Wednesday, January 30, 2008

Politik Sarawak berubah

Abdul Taib Mahmud menyatakan sesuatu kepada Abang Johari Tun Openg (kiri), Awang Tengah Ali Hassan (dua dari kiri) serta Alfred Jabu (kanan) sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) tahun lalu.

KETIKA kebanyakan orang hangat berbicara tentang pilihan raya dikatakan tidak lama lagi, suasana politik Sarawak agak berbeza.

Walaupun pilihan raya menjadi tumpuan para pemimpin politik, tetapi cakap-cakap politik lebih menjurus kepada kisah bertautnya kembali hubungan yang retak lebih 20 tahun lalu di antara Tun Abdul Rahman Yaakub, 80, dengan anak saudaranya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 72.

Adegan berpelukan Abdul Taib dengan bapa saudaranya itu semasa sambutan ulang tahun ke-80, selepas lebih 20 tahun tidak bertegur sapa memang dramatik, tetapi lebih dramatik ia adalah penentu hala tuju politik Bumi Kenyalang.

Bara dendam politik yang mulai padam itu dilihat memberi laluan yang lebih mudah untuk Abdul Taib mencari penggantinya dan proses peralihan kuasa yang lebih lancar.

Jika dahulu dendam itulah yang menjadi penghalang Abdul Taib selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk memilih timbalannya, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg sebagai penggantinya, tetapi keadaan itu kini berbeza.

Ini adalah kerana Abang Johari sebelum ini dituduh bersekongkol dengan Abdul Rahman untuk menamatkan karier politik Abdul Taib menyebabkan beliau terus terpinggir walaupun suara akar umbi sebaliknya.

Selaku Presiden dan Ketua Menteri, Abdul Taib mempunyai kuasa untuk melantik Datuk Seri Adenan Satem sebagai Naib Presiden Kanan PBB selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PBB yang dimenangi oleh Abang Johari.

Langkah itu dilihat bertujuan mengurangkan kuasa Abang Johari dan Adenan dikatakan dididik serta diberi laluan untuk menjadi pengganti Abdul Taib.

Ini jelas dilihat apabila Adenan juga diberi keistimewaan bertanding bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri iaitu tradisi diamalkan oleh Abdul Taib selaku presiden parti tonggak BN negeri.
Bagaimanapun selepas Adenan dikatakan gagal beberapa ujian, kini Abang Johari berada senarai teratas bakal mengambil alih pucuk pimpinan negeri.

Sebenarnya semasa pilihan raya negeri yang lalu, riak hubungan Abdul Taib dan Abang Johari kembali jernih telah kelihatan apabila kedua-dua pemimpin itu berpelukan begitu erat semasa meraikan kemenangan BN di kediaman Ketua Menteri.
Senarionya semakin jelas apabila baru-baru ini timbul ura-ura Abang Johari yang juga Menteri Perumahan Sarawak itu akan bertanding bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Pada masa sama Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Batang Sadong yang disandangnya.
Jika benar Abang Johari bertanding pada pilihan raya Parlimen Sarawak kali ini, maka hampir pastilah beliau akan menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Kemampuan

Mengenai kedudukan Abdul Taib pada pilihan raya kelak, difahamkan beliau masih menaruh minat untuk bertanding, tetapi sedang menunggu lampu hijau daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seorang wakil rakyat di Sarawak memberitahu usia pemimpin itu tidak harus dijadi ukuran kepada kemampuan beliau memimpin dan membawa perubahan di negeri berkenaan.
Beliau masih menaruh harapan Abdul Taib akan bertanding sekali lagi kerana menyifatkan khidmatnya masih diperlukan.

Sarawak akan terus menjadi kubu kuat BN dan kemenangan besar akan dicatatkan sekali lagi terutama bagi kawasan milik PBB.

Bagaimanapun bagi kerusi milik Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) keadaannya agak kelabu, kerana keyakinan pengundi di bandar belum pulih sepenuhnya terhadap parti kaum Cina itu yang dikatakan gagal memperjuangkan nasib kaum berkenaan kerana dilabel sebagai ‘pak turut’ sahaja.

Pada masa sama wakil-wakil rakyat muda dari DAP cukup menonjol dan dilihat mampu memenuhi kehendak rakyat dengan bersuara lantang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kawasan bandar Kuching dan Sarikei mungkin boleh jatuh ke tangan pembangkang jika sesuatu tidak dilakukan segera, manakala bandar Sibu dan Lanang juga agak rapuh.

Pas pula dijangka bertanding di Batang Lupar yang dikategorikan sebagai kawasan kelabu, sementara Parti Keadilan Rakyat tidak mendapat sambutan masyarakat di Sarawak kerana perjuangannya tidak relevan dengan penduduk setempat.

Jadi pilihan raya Parlimen Sarawak kali ini akan lebih menarik dan diberi perhatian kerana ia bakal menjawab pelbagai persoalan termasuk tentang masa depan serta hala tuju politik Bumi Kenyalang.

No comments: