Thursday, September 11, 2008

Nik Aziz: Pas untung Dr Mahathir masuk semula Umno



Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno akan memberi kelebihan kepada Pas dan Pakatan Rakyat kerana "Umno akan bergolak".

"Saya seronok dia (Dr Mahathir) timbul kacau bilau," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas bahawa bekas perdana menteri itu telah menyuarakan hasrat untuk memohon menyertai semula Umno setelah meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas kerana kecewa dengan kepimpinan sekarang.

Sambil menyatakan rasa gembiranya kerana Umno akan bergolak, Nik Abdul Aziz berkata tindakan Dr Mahathir untuk menyerang Umno dari dalam merupakan "langkah yang terbaik".

"Dari segi untuk melemahkan Umno, memang saya seronok kerana Umno musuh saya. Tetapi Tun Mahathir serang Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah AHmad Badawi) dan keluar parti pada masa dulu, yang itu saya tidak faham.

"Tinggal di luar dan serang Umno itu saya tidak nampak logik. Bila masuk di dalam serang dari dalam, itu betul. Ertinya dia (Tun Mahathir) masuk ni betul untuk serang secara berdepan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Umno menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, kerana membuat kenyataan menyentuh sensitiviti kaum, Nik Abdul Aziz berkata keputusan itu tidak wajar dilakukan oleh Umno sebaliknya ianya perlu diputuskan oleh kerajaan.

"Sepatutnya bukan parti bertindak tetapi kerajaan perlu bertindak. Kalau orang lain sudah kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Nampak macam pilih kasih," katanya.

Nik Abdul Aziz juga berkata mana-mana wakil rakyat yang melompat parti adalah tidak bermaruah kerana mengkhianati kepercayaan yang diberikan pengundi terhadap mereka.

Tetapi, katanya, dalam usaha pembangkang membentuk kerajaan pada 16 Sept ini, soal maruah harus diketepikan bagi memastikan negara ini bebas daripada pimpinan Barisan Nasional terutama Umno yang didakwanya mengamalkan rasuah.
BERNAMA
PM: Hasrat Dr M masuk semula Umno diputuskan parti
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pandangan peribadi beliau terhadap hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai semula Umno tidak mencukupi kerana ia adalah sesuatu yang perlu diputuskan oleh parti.

Katanya perkara itu belum lagi dibincangkan oleh parti dan apabila diminta pandangan beliau mengenai laporan tentang hasrat Dr Mahathir, presiden Umno itu menegaskan ia tiada kaitan dengan pandangan peribadi beliau kerana ini adalah soal parti.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia di pejabatnya di sini.

Naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lalu mengesahkan bahawa Dr Mahathir telah melahirkan keinginan beliau untuk kembali ke pangkuan Umno bagi membantu proses mengukuhkan parti dan Barisan Nasional.

Sementara itu setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor ketika ditanya mengenai perkara itu berkata tiada apa yang hendak dibincangkan kerana Dr Mahathir belum lagi menghantar borang keahlian, sesuatu yang perlu dilakukan oleh barang siapa yang ingin menjadi ahli Umno.

"Setakat ini kita hanya dengar kenyataan Muhyiddin sahaja. Tidak ada pengesahan lain. Borang pun dia belum hantar," katanya.

Mesyuarat majlis tertinggi Umno akan datang dijadualkan pada Khamis depan.
Mahathir boleh kembali ke Umno bila-bila masa - Tg. Adnan
Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) yang meninggalkan Umno empat bulan yang lalu boleh kembali ke pangkuan parti itu bila-bila masa sahaja, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini semalam.

"Saya belum terima apa-apa (permohonan) tetapi jika beliau hendak kembali semula, kami tidak meminta beliau keluar, beliau boleh datang bila-bila masa," kata beliau selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Malah, menurut Tengku Adnan, MT belum mengetahui maklumat mengenai pertemuan peribadi melibatkan bekas Presiden Umno itu dan beberapa pemimpin parti termasuk Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hasrat Dr. Mahathir mahu kemnali ke Umno didedahkan oleh Muhyiddin kelmarin.

Dalam pada itu di IPOH, Anggota MT Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik hasrat Dr. Mahathir kembali kepada Umno kerana ia akan mengukuh parti serta memberi ruang kepada negarawan yang dihormati itu memberi pandangan dan nasihat yang lebih bermakna.Beliau berkata pandangan dan nasihat yang diberikan oleh seorang negarawan dan mantan presiden sangat dihormati oleh semua peringkat di dalam parti."...pendapat Tun apabila beliau di dalam Umno adalah berbeza ketika beliau berada di luar Umno.

"Pendapat Tun sebagai ahli Umno dan sebagai mantan presiden tentu lebih bernilai dan mempunyai kredibiliti yang lebih dan semua ahli di peringkat akar umbi amat mengalu-alukan beliau kembali," katanya.Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Badan Perhubungan Umno Perak di sini malam tadi.Beliau mengulas pengumuman Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas Perdana Menteri itu telah bersetuju untuk menyertai semula Umno.
Dr Mahathir keluar parti pada 19 Mei selepas kecewa dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Ahmad Zahid berkata beliau percaya Dr. Mahathir membuat keputusan untuk kembali bukan kerana dipujuk tetapi mungkin kerana beliau sendiri berasa patut kembali bagi memperkukuhkan Umno yang sekarang menghadapi pelbagai masalah.
Beliau berkata apabila Dr Mahathir berada semula di dalam Umno, beliau boleh menyuarakan pandangan dan nasihat terus kepada pucuk pimpinan parti tanpa lagi berbuat demikian melalui saluran lain secara terbuka.
"Pak Lah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua naib presiden adalah pendengar yang baik dan berfikiran terbuka... pandangan daripada Tun adalah pandangan dari seorang negarawan berpengalaman yang harus diterima," katanya.
Langkah yang diambil oleh Dr, Mahathir harus dialualukan tanpa perlu timbul kekhuatiran daripada sesiapapun di dalam Umno, kata beliau.
Ditanya sama ada akan timbul masalah jika Dr. Mahathir terus membuat kritikan selepas menyertai semula Umno, beliau berkata sepedas mana pandangan beliau tetapi apabila dibuat daripada dalam ia akan dapat dibincangkan secara tertutup.
Ahmad Zahid juga yakin pemimpin dan anggota yang mengikut jejak Dr Mahathir keluar akan kembali semula bersama Umno.
"Walau tidak ramai (keluar Umno) walau hanya sekerat tapi kita tidak mampu hilang yang sekerat itu. Kita harus menambah kekuatan bukan kurangkan. Kalau cari yang baru kenapa tidak jemput yang lama, tidak ada yang baru kalau tidak ada yang lama...yang lama dihormati yang baru disayangi," katanya.
Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali adalah antara lebih 200 tetamu pada majlis itu yang berlangsung di Bangunan Umno Perak.

Umno Kedah menyambut baik hasrat Dr. Mahathir untuk menyertai semula parti itu.Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Umno Kedah berharap langkah Dr.
Mahathir itu akan membantu mengukuhkan Umno.
Umno Sabah turut menyambut baik hasrat Tun Dr. Mahathir itu kerana menurut Timbalan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri itu, Datuk Masidi Manjun, Umno memerlukan sumbangan pemimpin dahulu dan sekarang untuk menghadapi keadaan politik semasa.
Katanya, Dr. Mahathir merupakan seorang ikon parti yang pendapatnya dihormati di seluruh dunia."Saya harap kepimpinan parti memberikan beliau ruang untuk menyuarakan pendapatnya mengenai cara untuk mengukuhkan Umno," kata Masidi.
BERNAMA
Aishah Ghani saran Dr.M dilantik Penasihat Umno
Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani menyarankan agar bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat parti.

"Kita kena ingat, tidak semua apa yang pemimpin Umno buat hari ini betul. Jadi kalau Umno ada seorang penasihat yang berpengalaman luas seperti Dr. Mahathir ia akan membantu menaikkan semula imej dan maruah Umno.

"Pandangan orang yang berada di luar parti dengan di dalam parti adalah berbeza. Saya percaya Dr. Mahathir masih boleh membantu Umno," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Selain itu beliau turut mengalu-alukan kemasukan semula Dr. Mahathir menyertai Umno bagi membantu memulihkan parti yang kini disifatkan sedang 'tenat'.

"Saya sangat mengharapkan agar Dr. Mahathir kembali semula kepangkuan Umno kerana beliau mampu membawa perubahan positif dari dalam parti," katanya.

Namun beliau berkata tanggungjawab untuk memulihkan Umno bukan sahaja terletak kepada pemimpin Umno hari ini atau Dr. Mahathir sahaja, sebaliknya perlu usaha yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

"Semua pihak harus main peranan yang sewajarnya. Harapkan Dr. Mahathir sahaja tidak cukup," katanya.

Selain itu Aishah juga menyeru kepada semua ahli-ahli Umno yang mengikuti jejak Dr. Mahathir keluar Umno pada Mei lalu agar kembali untuk memperkukuhkan parti.

"Saya faham perasaan Tun Dr. Siti Hasmah (isteri Dr. Mahathir), Tan Sri Sanusi Junid dan juga pengikut-pengikut setia Dr. Mahathir yang mengikut jejaknya untuk keluar Umno dulu.

"Tapi alangkah baiknya kalau kita semua kembali dan memberi perhatian kepada usaha untuk memantapkan semula Umno demi kemajuan bangsa Melayu dan negara," katanya.
Sertai Umno kali ke-3? Mahathir setuju demi kukuhkan parti
Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar Umno empat bulan yang lalu telah melahirkan hasrat untuk kembali ke pangkuan parti itu dengan mengambil kira perkembangan-perkembangan semasa.

Ketika mendedahkan perkara itu di sini pagi ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyididn Yassin berkata, Dr. Mahathir sendiri memberitahu beliau akan hasratnya untuk kembali ke Umno bagi membolehkannya memberikan pandangan dalam usaha mengukuhkan semula Umno dan Barisan Nasional (BN) berikutan pelbagai perkembangan tidak menggembirakan sejak akhir-akhir ini.

Beliau memberitahu, Dr. Mahathir menyatakan persetujuannya untuk kembali kepada Umno dalam pertemuan beberaja jam antara kedua mereka Sabtu lalu.

Dr. Mahathir pernah dipecat semasa kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan keluar sendiri Mei lalu atas alasan tidak setuju kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Muhyiddin berkata, beberapa veteran Umno termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Tan Sri Sanusi Junid telah berjumpa dengan Dr. Mahathir dalam pertemuan di Cyberjaya Sabtu lepas.Dr. Mahathir bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai perkara itu.

Menurut Muhyididn, hasrat Dr. Mahathir itu telah pun beliau sampaikan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak. semalam, tetapi belum berkesempatan bertemu Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Muhyiddin. pertemuan itu diadakan atas permintaan Dr. Mahathir sendiri yang ingin menyampaikan kepada beliau rasa bimbangnya terhadap perkembangan dalam Umno, BN serta beberapa perkembangan lain yang meninggalkan kesan negatif kepada rakyat banyak.

"Saya katakan kepada beliau, untuk beliau memberikan sumbangan secara lebih berkesan adalah lebih baik untuk beliau menyertai semula Umno. Beliau kemudian bersetuju.

"Ya, saya bersetuju, katanya tetapi kemudian beliau menyatakan kebimbangan sama ada akan diterima semula oleh Majlis Tertinggi.

"Tetapi saya jelaskan kepadanya bahawa ketika MT menerima keputusannya keluar Umno dahulu, kita terima dengan hati yang berat. MT juga ada membuat kenyataan ketika itu bahawa sekiranya beliau (Dr Mahathir) telah bersedia untuk kembali kepada Umno, MT akan menerima dengan hati yang terbuka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat MIDA di sini.

Pada 22 Mei lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuarat khas hampir tiga jam menerima keputusan Dr. Mahathir untuk keluar Umno serta-merta.

Ketika mengumumkan keputusan MT pada hari tersebut, Najib berkata: "Kita telah menerima surat rasmi Dr. Mahathir. Ini bukan kehendak kita, ini kehendak beliau, jadi kita terima."
"MT berharap Tun akan kembali ke Umno pada satu masa nanti," kata beliau.

Dr. Mahathir yang memegang nombor keahlian Umno '1' mengumumkan keluar Umno di Alor Star pada 19 Mei.

Turut keluar ialah isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan anak mereka Mokhzani.
Bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid juga keluar Umno.
Ditanya sama ada pertemuannya dengan Dr Mahathir itu telah dirancang terlebih dahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjawab:
"Dalam semua perbuatan kita mestilah ada perancangan. Bagi saya, saya menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin yang telah banyak berjasa.

"Saya tidak menolak jika dia hendak jumpa. Bukannya maca saya ini besar sangat. Setidak-tidaknya dengan pertemuan itu saya dapat satu berita yang baik, iaitu beliau bersedia untuk kembali kepada Umno."

Dr. Mahathir, katanya, tidak menetapkan sebarang syarat untuk kembali kepada Umno selain daripada untuk memudahkan beliau menyalurkan pandangan serta bantuannya untuk mengukuhkan kembali Umno dan BN.

Ditanya bilakah Dr. Mahathir akan menyertai semula Umno, Muhyiddin berkata, beliau menunggu pejabat bekas perdana menteri itu untuk menghantar borang keahlian kerana ia adalah satu formaliti bagi sesiapa yang hendak menjadi ahli.

"Saya harap ia akan dihantar secepat mungkin. Ini bukan keputusan saya, tetapi keputusan parti, tetapi saya tidak fikir MT ada masalah menerima semula beliau kerana saya yakin MT masih menghormati beliau. Sebagai naib presiden saya mengalu-alukan keputusan beliau itu," tambah beliau.

Muhyiddin menambah, Dr. Mahathir memang seorang yang krtikal terutama tentang perkara-perkara yang dilihatnya sebagai tidak betul dan beliau percaya tidak ada orang yang boleh menahan beliau daripada terus bersuara termasuk untuk terus mengkritik pucuk pimpinan Umno.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita terus tidak pedulikan apa yang dikatakannya kerana beliau adalah seorang bekas pemimpin berpengalaman dan berkedudukan tinggi di mata masyarakat. Beliau hanya bimbang dengan keadaan dalam negara yang semakin buruk sejak pilihan raya umum yang lalu.

"Kita tidak perlulah bersetuju dengan pandangan beliau sepanjang masa, tetapi kita mesti menerima hakikat bahawa beliau adalah seorang yang berkredibiliti tinggi. Setelah beberapa jam mendengar pandangan beliau, saya faham dengan pendirian beliau," katanya.
Mubarak: Dr. M perlu betulkan Umno
Pemangku Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad wajar menyertai Umno semula bagi memperbetulkan segala kelemahan yang wujud dalam Umno kini.

"Amat wajar untuk Dr. Mahathir balik semula kepada Umno untuk kita sama-sama memperkukuhkan parti," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau idea dan pandangan Dr. Mahathir boleh digunakan dalam usaha memulihkan Umno yang kini dilanda pelbagai masalah.

Beliau berkata tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan ketokohan bekas Perdana Menteri itu kerana sumbangan dan jasa yang beliau berikan sepanjang mentadbir negara ini amat bernilai.

"Jadi saya harap agar semua pihak menerima semula Dr. Mahathir menyertai Umno dengan hati terbuka demi kepentingan parti," katanya.

Mengulas mengenai cadangan untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Penasihat Umno, beliau berkata perkara itu terpulang kepada kepimpinan parti sedia ada.

"Terpulanglah, Dr. Mahathir adalah 'orang lama' yang banyak pengetahuan dan pengalaman yang masih boleh dikongsikan bersama kita.

"Sepatutnya kita sebagai generasi muda memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada beliau sebagai bekas pemimpin negara yang hebat," katanya.

No comments: