‘PAK Lah dah panaskan enjin, tetapi belum masuk gear saja,” kata seorang pemerhati politik selepas Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memberi penerangan kepada lebih 2,000 pemimpin Umno mengenai pandangan rakyat terhadap prestasi parti terunggul Melayu itu sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2003. Majlis yang dibuat khusus untuk Presiden menyampaikan amanat kepada barisan kepemimpinan 169 bahagian Umno di ibu negara kelmarin adalah satu lagi petanda meyakinkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-12 hanya menanti hari, tetapi jentera yang ada perlu diperkemaskan. Seharusnya, lebih 2,000 ahli Umno yang keluar dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyelami nasihat Presiden bahawa pilihan raya umum akan datang bukan lagi hanya tertumpu kepada cara menumpaskan pembangkang, sebaliknya untuk memenangi hati rakyat.
Pak Lah mengakui hakikat bahawa kemenangan besar Umno dan BN pada pilihan raya 2004, disebabkan rakyat menaruh harapan tinggi kepada beliau untuk membawa beberapa perubahan terutama membabitkan usaha membanteras rasuah, menangani pelbagai isu dengan lebih telus, meneruskan kecemerlangan di bidang ekonomi serta terus mengukuhkan integrasi antara kaum yang menjadi kunci utama kepada kemakmuran negara. Tetapi pada pilihan raya umum akan datang, rakyat akan sekali lagi membuat penilaian sendiri. “Bukan senang... kita boleh buat macam-macam janji dalam satu ayat, tetapi nak melaksanakannya mengambil masa. Bukan bermaksud kita belum melakukan apa-apa. Saya sudah mula laksanakan dan ia dalam proses pelaksanaan,” kata Pak Lah.
Penilaian rakyat kali ini bukannya hanya membabitkan prestasi pemerintahan Pak Lah secara berseorangan, sebaliknya membabitkan keseluruhan jentera pentadbiran politiknya daripada menteri Kabinet sehinggalah wakil rakyat yang dipilihnya. Justeru, dalam menghadapi kemelut pelbagai isu yang melanda negara sejak kebelakangan ini, Pak Lah ternyata tidak lagi memandang remeh laporan yang diterima daripada pelbagai agensi yang meninjau perkembangan di akar umbi. Mengambil kira laporan terbabit, nasihat dan amanat Pak Lah kelmarin lebih banyak menjurus kepada usaha memberi penjelasan yang masih tidak sampai kepada rakyat dan kewibawaan wakil rakyat serta pemimpin Umno. Dan yang pasti ia bukan lagi sekadar nasihat daripada Presiden parti, tetapi sesuai dianggap sebagai amaran apabila beliau mengingatkan mereka yang akan terus menjadi Yang Berhormat (YB) atau yang bakal menjadi YB, bahawa persekitaran politik masa kini amat jauh berbeza.
“Pak Lah kata, zaman ‘letak songkok’ pasti menang, sudah berlalu. Kalau dulu rakyat tidak kira siapa yang diletakkan, tunggul kayu atau songkok saja, Umno sudah pasti boleh menang. Tetapi suasana politik hari ini sudah berubah, rakyat sudah pandai menilai. “Calon pilihan raya akan datang bukan saja mesti nampak bersih, malah mesti benar-benar bersih. Mereka mesti memiliki beberapa ciri penting terutama berwibawa, ada integriti serta mesti mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di peringkat akar umbi terutama di kawasan masing-masing,” kata seorang lagi pemerhati. Mesej Pak Lah kepada kepemimpinan Umno hanya satu: “Jangan ambil mudah.” Mengambil kira sikap pengundi yang semakin lantang menyuarakan perasaan tidak puas hati, serta tidak lagi teragak-agak untuk mengkritik pemimpin yang tidak disukai, Pak Lah menegaskan: “60 peratus pengundi hari ini mengambil kira faktor siapa yang akan diletak sebagai calon, berbanding hanya 40 peratus saja diberi kepada nama parti.” Kebimbangan Pak Lah terhadap isu kewibawaan tokoh politik Umno terutama yang ingin bergelar YB tidak dapat dinafikan, kerana permainan politik di peringkat akar umbi semakin serius menjelang pilihan raya umum apabila kepemimpinan bahagian cuba menonjolkan calon sendiri atau diri masing-masing. Isu memburukkan sesama pemimpin, surat layang dan cubaan mensabotaj bakal calon, adalah antara perkara yang semakin panas diperkatakan sekarang. Beberapa wakil rakyat sudah mula terasa bahang apabila kerusi mereka sudah diintai pihak lain. Menyedari bahana yang akan tercetus sekiranya berlaku perasaan tidak puas hati selepas senarai calon dikeluarkan, Pak Lah menasihatkan calon yang dipilih supaya pandai membawa diri dan bagi yang tidak terpilih atau tidak dipilih semula, beliau berpesan supaya jangan merajuk kerana tidak ada istilah ‘merajuk’ di dalam politik. Sejarah Umno sudah banyak mencatat peristiwa pahit apabila ada pemimpin bahagian yang tidak dipilih bukan saja tidak membantu calon, bahkan menutup pejabat Umno, markas pilihan raya parti dan lebih buruk mensabotaj calon dengan memburukkan nama mereka. Amanat Presiden itu amat penting untuk dipegang oleh pemimpin politik berpengaruh yang mungkin tidak dipilih kerana memiliki prestasi serta kewibawaan mereka yang tidak disenangi peringkat akar umbi. Pemimpin kategori ini mungkin tidak berasa diri mereka tidak disukai, tetapi sekiranya tidak dipilih atau digugurkan, mereka perlu melakukan muhasabah diri kerana Pak Lah sudah pasti mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. Penekanan Pak Lah supaya wakil rakyat dan pemimpin politik memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelbagai isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini, membuatkan beberapa pemimpin negeri berharap ibu pejabat Umno dan agensi kerajaan berkaitan dapat menyediakan maklumat serta fakta penting untuk disebarkan kepada rakyat. “Bagi pengundi di Batu Pahat, saya lebih senang mengadakan dialog dalam kumpulan kecil berbanding dengan majlis besar. Memang banyak isu perlu dijelaskan kepada pengundi dan mereka juga banyak yang ingin bertanya kepada wakil rakyat,” kata Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Junaidy Abdul Wahab. Bagaimanapun, bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar, Dr Azam Rauzan, terlalu banyak isu yang berlaku dalam sesuatu masa sehingga menyukarkan wakil rakyat memberi penjelasan dengan pantas. “Baru kita hendak jelaskan satu isu, tiga isu lagi datang melanda. Wakil rakyat seperti saya memang berusaha memberi penjelasan, tetapi kadang kala tidak terkejar isu yang datang bertalu-talu,” kata wakil rakyat yang baru sepenggal ini. ‘Orang lama’ seperti Datuk Khamsiyah Yeop pula tidak bimbang apabila ditanya mengenai ‘report card’ yang akan diterima tidak lama lagi. “Pada waktu seperti ini, wakil rakyat yang turun ke akar umbi setiap masa dan sudah berkhidmat dengan baik tidak bimbang dengan ‘report card’ yang akan diterima. Hakikatnya ialah keputusan akhir masih di tangan Presiden,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu. Teringat kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz iaitu untuk menjadi wakil rakyat hanya dua perkara perlu dijaga - pertama, Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa muktamad untuk memilih calon; kedua, pengundi yang akan mengundi mereka. “Jika Perdana Menteri tidak mencalonkan, maka mereka yang berangan setinggi langit atau melobi macam nak rak, tidak akan menjadi calon. “Selepas menjadi calon pun, jika pengundi tidak suka dan tidak mengundi, kita tidak akan menjadi wakil rakyat,” kata Nazri yang teruk dikritik kerana lantang bersuara mengenai beberapa isu panas tahun lalu.
Wednesday, January 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment