Sunday, September 28, 2008

Ketulusan dalam peralihan kuasa

WALAU betapa hebat sesebuah empayar, kerajaan, parti politik, pentadbiran atau personaliti individu yang menjadi pemimpin, ia tidak membawa apa-apa makna, malah merupakan sesuatu yang penuh bahaya, tanpa wujudnya perasaan rendah diri dan rasa sesal.

Itulah antara kesimpulan yang dibuat oleh seorang ahli sejarah yang menyoroti kehidupan seorang penakluk Perancis yang terkenal. Kepadanya, penilaian terhadap legasi kuasa difokuskan bukan sahaja kepada berapa luas jajahan takluk, kegerunan musuh atau kepintaran mengatur strategi ketenteraan. Pada akhirnya, yang paling diingati ialah ketulusan hati manusia yang berkuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pengumumannya mengenai peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, sungguhpun tidak dinyatakan secara terbuka, telah memperlihatkan bahawa ketulusan adalah satu aspek yang mustahak dalam UMNO, parti yang telah begitu lama mendominasi politik Malaysia.

Kenyataannya mengenai peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang akan berlangsung lebih awal daripada Jun 2010 menunjukkan Perdana Menteri menyedari realiti politik telah berubah. Beliau bersedia untuk menerimanya dan beliau berani untuk menjayakannya.

Prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu telah memberi kesan dahsyat kepada keyakinan umum terhadap Abdullah. Sungguhpun BN tetap berkuasa semula tetapi kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen telah menyeret banyak masalah politik yang tidak dapat dirungkaikan.

Dua isu penting yang muncul ialah perpaduan parti dan prospek kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan menjelang pertengahan tahun 2013, kira-kira empat tahun enam bulan dari sekarang.

Kemerosotan undi popular yang diterima oleh BN dan kekalahan banyak calon BN dalam pilihan raya umum Mac lalu menjejaskan reputasi Perdana Menteri, meletakkan pakatan pembangkang dalam keadaan agresif dan memberikan mereka harapan, mencetuskan persengketaan terbuka dalam UMNO serta menimbulkan persoalan mengenai keupayaan UMNO dan BN dalam menarik semula sokongan pengundi sebelum pilihan raya umum ke-13.

Peralihan kuasa yang bakal berlaku antara Abdullah dan Najib dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang adalah manifestasi situasi politik ini.

Berada di puncak kuasa sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah umpama memanjat tiang berminyak. Perjalanan yang dilalui Abdullah pada tiang itu penuh dengan cabaran.

Selama 20 tahun antara tahun 1984 dan 2004 Abdullah pernah dianggap pemimpin sederhana yang kenaikannya dalam politik menjadi satu enigma, mudah didekati dan popular di kalangan wartawan dan ahli-ahli UMNO. Beliau berjaya bertahan dalam UMNO dengan pengorbanan dan kepayahan sebelum akhirnya sampai ke puncak kuasa dengan bantuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hakikat bahawa beliau berupaya memanjat tiang berminyak itu dan berada di kemuncak kuasa yang menjadi idaman begitu ramai ahli politik mencerminkan kualiti kepimpinan yang ada pada dirinya sebelum reputasinya merosot dalam beberapa tahun terakhir ini.

Dalam UMNO dan di Malaysia, tidak ramai yang bernasib baik seperti Abdullah. Dalam tempoh 62 tahun sejarah UMNO, cuma ada enam orang yang menjadi Presiden UMNO dengan lima daripadanya merupakan Perdana Menteri yang menguasai kerajaan.

Adu domba

Abdullah ialah salah seorang daripada ahli politik yang ditakdirkan untuk mengetuai UMNO selain Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir.

Selepas pilihan raya umum Mac lalu, boleh dikatakan tiada sehari pun Abdullah dibiarkan tenang oleh pengkritiknya. Isu peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib yang mula didebatkan selepas pilihan raya umum itu – dan dirumuskan pada Julai lalu – menambahkan lagi minyak pada tiang kuasa yang dipanjat oleh Abdullah.

Sejak beberapa bulan lepas cakap-cakap politik kedengaran mengenai adu domba di belakang tabir serta intrik di kalangan pemimpin UMNO, BN dan juga pakatan pembangkang. Nama beberapa orang disebut-sebut sedia bersaing untuk menggantikan Abdullah dalam UMNO dan kerajaan, dengan latarnya kemelut politik di Parlimen, gembar-gembur Ahli Parlimen lompat parti dan ancaman undi tidak percaya yang diuar-uarkan oleh pakatan pembangkang.

Daripada kemenangan pilihan raya umum paling hebat dalam sejarah BN pada 2004, Abdullah memimpin UMNO dan BN dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 dengan takdir yang diterbalikkan. Pilihan raya itu menyaksikan kemerosotan undi paling teruk dalam sejarah parti memerintah itu.

Fakta itulah yang merintis kepada bersemaraknya satu lagi faktor yang kemudian menjadi antara pertimbangan yang turut terpaksa diambil kira iaitu bertambahnya bilangan musuh politik Abdullah di dalam dan di luar UMNO. Musuh Abdullah yang membiak bererti kesulitan baru turut berkembang.

Dalam ketempangan akibat kehilangan majoriti dua pertiga itu, Perdana Menteri terpaksa menangkis pelbagai kecaman di luar UMNO, dalam BN, daripada pembangkang dan di kalangan para pemimpin bawahan dan atasan UMNO sendiri.

Perasaan tidak puas hati Dr. Mahathir, tokoh yang bertanggungjawab melantik Abdullah sebagai Perdana Menteri pada 2003, menjadi salah satu daripada api yang memarakkan kecaman-kecaman tersebut.

Kekecewaan kian ketara dalam UMNO sungguhpun budaya feudal Melayu berjaya menekan pandangan itu daripada terapung ke permukaan. Namun begitu, akibatnya tetap dirasai. Sejak beberapa tahun lalu, lebih-lebih lagi selepas Mac 2008, parti itu tidak habis-habis dirundung melankolik, kekaburan dan bibit-bibit pergelutan kuasa.

Satu persatu masalah melanda UMNO dan BN. Sebahagian daripadanya hanya persepsi, sebahagian yang lain memang suatu realiti. Ia diburukkan lagi dengan senario ekonomi dunia yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup yang berpunca daripada kenaikan harga minyak global.

Di atas tiang berminyak yang dipanjatnya, Abdullah, kini berusia 69 tahun, mula ditanggap sebagai liabiliti kepada parti dan kerajaan. Ia menjadi suatu mood yang sebenarnya tidak tepat tetapi dipercayai.

Sejauh mana berleluasanya sentimen itu sehingga ke peringkat akar umbi seperti yang didakwa oleh para pengkritik Abdullah tidak diketahui tetapi banyak pemimpin bahagian UMNO dan sesetengah ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu sudah mula bercakap mengenai perubahan kepimpinan dan pentingnya suara akar umbi dizahirkan dan dihormati.

Apabila Abdullah mengumumkan beberapa bulan lalu persetujuannya kepada cadangan peralihan kuasa Jun 2010, syor itu melantunkan lebih banyak imaginasi politik dalam UMNO.

Ada pihak melihat jangka masa peralihan itu sebagai terlalu panjang yang tidak sesuai dengan usaha untuk menyegarkan semula UMNO. Mereka melahirkan kebimbangan UMNO tidak akan menjadi parti yang menarik dan efektif kerana pengganti Abdullah kelak berhadapan dengan tempoh yang terlalu singkat untuk memulihkan politik UMNO dan BN sebelum pilihan raya umum seterusnya.

Keresahan semakin bertambah selepas keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu yang menyaksikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan undi majoriti yang lebih besar.

Tekanan semakin dirasai BN di Dewan Rakyat walaupun ia mempunyai 140 kerusi berbanding 82 kerusi pembangkang. Dalam debat-debat politik di kedai kopi, kehangatannya sudah tentu lebih panas lagi. Di sebalik semua itu, di kalangan penyokong Abdullah, mereka yakin politik negara tidak akan berubah, nasib BN tetap kekal seperti pada Mac lalu, sungguhpun kepimpinan dalam UMNO bertukar.

Strategi

Perdana Menteri mendengar semua hujah itu, mempertimbangkannya dan dalam proses itu beliau dan Najib sentiasa menjadikan MT UMNO sebagai badan konsultansi politik yang amat berkuasa. Dalam tempoh sebulan lepas, hampir setiap minggu MT UMNO bertemu untuk memperhalusi strategi pemulihan UMNO dan BN.

Pengumuman yang dibuat oleh Abdullah selepas mesyuarat MT UMNO Jumaat lalu adalah sebahagian daripada strategi yang menunjukkan kesedaran beliau mengenai betapa kritikalnya isu peralihan kuasa kepada perpaduan dalam UMNO dan corak politik negara.

Pada sidang akhbar itu, beliau mengisytiharkan peralihan kuasa lebih awal daripada pelan asal Jun 2010 manakala Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan tertinggi parti yang dijadualkan pada Disember ditangguhkan kepada Mac 2009.

Pengumuman penting lain ialah mesyuarat bahagian UMNO akan tetap diadakan mengikut jadual asal mulai 9 Oktober serta menyatakan kesediaan beliau untuk mengumumkan sebelum 9 Oktober ini keputusan sama ada hendak bertanding jawatan Presiden parti dalam pemilihan pucuk pimpinan pada Mac depan.

Sungguhpun perincian cadangan peralihan kuasa terbaru dan rangka masa pelaksanaannya belum begitu jelas, inilah fleksibeliti yang ditunjukkan oleh Abdullah yang – walau apapun dikatakan orang – mencerminkan ketulusan hatinya. Beliau memberikan harapan baru.

Beliau bersedia untuk beralah daripada rancangan yang telah dipersetujui sebelum ini bagi memastikan beliau meninggalkan UMNO yang bersatu dan sebuah kerajaan yang berpotensi untuk meraih semula sokongan rakyat.

Pengumuman pada Jumaat lalu merupakan titik peralihan kepada isu siapa pengganti Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tempoh 12 hari akan datang bakal menjadi pengaturan masa yang ditunggu-tunggu oleh kira-kira 2.7 juta ahli UMNO di seluruh negara dan rakyat Malaysia lainnya.

Dalam jangka masa itu Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai kedudukannya dalam UMNO. Sebarang keputusan yang beliau ambil akan menentukan berapa cepat peralihan kuasa akan berlaku dan sejauh mana ia juga melibatkan jawatan Perdana Menteri dan Kabinet.

Memandangkan isyarat daripada Abdullah ialah beliau mahu kepimpinan UMNO dan kerajaan diambil alih oleh Najib apabila tiba masanya, tentulah Abdullah ingin memastikan Najib, 55, yang diasuh untuk menggantikan beliau dapat mengawal majoriti sokongan di Parlimen bagi meneruskan kekukuhan kerajaan BN.

Usaha ke arah peralihan kuasa lebih awal tersebut tentulah menyedihkan para penyokong Abdullah dan begitu ramai pesimpati yang telah lama mengikuti karier politik beliau, tetapi kita semua tahu bahawa itulah sifat semula jadi politik.

Dalam politik, selepas kemenangan, kekalahan akan tiba. Bagi yang berada di kemuncak kuasa seperti Abdullah, masa berundur tetap akan datang. Malah, tragedi menjadi sebahagian daripada kehidupan politik yang terpaksa dilalui hatta oleh seorang Perdana Menteri.

Kita semua tahu Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah tidak akan merancang peralihan kuasa itu dan bersetuju menjayakannya jika tujuannya adalah untuk melemahkan UMNO dan kerajaan.

Sejarah politik yang dilaluinya menunjukkan cucu ulama terkenal Haji Abdullah Fahim itu seorang pejuang UMNO sejati dan negarawan yang di sebalik kritikan-kritikan yang sering dihalakan terhadapnya sentiasa meletakkan kesejahteraan bangsa dan kestabilan negara di atas segala-galanya.

No comments: