Pertembungan sesama sendiri di 8 Parlimen, 25 DUN akibat persefahaman longgar TIDAK seperti yang mereka rancang, berlaku pertembungan sesama sendiri di kalangan parti pembangkang, terutama membabitkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses penamaan calon diadakan semalam.
Persefahaman longgar pakatan parti pembangkang itu menyaksikan 33 pertembungan sesama sendiri calon mereka menentang calon Barisan Nasional (BN) membabitkan lapan kawasan Parlimen dan 25 DUN.
Keadaan ini kebanyakannya berlaku di kawasan majoriti pengundi Cina dan amat jelas DAP pimpinan Lim Kit Siang yang mahu menggempur Pulau Pinang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, gagal membentuk pakatan seperti yang mereka harapkan.
Tidak ada pengisytiharan rasmi pakatan barisan pembangkang membabitkan Pas, DAP dan PKR kali ini, tetapi ini juga taktik DAP dan Pas yang masing-masing tidak mahu dilihat 'berpakat' berikutan prinsip serta ideologi yang berbeza.
Sememangnya Pas dan DAP boleh bercinta di belakang tabir dan pemimpinnya boleh berpeluk di hadapan orang ramai seperti pada pilihan raya umum sebelum ini, tetapi mereka tidak akan boleh berkahwin walaupun 'marriage for convenience' (perkahwinan untuk keselesaan) boleh diterima dalam dunia politik.
Ketempangan pakatan jitu parti pembangkang itu, sekali gus akan memberi kelebihan kepada calon BN yang sudah mendahului apabila menang sembilan kerusi tanpa bertanding, iaitu tujuh Parlimen dan dua DUN semalam. Umpamanya di Kedah, pakatan longgar pembangkang amat jelas seperti di kerusi DUN Derga apabila calon BN, Dr Cheah Soon Hai dicabar Teoh Teik Guan (DAP) dan Cheung Khai Yan (PKR).
Di Sarawak dan Sabah, pakatan itu jelas amat rapuh sehingga mereka tidak boleh berkompromi untuk berhadapan cuma satu lawan satu dengan calon BN. Di Sabah, misalnya kerusi Parlimen Sepanggar, DUN Tanjong Aru dan DUN Kapayan menyaksikan calon PKR dan DAP mencabar BN.
Malah, PKR juga terpaksa berhadapan calon beberapa parti pembangkang lain di Sabah seperti Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunuk Ragang Bersatu (Pasok), Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (Setia) dan Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (Bersekutu)
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak penggunaan nama Pasok dan Setia kerana tidak berdaftar sebagai sebuah parti politik, menyebabkan calonnya akan terpaksa bertanding atas tiket Bebas. Ia berlaku di kerusi Parlimen Tenom, DUN Moyog, Kawang dan Sungai Sibuga. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (BN) dicabar Ahmad Thamrin Jaini (PKR) dan Osman Enting (Bersekutu) bagi merebut kerusi DUN Sungai Sibuga. Pada 2004, Musa menang dengan majoriti 6,670 undi.
Dua kerusi Parlimen di Sarawak, iaitu Stampin dan Sibu menyaksikan pertembungan sengit apabila calon BN di situ berhadapan kedua-dua calon DAP dan PKR. Di Stampin dekat bandar raya Kuching, calon BN, Datuk Yong Khoon Seng yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Kerjaraya, dicabar Voon Lee Shan (DAP) dan See Chee How (PKR), manakala di Sibu, Datuk Robert Lau Hoi Chew (BN) yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dicabar Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng (DAP) dan Robert Lim Kim Chuen (PKR).
Sebelum penamaan calon lagi, memang diketahui pembangkang di Sarawak gagal mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi Parlimen kali ini. Malah, dua surat yang dihantar PKR Sarawak kepada pucuk pimpinan DAP di negeri itu untuk mengajak mereka duduk di meja rundingan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri, tidak dilayan.
Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Dominique Ng, sebelum ini dilaporkan berkata keadaan itu menyebabkan partinya belum bersedia sepenuhnya kerana masih berharap rundingan diadakan dengan DAP sebelum pilihan raya. Penasihat PKR Sarawak, Datuk Hafsah Harun, pula berkata, DAP menganggap kerusi bandar dan kerusi majoriti pengundi Cina milik mereka serta enggan memberi laluan kepada PKR.
Nasib baik pilihan raya di Sarawak cuma membabitkan kerusi Parlimen kerana pilihan raya umum negeri baru diadakan pada Mei 2006. Jika tidak, sudah pasti pertembungan seperti itu akan berlaku di lebih banyak lagi kawasan. Parti pembangkang, Parti Rakyat Malaysia (PRM) pula bertembung dengan calon DAP untuk kerusi DUN Stulang di Johor dengan calon BN, Mok Chek Hou dicabar Norman Joseph Fernandez (DAP) dan Song Sing Kwee (PRM).
Pada pilihan raya kali ini, berbeza dengan Pilihan Raya Umum 2004 apabila di beberapa kerusi Parlimen dan DUN, calon Pas, DAP dan PKR bertanding di kerusi sama bagi menentang BN. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan pakatan antara parti pembangkang dalam pilihan raya umum ini hanya 'syok-syok' saja.
Perdana Menteri berkata, walaupun mereka berpakat dari segi pembahagian kerusi, parti itu tidak pernah bersetuju dengan ideologi masing-masing. "DAP tidak pernah bersetuju dengan ideologi yang dibawa Pas, iaitu untuk membentuk sebuah negara Islam, manakala DAP pula mempunyai falsafah mereka sendiri yang tidak selari dengan apa yang Pas mahu buat. PKR juga ada falsafah mereka sendiri," katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengakui bahawa pakatan parti pembangkang yang mahu menafikan kemenangan dua pertiga BN masih bermasalah apabila bertembung sesama sendiri selepas proses penamaan calon selesai, semalam. Beliau berkata, keadaan itu mungkin berpunca akibat salah faham, tetapi sebahagian besar berlaku di Sabah dan Sarawak, manakala di Semenanjung usaha sebaik mungkin dilakukan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.
"Kami akan meneliti perkembangan ini dan tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam beberapa hari lagi," katanya, tetapi tidak menyatakan bentuk tindakan diambil, sama ada mana-mana parti yang akan berundur daripada saingan.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan negeri di Semenanjung kerjasama dilihat wujud, terutama membabitkan PKR dan Pas untuk berdepan dengan BN. Mungkin mereka sudah menyedari hakikat bahawa pertembungan sesama sendiri di sesuatu kawasan akan menyukarkan laluan mereka untuk menyaingi calon BN, sekali gus memecah undi seperti yang pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini. Di Terengganu, umpamanya, semua 32 kerusi DUN menyaksikan satu lawan satu antara BN dan Pas.
Cuma satu daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru berikutan penyertaan calon Bebas wanita, Maimun Yusuf, 89 iaitu calon paling tua kali ini, tetapi tujuh kerusi lain menyaksikan pertembungan antara BN dan Pas. Trend sama berlaku di Kelantan apabila 43 kerusi DUN dan 12 Parlimen, menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dan Pas atau sekutunya, PKR.
Bagaimanapun, dua kerusi Parlimen iaitu Tanah Merah dan Rantau Panjang serta DUN Gual Periok dalam Parlimen Rantau Panjang, menyaksikan saingan tiga penjuru berikutan penyertaan calon Bebas di kawasan terbabit. Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen. Selepas penamaan calon berakhir, Pas diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Kijang, menerusi calonnya, Naib Ketua Dewan Muslimat Kelantan, Senator Wan Ubaidah Omar.
Kertas pencalonan calon BN, Mustopha Ahmed ditolak selepas didapati muflis. Keadaan ini sudah pasti menyedihkan BN dan siasatan perlu dilakukan. Pucuk pimpinan BN, terutama Umno sebelum ini sudah mengarahkan siasatan dilakukan dengan agensi kerajaan yang berkaitan. Ternyata semakan tidak dibuat dan ini menjadi satu pengajaran kepada semua.