Sunday, January 27, 2008

Memanfaatkan 'kuasa satu undi'

Bakal pengundi kena bijak pilih calon pastikan kebajikan jadi keutamaan TEKA-TEKI tarikh pilihan raya kini menjadi bualan hangat khususnya orang politik sama ada daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu pun parti pembangkang.

Namun, keputusan pembubaran Parlimen dan penetapan tarikh mengundi akan diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti yang bertanding sudah memasang kuda-kuda masing-masing untuk memenuhi tuntutan demokrasi. Soalnya, bagaimana dengan kita sebagai rakyat Malaysia yang mendaftar dengan SPR? Adakah kita sudah bersedia untuk menterjemah 'kuasa satu undi' yang menjadi hak kita di bawah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang diguna pakai secara menyeluruh sejak sebelum Merdeka pada 1955 hingga ke hari ini dengan sebaik-baiknya.

Sering kali kita mendengar ada sebilangan orang ramai bersungut dan mengkritik keputusan pilihan raya, walaupun segala-galanya dilaksanakan dengan telus dan penuh integriti oleh SPR. Apa yang menyedihkan ada yang tidak berpuas hati itu, tidak pula menterjemahkan hak mereka dengan mendaftar sebagai pengundi. Mereka sekadar bercakap dan mengkritik, tetapi tidak pula mengundi. Berdasarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Rahman, setakat Jun 2007, jumlah pengundi berdaftar di seluruh negara adalah 10,322,956 orang dan masih ada kira-kira 4.6 juta lagi rakyat Malaysia yang layak mengundi masih gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Hakikatnya perbezaan satu undi mampu memisahkan antara yang menang dan kalah. Contohnya jika Parti A mendapat 1,000 undi dan Parti B mendapat 1,001 undi 'sudah terang lagi bersuluh' dan 'setelus peti lutsinar' yang bakal digunakan nanti, Parti B akan diisytiharkan menang. Yang kalah pasti akan meminta pengiraan semula dibuat. Kebetulan Parti B menang kerana kuasa satu undi itu tidak dinikmati penuh syukur oleh pengundi yang berhak. Pada masa itu, jika Parti B bukan yang kita hasratkan untuk mewakili suara kita tidak perlu kita bersungut dan mengatakan SPR tidak adil. Bak kata pujangga 'lama tak dapat tanduk telinga dipulas.'

Di bawah Bahagian 8 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah kelayakan pemilih, setiap warga negara berusia 21 tahun, bermastautin di dalam suatu bahagian atau kawasan pilihan raya serta berada dalam senarai daftar pemilih adalah layak untuk mengundi. Jika kriteria yang dinyatakan dipenuhi anda adalah seorang warga negara yang sahih sudah mendapat kuasa satu undi. Inilah masa dinantikan orang yang mempunyai kuasa satu undi untuk menunaikan hak perlembagaan mereka.

Melainkan anda individu yang ditakdirkan sakit otak atau cacat otak dan dirawat atau dijaga di suatu bahagian pilihan raya kapasiti anda untuk mengundi terjejas dan dianggap bukan pemastautin di bahagian itu. Keadaan ini menunjukkan perlunya kita yang sihat dan waras menggunakan kesihatan kita yang baik untuk memangkah kertas undi bagi memilih calon yang menjadi 'pilihan hati'.

Dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan, komunikasi tanpa wayar hari ini kuasa satu undi ini tidak dapat dinikmati semua penduduk di dunia. Cuma negara yang mengamalkan sistem kerajaan demokrasi mendapat hak istimewa ini. Demokrasi dalam istilah kerajaan Rumawi bermaksud pemerintahan rakyat, yang bermaksud kita akan memilih anggota Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen bagi mewakili suara kita di kedua-dua dewan ini. Suara Ahli Dewan Rakyat adalah suara yang kita pilih dan sebarang pilihan yang dibuat perlu dibuat dengan mengambil kira kempen pilihan raya yang diadakan sebelum dan sepanjang pilihan raya. Siapa yang layak atau tidak perlu kita perhalusi dalam minda. Gunakan lima pancaindera kurniaan Ilahi sebaik-baiknya kerana di sesetengah negara tidak kira dalam Asean atau negara Asia lain, ada negara yang rakyatnya memperjuangkan impian kosong untuk mendapatkan kuasa satu undi bagi memilih pemimpin mereka. Mereka sanggup berdemonstrasi dan berpiket demi mendapat hak yang sudah lahir dengan kita di Malaysia bumi bertuah ini. Perlulah kita sedar tidak kira apa bangsa, kaum, agama, suku-sakat, kroni, usahawan, pelajar dan lain-lain jika kita warga negara hargai dan bersyukur dengan kuasa satu undi yang ada di antara ibu jari, pen dan jari telunjuk kita ketika memangkah kelak. Bagi bakal calon pilihan raya pula sewajarnya tidak menjadikan pilihan raya medan untuk mereka menunjukkan kuasa berlengan, bertegang urat dan siapa yang paling kuat fizikalnya kerana bagi generasi muda-mudi masa kini yang kebanyakannya generasi ketiga selepas Merdeka sudah terdedah dengan berbagai propaganda politik sama ada dalam media cetak dan internet. Mereka didedahkan dengan laman 'sawang labah-labah' yang memerangkap semua elemen tidak kira prokerajaan atau sebaliknya.

Generasi ketiga ini masih lagi mentah dengan tanggungjawab sivik mereka. Lebih menyedihkan kemakmuran negara ada kalanya melalaikan mereka. Kadang-kadang mereka berasakan segala-galanya datang bergolek dan bukan kerana usaha pemimpin terdahulu. Sebagai orang muda berdarah panas, jika diayak-ayak dengan kempen tanpa tapisan pasti akan menggunakan kuasa satu undi sewenang-wenangnya. Perlulah setiap calon bertanding lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan manifesto pilihan raya, kerana generasi ketiga ini yang masih muda kebanyakannya penyokong atas pagar. Mereka akan melihat apa faedah yang akan dibawa calon bertanding kepada mereka dan apakah input kempen calon dan wakil komponen sepanjang kempen berlangsung. Sememangnya peluang menanti untuk kita sebagai pengundi yang layak untuk memenuhi tanggungjawab sosial kepada negara yang kita cintai ini. Bagi yang layak jangan kerana keselesaan kita kepada keadaan masa kini kita membuat pilihan yang tidak tepat, memilih calon sama seperti kita memilih orang yang bertanggungjawab menyediakan kehidupan kita agar lebih selesa. Calon yang menang ini akan menjadi orang yang kita cari untuk mendapat peruntukan jalan raya, lampu jalan dan terbaru CCTV. Kita boleh merujuk rekod lampau dan bagi calon baru seperti biasa akan cuba membuktikan ketrampilannya untuk dipilih tanpa banyak soal dan fikir oleh pengundi. Di wajah calon pilihan raya kelak senyuman akan sering berlari di wajah mereka, gigi akan lebih lembut daripada lidah hingga sukar membezakan peraih undi dan calon itu sendiri. Oleh itu, kepada bakal pengundi apabila semboyan pilihan raya berbunyi, marilah kita melaksanakan hak kita. Jika bekerja di bandar dan mendaftar mengundi di kampung segeralah memohon cuti. Jika yang baru mendaftar, segera menyemak nama di pejabat SPR terdekat kerana khuatir langkah pulang ke kampung menjadi sia-sia. Berpeluh-peluh beratur di dewan sampai giliran, nama tiada dalam pendaftaran pemilih. Justeru, lakukan segera jika berlaku kemungkinan pemindahan tempat mengundi kerana kuasa satu undi ini bukanlah selalu boleh digunakan kerana ia datang lima tahun sekali. Walaupun undi kita hanya satu, percayalah 'tiada satu tiada seribu'.

No comments: