayu atau songkok saja, Umno sudah pasti boleh menang. Tetapi suasana politik hari ini sudah berubah, rakyat sudah pandai menilai. “Calon pilihan raya akan datang bukan saja mesti nampak bersih, malah mesti benar-benar bersih. Mereka mesti memiliki beberapa ciri penting terutama berwibawa, ada integriti serta mesti mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di peringkat akar umbi terutama di kawasan masing-masing,” kata seorang lagi pemerhati. Mesej Pak Lah kepada kepemimpinan Umno hanya satu: “Jangan ambil mudah.” Mengambil kira sikap pengundi yang semakin lantang menyuarakan perasaan tidak puas hati, serta tidak lagi teragak-agak untuk mengkritik pemimpin yang tidak disukai, Pak Lah menegaskan: “60 peratus pengundi hari ini mengambil kira faktor siapa yang akan diletak sebagai calon, berbanding hanya 40 peratus saja diberi kepada nama parti.” Kebimbangan Pak Lah terhadap isu kewibawaan tokoh politik Umno terutama yang ingin bergelar YB tidak dapat dinafikan, kerana permainan politik di peringkat akar umbi semakin serius menjelang pilihan raya umum apabila kepemimpinan bahagian cuba menonjolkan calon sendiri atau diri masing-masing. Isu memburukkan sesama pemimpin, surat layang dan cubaan mensabotaj bakal calon, adalah antara perkara yang semakin panas diperkatakan sekarang. Beberapa wakil rakyat sudah mula terasa bahang apabila kerusi mereka sudah diintai pihak lain. Menyedari bahana yang akan tercetus sekiranya berlaku perasaan tidak puas hati selepas senarai calon dikeluarkan, Pak Lah menasihatkan calon yang dipilih supaya pandai membawa diri dan bagi yang tidak terpilih atau tidak dipilih semula, beliau berpesan supaya jangan merajuk kerana tidak ada istilah ‘merajuk’ di dalam politik. Sejarah Umno sudah banyak mencatat peristiwa pahit apabila ada pemimpin bahagian yang tidak dipilih bukan saja tidak membantu calon, bahkan menutup pejabat Umno, markas pilihan raya parti dan lebih buruk mensabotaj calon dengan memburukkan nama mereka. Amanat Presiden itu amat penting untuk dipegang oleh pemimpin politik berpengaruh yang mungkin tidak dipilih kerana memiliki prestasi serta kewibawaan mereka yang tidak disenangi peringkat akar umbi. Pemimpin kategori ini mungkin tidak berasa diri mereka tidak disukai, tetapi sekiranya tidak dipilih atau digugurkan, mereka perlu melakukan muhasabah diri kerana Pak Lah sudah pasti mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. Penekanan Pak Lah supaya wakil rakyat dan pemimpin politik memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelbagai isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini, membuatkan beberapa pemimpin negeri berharap ibu pejabat Umno dan agensi kerajaan berkaitan dapat menyediakan maklumat serta fakta penting untuk disebarkan kepada rakyat. “Bagi pengundi di Batu Pahat, saya lebih senang mengadakan dialog dalam kumpulan kecil berbanding dengan majlis besar. Memang banyak isu perlu dijelaskan kepada pengundi dan mereka juga banyak yang ingin bertanya kepada wakil rakyat,” kata Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Junaidy Abdul Wahab. Bagaimanapun, bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar, Dr Azam Rauzan, terlalu banyak isu yang berlaku dalam sesuatu masa sehingga menyukarkan wakil rakyat memberi penjelasan dengan pantas. “Baru kita hendak jelaskan satu isu, tiga isu lagi datang melanda. Wakil rakyat seperti saya memang berusaha memberi penjelasan, tetapi kadang kala tidak terkejar isu yang datang bertalu-talu,” kata wakil rakyat yang baru sepenggal ini. ‘Orang lama’ seperti Datuk Khamsiyah Yeop pula tidak bimbang apabila ditanya mengenai ‘report card’ yang akan diterima tidak lama lagi. “Pada waktu seperti ini, wakil rakyat yang turun ke akar umbi setiap masa dan sudah berkhidmat dengan baik tidak bimbang dengan ‘report card’ yang akan diterima. Hakikatnya ialah keputusan akhir masih di tangan Presiden,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu. Teringat kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz iaitu untuk menjadi wakil rakyat hanya dua perkara perlu dijaga - pertama, Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa muktamad untuk memilih calon; kedua, pengundi yang akan mengundi mereka. “Jika Perdana Menteri tidak mencalonkan, maka mereka yang berangan setinggi langit atau melobi macam nak rak, tidak akan menjadi calon. “Selepas menjadi calon pun, jika pengundi tidak suka dan tidak mengundi, kita tidak akan menjadi wakil rakyat,” kata Nazri yang teruk dikritik kerana lantang bersuara mengenai beberapa isu panas tahun lalu.

Monday, January 21, 2008

BN cukup ‘askar’

MESIN sistem biometrik pengesanan cap jari tersergam di sebelah kanan meja Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad di Tingkat 38, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.
“Ni, untuk persediaan Perhimpunan Agung parti nanti,” reaksi Radzi spontan ketika ditanya Utusan Malaysia jenis mesin berupa seolah-olah pemain piring hitam ‘juke box’.
Pertemuan dengan Radzi yang diatur kira-kira empat setengah jam sebelum berlangsung mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di aras 39 bangunan sama Khamis lalu, menyerlahkan keyakinan beliau yang beberapa kali menyebut bahawa atas kapasiti Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN), komponen BN telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
Seperti penyediaan mesin berkenaan untuk persiapan pemilihan parti yang dijangka pada suku terakhir tahun ini, beliau berkata, persediaan rapi UMNO menghadapi pilihan raya umum ke-12 sebenarnya bermula lebih awal – dua tahun lalu.
“Sekarang kami telah bersedia kerana orangnya telah ada... maksudnya pengundi yang akan menyokong UMNO,” katanya sambil meneliti senarai terkini daftar pemilih ahli UMNO.
Radzi berkata, pilihan raya kecil Pengkalan Pasir di Kelantan pada 6 Disember 2005 adalah permulaan segalanya.
Ia pilihan raya kecil yang kedua diadakan selepas Kuala Berang, Terengganu.
“Pilihan raya kecil pertama tidak menjadikan parti teruja kerana masih hangat diselubungi kemenangan besar pada pilihan raya umum Mac 2004.
“Tapi pilihan raya kecil kedua ini, UMNO rasa lain sikit sebab kekalahan kepada Pas tempoh hari (2004) cuma 56 undi, jadi kita bertekad hendak menang,” katanya sambil merujuk hampir kesemua kerusi yang dimenangi baik Pas atau UMNO di Kelantan pada pilihan raya lepas mencatat paras majoriti bawah 1,000 undi – sebahagiannya defisit ratus dan puluh.
Harapan untuk menang di Pengkalan Pasir membuka episod baru menerusi penyemakan ahli UMNO sebagai pemilih di situ.
Rupa-rupanya terdapat 788 ahli UMNO di Pengkalan Pasir yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.
Akhirnya, dengan keupayaan jentera parti mengatur strategi, UMNO menang dengan majoriti 134 undi.
“Ini jadi iktibar kepada saya, kalau macam inilah ramai ahli UMNO belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara tetapi kita masih tidak berbuat apa-apa... habislah.
“Ibarat sebelum berperang, kalau tidak ada askar macam mana, sebenarnya kita ada ramai ahli UMNO daripada kalangan anak muda, tinggal lagi belum direkrut,” katanya.
Memenangi
Di seluruh negara ketika itu (awal 2006) terdapat 603,612 daripada keseluruhan 3,250,683 ahli parti yang melepasi umur 21 tahun belum mendaftar sebagai pemilih.
Ini bermakna dalam kalangan setiap lima orang ahli, seorang belum berbuat demikian. Di Kelantan, selepas UMNO memenangi kerusi Pengkalan Pasir, terdapat 42,243 ahli parti belum mendaftar.
Justeru, kata Radzi bermula Januari 2006, UMNO mula turun padang melancarkan kempen menetapkan semua ahlinya mendaftar sebagai pemilih.
“Kita bawa nama orang yang belum berdaftar ini dari ibu pejabat parti Kuala Lumpur ke setiap cawangan. Katakan cawangan Teluk Jambu dikesan tiga orang tidak mendaftar, lantas kita gesa ketua cawangan cari mereka sampai dapat dan arahkannya daftar,” katanya.
Hasilnya, sejumlah 240,000 ahli UMNO berjaya didaftarkan sebagai pemilih dalam tempoh dua tahun
“Ia fantastik... kita tidak fikir boleh capai,” kata Radzi.
Daripada 42,243 ahli UMNO yang belum berbuat demikian di Kelantan sehingga 31 Disember 2005 itu, seramai 20,303 orang berjaya disahkan status pemilih sehingga September tahun lalu. Begitu juga di Selangor (dari 90,863 ahli kini hanya berbaki 43,308 belum berbuat demikian) dan hasil positif turut dicatatkan di Kedah (48,077 menjadi hanya 23,371 belum berdaftar).
“Tiga negeri ini amat cemerlang khususnya berkaitan prestasi ahli parti di kawasan bandar, kerana itu anda lihat apabila daftar pemilih baru dipamerkan selama dua minggu setiap tiga bulan sekali oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kelantan, pasti ada bantahan daripada Pas yang bimbang dengan perkembangan ini,” katanya.
Sambil itu, Radzi memberitahu di Kelantan ketika ini sebanyak 13 lagi bahagian belum diwartakan daftar pemilihnya (belum disahkan), Terengganu (tiga) manakala Pahang, satu bahagian.
“Selaku Setiausaha Agung UMNO, saya cukup seronok, kita sudah clock in atau put in ahli UMNO sebagai pengundi. Tinggal sekarang, cuma hendak gerakkan jentera dengan beberapa minggu lepas banyak jentera UMNO negeri telah melaksanakan pilihan raya olok-olok (dry run)... saya yakin, kita dah ada orangnya (pengundi),” kata beliau.
Layak
Daripada 10,809,492 pemilih yang disahkan oleh SPR setakat September 2007, 5,664,662 orang adalah pengundi Melayu, 3,402,322 Cina, 722,953 India dan 1,019,555 lain-lain bangsa termasuk Siam dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Daripada 5,664,662 pengundi Melayu, 2.8 juta adalah ahli UMNO yang layak memilih kerajaan.
Bagi Radzi, kedudukan BN tidak tergugat dengan cabaran pembangkang, malahan keyakinan boleh menang selesa tetap di hatinya.
Tumpuan UMNO ketika ini ialah merampas kembali kerusi-kerusi yang kecundang seperti lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen di Kedah, Selangor (2 DUN), Perak (7 DUN) dan Terengganu (5 DUN).
BN juga menyasarkan Kelantan kembali ke pangkuannya selain turut memberi tumpuan kepada Pulau Pinang yang diuar-uarkan termeterai ‘perkongsian kuasa’ antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggugat kedudukan BN.
Pada pilihan raya umum lepas, BN mencapai kenaikan undi popular sebanyak 63.9 peratus. Parti pemerintah itu memenangi 198 kerusi Parlimen berbanding 20 kerusi gabungan parti pembangkang, dengan satu calon bebas. UMNO memenangi 109 kerusi – satu kenaikan sebanyak 32 kerusi.
Parti-parti sekutu UMNO juga memperoleh kenaikan bilangan kerusi dengan MCA memenangi 31 kerusi (kenaikan 2 kerusi) dan MIC meraih 9 kerusi, iaitu kenaikan 2 kerusi juga.
Mengenai isu yang dijangka digunakan pembangkang, Radzi tidak menolak kemungkinan pembangkang menggunakan isu kenaikan harga barang serta limpahan pendatang asing tanpa izin di negara ini. “Tapi kalau tak ada isu pun, dia akan cipta isu,” luah Radzi selamba.
Katanya, BN ketika ini sedang melakukan kajian sikap di seluruh 7,231 daerah mengundi (peti undi) yang mana senarai identiti pengundi akan cuba dipastikan dengan mengkategorikan mereka mengikut komposisi kaum, yakni tanggungjawab menarik hati pengundi Melayu diserahkan kepada UMNO, Cina (MCA) dan India (MIC).
Kemudian, ia diagih-agihkan pula mengikut pecahan misalnya lelaki berusia bawah 40 tahun dipertanggungjawabkan kepada Pergerakan Pemuda, Wanita (pengundi berusia atas 30 tahun) manakala Puteri, 30 tahun ke bawah.
Atas komitmen inilah, Radzi dan bironya sanggup turun padang sehingga beberapa kali membawa ‘berlori-lori’ daftar pemilih dan borang kajian sikap ini ke seluruh pelosok bahagian dan cawangan UMNO.
“Kita tidak boleh gagal, kumpulan-kumpulan ini akan dikategorikan secara terperinci. Insya-Allah, hasil kajian sikap ini akan diketahui penghujung Februari ini... di sini nanti kita sudah tahu trend sokongan pengundi.
Dari sini, kita boleh buat perbandingan,” katanya.
Mengenai telahan pembangkang kononnya faktor penampilan Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya ‘mengejutkan’ BN, Radzi secara peribadi menyatakan beliau tidak nampak sebarang keistimewaan penasihat PKR itu.
“Apa istimewanya dia. Semasa kempen pilihan raya kecil di Ijok, Anwar turun setiap malam tapi (PKR) tak menang pun.
“Macam meludah ke langit, kena batang hidung sendiri, dulu (semasa dalam kerajaan) cerita lain, sekarang cerita lain,” katanya sambil menekankan meskipun Ijok mempunyai ramai pengundi Melayu, UMNO tetap berkeyakinan sejak dari awal bahawa penampilan calon dari MIC mampu menewaskan PKR atas prinsip perkongsian kuasa sejak puluhan tahun lalu.
Bagi Radzi, meskipun UMNO dan BN mempunyai ‘askar’ yang cukup menghadapi pembangkang, tumpuan selepas ini ialah kepada mereka yang tidak menyertai sebarang parti.
“Lebih separuh daripadanya atau kira-kira 1.6 juta adalah orang Melayu. Di sini kita sedang atur strategi. Dengan pertambahan sekitar 9,000 hingga 10,000 ahli baru UMNO setiap bulan, UMNO yang menjadi tonggak BN yakin menang selesa pada pilihan raya nanti,” katanya.
Sebelum mengakhiri temu bual selama hampir 40 minit itu, Radzi mengimbau sejarah perkongsian kuasa di antara parti-parti komponen BN yang terjalin sejak era Parti Perikatan sekitar tahun 50-an.
“Sebab apa Perikatan yang kemudian diwarisi BN sentiasa menang setiap kali diadakan pilihan raya umum, tidak seperti negara-negara lain yang kerap bertukar kerajaan.
“Kerana rakyat selesa dengan dasar perkongsian kuasa kita... sebenarnya tidak ada kerusi yang panas pun,” katanya.

Sunday, January 20, 2008

Drama politik Menteri Besar

APA yang dipaparkan dalam kempen parti-parti politik menjelang pilihan raya umum sebenarnya tidak dapat menyaingi drama yang berlaku di sekitar pemilihan calon-calon wakil rakyat yang prosesnya sedang berlangsung secara diam-diam sekarang.

Di Malaysia, drama itu menjadi lebih hangat, kontroversi dan kadangkala mencemaskan terutama dalam pemilihan calon-calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Kisah keupayaan atau kegagalan seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai ketua eksekutif di peringkat kerajaan negeri adalah cerita besar menjelang dan semasa pilihan raya umum.

Sebagai sebuah negara Persekutuan yang dianggotai 13 buah negeri, kuasa politik di Malaysia tidak berpusat di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sebaliknya ia tersebar ke 13 buah negeri itu dengan Menteri Besar mengetuai pemerintahan kerajaan di negeri-negeri beraja dan Ketua Menteri menerajui negeri-negeri yang mempunyai Yang Dipertua Negeri.

Oleh kerana latar belakang sejarah dan politik sesebuah negeri itu unik dan berbeza, kekukuhan kedudukan Menteri Besar atau Ketua Menteri di setiap negeri juga dilihat dengan kayu ukur yang berlainan.

Seorang Menteri Besar di Negeri Sembilan tidak boleh disamakan nasibnya dengan Ketua Menteri Sarawak. Cara bekerja Menteri Besar di Pahang dan Johor tidak serupa dengan Menteri Besar di Kedah dan Terengganu. Di sesetengah negeri, faktor-faktor bukan politik ada kalanya menjadi pencorak masa depan seseorang Menteri Besar.

Apabila baru-baru ini beberapa Menteri Besar secara terbuka memperkatakan mengenai prospek politik mereka dalam pilihan raya di negeri masing-masing, ia sebenarnya kenyataan yang terhasil daripada drama politik yang berlaku setiap lima tahun dengan latarnya adalah intrik dalaman parti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan beliau akan terus bertanding di DUN Rantau pada pilihan raya umum akan datang. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh pula dilaporkan berkata, beliau akur jika pucuk pimpinan parti mahu beliau bertanding di kerusi Parlimen supaya beliau boleh menjadi Menteri Pusat.

“Saya hanya seorang pekerja parti yang sanggup memberikan perkhidmatan dan sekiranya saya disuruh bertanding untuk kerusi Parlimen, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri,” kata Idris yang merupakan Ahli Parlimen Besut pada tahun 1995 tetapi kalah dengan 710 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri Kampung Raja pada pilihan raya umum 1999 ketika Pas merampas pemerintahan negeri Terengganu.

Empat tahun lalu, Idris, 53, mengetuai BN Terengganu menawan semula negeri kaya minyak itu daripada tangan Pas.

Kenyataan Idris dan Mohamad, 52, itu keluar dari mulut dua Menteri Besar yang baru sepenggal mengetuai pemerintahan kerajaan di negeri masing-masing. Apakah yang membuatkan Mohamad mahu kekal di Negeri Sembilan dan Idris bersedia meninggalkan Terengganu menjadi teka-teki banyak pihak.

Di Perlis, khabarnya terdapat syor supaya nama Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim diletakkan bertanding di kerusi DUN Tambun Tulang atau Parlimen Arau. Ertinya, Shahidan, 57, terdedah kepada prospek sama ada mengekalkan jawatan Menteri Besar atau bertanding di kerusi Parlimen bagi memberi peluang kepada muka baru menjadi Menteri Besar Perlis selepas pilihan raya umum akan datang.

Bergelora

Di Perak pula, keadaan politiknya nampak tenteram di permukaan tetapi begitu bergelora di dasar kerana Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, kini 64 tahun, beberapa tahun lalu memberi isyarat beliau tidak mahu lagi menjadi Menteri Besar apabila pilihan raya umum ke-12 diadakan. Ini membuatkan perlumbaan politik di kalangan tokoh UMNO di negeri itu semakin ligat.

Tiada formula khusus dalam menentukan kedudukan seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam pilihan raya umum. Punca seseorang bertanding walaupun pada usia yang tidak lagi aktif atau digugurkan lazimnya menjadi rahsia peribadi Perdana Menteri.

Bekas Setiausaha Agung UMNO dan BN, Tan Sri Mohamed Rahmat masih ingat bagaimana dua bulan sebelum pilihan raya tahun 1969, pucuk pimpinan Perikatan ketika itu memberitahu seorang Menteri Besar di sebuah negeri Pantai Barat bahawa beliau tidak akan dicalonkan semula. “Menteri Besar itu merajuk,” katanya sambil membayangkan makluman lebih awal mengenai pengguguran mana-mana Menteri Besar boleh menjejaskan kelancaran kempen pilihan raya.

Menurut Mohamed, dalam lima kali pilihan raya umum pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad antara tahun 1981-2003, amalan ketika itu ialah Perdana Menteri hanya memaklumkan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri mengenai nasib mereka sama ada dikekalkan atau digugurkan dua hari sebelum hari penamaan calon.

Bekas Menteri Penerangan itu percaya populariti seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh mencorakkan keputusan pilihan raya. “Saya fikir BN dan UMNO tidak akan kalah di Kelantan pada pilihan raya umum 1990 jika Menteri Besar Kelantan ketika itu digantikan dengan orang lain. Begitu juga dengan kekalahan di Terengganu pada pilihan raya 1999,” kata Mohamed.

Ketika banyak pihak mengatakan Menteri Besar kedua-dua negeri itu merupakan satu liabiliti kepada UMNO dan BN, Dr. Mahathir memilih untuk mengekalkan Tan Sri Mohamad Yaacob di Kelantan dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di Terengganu dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Akibatnya kita kalah teruk,” kata Mohamed kepada Mingguan Malaysia dalam satu temu bual Jumaat lalu.

Dilema pucuk pimpinan ialah bagaimana untuk memberitahu seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri bahawa mereka tidak popular lagi di kalangan pengundi, rakyat mahukan perubahan dan proses rejuvenation tidak harus disekat.

Namun, ada Perdana Menteri yang tidak sampai hati untuk membuang sahabat yang pernah berjuang bersama selama bertahun-tahun.

Tindakan itu amat sukar tetapi isyarat daripada rakyat, kata Mohamed, kena dianalisis oleh pucuk pimpinan parti dengan keberanian. “Saya percaya Pak Lah ada kebijaksanaan dan tahu Menteri Besar mana yang buat kerja, banyak idea dan bukan setakat untuk memanaskan kerusi,” katanya.

Setiap Menteri Besar dan Ketua Menteri di Malaysia mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dari segi kelulusan, lapan daripadanya mendapat pendidikan di universiti seberang laut manakala lima lagi merupakan lulusan universiti tempatan.

Oleh kerana lumrah politik, menjaga hati penyokong dan atas sebab-sebab di luar kawalan mereka, di sebalik kekuatan itu sebahagian besar ketua kerajaan negeri gentar untuk melaksanakan program peralihan kuasa. Hampir di semua negeri, program menyediakan pengganti tidak disediakan kerana masing-masing menganggap ia merupakan tanggungjawab Perdana Menteri.

Di Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memegang jawatan Ketua Menteri sejak tahun 1981 dan bayang orang yang boleh menggantikannya masih belum kelihatan. Dengan bertaut kembali hubungan antara Taib, 72, dengan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yaakub baru-baru ini, politik di Sarawak kini lebih tenang walaupun ada sedikit kekhuatiran mengenai aspirasi politik pengundi Cina di kerusi-kerusi bandar.

Di Johor, cakap-cakap tentang kemungkinan Datuk Abdul Ghani Othman, 62, meninggalkan jawatan Menteri Besar masih diperkatakan empat tahun selepas usaha untuk menariknya kembali bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2004 gagal setelah pihak istana tidak bersetuju dengan perubahan itu.

Di Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, 59, disebut-sebut akan bertanding di Parlimen sesuai dengan statusnya sebagai Naib Presiden UMNO manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, 43, dikatakan tidak mahu berganjak dari negeri di Lembah Klang itu.

Mohd. Ali memberitahu Mingguan Malaysia: “Saya serahkan kedudukan saya kepada Perdana Menteri.” Ditanya adakah beliau lebih selesa bertanding di kerusi Parlimen bagi mencuba nasib sekali lagi dalam politik nasional, dalam nada ketawa Ketua Menteri Melaka sejak 1999 yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan itu menegaskan sekali lagi: “Saya serahkan kepada Perdana Menteri.”

Filosofikal

Datuk Seri Adnan Yaakob telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang sejak tahun 1999 menggantikan Tun Mohd. Khalil Yaakob yang dibawa ke Pusat untuk menjadi Menteri Penerangan sewaktu gerakan reformasi berada di kemuncak kekuatannya. Bekas guru itu agak filosofikal mengenai prospek politiknya.

Dalam satu ucapan di Maran pada 31 Disember lalu, Adnan, 58, berkata: “Macam saya besok, tiba-tiba Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kata, cukuplah jadi Menteri Besar, saya nak ganti dengan orang lain pula. Alhamdulillah Pak Lah, terima kasih banyak. Tanggungjawab ini besar dan bukan senang. Eloklah masalah rakyat, orang lain fikir pula. Setidak-tidaknya saya merasa jadi Menteri Besar lapan tahun, orang lain lapan hari pun tak merasa.”

Bagaimanapun, kehendak seseorang Menteri Besar adalah keinginan peribadinya tetapi plot politik tidak berhenti di situ kerana nasib mereka ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Prerogratif Abdullah sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) akhirnya memastikan ke mana haluan seseorang ketua kerajaan negeri. Ketua-ketua kerajaan negeri itu boleh mencadangkan calon-calon lain yang akan bertanding dalam pilihan raya tetapi takdir mereka sendiri kadangkala mereka tidak tahu.

Selepas mendapat maklumat daripada pelbagai pihak, meninjau pandangan akar umbi dan gerak hati sendiri mengenai perubahan yang beliau ingin lakukan di negeri-negeri, Perdana Menteri akan membuat pilihan.

Pucuk pimpinan mungkin terpesona dengan idea untuk membawa beberapa menteri Kabinet memperkuatkan pentadbiran negeri, tetapi desas-desus yang kedengaran ialah ada menteri merasakan mereka tidak cocok untuk berkhidmat di negeri sendiri.

Seorang wakil rakyat UMNO di negeri Utara percaya Abdullah menilai Menteri Besar dan Ketua Menteri berasaskan kepada kemampuan ketua-ketua kerajaan negeri itu menjadi ketua politik yang dapat mewujudkan kestabilan serta keupayaan mereka menguruskan negeri ke arah pertumbuhan yang lebih pesat dari segi ekonomi.

“Untuk kekal menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, seseorang itu perlu seimbang dalam kedua-dua aspek itu,” katanya.

Isu pilihan raya di peringkat negeri sebenarnya berlainan dengan isu di peringkat nasional. Ahli sosiologi, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, walaupun isu-isu nasional seperti ekonomi, kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup dan jenayah menjadi keprihatinan elit politik yang berpusat di Lembah Klang tetapi di negeri-negeri isu lokal merupakan penentu keputusan pilihan raya.

“Di negeri-negeri, mutu perkhidmatan wakil rakyat, janji-janji wakil rakyat untuk membangunkan kawasan serta perdebatan polisi-polisi kerajaan yang memberi kesan kepada orang ramai, misalnya dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, lebih dibimbangi oleh para pengundi,” katanya.

Persoalan lain yang tidak kurang mustahak ialah sejauh mana parti-parti politik dapat memenangi hati pengundi wanita, membuat penyesuaian dengan tuntutan politik golongan muda selain mendapat kepercayaan kakitangan awam yang merupakan 10 peratus daripada jumlah pengundi di seluruh Malaysia.

Di kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN di negeri-negeri, Dr. Shamsul Amri berkata, secara purata 30 peratus pengundi menyokong parti kerajaan, 30 peratus bersama pembangkang manakala 40 peratus lagi pengundi atas pagar yang mengundi dalam pilihan raya umum berdasarkan penilaian mereka terhadap kualiti dan karakter calon- calon yang bertanding.

Ingatan beliau kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri yang akan bertanding semula pada pilihan raya umum ke-12 dan bakal mengetuai kempen-kempen pilihan raya di peringkat negeri ialah pastikan 40 peratus pengundi atas pagar itu tidak melompat ke dalam kawasan pagar yang salah.

Jambatan kedua politik P. Pinang

PULAU PINANG sekali lagi menjadi tumpuan DAP pada pilihan raya umum kali ini. Di bawah pimpinan Karpal Singh sebagai Pengerusi dan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, DAP nampaknya belum berputus asa untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai barisan hadapannya selain tumpuan kepada negeri-negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seperti hasrat kerajaan mahu membina jambatan kedua Pulau Pinang selepas kejayaan jambatan pertama semasa era kepimpinan Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu, parti politik seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas juga mahu membina ‘jambatan kedua’ politik di negeri itu.

Mungkin jambatan pertama mereka sebelum ini yang menggabungkan DAP, Pas, Semangat 46, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan IPF gagal direalisasikan melalui projek Tanjong tetapi kali ini impian itu mahu diteruskan melalui ‘jambatan kedua’ yang dinamakan kerjasama Pas-PKR dan PKR-DAP. Menyorot kembali kejayaan DAP melalui Tanjong I dan Tanjong II pada 1986 dan 1990, jelas memperlihatkan kehebatan DAP di negeri itu. tetapi dalam siri Tanjong III pada 1995, DAP mengalami kejutan.

Dan selepas itu, tidak ada lagi siri Tanjong yang mampu menggugat kerajaan negeri pimpinan Gerakan.

Sejak pilihan raya umum 1995, DAP kekal dengan satu kerusi DUN sehingga sekarang tetapi masih menunjukkan ‘taring’ bagi kerusi Parlimen. Sesuatu yang paling mengecewakan parti itu ialah apabila pemimpin utama mereka seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh kecundang pada 1999 sebelum kembali bangkit pada 2004.

Kit Siang kalah kepada calon Gerakan, Chia Kwang Chai (sekarang Setiausaha Agung Gerakan) di Bukit Bendera manakala Karpal tewas kepada seorang anak muda juga dari Gerakan, Lee Kah Choon di Parlimen Jelutong. Mereka juga kalah bagi kerusi DUN.

Akhirnya, pada 2004, Kit Siang berpindah ke Ipoh Timur dan Karpal ke Bukit Gelugor, jiran baru bagi Parlimen Jelutong.

Kini Guan Eng mengambil alih kepimpinan bapanya sebagai Setiausaha Agung. Dan sudah lama kedengaran bahawa bekas ahli Parlimen Kota Melaka itu akan berhijrah ke Pulau Pinang seperti yang pernah dilakukan oleh bapanya.

Kit Siang berhijrah dari Kota Melaka ke Pulau Pinang pada pilihan raya 1986 dengan mencatatkan kejayaan mengalahkan Dr. Koh Tsu Koon bagi kerusi Parlimen Tanjong dan memenangi kerusi DUN Kampung Kolam.

Pada 1990, beliau mempertahankan kerusi Tanjong dan di peringkat DUN menumbangkan Dr. Lim Chong Eu di Padang Kota, sekali gus memberi laluan kepada Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Sekali lagi pada 1995, Kit Siang menang di Tanjong tetapi cubaannya untuk mengulangi kejayaan menewaskan seorang lagi ketua menteri gagal. Kit Siang tewas kepada Tsu Koon di Tanjong Bunga.

Bagaimanapun, kegemilangan Kit Siang di Pulau Pinang berakhir pada 1999 apabila beliau tewas di Parlimen Bukit Bendera dan di DUN Kebun Bunga.
Nasib

Turut mengalami nasib yang sama ialah Karpal. Ternyata kekuatan DAP bersama Parti Keadilan Nasional dan Pas ketika itu gagal membantu. Ini berbeza dengan kerjasama pembangkang pada 1986 dan 1990.

Setelah Pas memutuskan untuk tidak bekerjasama secara langsung dengan DAP pada pilihan raya umum lalu, DAP kini mengharapkan sokongan PKR untuk bangkit semula di Pulau Pinang.
‘‘Kami perlu bersikap realistik. Sasaran kami pada pilihan raya kali ini iaitu untuk menafikan

Barisan Nasional sekurang-kurangnya 14 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang,’’ kata Guan Eng yang jelas mahu mengulangi kejayaan yang dirintis bapanya pada tahun 1990.

Namun hakikatnya, untuk memerintah Pulau Pinang masih jauh kerana DAP tidak mampu bersendirian. Parti itu hanya berupaya menghadapi calon-calon BN yang diwakili Gerakan, MCA atau MIC. Sedangkan di kawasan lain, melibatkan UMNO yang tidak mampu ditandingi DAP.
Justeru DAP mengharapkan PKR menunjukkan prestasi yang baik di kawasan-kawasan yang ditandingi UMNO. Begitu juga dengan Pas yang diharap dapat membantu DAP mengurangkan ‘cengkaman’ BN di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Tetapi apa yang lebih menarik di Pulau Pinang kali ini apabila Tsu Koon dijangka beralih ke pusat walaupun semasa era Chong Eu, Presiden Gerakan terus kekal di Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada Dr. Lim Keng Yaik sebagai presiden.

Tsu Koon dijangka kembali ke pusat sesuai dengan kedudukannya – Pemangku Presiden Gerakan. Kedudukan Tsu Koon menarik perhatian pemerhati politik mengenai siapakah yang bakal menggantikan beliau. Pada masa yang sama timbul persoalan di manakah beliau akan bertanding? Adakah di kawasan lamanya di Tanjong yang masih kekal di tangan DAP?
Ketika ini Tsu Koon mewakili DUN Tanjong Bunga yang berada di bawah Parlimen Bukit Bendera dan diwakili Kwang Chai.

Jika Kwang Chai terpaksa memberi laluan kepada Tsu Koon, adakah Timbalan Menteri Penerangan itu pula akan ke DUN? Turut mendapat perhatian ialah Lee Kah Choon, yang pada pilihan raya umum 1999 berjaya mengalahkan Karpal. Beliau juga disebut-sebut antara pemimpin yang boleh dipertimbangkan ke DUN. Turut mendapat perhatian ialah Naib Presiden Gerakan, Dr. Teng Hock Nan yang pada 1999 berjaya mengalahkan Kit Siang di DUN Kebun Bunga.

Sama ada Tsu Koon ke pusat, Kwang Chai atau Kah Choon ke negeri, gabungan parti pembangkang tentu mengharapkan nasib mereka berubah pada kali ini.

Mampukah

Tetapi mampukah PKR dan Pas membantu DAP? Adakah PKR yang diterajui Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi kerusi tunggal PKR mampu mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu?

Apakah Dr. Wan Azizah akan mempertahankan kerusinya atau memberi laluan kepada orang lain? Jika Wan Azizah berundur, apakah calon BN mampu menandinginya? Apakah benar Permatang Pauh kekal kepada PKR hanya kerana Dr. Wan Azizah atau sokongan kuat para penyokong suaminya, Anwar Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen kawasan itu?

Kekuatan pembangkang di Permatang Pauh tidak dinafikan apabila PKR dan Pas bergabung dengan baik untuk memenangi kawasan itu berbanding kawasan lain. Pembangkang hampir menguasai Permatang Pauh apabila menguasai dua dari tiga kerusi dalam kawasan itu - satu PKR dan satu Pas di samping Parlimen milik PKR. Tetapi itu berlaku pada 1999 dan sebaliknya pada 2004, PKR hampir kecundang.

Adakah Permatang Pauh sahaja menjadi taruhan pakatan PKR-Pas? Bagaimana pula dengan kawasan lain? Apakah kekuatan pembangkang merangkumi seluruh negeri itu?

Isu sekarang ialah sama ada pembangkang benar-benar bersedia? Dengan nama Barisan Alternatif yang merupakan gabungan longgar DAP-PKR dan PKR-Pas, ia bukan mudah untuk mewujudkan satu barisan kerjasama yang baik seperti ditunjukkan oleh BN.
Memang benar kata bekas Presiden Gerakan, Dr. Lim Keng Yaik: ‘‘Mereka tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.’’

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Azhari Ibrahim pula berkata, UMNO tidak gentar dengan sebarang bentuk kerjasama yang diwujudkan oleh parti-parti pembangkang itu.

“Kami tidak peduli mengenai mereka. Kami akan tentang mereka pada pilihan raya umum akan datang,’’ katanya.

Asas perjuangan masing-masing amat berbeza atau dalam erti kata lain Pas tidak dapat menerima perjuangan DAP dan begitulah sebaliknya. Maka orang tengah yang menjadi jambatan perpaduan pembangkang ini ialah PKR, junior yang gagal menunjukkan keupayaan mereka dalam dua pilihan raya umum lalu. PKR lebih banyak menjadi ‘pelakon pembantu’ kepada aktor-aktor utama di dalam Pas dan DAP untuk memastikan jaguh-jaguh utama memenangi kerusi-kerusi Parlimen atau DUN.

Memang di atas kertas, pakatan parti pembangkang ini nampak cantik tetapi apabila melihat lebih jauh, banyak perkara yang tidak sehaluan. Meminjam kata-kata Nik Aziz Nik Mat – ‘bercelaru’.

Justeru bagaimana mereka mahu memerintah sekiranya menang? Apakah mereka mampu menjalin kerjasama seperti BN?

Tanpa jumlah kerusi yang meyakinkan, gabungan pembangkang tidak akan ke mana Pakatan pembangkang akan sentiasa ada masalah kerana ada isu-isu yang sukar diselesaikan antara tiga pihak itu.

Lebih menggusarkan apabila Pas kini tidak yakin dengan PKR dan sama sekali tidak mengharapkan DAP. Begitu juga sebaliknya, DAP tidak mengharapkan kerjasama Pas yang mahu menjadikan Islam agenda terpenting parti itu.

Memang PKR-DAP sudah mencapai persefahaman mengenai kerusi apabila DAP bersetuju bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN di Pulau Pinang. Baki 21 kerusi negeri dan enam kerusi Parlimen akan ditentukan oleh Pas dan PKR.

Apa pun pilihan raya umum kali ini pastinya menarik kerana sudah timbul ura-ura bahawa Guan Eng akan berhijrah ke Pulau Pinang. Sebagai Setiausaha Agung, tentunya beliau boleh memilih mana-mana kerusi yang difikirkan selamat. Mungkin Tanjong, Bukit Mertajam, Bagan atau Bukit Gelugor. Dan di kawasan kurang selamat – Bukit Bendera atau Batu Kawan.

Tetapi di Bukit Gelugor, Karpal Singh menyatakan kesediaannya untuk terus bertanding walaupun berkerusi roda sejak 2005 akibat kemalangan jalan raya. Baginya tidak timbul soal bersara dalam politik pada masa sekarang.

Jika itu menjadi pegangan veteran politik DAP itu, di mana Guang Eng mahu membina ‘jambatan politiknya’ di Pulau Pinang?

Wednesday, January 16, 2008

Saringan politik semakin ketat

KRISIS dan tragedi politik tidak semuanya buruk. Di Malaysia, ada kalanya ia menguatkan lagi sesebuah parti politik dan kerajaan, selain memberi fokus baru kepada arah tuju politik negara.
Sungguhpun kerap dilihat dari sudut negatif, manfaat krisis umumnya sudah diterima ramai dan ia sering berulang dalam sejarah. Banyak kes boleh diberikan untuk menunjukkan sumbangan positif krisis kepada politik.
Kita tentu masih ingat bagaimana krisis pada akhir dekad 1990-an menyukarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat seketika tetapi kemudian parti tulang belakang kerajaan itu muncul dengan kekuatan yang hebat dalam pilihan raya umum 2004.
Apabila BN dilanda ribut kecil baru-baru ini ekoran daripada peletakan jawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kerana penyebaran cakera video digital (DVD) seks, sebenarnya episod itu membuka dimensi yang lebih segar kepada pemilihan calon-calon wakil rakyat daripada parti-parti komponen BN.
Kini wujud saringan yang lebih teliti, rapi dan ketat. Jika dahulu tapisan untuk menjadi seorang calon pilihan raya adalah rangkaian politik, sosial, undang-undang dan hubungan dengan Perdana Menteri, sekarang soal moral menjadi satu isu yang tidak dapat diketepikan.
Moral menjadi satu bentuk tapisan baru dalam menentukan pemilihan wakil-wakil rakyat pascapeletakan jawatan Soi Lek.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kelmarin berkata hanya calon yang bebas daripada masalah moral termasuk skandal seks layak menjadi calon BN di negeri itu dalam pilihan raya umum ke-12 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ertinya, calon-calon yang moral mereka dipersoalkan tidak akan mendapat tempat atau tidak akan dicadangkan oleh pucuk pimpinan negeri untuk bertanding dalam pilihan raya itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menekankan tentang efisiensi seseorang ahli politik sebagai prasyarat untuk mereka dicalonkan sebagai wakil rakyat.
Beliau mengulangi persefahaman dalam parti memerintah sekarang bahawa BN perlu mengetengahkan calon-calon pilihan raya yang boleh diterima dan disenangi oleh rakyat.
Selepas kes Soi Lek, keperibadian ahli-ahli politik dipantau oleh pucuk pimpinan parti dan orang ramai, dan tentu sekali ia juga menjadi keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah yang percaya kepada mustahaknya kejujuran politik telah memperkenalkan Kod Etika Bagi Ahli Parlimen Kerajaan selepas pilihan raya umum 2004.
Mukadimah risalah kod itu menyatakan bahawa “akhlak dan sebarang tindakan ahli Parlimen kerajaan secara rasmi atau peribadi akan mencerminkan kewibawaan kerajaan serta mempunyai implikasi ke atas masyarakat dan negara.”
Ketika mengumumkan penguatkuasaan kod itu pada April 2004, iaitu beberapa minggu selepas beliau mengemudi BN memenangi pilihan raya umum 21 Mac 2004 dengan mandat terbaik dalam sejarah, Abdullah mengingatkan betapa pentingnya bagi ahli Parlimen yang dipilih memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat, menjaga nama baik kerajaan dan negara serta tidak terlibat dalam sebarang unsur-unsur jenayah dan salah guna kuasa.
Wakil-wakil rakyat di bawah pentadbiran Abdullah dituntut pada setiap masa berkelakuan yang boleh meningkatkan kepercayaan rakyat kepada integriti Parlimen. Sudah tentu dengan perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini dan seruan-seruan kepimpinan BN supaya isu moral diberi tumpuan akan menyebabkan kerajaan memperkenalkan penuras yang akan menyaring secara menyeluruh latar belakang seseorang sebelum individu itu ditawarkan menjadi calon BN.
Kualiti seperti kerja kuat, mempunyai hubungan baik dengan masyarakat dan setia kepada parti belum cukup dalam politik pada era ini. Bakal ahli politik BN yang menduduki kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlu lebih well-rounded dan sempurna.
Pada masa ini, setiap dua tahun wakil-wakil rakyat BN wajib membuat pengisytiharan harta dan terpaksa mengisi borang pengisytiharan yang begitu terperinci. Di dalamnya mereka diminta mengisi butiran tanggungan masing-masing, isteri, anak-anak dan adik-beradik.
Selepas apa yang berlaku, pemantauan ke atas wakil-wakil rakyat itu kini melampaui isu salah guna kuasa dan rasuah. Latar belakang bakal-bakal calon pilihan raya sudah tentu akan diselidiki secara lebih terperinci, dan bukan setakat mengambil tahu aset-aset yang mereka miliki.
Menjelang pilihan raya umum ke-12, hanya mereka yang benar-benar boleh menguatkan BN dan kerajaan semasa dan selepas pilihan raya umum akan muncul sebagai calon parti memerintah itu.
Mana intan dan mana kaca dalam politik diberi penilaian baru menjelang pilihan raya umum itu. Di bawah saringan baru, ahli politik yang dulunya kaca mungkin menjadi intan, dan ada pemimpin yang selama ini merasakan dirinya intan kini terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah bertukar menjadi kaca.
Dalam proses itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kelak akan dipenuhi para pemimpin idaman kita semua yang mencerminkan nilai-nilai politik yang lebih baik.
* BAHAROM MAHUSIN ialah Penolong Pengarang Utusan Malaysia.

Memilih calon, isu atau parti


Bahang pilihan raya sudah mula terasa. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam jangka masa terdekat ini. Ada parti yang sudah mula mencari calon dan ada pula yang mula menyiapkan senarai mereka.
Pilihan raya yang ke-12 ini merupakan pilihan raya yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelas pilihan raya telah diadakan sejak kemerdekaan dan Barisan Nasional (BN) yang dulunya dikenali sebagai parti Perikatan tidak pernah gagal mempertahankan majoriti kerusi peringkat Parlimen.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), pembangkang pernah mengetuai kerajaan beberapa buah negeri termasuklah Terengganu oleh Pas pada tahun 1959 dan 1999; Pulau Pinang pada 1969 oleh Gerakan ketika berada di luar BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Sabah pada tahun 1985 sebelum parti ini menyertai semula BN.

Sejak pilihan raya tahun 1990, diikuti tahun 1995, 1999 dan 2004; Pas tidak pernah gagal untuk mentadbir negeri Kelantan yang pernah dipimpinnya pada tahun 1959 dan 1969. Adakah jika pembangkang menang di peringkat Parlimen, barulah demokrasi dianggap subur di Malaysia? Senario di atas menunjukkan BN tidak pernah gagal meyakinkan pengundinya di peringkat Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Yang menjadi ramalan bukan sekadar tarikh pilihan raya tetapi juga bilangan kerusi yang akan dimenangi oleh mereka. Adakah kerana kesemua pilihan raya di peringkat Parlimen dimenangi oleh BN menerusi proses pengundian bermakna amalan demokrasi melalui pilihan raya tidak wujud di Malaysia?

Proses menang kalah dalam pilihan raya berlaku di bawah amalan demokrasi. Boleh jadi pernyataan pihak pembangkang yang sering menyatakan bahawa mereka hanya berminat untuk mengurangkan majoriti dua pertiga parti BN menyebabkan mereka masih belum berjaya meyakinkan para pengundi?

Pelbagai faktor diambil kira oleh pengundi hari ini dalam proses menentukan undi mereka. Ada yang mengundi berdasarkan kepada faktor statusquo atau kestabilan dan pembangunan, ada pula yang mengundi kerana ideologi. Idea keadilan dan demokrasi juga boleh menjadi modal pengundi.

Tidak kurang juga menggunakan faktor etnik. Pola pengundian juga berbeza dalam kalangan pengundi bandar dan luar bandar serta dalam kalangan pengundi kelas atasan atau pertengahan. Begitu juga dengan pengundi wanita dan belia.

Hakikatnya, dalam persekitaran hari ini, isu menjadi dominan walaupun parti-parti politik menampilkan calon yang hebat latar belakangnya. Tidak dapat dinafikan, dalam suasana ledakan globalisasi yang mahu melihat lebih ramai calon yang berwibawa dan bersedia untuk berkhidmat, yang mahu dilihat pengundi adalah sejauh mana isu-isu yang hadir dalam suasana persekitaran hari ini akan dapat ditangani dengan berhemah.

Penjelasan dan penerangan akan membantu meningkatkan pemahaman masyarakat ke atas sesuatu isu. Misalnya, ramai mengeluh harga barangan naik secara mendadak tanpa sedar bahawa hampir seluruh dunia menghadapi masalah makanan. Harga melambung naik bukan sekadar masalah dalaman kerana ia juga melibatkan soal penawaran dan permintaan serta peredaran semasa yang melihat perubahan iklim, musim dan cuaca yang sukar diramal sehingga mempengaruhi pengeluaran.

China berhadapan dengan masalah jagung; Australia pula dengan anggur; minyak petroleum dijangka melambung naik, penukaran gandum dengan soya menyaksikan adanya pertembungan harga sebagaimana ke atas kelapa sawit. Amerika Syarikat pula bakal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi. Dunia juga berhadapan dengan peperangan.
Walaupun keadaannya sedemikian rupa, Malaysia masih boleh berbangga. Walaupun peningkatan harga dalam beberapa barangan tidak dapat dielak, ia masih terkawal. Projek pembangunan juga terus dilakukan.

Ada ahli teori yang mengandaikan bahawa dengan pertumbuhan pesat dalam sesebuah negara, maka ini akan turut mempengaruhi barometer demokrasi. Ternyata ia tidak berlaku di Malaysia. Yang jelas, golongan celik meraikan idea kebebasan, demokrasi dan keadilan tetapi ia berlaku dalam sfera peribadi kerana pola pengundian sehingga ke hari ini adalah berpaksikan kestabilan, keharmonian dan pertumbuhan ekonomi.

Lazimnya, kelompok ini adalah pengundi atas pagar memandangkan parti pemerintah mahupun pembangkang sudah memiliki hampir 40 peratus pengundi yang setia kepada parti masing-masing. Baki 20 peratus sering menjadi penentu dan golongan ini acap kali mengekalkan kepimpinan yang ada melainkan parti ini gagal membangunkan masyarakat sama sekali.
Kelompok ini juga berpengaruh untuk melahirkan ‘undi protes’ bukan kerana tidak setia kepada parti tetapi untuk mempamerkan rasa tidak puas hati ke atas sesuatu isu.
Pengundi perlu tahu mengapa undi mereka penting. Undi bukan sekadar untuk menjatuhkan sesuatu rejim tetapi pemangkahan perlu dilakukan dengan rasional. Mengapa BN menjadi pilihan selama ini. Kekuatannya jelas. Kemuafakatan politik di bawah satu simbol yang bersifat homogenous mempamerkan keyakinan kepada pengundi.

Ini berbeza dengan pembangkang yang dikatakan melahirkan pakatan bermusim. Pakatan yang bukan disertai oleh kesemua parti pembangkang tetapi pakatan yang bersifat marriage of convenience. Misalnya, Keadilan mahu bekerjasama dengan DAP dan DAP juga bersetuju untuk bekerjasama dengan Keadilan tetapi DAP tidak mahu bekerjasama dengan Pas yang akan bekerjasama dengan Keadilan.

Adakah DAP khuatir akan wujud label ‘satu undi DAP, satu undi negara Islam’ yang boleh mempengaruhi pengundi Cina sehingga mereka tewas teruk dalam pilihan raya tahun 1999? Ada juga menganggap kerajaan menggunakan jentera kerajaan, media dan wang untuk memancing undi tetapi rasionalnya, mengapa BN masih menjadi pilihan?
Adakah isu lain lebih dominan daripada calon atau kemuafakatan politik antara parti pelbagai etnik di bawah satu gabungan bersama menjadi tarikan utama? Pengundi hari ini matang dalam memerhati, mengamati dan mendalami sesuatu isu.

Isu tidak akan dikompromi oleh pengundi berbanding calon yang bakal bertanding. Adakah keyakinan, pengorbanan, sikap toleransi dalam BN menjadi indeks utama pemilihan pilihan raya? Apakah pembangkang mampu mengubah mentaliti ini kerana selama ini, kemenangan mereka dirujuk kepada kelemahan parti kerajaan dan bukan kekuatan pembangkang sendiri.
Sering kali kelemahan BN ditonjolkan tanpa mengukur diri sendiri. Pemilihan calon yang salah terutama berasaskan faktor emosi, jentera yang tidak berfungsi, ketiadaan perancangan masa depan realistik dan kempen yang kurang efektif walaupun beriaia mahu bertanding di semua kawasan menunjukkan yang diutamakan adalah pencapaian peribadi dan bukan di sebaliknya.
Beberapa isu pernah menjadi tema besar pilihan raya seperti konfrontasi, parti baru, kerjasama pembangkang, isu perkauman, personaliti politik serta prestasi dan kestabilan berterusan. Pilihan raya kali ini akan melihat beberapa isu terutama isu keharmonian, ekonomi, sosial dan keadilan yang dianggap akan menjadi asas pola pengundian.

Yang pasti, pilihan raya kali ini bukan sahaja akan melihat pengunduran beberapa pemimpin utama negara tetapi ia juga bakal melahirkan beberapa pemimpin pelapis untuk generasi akan datang. Adunan pelbagai latar belakang calon di bawah parti yang bertanding dan sejauh mana isu yang dikemukakan dapat difahami oleh pengundi akan melakar pilihan raya kali ke-12 ini yang berbeza dengan suasana pilihan raya tahun 2004.

* DR. SIVAMURUGAN PANDIAN ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.