Wednesday, September 24, 2008

Mengukur kesetiaan Ahli Parlimen

KITA asyik diasak dengan dongeng Ahli- Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat ke parti pembangkang. Dikatakan lebih 30 Ahli Parlimen akan berbuat demikian.

Kegigihan pakatan pembangkang untuk mengukuhkan dakwaan mereka amat terserlah.

Umpama orang bercinta yang sanggup mendaki gunung, menerjah lurah dan merenangi lautan untuk mengharungi cabaran percintaan, begitu juga dengan pakatan pembangkang.

Pemergian Ahli-Ahli Parlimen ke Taiwan disusuri misi khas pakatan pembangkang biar pun ada rintangan ribut yang melanda. Semuanya itu bertujuan membuktikan bahawa dakwaan lebih 30 Ahli Parlimen akan melompat menjadi kenyataan.

Terbaru dikatakan pula wakil-wakil pakatan pembangkang sedang mengatur pertemuan dengan wakil-wakil Perdana Menteri kononnya juga untuk merealisasikan cita-cita membentuk kerajaan.

Sekuat itu paluan gendang pakatan pembangkang seolah-olah cuba menenggelamkan tragedi 16 September yang berlalu begitu sahaja tanpa sebarang catatan gembira. Begitu selamba pakatan pembangkang yang begitu hebat menguar-uarkan perihal kerajaan baru itu memberi alasan mengapa impian mereka tersungkur di tengah jalan.

Timbul persoalan mengapa kesetiaan ahli-ahli Parlimen BN sahaja yang dibangkitkan? Adakah hanya orang BN sahaja yang ada keinginan serta perasaan untuk berhijrah manakala Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pula akan setia selama-lamanya?

Apa kriteria yang digunakan oleh pakatan pembangkang untuk mengukur kesetiaan Ahli-Ahli Parlimen BN dan apa pula kayu pengukur yang digunakan untuk menguji kesetiaan penyokong-penyokong mereka.

Atau tidak bermaruah benarkah ahli-ahli Parlimen BN sehingga sanggup dan tergamak membelakangkan amanah pengundi-pengundi yang telah memilih mereka atas tiket BN.

Mungkin kita boleh menjawab persoalan pertama. Kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga dijadikan sandaran kononnya ada kalangan ahli-ahli Parlimen BN tidak mahu lagi berada di dalam parti itu. Kononnya BN tidak lagi kukuh justeru ramai ahlinya tidak mahu lagi bernaung di bawah parti yang berlambangkan dacing itu.

Sebab itu usaha membeli, mengumpan atau apa juga istilah yang boleh digunakan untuk menggambarkan kesungguhan pakatan pembangkang itu dilaksanakan.

Namun dalam kemaruk dan kegilaan untuk menubuhkan kerajaan pakatan pembangkang itu, adakah barisan pemimpinnya seratus peratus yakin akan kesetiaan Ahli-Ahli Parlimen yang bernaung di bawah gabungan parti tanpa lambang itu.

Kukuh benarkah gabungan parti pembangkang itu sehingga barisan pemimpinnya begitu yakin dapat mengikat Ahli-Ahli Parlimennya tanpa seorang pun akan berpaling tadah?

Lantas timbul persoalan kedua tadi, apa sandaran pakatan pembangkang untuk tampil penuh yakin bahawa tidak ada seorang pun Ahli Parlimennya akan lompat parti?

Walhal jika mahu dibuat ukuran, tali yang melingkari pakatan pembangkang boleh dikatakan tidak sekukuh mana, pakatan itu seolah-olah bermusim iaitu relevan sebagai senjata pilihan raya sahaja.

Selepas daripada itu, masing-masing tidur sekatil tetapi mimpi yang dialami berlainan cerita dan warna. Selepas pilihan raya tampak jelas ikatan yang terjalin antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas semakin longgar.

Dalam banyak hal terutama berkaitan hal ehwal bangsa dan agama, timbul pula percanggahan di kalangan Ahli-Ahli Parlimen pakatan pembangkang sehingga melarat ke sidang Dewan Rakyat.

Dan apabila pakatan pembangkang memberi sokongan kepada forum anjuran Majlis Peguam, ada Ahli Parlimennya bercanggah pendirian sehingga diberi surat tunjuk sebab.

Begitu juga dengan keengganan komponen pakatan pembangkang iaitu Pas untuk menerima kerajaan (jika angan-angan menjadi kenyataan) yang tidak berteraskan Islam.

Sememangnya jika tertubuhnya kerajaan pakatan pembangkang, tidak akan ada kerajaan berteraskan Islam kerana PKR dan DAP memperjuangkan kerajaan sekular, manakala Pas bersendirian dalam mempertahankan pendirian mereka.

Pas tetap dengan negara Islamnya - semestinya perjuangan serta agenda parti itu umpama langit dengan bumi sekali gus menyukarkan impian untuk melihat tertegaknya kerajaan pakatan pembangkang untuk menjadi kenyataan.

Justeru, apabila dibuat perbandingan tahap kesetiaan yang ada pada Ahli-Ahli Parlimen BN dengan Ahli-Ahli Parlimen pakatan pembangkang, rumusannya amat jelas dan boleh disimpulkan oleh rakyat Malaysia yang mahu menggunakan otak.

No comments: