Wednesday, January 16, 2008

Memilih calon, isu atau parti


Bahang pilihan raya sudah mula terasa. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam jangka masa terdekat ini. Ada parti yang sudah mula mencari calon dan ada pula yang mula menyiapkan senarai mereka.
Pilihan raya yang ke-12 ini merupakan pilihan raya yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelas pilihan raya telah diadakan sejak kemerdekaan dan Barisan Nasional (BN) yang dulunya dikenali sebagai parti Perikatan tidak pernah gagal mempertahankan majoriti kerusi peringkat Parlimen.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), pembangkang pernah mengetuai kerajaan beberapa buah negeri termasuklah Terengganu oleh Pas pada tahun 1959 dan 1999; Pulau Pinang pada 1969 oleh Gerakan ketika berada di luar BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Sabah pada tahun 1985 sebelum parti ini menyertai semula BN.

Sejak pilihan raya tahun 1990, diikuti tahun 1995, 1999 dan 2004; Pas tidak pernah gagal untuk mentadbir negeri Kelantan yang pernah dipimpinnya pada tahun 1959 dan 1969. Adakah jika pembangkang menang di peringkat Parlimen, barulah demokrasi dianggap subur di Malaysia? Senario di atas menunjukkan BN tidak pernah gagal meyakinkan pengundinya di peringkat Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Yang menjadi ramalan bukan sekadar tarikh pilihan raya tetapi juga bilangan kerusi yang akan dimenangi oleh mereka. Adakah kerana kesemua pilihan raya di peringkat Parlimen dimenangi oleh BN menerusi proses pengundian bermakna amalan demokrasi melalui pilihan raya tidak wujud di Malaysia?

Proses menang kalah dalam pilihan raya berlaku di bawah amalan demokrasi. Boleh jadi pernyataan pihak pembangkang yang sering menyatakan bahawa mereka hanya berminat untuk mengurangkan majoriti dua pertiga parti BN menyebabkan mereka masih belum berjaya meyakinkan para pengundi?

Pelbagai faktor diambil kira oleh pengundi hari ini dalam proses menentukan undi mereka. Ada yang mengundi berdasarkan kepada faktor statusquo atau kestabilan dan pembangunan, ada pula yang mengundi kerana ideologi. Idea keadilan dan demokrasi juga boleh menjadi modal pengundi.

Tidak kurang juga menggunakan faktor etnik. Pola pengundian juga berbeza dalam kalangan pengundi bandar dan luar bandar serta dalam kalangan pengundi kelas atasan atau pertengahan. Begitu juga dengan pengundi wanita dan belia.

Hakikatnya, dalam persekitaran hari ini, isu menjadi dominan walaupun parti-parti politik menampilkan calon yang hebat latar belakangnya. Tidak dapat dinafikan, dalam suasana ledakan globalisasi yang mahu melihat lebih ramai calon yang berwibawa dan bersedia untuk berkhidmat, yang mahu dilihat pengundi adalah sejauh mana isu-isu yang hadir dalam suasana persekitaran hari ini akan dapat ditangani dengan berhemah.

Penjelasan dan penerangan akan membantu meningkatkan pemahaman masyarakat ke atas sesuatu isu. Misalnya, ramai mengeluh harga barangan naik secara mendadak tanpa sedar bahawa hampir seluruh dunia menghadapi masalah makanan. Harga melambung naik bukan sekadar masalah dalaman kerana ia juga melibatkan soal penawaran dan permintaan serta peredaran semasa yang melihat perubahan iklim, musim dan cuaca yang sukar diramal sehingga mempengaruhi pengeluaran.

China berhadapan dengan masalah jagung; Australia pula dengan anggur; minyak petroleum dijangka melambung naik, penukaran gandum dengan soya menyaksikan adanya pertembungan harga sebagaimana ke atas kelapa sawit. Amerika Syarikat pula bakal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi. Dunia juga berhadapan dengan peperangan.
Walaupun keadaannya sedemikian rupa, Malaysia masih boleh berbangga. Walaupun peningkatan harga dalam beberapa barangan tidak dapat dielak, ia masih terkawal. Projek pembangunan juga terus dilakukan.

Ada ahli teori yang mengandaikan bahawa dengan pertumbuhan pesat dalam sesebuah negara, maka ini akan turut mempengaruhi barometer demokrasi. Ternyata ia tidak berlaku di Malaysia. Yang jelas, golongan celik meraikan idea kebebasan, demokrasi dan keadilan tetapi ia berlaku dalam sfera peribadi kerana pola pengundian sehingga ke hari ini adalah berpaksikan kestabilan, keharmonian dan pertumbuhan ekonomi.

Lazimnya, kelompok ini adalah pengundi atas pagar memandangkan parti pemerintah mahupun pembangkang sudah memiliki hampir 40 peratus pengundi yang setia kepada parti masing-masing. Baki 20 peratus sering menjadi penentu dan golongan ini acap kali mengekalkan kepimpinan yang ada melainkan parti ini gagal membangunkan masyarakat sama sekali.
Kelompok ini juga berpengaruh untuk melahirkan ‘undi protes’ bukan kerana tidak setia kepada parti tetapi untuk mempamerkan rasa tidak puas hati ke atas sesuatu isu.
Pengundi perlu tahu mengapa undi mereka penting. Undi bukan sekadar untuk menjatuhkan sesuatu rejim tetapi pemangkahan perlu dilakukan dengan rasional. Mengapa BN menjadi pilihan selama ini. Kekuatannya jelas. Kemuafakatan politik di bawah satu simbol yang bersifat homogenous mempamerkan keyakinan kepada pengundi.

Ini berbeza dengan pembangkang yang dikatakan melahirkan pakatan bermusim. Pakatan yang bukan disertai oleh kesemua parti pembangkang tetapi pakatan yang bersifat marriage of convenience. Misalnya, Keadilan mahu bekerjasama dengan DAP dan DAP juga bersetuju untuk bekerjasama dengan Keadilan tetapi DAP tidak mahu bekerjasama dengan Pas yang akan bekerjasama dengan Keadilan.

Adakah DAP khuatir akan wujud label ‘satu undi DAP, satu undi negara Islam’ yang boleh mempengaruhi pengundi Cina sehingga mereka tewas teruk dalam pilihan raya tahun 1999? Ada juga menganggap kerajaan menggunakan jentera kerajaan, media dan wang untuk memancing undi tetapi rasionalnya, mengapa BN masih menjadi pilihan?
Adakah isu lain lebih dominan daripada calon atau kemuafakatan politik antara parti pelbagai etnik di bawah satu gabungan bersama menjadi tarikan utama? Pengundi hari ini matang dalam memerhati, mengamati dan mendalami sesuatu isu.

Isu tidak akan dikompromi oleh pengundi berbanding calon yang bakal bertanding. Adakah keyakinan, pengorbanan, sikap toleransi dalam BN menjadi indeks utama pemilihan pilihan raya? Apakah pembangkang mampu mengubah mentaliti ini kerana selama ini, kemenangan mereka dirujuk kepada kelemahan parti kerajaan dan bukan kekuatan pembangkang sendiri.
Sering kali kelemahan BN ditonjolkan tanpa mengukur diri sendiri. Pemilihan calon yang salah terutama berasaskan faktor emosi, jentera yang tidak berfungsi, ketiadaan perancangan masa depan realistik dan kempen yang kurang efektif walaupun beriaia mahu bertanding di semua kawasan menunjukkan yang diutamakan adalah pencapaian peribadi dan bukan di sebaliknya.
Beberapa isu pernah menjadi tema besar pilihan raya seperti konfrontasi, parti baru, kerjasama pembangkang, isu perkauman, personaliti politik serta prestasi dan kestabilan berterusan. Pilihan raya kali ini akan melihat beberapa isu terutama isu keharmonian, ekonomi, sosial dan keadilan yang dianggap akan menjadi asas pola pengundian.

Yang pasti, pilihan raya kali ini bukan sahaja akan melihat pengunduran beberapa pemimpin utama negara tetapi ia juga bakal melahirkan beberapa pemimpin pelapis untuk generasi akan datang. Adunan pelbagai latar belakang calon di bawah parti yang bertanding dan sejauh mana isu yang dikemukakan dapat difahami oleh pengundi akan melakar pilihan raya kali ke-12 ini yang berbeza dengan suasana pilihan raya tahun 2004.

* DR. SIVAMURUGAN PANDIAN ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

No comments: