Sunday, January 20, 2008

Drama politik Menteri Besar

APA yang dipaparkan dalam kempen parti-parti politik menjelang pilihan raya umum sebenarnya tidak dapat menyaingi drama yang berlaku di sekitar pemilihan calon-calon wakil rakyat yang prosesnya sedang berlangsung secara diam-diam sekarang.

Di Malaysia, drama itu menjadi lebih hangat, kontroversi dan kadangkala mencemaskan terutama dalam pemilihan calon-calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Kisah keupayaan atau kegagalan seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai ketua eksekutif di peringkat kerajaan negeri adalah cerita besar menjelang dan semasa pilihan raya umum.

Sebagai sebuah negara Persekutuan yang dianggotai 13 buah negeri, kuasa politik di Malaysia tidak berpusat di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sebaliknya ia tersebar ke 13 buah negeri itu dengan Menteri Besar mengetuai pemerintahan kerajaan di negeri-negeri beraja dan Ketua Menteri menerajui negeri-negeri yang mempunyai Yang Dipertua Negeri.

Oleh kerana latar belakang sejarah dan politik sesebuah negeri itu unik dan berbeza, kekukuhan kedudukan Menteri Besar atau Ketua Menteri di setiap negeri juga dilihat dengan kayu ukur yang berlainan.

Seorang Menteri Besar di Negeri Sembilan tidak boleh disamakan nasibnya dengan Ketua Menteri Sarawak. Cara bekerja Menteri Besar di Pahang dan Johor tidak serupa dengan Menteri Besar di Kedah dan Terengganu. Di sesetengah negeri, faktor-faktor bukan politik ada kalanya menjadi pencorak masa depan seseorang Menteri Besar.

Apabila baru-baru ini beberapa Menteri Besar secara terbuka memperkatakan mengenai prospek politik mereka dalam pilihan raya di negeri masing-masing, ia sebenarnya kenyataan yang terhasil daripada drama politik yang berlaku setiap lima tahun dengan latarnya adalah intrik dalaman parti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan beliau akan terus bertanding di DUN Rantau pada pilihan raya umum akan datang. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh pula dilaporkan berkata, beliau akur jika pucuk pimpinan parti mahu beliau bertanding di kerusi Parlimen supaya beliau boleh menjadi Menteri Pusat.

“Saya hanya seorang pekerja parti yang sanggup memberikan perkhidmatan dan sekiranya saya disuruh bertanding untuk kerusi Parlimen, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri,” kata Idris yang merupakan Ahli Parlimen Besut pada tahun 1995 tetapi kalah dengan 710 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri Kampung Raja pada pilihan raya umum 1999 ketika Pas merampas pemerintahan negeri Terengganu.

Empat tahun lalu, Idris, 53, mengetuai BN Terengganu menawan semula negeri kaya minyak itu daripada tangan Pas.

Kenyataan Idris dan Mohamad, 52, itu keluar dari mulut dua Menteri Besar yang baru sepenggal mengetuai pemerintahan kerajaan di negeri masing-masing. Apakah yang membuatkan Mohamad mahu kekal di Negeri Sembilan dan Idris bersedia meninggalkan Terengganu menjadi teka-teki banyak pihak.

Di Perlis, khabarnya terdapat syor supaya nama Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim diletakkan bertanding di kerusi DUN Tambun Tulang atau Parlimen Arau. Ertinya, Shahidan, 57, terdedah kepada prospek sama ada mengekalkan jawatan Menteri Besar atau bertanding di kerusi Parlimen bagi memberi peluang kepada muka baru menjadi Menteri Besar Perlis selepas pilihan raya umum akan datang.

Bergelora

Di Perak pula, keadaan politiknya nampak tenteram di permukaan tetapi begitu bergelora di dasar kerana Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, kini 64 tahun, beberapa tahun lalu memberi isyarat beliau tidak mahu lagi menjadi Menteri Besar apabila pilihan raya umum ke-12 diadakan. Ini membuatkan perlumbaan politik di kalangan tokoh UMNO di negeri itu semakin ligat.

Tiada formula khusus dalam menentukan kedudukan seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam pilihan raya umum. Punca seseorang bertanding walaupun pada usia yang tidak lagi aktif atau digugurkan lazimnya menjadi rahsia peribadi Perdana Menteri.

Bekas Setiausaha Agung UMNO dan BN, Tan Sri Mohamed Rahmat masih ingat bagaimana dua bulan sebelum pilihan raya tahun 1969, pucuk pimpinan Perikatan ketika itu memberitahu seorang Menteri Besar di sebuah negeri Pantai Barat bahawa beliau tidak akan dicalonkan semula. “Menteri Besar itu merajuk,” katanya sambil membayangkan makluman lebih awal mengenai pengguguran mana-mana Menteri Besar boleh menjejaskan kelancaran kempen pilihan raya.

Menurut Mohamed, dalam lima kali pilihan raya umum pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad antara tahun 1981-2003, amalan ketika itu ialah Perdana Menteri hanya memaklumkan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri mengenai nasib mereka sama ada dikekalkan atau digugurkan dua hari sebelum hari penamaan calon.

Bekas Menteri Penerangan itu percaya populariti seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh mencorakkan keputusan pilihan raya. “Saya fikir BN dan UMNO tidak akan kalah di Kelantan pada pilihan raya umum 1990 jika Menteri Besar Kelantan ketika itu digantikan dengan orang lain. Begitu juga dengan kekalahan di Terengganu pada pilihan raya 1999,” kata Mohamed.

Ketika banyak pihak mengatakan Menteri Besar kedua-dua negeri itu merupakan satu liabiliti kepada UMNO dan BN, Dr. Mahathir memilih untuk mengekalkan Tan Sri Mohamad Yaacob di Kelantan dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di Terengganu dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Akibatnya kita kalah teruk,” kata Mohamed kepada Mingguan Malaysia dalam satu temu bual Jumaat lalu.

Dilema pucuk pimpinan ialah bagaimana untuk memberitahu seseorang Menteri Besar dan Ketua Menteri bahawa mereka tidak popular lagi di kalangan pengundi, rakyat mahukan perubahan dan proses rejuvenation tidak harus disekat.

Namun, ada Perdana Menteri yang tidak sampai hati untuk membuang sahabat yang pernah berjuang bersama selama bertahun-tahun.

Tindakan itu amat sukar tetapi isyarat daripada rakyat, kata Mohamed, kena dianalisis oleh pucuk pimpinan parti dengan keberanian. “Saya percaya Pak Lah ada kebijaksanaan dan tahu Menteri Besar mana yang buat kerja, banyak idea dan bukan setakat untuk memanaskan kerusi,” katanya.

Setiap Menteri Besar dan Ketua Menteri di Malaysia mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dari segi kelulusan, lapan daripadanya mendapat pendidikan di universiti seberang laut manakala lima lagi merupakan lulusan universiti tempatan.

Oleh kerana lumrah politik, menjaga hati penyokong dan atas sebab-sebab di luar kawalan mereka, di sebalik kekuatan itu sebahagian besar ketua kerajaan negeri gentar untuk melaksanakan program peralihan kuasa. Hampir di semua negeri, program menyediakan pengganti tidak disediakan kerana masing-masing menganggap ia merupakan tanggungjawab Perdana Menteri.

Di Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memegang jawatan Ketua Menteri sejak tahun 1981 dan bayang orang yang boleh menggantikannya masih belum kelihatan. Dengan bertaut kembali hubungan antara Taib, 72, dengan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yaakub baru-baru ini, politik di Sarawak kini lebih tenang walaupun ada sedikit kekhuatiran mengenai aspirasi politik pengundi Cina di kerusi-kerusi bandar.

Di Johor, cakap-cakap tentang kemungkinan Datuk Abdul Ghani Othman, 62, meninggalkan jawatan Menteri Besar masih diperkatakan empat tahun selepas usaha untuk menariknya kembali bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2004 gagal setelah pihak istana tidak bersetuju dengan perubahan itu.

Di Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, 59, disebut-sebut akan bertanding di Parlimen sesuai dengan statusnya sebagai Naib Presiden UMNO manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, 43, dikatakan tidak mahu berganjak dari negeri di Lembah Klang itu.

Mohd. Ali memberitahu Mingguan Malaysia: “Saya serahkan kedudukan saya kepada Perdana Menteri.” Ditanya adakah beliau lebih selesa bertanding di kerusi Parlimen bagi mencuba nasib sekali lagi dalam politik nasional, dalam nada ketawa Ketua Menteri Melaka sejak 1999 yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan itu menegaskan sekali lagi: “Saya serahkan kepada Perdana Menteri.”

Filosofikal

Datuk Seri Adnan Yaakob telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang sejak tahun 1999 menggantikan Tun Mohd. Khalil Yaakob yang dibawa ke Pusat untuk menjadi Menteri Penerangan sewaktu gerakan reformasi berada di kemuncak kekuatannya. Bekas guru itu agak filosofikal mengenai prospek politiknya.

Dalam satu ucapan di Maran pada 31 Disember lalu, Adnan, 58, berkata: “Macam saya besok, tiba-tiba Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kata, cukuplah jadi Menteri Besar, saya nak ganti dengan orang lain pula. Alhamdulillah Pak Lah, terima kasih banyak. Tanggungjawab ini besar dan bukan senang. Eloklah masalah rakyat, orang lain fikir pula. Setidak-tidaknya saya merasa jadi Menteri Besar lapan tahun, orang lain lapan hari pun tak merasa.”

Bagaimanapun, kehendak seseorang Menteri Besar adalah keinginan peribadinya tetapi plot politik tidak berhenti di situ kerana nasib mereka ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Prerogratif Abdullah sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) akhirnya memastikan ke mana haluan seseorang ketua kerajaan negeri. Ketua-ketua kerajaan negeri itu boleh mencadangkan calon-calon lain yang akan bertanding dalam pilihan raya tetapi takdir mereka sendiri kadangkala mereka tidak tahu.

Selepas mendapat maklumat daripada pelbagai pihak, meninjau pandangan akar umbi dan gerak hati sendiri mengenai perubahan yang beliau ingin lakukan di negeri-negeri, Perdana Menteri akan membuat pilihan.

Pucuk pimpinan mungkin terpesona dengan idea untuk membawa beberapa menteri Kabinet memperkuatkan pentadbiran negeri, tetapi desas-desus yang kedengaran ialah ada menteri merasakan mereka tidak cocok untuk berkhidmat di negeri sendiri.

Seorang wakil rakyat UMNO di negeri Utara percaya Abdullah menilai Menteri Besar dan Ketua Menteri berasaskan kepada kemampuan ketua-ketua kerajaan negeri itu menjadi ketua politik yang dapat mewujudkan kestabilan serta keupayaan mereka menguruskan negeri ke arah pertumbuhan yang lebih pesat dari segi ekonomi.

“Untuk kekal menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, seseorang itu perlu seimbang dalam kedua-dua aspek itu,” katanya.

Isu pilihan raya di peringkat negeri sebenarnya berlainan dengan isu di peringkat nasional. Ahli sosiologi, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, walaupun isu-isu nasional seperti ekonomi, kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup dan jenayah menjadi keprihatinan elit politik yang berpusat di Lembah Klang tetapi di negeri-negeri isu lokal merupakan penentu keputusan pilihan raya.

“Di negeri-negeri, mutu perkhidmatan wakil rakyat, janji-janji wakil rakyat untuk membangunkan kawasan serta perdebatan polisi-polisi kerajaan yang memberi kesan kepada orang ramai, misalnya dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, lebih dibimbangi oleh para pengundi,” katanya.

Persoalan lain yang tidak kurang mustahak ialah sejauh mana parti-parti politik dapat memenangi hati pengundi wanita, membuat penyesuaian dengan tuntutan politik golongan muda selain mendapat kepercayaan kakitangan awam yang merupakan 10 peratus daripada jumlah pengundi di seluruh Malaysia.

Di kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN di negeri-negeri, Dr. Shamsul Amri berkata, secara purata 30 peratus pengundi menyokong parti kerajaan, 30 peratus bersama pembangkang manakala 40 peratus lagi pengundi atas pagar yang mengundi dalam pilihan raya umum berdasarkan penilaian mereka terhadap kualiti dan karakter calon- calon yang bertanding.

Ingatan beliau kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri yang akan bertanding semula pada pilihan raya umum ke-12 dan bakal mengetuai kempen-kempen pilihan raya di peringkat negeri ialah pastikan 40 peratus pengundi atas pagar itu tidak melompat ke dalam kawasan pagar yang salah.

No comments: