APABILA Majlis Tertinggi UMNO memutuskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan tertinggi parti yang dijadual pada Disember ini ditangguh kepada Mac tahun depan, ramai pemimpin dan ahli UMNO yang mengeluh.
Malah pada mulanya ramai yang berasa gelisah apabila sebelum mesyuarat MT tersebar khabar bahawa selain pemilihan MT, pemilihan di peringkat bahagian juga akan ditangguhkan.
Mereka yang bertanding di peringkat bahagian termasuklah Pemuda, Puteri dan Wanita bagaikan ‘cacing kepanasan’. Ini kerana mereka berpendapat tempoh kempen akan menjadi panjang ketika mereka sedang menghitung-hitung bahawa ia akan berakhir dalam tempoh seminggu lagi.
Tetapi ternyata kebimbangan mereka tidak berasas apabila melalui pandangan beberapa pemimpin MT termasuk Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, MT memutuskan bahawa mesyuarat bahagian diadakan mengikut jadual mulai 9 Oktober ini.
‘‘Alhamdulillah, kalau tidak jenuh nak berkempen sampai bulan Mac, ‘’ kata seorang ahli Pemuda yang akan bertanding di salah sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan.
Sementara di peringkat bahagian, calon yang akan bertanding sudah boleh menarik nafas lega tetapi mereka yang bertanding di peringkat MT pula ‘menggelupur’. Ini kerana perjalanan perjuangan bagi meraih sokongan dan undi akan menempuh masa sekurang-kurangnya enam bulan lagi. Apa yang lucunya ada di antara calon yang bertanding di peringkat MT termasuk bagi jawatan dalam Pemuda, Puteri dan Wanita sudah keliling seluruh Malaysia.
Oleh itu apabila MT mengumumkan pemilihan ditangguhkan ke tahun depan, maka ‘berpeluhlah’ calon itu. Ia disebabkan beliau harus sekali lagi mengelilingi negara untuk berjumpa dengan ahli-ahli jika tidak ‘dia akan dilupakan’ kerana tempoh pemilihan masih panjang. Penulis difahamkan, ramai pemimpin-pemimpin sudah memulakan kempen sejak tiga bulan lalu. Ini bermakna menjelang Mac depan, sudah 10 bulan mereka berkempen.
Sepanjang tempoh berkenaan sudah pasti segala-galanya sudah dikorbankan bagi meraih sokongan.
Bagaimanapun dari satu segi keputusan MT tersebut tidak harus dilihat bagaikan ‘dunia hendak kiamat’. Ini kerana di sebalik penundaan itu sudah pasti terdapat banyak hikmahnya kepada parti terutamanya dalam usaha menentukan barisan kepimpinan yang benar-benar mantap.
Seperti mana kata Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim, mereka yang ingin menawarkan diri untuk bertanding perlu bersedia bekerja keras bukan sahaja bagi tempoh enam bulan kempen malah juga selepas pemilihan.
Dalam soal bertanding tersebut, mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian haruslah berani meluahkan secara terbuka.
Mereka tidak perlu berdolak-dalih dan akan berlindung di sebalik menunggu isyarat dari akar umbi. Apa yang dinyatakan ini bukan rekaan sebaliknya sudah berlaku apabila ada beberapa pemimpin di peringkat Pemuda begitu takut untuk membuat pengisytiharan secara terbuka sama ada hendak bertanding atau tidak sesuatu jawatan di peringkat Pemuda pusat. Jika sikap tidak berani ini wujud macam mana ahli-ahli harus bergantung harapan kepada pemimpin seumpama itu.
Apa pun pemilihan UMNO kali ini bukanlah sekadar untuk memenuhi agenda meletakkan seseorang itu menjadi pemimpin di peringkat MT sahaja. Atau mencari seseorang bagi memenuhi kerusi Ketua Pemuda yang dikosongkan. Lebih daripada itu ia adalah medan bagi mencari pemimpin-pemimpin yang benar-benar berkualiti kerana seperti mana kata Razali, ‘‘UMNO bukan berada dalam keadaan selesa selepas pilihan raya umum lalu.’’
Berdasarkan hakikat itu, mana-mana pihak yang ingin bertanding seharusnya mempunyai semangat yang waja untuk terus berkempen sehingga pemilihan berlangsung.
Janganlah menganggap tempoh enam bulan itu sebagai satu penyeksaan sebaliknya jadikan ia tempoh bagi menerangkan sejelas-jelasnya kepada ahli kenapa mereka perlu diletakkan dalam barisan MT, apakah untuk berjuang demi parti atau menyambung tali hayat politiknya.
Ia memandangkan UMNO memerlukan barisan yang mampu berjuang dalam peperangan sebenar iaitu berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya umum dan bukannya sekadar ‘bijak bersilat’ dalam gelanggang sendiri sahaja.
Ini kerana UMNO sudah tidak ada masa lagi untuk ‘bercerekarama’ memandangkan kedudukan parti itu yang semakin tergugat di kalangan rakyat. UMNO memerlukan barisan yang benar-benar ampuh untuk mengembalikan semula imej parti. Justeru mereka tidak boleh lagi berbalah sesama sendiri.
Harus bertindak‘‘Kalau perlu kita menyingkirkan mana- mana pemimpin yang difikirkan sudah tidak relevan, ahli-ahli UMNO harus bertindak. Ini bukan soal simpati atau tidak tetapi soal masa depan perjuangan parti. Kita tidak mahu UMNO dilihat dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang sebelum ini sudah terang-terang ditolak oleh rakyat,’’ kata seorang pemimpin UMNO pusat ketika dihubungi.
Justeru kata beliau penangguhan pemilihan MT adalah satu langkah yang tepat kerana ia memberi lebih banyak masa kepada ahli-ahli yang akan mengundi untuk menilai kewibawaan dan personaliti sesuatu calon itu.
Berdasarkan kepada keadaan itu juga, mesyuarat di peringkat bahagian perlu memastikan mereka membuat pencalonan yang tepat bagi jawatan-jawatan di peringkat MT. Ini kerana kalau di peringkat bahagian lagi mereka melakukan pencalonan yang salah, maka ia pasti akan berlanjutan ke peringkat pusat.
‘‘Apa yang membimbangkan kita ialah bahagian-bahagian terpengaruh dengan ‘tawaran’ tertentu sehingga akhirnya memberi pencalonan yang salah kepada pemimpin tertentu,’’ kata pemimpin itu yang turut bertanding bagi kerusi MT.
Apabila menyebut soal ‘tawaran’, hakikatnya itulah perkara yang paling dibimbangi apabila MT memutuskan untuk menangguh pemilihan. Sudah timbul kekhuatiran bahawa politik wang akan bermaharajalela dalam tempoh yang cukup panjang. Atas sebab itulah barisan kepimpinan tertinggi UMNO harus memastikan bahawa gejala itu tidak berleluasa kerana selepas pilihan raya umum UMNO bukanlah sebuah parti yang popular.
Malah parti itu semakin ditolak oleh rakyat hanya kerana persepsi bahawa ia penuh dengan amalan rasuah. Justeru jika ahli-ahli UMNO masih belum sedar terhadap ancaman yang menanti mereka sudah pasti UMNO akan ditolak secara total dalam pilihan raya umum nanti.
Justeru biarlah pertandingan atau pemilihan yang bakal dilangsungkan berjalan penuh demokrasi. Tidak ada sekat menyekat untuk bertemu ahli, amalan rasuah atau menghalang mesyuarat. Semua yang bertanding perlu diberi hak sama rata kerana kita tidak mahu dalam pertarungan itu akhirnya kita mengorbankan pemimpin yang berkualiti.
‘‘Sebab itu adalah wajar demokrasi digunakan sebaik-baiknya dalam pemilihan kali ini bagi memilih pemimpin yang benar- benar berwibawa kerana peperangan sebenar kita adalah menentang pembangkang bukan sesama sendiri,’’ kata seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri di Kelantan.
Apa yang perlu difahami, pihak-pihak tertentu sememangnya mahu melihat UMNO ‘berbunuh-bunuhan’ sesama sendiri. Mereka begitu yakin bahawa pemilihan parti itu acap kali membawa keuntungan kepada politik parti pembangkang. Ini kerana ahli-ahli UMNO terpengaruh dengan budaya jatuh menjatuh sesama sendiri dan bukannya melihat agenda yang dibentangkan.
‘‘Seharusnya apabila habis pemilihan kita merapatkan barisan demi kepentingan parti, mana-mana calon yang membentangkan agenda yang terbaik tetapi tewas dalam pemilihan harus dibawa bersama-sama kerana itulah semangat setiakawan sejati,’’ kata seorang tokoh veteran UMNO.
Berdasarkan apa yang dinyatakan, mana-mana pihak di dalam UMNO tidak perlu lagi gundah gulana mengenai penangguhan pemilihan MT. Sebaliknya mereka perlu menyusun strategi dan mengkaji siapakah yang harus diketengahkan. UMNO bukan sahaja memerlukan pemimpin yang berwibawa tetapi juga pemimpin yang berani untuk menyatakan kebenaran biarpun ia pahit.
Parti itu tidak boleh selama-lamanya dibarisi oleh mereka yang hanya berjuang demi kepentingan politiknya. UMNO memerlukan barisan yang bakal menembus kembali maruah politik Melayu yang semakin tergugat. UMNO tidak boleh membiarkan orang lain menguasai orang Melayu, sebaliknya UMNOlah yang harus berada di barisan hadapan demi memperjuangkan nasib bangsa.
UMNO tidak harus terlalu menjadi kelompok yang cepat memohon maaf sedangkan pihak lain acap kali mendesak orang Melayu mengorbankan kepentingan mereka kononnya atas alasan keadilan dan kesamarataan.
Justeru UMNO perlu menyiapkan barisan yang benar-benar mantap untuk memastikan dalam pilihan raya umum akan datang ia tidak hanya menjadi sejarah. Rakyat sedang memerhati perkembangan dalam UMNO dengan dekat, mereka sedang menilai, mengkaji dan menghalusi tindak tanduk parti induk Melayu tersebut.
Jika penangguhan pemilihan dianggap satu masalah besar sedangkan ada agenda yang lebih utama perlu diberi perhatian, percayalah UMNO akan terus ditolak oleh rakyat. Kepada ahli-ahli UMNO yang akan membuat pencalonan di peringkat bahagian, mereka perlu ingat tanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara. Jangan terpengaruh dengan pemimpin yang retorik atau mengamalkan rasuah kerana kesudahannya yang akan rugi ialah orang Melayu.
Sunday, September 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment