Selepas 10 tahun menjadi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu, ia sekaligus membuka laluan untuk satu pertandingan. Setakat ini empat calon sudah mengesahkan akan bertanding mereka ialah Naib Ketuanya, Khairy Jamaludin, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Memandangkan cabaran yang bakal dihadapi oleh Pemuda bukan mudah dan bagi mengetahui misi mereka, Mingguan Malaysia menemuramah calon-calon tersebut.
Untuk keluaran ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan AMRAN AHMAD menemuramah Mukhriz di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan hampir sejam itu Mukhriz menjelaskan kenapa beliau bertanding jawatan itu dengan membawa ‘tagline’ ‘Berani Berubah’ dan membentangkan agendanya jika terpilih menjadi Ketua Pemuda. Mukhriz berharap, ahli-ahli Pemuda akan menilai kewibawaan setiap calon yang bertanding itu dengan bijaksana dan membuat keputusan memilih seseorang itu demi masa depan bangsa, agama dan negara.
Menurut beliau, apa yang berlaku sedang diperhatikan oleh rakyat, jika UMNO tersalah langkah memilih pemimpin sudah pasti mereka akan ditolak sama sekali oleh rakyat.
``Saya mohon kepada semua ahli UMNO supaya sebelum melakukan apa jua perkara dalam pemilihan, fikirkan secara bijak kerana yang kita buat hari ini memberi kesan kepada masa depan anak-anak kita,’’ katanya.
MINGGUAN: Kenapa Datuk membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO?
MUKHRIZ: Kalau kita lihat pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Pilihan raya kecil Permatang Pauh ia membuktikan bahawa orang muda tidak menyokong kita.
Bagi saya, ini menimbulkan persoalan kerana kalau dilihat pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah satu alternatif yang boleh menyaingi UMNO dan BN. Jadi sudah tentu ada sebab kenapa generasi muda tidak bersama kita. Saya lihat fenomena ini berlaku dalam tempoh terdekat, ini kerana 4 hingga 5 tahun lepas orang muda masih bersama dengan kita.
Oleh itu kita perlu bermuhasabah melihat di mana silap dan harus memperbetulkannya. Jentera parti juga sepatutnya melakukan persediaan dari sekarang bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Kita perlu faham bahawa pelajar-pelajar yang berada di tingkatan enam pada tahun ini akan mengundi pada tahun 2012 atau 2013. Maksudnya orang muda berusia 18 tahun sekarang ini harus didekati mulai dari sekarang dan diramalkan 1 juta pengundi baru akan mendaftar dalam tempoh empat tahun ini, kita boleh membuat andaian bahawa 99 peratus daripadanya adalah orang muda.
Oleh sebab itu kalau kita menggunakan pendekatan yang sama dan sudah terbukti gagal pasti kita akan menerima padahnya dalam pilihan raya umum akan datang. Mungkin badai yang lebih besar daripada tsunami politik akan melanda. Silap-silap negeri di kawasan Selatan pun kita boleh tumbang, inilah yang kita hendak elakkan.
Itu sebabnya apabila kita kata pendekatan yang baru dan strategi yang baru saya ingat maksudnya perlu ada orang baru juga untuk memimpin. Kalau hendak katakan saya orang baru tidak juga kerana saya sudah pun empat tahun menjadi Exco Pemuda.
Oleh kerana saya selama ini menongkah arus dan tidak sentiasa sependapat dengan kepimpinan Pemuda sendiri tetapi saya percaya ahli Pemuda faham apa yang saya lakukan bukan untuk melemahkan tetapi demi menguatkan parti. Itu sebab saya tawarkan diri kerana saya fikir sudah tiba masanya kita melalui satu transformasi yang dapat menyakinkan semula orang muda terhadap kita.
Apakah signifikannya di sebalik ‘tagline’ berani, berubah yang Datuk uar-uarkan?
MUKHRIZ: Pertamanya, berani, sudah ramai orang mengatakan kita seolah-olah sudah hilang sifat keberanian, berani itu bukanlah bermaksud kita hendak menentang kepimpinan kita sendiri. Tetapi kita kena berani menyuarakan apa yang terbuku dalam hati kita dan lebih penting lagi apa yang kita lihat sentimen di peringkat akar umbi.
Pemuda adalah barisan yang menghubungkan akar umbi dengan kepimpinan tertinggi. Jadi kalau kita tidak main peranan ini maka saya ingat akan ada kepincangan komunikasi antara peringkat atas dan bawah. Akibatnya sudah tentu keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat atas benar-benar tidak mencerminkan apa yang dirasai di bawah. Jika itu berlaku, maka kita kena berani untuk bertindak, bersuara dan menyatakan apa yang kita rasakan benar.
Sebagai contohnya, saya sendiri tidak setuju dengan keputusan kerajaan membatalkan jambatan bengkok. Saya katakan kalau itu menjadi trend di mana kenyataan kepimpinan UMNO dan BN menggunakan alasan kerana rakyat tidak mahu jambatan maka kerajaan pun membatalkannya lama kelamaan kita menjadi tidak relevan. Ini kerana kita tahu rata-rata orang Johor mahu jambatan tersebut tetapi tidak mahu menjual pasir dan membuka ruang udara kepada jet pejuang Singapura.
Dalam soal ini kita bukan sahaja menggunakan alasan rakyat tidak mahu tetapi kita macam menyalahkan pula rakyat atas keputusan itu. Jadi perkara-perkara seperti ini Pemuda harus berani bercakap dan sampaikan mesej kepada kepimpinan kita bahawa kalau ini yang kita buat silap-silap sokongan terhadap kubu kuat kita di Johor akan terhakis. Itu yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu apabila di Johor, DAP menang kerusi Parlimen dan Pas pula mendapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri sedangkan dulu Pas hanya menang kerana kesilapan teknikal.
Mengenai ‘tagline’ berubah, ia bukanlah bermaksud meminta orang atas sahaja berubah tetapi diri kita pun kena sanggup berubah. Jadi kita kena bermuhasabah diri untuk melihat di mana kelemahan kita dan kalau kita sedar ia boleh melemahkan parti maka kita harus berubah.
Contohnya, saya lihat antara realiti dan persepsi. Kalau kita hendak ikutkan kepada persepsi sahaja kita sudah teruk sangat, UMNO dilihat tidak jujur, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak bercakap benar dan banyak lagi.
Kalau rakyat ada persepsi seperti itu bagaimana hendak memimpin sebab sudah ada masalah krisis keyakinan dan kepercayaan.
Maksudnya, kita harus sanggup berubah untuk kembali ke pangkal jalan. Kita kena serapkan semula nilai-nilai murni dalam menguruskan parti. Jika itu dapat dipulihkan semula, insyaallah keyakinan dan kepercayaan akan dapat dikembalikan semula.
Bagaimana Datuk mahu memulihkan semula sayap Pemuda UMNO dan menarik orang muda menyertai UMNO terutama di kalangan mereka yang materialistik, mengharapkan kontrak atau peluang berniaga jika bersama UMNO?
MUKHRIZ: Saya berpendapat bukan semua pemuda yang menyertai UMNO itu untuk kepentingan peribadi dan perniagaan tetapi saya akui memang ada yang materialistik sehingga ramai profesional guna perkataan menyampah dan meluat pada UMNO kerana didakwa tidak memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, sebaliknya hanya sekadar menyebut sahaja.
Saya sedar ramai yang berpendapat tujuan menyertai UMNO untuk mendapat kontrak, memenuhi kepentingan peribadi dan tanggapan sedemikian rupa berlaku kerana UMNO menghadapi masalah dalam mengurus kejayaan. Saya masih ingat ucapan Presiden UMNO semasa era 90-an yang mengingatkan bahawa profesion pemimpin UMNO akan bertukar mengikut peredaran zaman, dahulu ramai di kalangan guru dan golongan pendidik yang memimpin parti.
Bagaimanapun apabila lebih banyak Melayu diberikan kontrak dan menjadi kontraktor Kelas F dan sebagainya, keadaan berubah kepada UMNO menjadi parti yang dipenuhi oleh para peniaga sehingga membawa kepada keadaan di mana golongan korporat yang menentukan hala tuju parti berdasarkan kepentingan diri.
Pemberian kontrak kepada ahli UMNO untuk menjadi kontraktor Kelas F dan sebagainya itu turut membuktikan perjuangan parti membawa orang Melayu jauh lebih baik berbanding 20 tahun yang lalu namun kejayaan yang menyebabkan orang berubah.
Begitu juga dengan orang yang pegang jawatan tinggi dalam parti biasanya turut memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, jadi ia dilihat memudahkan usaha untuk mendapat kontrak dan keadaan ini menyebabkan pemimpin lari daripada perjuangan asal.
Mungkin generasi muda hari ini lupa bahawa asas perjuangan UMNO ialah menegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan memajukan tanah air. Saya fikir sudah tiba masanya untuk semua ahli UMNO pulang ke pangkal jalan dan bertanya apakah UMNO masih berpegang pada perjuangan asal atau menyimpang.
Jika itu keadaannya, bolehkah seseorang pemimpin itu menang dalam pemilihan UMNO jika tidak mengamalkan pendekatan materialistik?
MUKHRIZ: Kita harus sedar perbezaan antara faedah langsung dan tidak langsung. Faedah tidak langsung diterima orang Melayu apabila UMNO mempertingkatkan ekonomi bangsa itu menerusi dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 dan dasar berkenaan memanfaatkan semua orang sehingga hari ini. Ia adalah hasil kebijaksanaan pemimpin UMNO dan ahli-ahli terdahulu.
Ini jelas membuktikan UMNO mampu menjaga kepentingan orang Melayu termasuk melahirkan golongan usahawan Bumiputera melalui dasar-dasar kerajaan sehingga menyebabkan kita dituduh membantu kroni, masakan beribu-ribu orang yang mendapat kontrak kerajaan itu semua adalah kroni, yang melahirkan mereka bukan pemimpin tetapi dasar kerajaan.
Namun sekarang ini, dasar seperti itu sudah semakin berkurangan, sebaliknya kontrak diberi secara langsung atau selepas rundingan pintu tertutup antara dua parti sehingga mencemarkan imej UMNO sendiri.
UMNO juga dikatakan terlalu memperjuangkan orang Melayu sehingga kadangkala mengenepikan parti komponen Barisan Nasional (BN), apa pandangan Datuk?
MUKHRIZ: UMNO adalah parti untuk orang Melayu dan penduduk Melayu adalah majoriti rakyat dalam negara dan layak untuk bertegas serta berani tanpa perlu minta maaf dalam perjuangan mereka. Seperti juga negara lain dalam isu membabitkan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi antara masyarakat pribumi dan bukan pribumi, tak perlu sentiasa defensive dan apa yang benar perlu sampaikan kepada parti komponen BN kerana nikmat langsung kepada orang Melayu menjana banyak faedah tidak langsung kepada orang bukan Melayu.
Saya juga hairan kerana pendekatan UMNO dalam BN sebelum ini tidak pernah dipertikaikan atau disuarakan kerana semua akur dengan hakikat bahawa UMNO perlu memberi keutamaan kepada orang Melayu atas sebab apabila orang Melayu sejahtera, maka satu negara juga sejahtera.
Kita lihat apabila krisis kewangan 1997, di sini masih aman tetapi negara jiran bergolak, dasar kaum majoriti sentiasa terbela dan tidak menidakkan hak-hak kaum lain. Jadi saya rasa UMNO kena teruskan pendekatan ini.
Bagaimana sokongan kepada Datuk di peringkat akar umbi?
MUKHRIZ: Alhamdullillah, nampaknya peringkat akar umbi memahami intipati perjuangan saya kerana mereka tahu hak mereka untuk bersuara dan menyatakan pendapat menerusi sistem yang ada, pemimpin atasan diingatkan agar tidak mengendahkan perkara berbangkit di peringkat cawangan dan bahagian UMNO.
Setakat ini, sambutan yang saya terima begitu memberangsangkan, cuma saya akui mempunyai masalah dengan mereka yang ada jawatan di peringkat bahagian atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat menzahirkan sokongan atas sebab-sebab tertentu. Itulah yang mengecewakan saya sedikit namun saya yakin dapat selesaikan perkara ini dan mendapat pencalonan secukupnya.
Datuk dikatakan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO selepas mendapat tahu peningkatan populariti Datuk selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh?
MUKHRIZ: Selepas kekalahan BN di Permatang Pauh yang lebih teruk daripada yang kita jangkakan baru-baru ini, wujud sentimen bahawa pendekatan semasa kita adalah salah dan tidak boleh digunakan lagi, oleh itu ahli-ahli UMNO tercari-cari pilihan baru dan saya dilihat menjadi alternatif itu.
Sebelum pilihan raya Permatang Pauh, graf sokongan saya didapati menurun kerana amalan-amalan tertentu dalam parti, tetapi nampaknya selepas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya kecil itu, graf sokongan untuk saya meningkat, mungkin terjadi secara kebetulan.
Apakah pesanan kepada ahli-ahli Pemuda UMNO menjelang pemilihan akan datang?
MUKHRIZ: Pada pemilihan UMNO kali ini, kita semua harus sedar bahawa ia akan menentukan hidup atau matinya UMNO, jangan kita tersilap langkah kerana gerak-geri kita diperhatikan oleh semua orang Melayu di negara ini dan rakyat Malaysia, jika tersalah langkah walaupun siapa jua yang menang, rakyat negara ini akan menolak UMNO sekali lagi.
Yang penting ialah bukan pemimpin yang kita undi, sebaliknya amalan dan tindakan dalam proses pemilihan, jika ada rasuah politik lagi, ahli-ahli sanggup jual beli maruah dan lebih dipengaruhi amalan materialistik dan tidak berpegang pada asas perjuangan, tidak kira siapa yang menang, percayalah, kita akan terima tamparan lebih hebat pada pilihan raya umum akan datang.
Saya mohon kepada semua ahli UMNO supaya sebelum melakukan apa jua perkara dalam pemilihan, fikirkan secara bijak kerana yang kita buat hari ini memberi kesan kepada masa depan anak-anak kita, Bayangkan muka anak-anak sebelum memangkah.
Sunday, September 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment