Sunday, September 21, 2008

Rencana : Politik emosi cemarkan demokrasi

Dalam menyifatkan demokrasi sebagai sistem politik terbaik, ia mempunyai beberapa kelemahan yang boleh membawa kacau-bilau kepada negara jika tidak diurus dengan bijak.

Antara kelemahan itu ialah apabila keputusan majoriti tidak mendatangkan kebaikan kerana ia dibuat atas dorongan emosi orang ramai dan bukannya atas pertimbangan rasional.

Keadaan ini berpunca daripada sifat otak manusia yang dicorakkan oleh emosi dengan sentimen yang mengatasi pertimbangan rasional.

Secara ideal, tentunya sistem demokrasi menuntut warganegara membuat sesuatu keputusan politik berdasarkan kepada pertimbangan rasional setelah mengambil kira semua maklumat yang diperoleh mengenai sesuatu perkembangan dalam negara.

Tetapi perkara itu tidak berlaku kerana dorongan emosi manusia dalam keadaan-keadaan tertentu akan mengatasi pertimbangan rasional. Malah pertimbangan rasional pula lebih sukar diwujudkan dalam otak manusia terutamanya dalam keadaan berlakunya tekanan seperti apa yang berlaku sekarang.

Suasana tidak menentu dalam iklim politik hari ini mendorong orang untuk bersikap emosional. Dalam keadaan tekanan, manusia akan menyerahkan pertimbangan rasionalnya kepada emosi bagi memudahkan tindakan selanjutnya, iaitu dalam mod lawan atau lari (fight or flight).

Keadaan ini adalah seperti haiwan yang apabila berhadapan dengan bahaya akan mengubah emosinya untuk berlawan atau lari.

Dalam proses mendapatkan maklumat, perkara ini jugalah yang berlaku. Mereka lari daripada maklumat yang menyakitkan hatinya.

Akibatnya mereka tidak memperoleh maklumat yang seimbang. Ini bermakna di peringkat untuk mendapatkan maklumat pun, rakyat sudah dicorakkan oleh emosi.

Mereka hanya memilih maklumat yang disenangi oleh hatinya, dan tidak bercanggah dengan pendapatnya, maka akibatnya seseorang itu tidak berupaya membuat pertimbangan menurut maklumat yang seimbang daripada pelbagai pihak.

Maka langkah memboikot akhbar Utusan Malaysia oleh sesetengah pihak umpamanya menggambarkan keadaan begini. Sesungguhnya otak akan berasa selesa untuk mendapatkan maklumat yang menepati kehendak dan tanggapannya.

Sebarang berita dan maklumat yang dianggap mencabar kehendaknya akan ditolak mentah-mentah tanpa diberi ruang bagi pertimbangan yang objektif.

Sememangnya sukar untuk menjadi objektif, hatta oleh para wartawan sekalipun yang sepatutnya sikap itu menjadi asas profesionnya.

Sebagai manusia yang mempunyai sentimen dan emosi, wartawan juga diwarnai oleh pandangan peribadinya. Namun begitu, atas tuntutan profesion dan latihan yang memakan masa lama, sifat objektif dapat disemai dan dihayati walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Maka seringkali wartawan bersikap skeptik dalam menerima sesuatu berita sebelum ia disiarkan atau diulas. Sungguhpun begitu, ada masa berlakunya kegagalan dalam mempertahankan sikap objektif ini.

Jika perkara ini berlaku, wartawan akan terdedah kepada dimanipulasi oleh pihak-pihak politik tertentu yang mahir memainkan sistem media yang ada pada hari ini.

Lebih-lebih lagi pada masa ini apabila pintu media sudah lebih jauh terbuka dengan adanya Internet. Maka sesiapapun boleh menjadi penulis dan wartawan dengan mewujudkan blog sendiri.

Mereka menjadi amatur yang turut mencorakkan landskap aliran dan penyebaran maklumat di negara ini. Tentunya kesannya juga boleh menjadi baik ataupun buruk, terpulang kepada pengendalinya dan pembaca yang terdiri daripada rakyat awam, dengan mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju aliran politik negara. Baik melalui pilihan raya mahupun dalam penyertaan kumpulan-kumpulan pendesak.

Kematangan

Kalau rakyat umumnya mempunyai kematangan tinggi, sekurang-kurangnya golongan majoriti yang akan mengikut perkembangan politik daripada maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber dan kemudiannya membuat pertimbangan secara objektif sebelum menetapkan pendirian, maka ia merupakan suasana sihat untuk politik negara ini.

Maknanya, secara rasional, seseorang akan membaca akhbar-akhbar, mendengar radio dan menonton televisyen, serta melayari internet daripada pelbagai pandangan yang bertentangan bukan saja di antara satu sama lain tetapi juga terhadap fahaman politiknya sendiri, maka barulah satu rumusan yang jitu dapat dihimpunkan.

Selain itu sikap yang objektif dan skeptik terus menjadi benteng dan penapis dalam perbualan di kedai kopi umpamanya, yang akhirnya menyumbang kepada keputusan politik yang lebih bermutu.

Tetapi hakikat ini secara umumnya tidak berlaku. Apabila berbual-bual atau bersembang mengenai politik baik di kedai-kedai kopi atau masjid, seseorang akan mudah terikut-ikut dengan nada kumpulan masing-masing.

Tingkah laku seseorang dalam bersosial mendorong seseorang untuk menyetujui apa yang dipercakapkan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Ini kerana apa yang berlaku ialah di mana seseorang mempunyai kecenderongan untuk mendapatkan penerimaan daripada kumpulan-kumpulan kecil sebagai kawan yang sealiran dalam menimbangkan sesuatu hujah.

Justeru tidak hairanlah dalam memilih kawan ketika bersembang politik, seseorang sudah mengambil sikap tidak objektif. Tentunya seseorang itu akan memilih kumpulan yang menepati fahaman politiknya sendiri.

Jarang sekali seseorang akan mencari kumpulan atau kawan yang bertentangan fahaman politik dengannya. Umpamanya, kalaulah seseorang itu penyokong pembangkang, maka dia akan terdorong untuk mencari kawan-kawan sealirannya. Tidak mungkin dia akan mencari kumpulan Barisan Nasional (BN) untuk bersembang politik.

Jadi kumpulan-kumpulan ini akan menguatkan pandangan seseorang terhadap sesuatu isu menurut aliran tertentu secara sentimen dan emosi. Maka di sinilah berlaku apa yang dikatakan sebagai salah satu kelemahan demokrasi dalam menentukan aliran politik sesebuah negara.

Bahaya politik yang menurut sentimen dan emosi ialah apabila muncul seorang ahli politik yang mempunyai kemahiran mempengaruhi orang ramai melalui seni pidato serta permainan psikologi massa. Jika apa yang dibawa merupakan kebaikan, maka beruntunglah rakyat dan negara berkenaan. Tetapi jika apa yang dibawa itu adalah sesuatu yang berbahaya atau negatif bagi rakyat, bangsa dan negara, maka sudah tentu ia merupakan suatu bahana atau bencana.

Pertahanan terhadap manipulasi psikologi massa ini adalah peningkatan keupayaan berfikir secara rasional oleh orang ramai.

Kekaguman terhadap ketokohan atau seni pidato seseorang jika tidak diimbangkan dengan tapisan rasional berasaskan penelitian hujah-hujah yang dikemukakan akan membawa cara politik berasaskan emosi. Ini akan mencemari demokrasi.

Sememangnya ketika mendengar pidato, debat atau ceramah, hati manusia diminta-minta untuk dihibur dengan gaya dan lawak yang mencuit perasaan.

Dalam keadaan sebegini, otak menjadi malas untuk berfikir secara rasional. Ini kerana berfikir secara logik adalah suatu kerja berat, sementara berasa geli hati kerana kata-kata lawak adalah sesuatu yang selesa.

Mungkin tidak salah untuk seseorang berhibur apabila mendengar ceramah atau pidato yang menarik dari segi persembahannya.

Tetapi setelah ucapan itu berakhir, maka wajar seseorang meneliti kembali isi apa yang dikatakan secara teliti dan ukurkannya dengan perhitungan rasional. Janganlah hendaknya kekaguman terhadap cara sesuatu yang disampaikan itu menenggelamkan mutu hujah yang dikemukakan.

Dalam hal ini, wajar diingatkan kembali nilai-nilai demokrasi yang kini sudah diterima oleh manusia sejagat tentang cara terbaik dalam pemerintahan negara.

Antara nilai-nilai demokrasi menuntut warganegara yang mempunyai etika dalam mendapatkan maklumat serta menyampaikannya kepada umum.

Menyanggah

Maklumat yang tersebar hendaklah secara munasabah bersifat tepat dan benar. Ini hanya boleh berlaku apabila adanya pelbagai sumber maklumat yang boleh menyemak dan menyanggah di antara satu sama lain bagi memastikan sesuatu fakta.

Untuk ini berlaku dengan baik, orang ramai bukan saja perlu terdedah kepada sumber yang pelbagai tetapi mereka wajar mengikut perkembangannya secara seimbang.

Sebarang seruan supaya memboikot atau menghalang sesiapa untuk mendapatkan maklumat yang pelbagai wajar dianggap sebagai tindakan yang tidak demokratik.

Tetapi bagi melahirkan masyarakat demokratik yang sihat, mendapatkan maklumat hanya merupakan peringkat awal.

Langkah seterusnya bagaimanakah seseorang itu memproses maklumat dan mentafsirkannya mengikut pertimbangan rasional dan bukan atas dorongan emosional.

Di sinilah peranannya para penganalisis politik, pengulas peristiwa dan komen-komen pemimpin masyarakat.

Sebagai pemimpin-pemimpin masyarakat, baik selagi ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau ahli akademik, ulasan mereka perlu dibuat secara berhati-hati dan menurut penelitian rasional. Ini kerana orang ramai turut bergantung kepada pemahaman yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat ini.

Jika ulasan mereka juga bersifat emosional dan bermutu rendah dari segi ukuran rasional, maka orang ramai akan membuat tanggapan salah yang akhirnya mencemarkan demokrasi itu sendiri.

No comments: