MESIN sistem biometrik pengesanan cap jari tersergam di sebelah kanan meja Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad di Tingkat 38, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.
“Ni, untuk persediaan Perhimpunan Agung parti nanti,” reaksi Radzi spontan ketika ditanya Utusan Malaysia jenis mesin berupa seolah-olah pemain piring hitam ‘juke box’.
Pertemuan dengan Radzi yang diatur kira-kira empat setengah jam sebelum berlangsung mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di aras 39 bangunan sama Khamis lalu, menyerlahkan keyakinan beliau yang beberapa kali menyebut bahawa atas kapasiti Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN), komponen BN telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
Seperti penyediaan mesin berkenaan untuk persiapan pemilihan parti yang dijangka pada suku terakhir tahun ini, beliau berkata, persediaan rapi UMNO menghadapi pilihan raya umum ke-12 sebenarnya bermula lebih awal – dua tahun lalu.
“Sekarang kami telah bersedia kerana orangnya telah ada... maksudnya pengundi yang akan menyokong UMNO,” katanya sambil meneliti senarai terkini daftar pemilih ahli UMNO.
Radzi berkata, pilihan raya kecil Pengkalan Pasir di Kelantan pada 6 Disember 2005 adalah permulaan segalanya.
Ia pilihan raya kecil yang kedua diadakan selepas Kuala Berang, Terengganu.
“Pilihan raya kecil pertama tidak menjadikan parti teruja kerana masih hangat diselubungi kemenangan besar pada pilihan raya umum Mac 2004.
“Tapi pilihan raya kecil kedua ini, UMNO rasa lain sikit sebab kekalahan kepada Pas tempoh hari (2004) cuma 56 undi, jadi kita bertekad hendak menang,” katanya sambil merujuk hampir kesemua kerusi yang dimenangi baik Pas atau UMNO di Kelantan pada pilihan raya lepas mencatat paras majoriti bawah 1,000 undi – sebahagiannya defisit ratus dan puluh.
Harapan untuk menang di Pengkalan Pasir membuka episod baru menerusi penyemakan ahli UMNO sebagai pemilih di situ.
Rupa-rupanya terdapat 788 ahli UMNO di Pengkalan Pasir yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.
Akhirnya, dengan keupayaan jentera parti mengatur strategi, UMNO menang dengan majoriti 134 undi.
“Ini jadi iktibar kepada saya, kalau macam inilah ramai ahli UMNO belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara tetapi kita masih tidak berbuat apa-apa... habislah.
“Ibarat sebelum berperang, kalau tidak ada askar macam mana, sebenarnya kita ada ramai ahli UMNO daripada kalangan anak muda, tinggal lagi belum direkrut,” katanya.
Memenangi
Di seluruh negara ketika itu (awal 2006) terdapat 603,612 daripada keseluruhan 3,250,683 ahli parti yang melepasi umur 21 tahun belum mendaftar sebagai pemilih.
Ini bermakna dalam kalangan setiap lima orang ahli, seorang belum berbuat demikian. Di Kelantan, selepas UMNO memenangi kerusi Pengkalan Pasir, terdapat 42,243 ahli parti belum mendaftar.
Justeru, kata Radzi bermula Januari 2006, UMNO mula turun padang melancarkan kempen menetapkan semua ahlinya mendaftar sebagai pemilih.
“Kita bawa nama orang yang belum berdaftar ini dari ibu pejabat parti Kuala Lumpur ke setiap cawangan. Katakan cawangan Teluk Jambu dikesan tiga orang tidak mendaftar, lantas kita gesa ketua cawangan cari mereka sampai dapat dan arahkannya daftar,” katanya.
Hasilnya, sejumlah 240,000 ahli UMNO berjaya didaftarkan sebagai pemilih dalam tempoh dua tahun
“Ia fantastik... kita tidak fikir boleh capai,” kata Radzi.
Daripada 42,243 ahli UMNO yang belum berbuat demikian di Kelantan sehingga 31 Disember 2005 itu, seramai 20,303 orang berjaya disahkan status pemilih sehingga September tahun lalu. Begitu juga di Selangor (dari 90,863 ahli kini hanya berbaki 43,308 belum berbuat demikian) dan hasil positif turut dicatatkan di Kedah (48,077 menjadi hanya 23,371 belum berdaftar).
“Tiga negeri ini amat cemerlang khususnya berkaitan prestasi ahli parti di kawasan bandar, kerana itu anda lihat apabila daftar pemilih baru dipamerkan selama dua minggu setiap tiga bulan sekali oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kelantan, pasti ada bantahan daripada Pas yang bimbang dengan perkembangan ini,” katanya.
Sambil itu, Radzi memberitahu di Kelantan ketika ini sebanyak 13 lagi bahagian belum diwartakan daftar pemilihnya (belum disahkan), Terengganu (tiga) manakala Pahang, satu bahagian.
“Selaku Setiausaha Agung UMNO, saya cukup seronok, kita sudah clock in atau put in ahli UMNO sebagai pengundi. Tinggal sekarang, cuma hendak gerakkan jentera dengan beberapa minggu lepas banyak jentera UMNO negeri telah melaksanakan pilihan raya olok-olok (dry run)... saya yakin, kita dah ada orangnya (pengundi),” kata beliau.
Layak
Daripada 10,809,492 pemilih yang disahkan oleh SPR setakat September 2007, 5,664,662 orang adalah pengundi Melayu, 3,402,322 Cina, 722,953 India dan 1,019,555 lain-lain bangsa termasuk Siam dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Daripada 5,664,662 pengundi Melayu, 2.8 juta adalah ahli UMNO yang layak memilih kerajaan.
Bagi Radzi, kedudukan BN tidak tergugat dengan cabaran pembangkang, malahan keyakinan boleh menang selesa tetap di hatinya.
Tumpuan UMNO ketika ini ialah merampas kembali kerusi-kerusi yang kecundang seperti lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen di Kedah, Selangor (2 DUN), Perak (7 DUN) dan Terengganu (5 DUN).
BN juga menyasarkan Kelantan kembali ke pangkuannya selain turut memberi tumpuan kepada Pulau Pinang yang diuar-uarkan termeterai ‘perkongsian kuasa’ antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggugat kedudukan BN.
Pada pilihan raya umum lepas, BN mencapai kenaikan undi popular sebanyak 63.9 peratus. Parti pemerintah itu memenangi 198 kerusi Parlimen berbanding 20 kerusi gabungan parti pembangkang, dengan satu calon bebas. UMNO memenangi 109 kerusi – satu kenaikan sebanyak 32 kerusi.
Parti-parti sekutu UMNO juga memperoleh kenaikan bilangan kerusi dengan MCA memenangi 31 kerusi (kenaikan 2 kerusi) dan MIC meraih 9 kerusi, iaitu kenaikan 2 kerusi juga.
Mengenai isu yang dijangka digunakan pembangkang, Radzi tidak menolak kemungkinan pembangkang menggunakan isu kenaikan harga barang serta limpahan pendatang asing tanpa izin di negara ini. “Tapi kalau tak ada isu pun, dia akan cipta isu,” luah Radzi selamba.
Katanya, BN ketika ini sedang melakukan kajian sikap di seluruh 7,231 daerah mengundi (peti undi) yang mana senarai identiti pengundi akan cuba dipastikan dengan mengkategorikan mereka mengikut komposisi kaum, yakni tanggungjawab menarik hati pengundi Melayu diserahkan kepada UMNO, Cina (MCA) dan India (MIC).
Kemudian, ia diagih-agihkan pula mengikut pecahan misalnya lelaki berusia bawah 40 tahun dipertanggungjawabkan kepada Pergerakan Pemuda, Wanita (pengundi berusia atas 30 tahun) manakala Puteri, 30 tahun ke bawah.
Atas komitmen inilah, Radzi dan bironya sanggup turun padang sehingga beberapa kali membawa ‘berlori-lori’ daftar pemilih dan borang kajian sikap ini ke seluruh pelosok bahagian dan cawangan UMNO.
“Kita tidak boleh gagal, kumpulan-kumpulan ini akan dikategorikan secara terperinci. Insya-Allah, hasil kajian sikap ini akan diketahui penghujung Februari ini... di sini nanti kita sudah tahu trend sokongan pengundi.
Dari sini, kita boleh buat perbandingan,” katanya.
Mengenai telahan pembangkang kononnya faktor penampilan Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya ‘mengejutkan’ BN, Radzi secara peribadi menyatakan beliau tidak nampak sebarang keistimewaan penasihat PKR itu.
“Apa istimewanya dia. Semasa kempen pilihan raya kecil di Ijok, Anwar turun setiap malam tapi (PKR) tak menang pun.
“Macam meludah ke langit, kena batang hidung sendiri, dulu (semasa dalam kerajaan) cerita lain, sekarang cerita lain,” katanya sambil menekankan meskipun Ijok mempunyai ramai pengundi Melayu, UMNO tetap berkeyakinan sejak dari awal bahawa penampilan calon dari MIC mampu menewaskan PKR atas prinsip perkongsian kuasa sejak puluhan tahun lalu.
Bagi Radzi, meskipun UMNO dan BN mempunyai ‘askar’ yang cukup menghadapi pembangkang, tumpuan selepas ini ialah kepada mereka yang tidak menyertai sebarang parti.
“Lebih separuh daripadanya atau kira-kira 1.6 juta adalah orang Melayu. Di sini kita sedang atur strategi. Dengan pertambahan sekitar 9,000 hingga 10,000 ahli baru UMNO setiap bulan, UMNO yang menjadi tonggak BN yakin menang selesa pada pilihan raya nanti,” katanya.
Sebelum mengakhiri temu bual selama hampir 40 minit itu, Radzi mengimbau sejarah perkongsian kuasa di antara parti-parti komponen BN yang terjalin sejak era Parti Perikatan sekitar tahun 50-an.
“Sebab apa Perikatan yang kemudian diwarisi BN sentiasa menang setiap kali diadakan pilihan raya umum, tidak seperti negara-negara lain yang kerap bertukar kerajaan.
“Kerana rakyat selesa dengan dasar perkongsian kuasa kita... sebenarnya tidak ada kerusi yang panas pun,” katanya.
Monday, January 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment