KRISIS dan tragedi politik tidak semuanya buruk. Di Malaysia, ada kalanya ia menguatkan lagi sesebuah parti politik dan kerajaan, selain memberi fokus baru kepada arah tuju politik negara.
Sungguhpun kerap dilihat dari sudut negatif, manfaat krisis umumnya sudah diterima ramai dan ia sering berulang dalam sejarah. Banyak kes boleh diberikan untuk menunjukkan sumbangan positif krisis kepada politik.
Kita tentu masih ingat bagaimana krisis pada akhir dekad 1990-an menyukarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat seketika tetapi kemudian parti tulang belakang kerajaan itu muncul dengan kekuatan yang hebat dalam pilihan raya umum 2004.
Apabila BN dilanda ribut kecil baru-baru ini ekoran daripada peletakan jawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kerana penyebaran cakera video digital (DVD) seks, sebenarnya episod itu membuka dimensi yang lebih segar kepada pemilihan calon-calon wakil rakyat daripada parti-parti komponen BN.
Kini wujud saringan yang lebih teliti, rapi dan ketat. Jika dahulu tapisan untuk menjadi seorang calon pilihan raya adalah rangkaian politik, sosial, undang-undang dan hubungan dengan Perdana Menteri, sekarang soal moral menjadi satu isu yang tidak dapat diketepikan.
Moral menjadi satu bentuk tapisan baru dalam menentukan pemilihan wakil-wakil rakyat pascapeletakan jawatan Soi Lek.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kelmarin berkata hanya calon yang bebas daripada masalah moral termasuk skandal seks layak menjadi calon BN di negeri itu dalam pilihan raya umum ke-12 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ertinya, calon-calon yang moral mereka dipersoalkan tidak akan mendapat tempat atau tidak akan dicadangkan oleh pucuk pimpinan negeri untuk bertanding dalam pilihan raya itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menekankan tentang efisiensi seseorang ahli politik sebagai prasyarat untuk mereka dicalonkan sebagai wakil rakyat.
Beliau mengulangi persefahaman dalam parti memerintah sekarang bahawa BN perlu mengetengahkan calon-calon pilihan raya yang boleh diterima dan disenangi oleh rakyat.
Selepas kes Soi Lek, keperibadian ahli-ahli politik dipantau oleh pucuk pimpinan parti dan orang ramai, dan tentu sekali ia juga menjadi keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah yang percaya kepada mustahaknya kejujuran politik telah memperkenalkan Kod Etika Bagi Ahli Parlimen Kerajaan selepas pilihan raya umum 2004.
Mukadimah risalah kod itu menyatakan bahawa “akhlak dan sebarang tindakan ahli Parlimen kerajaan secara rasmi atau peribadi akan mencerminkan kewibawaan kerajaan serta mempunyai implikasi ke atas masyarakat dan negara.”
Ketika mengumumkan penguatkuasaan kod itu pada April 2004, iaitu beberapa minggu selepas beliau mengemudi BN memenangi pilihan raya umum 21 Mac 2004 dengan mandat terbaik dalam sejarah, Abdullah mengingatkan betapa pentingnya bagi ahli Parlimen yang dipilih memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat, menjaga nama baik kerajaan dan negara serta tidak terlibat dalam sebarang unsur-unsur jenayah dan salah guna kuasa.
Wakil-wakil rakyat di bawah pentadbiran Abdullah dituntut pada setiap masa berkelakuan yang boleh meningkatkan kepercayaan rakyat kepada integriti Parlimen. Sudah tentu dengan perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini dan seruan-seruan kepimpinan BN supaya isu moral diberi tumpuan akan menyebabkan kerajaan memperkenalkan penuras yang akan menyaring secara menyeluruh latar belakang seseorang sebelum individu itu ditawarkan menjadi calon BN.
Kualiti seperti kerja kuat, mempunyai hubungan baik dengan masyarakat dan setia kepada parti belum cukup dalam politik pada era ini. Bakal ahli politik BN yang menduduki kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlu lebih well-rounded dan sempurna.
Pada masa ini, setiap dua tahun wakil-wakil rakyat BN wajib membuat pengisytiharan harta dan terpaksa mengisi borang pengisytiharan yang begitu terperinci. Di dalamnya mereka diminta mengisi butiran tanggungan masing-masing, isteri, anak-anak dan adik-beradik.
Selepas apa yang berlaku, pemantauan ke atas wakil-wakil rakyat itu kini melampaui isu salah guna kuasa dan rasuah. Latar belakang bakal-bakal calon pilihan raya sudah tentu akan diselidiki secara lebih terperinci, dan bukan setakat mengambil tahu aset-aset yang mereka miliki.
Menjelang pilihan raya umum ke-12, hanya mereka yang benar-benar boleh menguatkan BN dan kerajaan semasa dan selepas pilihan raya umum akan muncul sebagai calon parti memerintah itu.
Mana intan dan mana kaca dalam politik diberi penilaian baru menjelang pilihan raya umum itu. Di bawah saringan baru, ahli politik yang dulunya kaca mungkin menjadi intan, dan ada pemimpin yang selama ini merasakan dirinya intan kini terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah bertukar menjadi kaca.
Dalam proses itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kelak akan dipenuhi para pemimpin idaman kita semua yang mencerminkan nilai-nilai politik yang lebih baik.
* BAHAROM MAHUSIN ialah Penolong Pengarang Utusan Malaysia.
Wednesday, January 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment