Tuesday, February 19, 2008

Wibawa calon muda

DALAM menyusun strategi untuk menarik kira-kira 40 peratus pengundi muda daripada hampir 11 juta pengundi dalam pilihan raya kali ini, Barisan Nasional (BN) memerlukan timbang tara yang bukan sedikit sebelum menghantar calon muda, apatah lagi mereka yang setahun jagung dalam sepak terajang politik.

Tanpa senarai kemampuan dan kredibiliti yang meyakinkan di kalangan calon yang sangat mentah ini, BN seharusnya mempunyai piawaian lain yang akan diguna pakai untuk melayakkan mereka bertanding di sesebuah kawasan.

Pemimpin BN juga tidak boleh tersalah mentafsir sejarah kekuatan mereka dengan menempatkan calon muda di kawasan yang tidak pernah tumbang kepada parti pembangkang sepanjang sejarah pilihan raya.

Percaturan sebegitu sangat berbahaya tidak hanya kepada calon bertanding yang dibimbangi akan berasa selesa, malah pengundi juga dikhuatiri akan mempersoal wibawa calon muda tersebut.

Di sesetengah kawasan yang pembangunan fizikalnya dilihat bergerak pada landasan yang sangat positif, kehadiran calon-calon muda barangkali akan memberi kelebihan kepada BN.
Ini kerana kehadiran calon muda itu boleh diterjemah oleh rakyat sebagai satu simbolik BN ke arah pembangunan yang lebih rancak dan konsisten di kawasan berkenaan, sesuai dengan semangat membara calon muda mereka.

Contoh yang paling mudah dilihat pastinya sokongan yang diberikan kepada wakil rakyat muda, K.R. Parthiban, yang memenangi Dewan Undang Negeri Ijok, dalam pilihan raya kecil tahun lalu.
Malah, BN dalam membuat penilaian sumbangan dan kemampuan calon-calon muda juga boleh menyemak prestasi beberapa wakil rakyat yang diberi mandat pada pilihan raya lalu antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, Suraya Yaakob (ADUN Sungai Tiang, Kedah) dan Rosnah Ab. Rashid Shirlin (Ahli Parlimen Papar).

Sekiranya sepanjang sepenggal lalu wakil rakyat muda ini sangat cemerlang dalam menterjemah dan menyampaikan agenda BN kepada seluruh rakyat yang diwakili mereka, tradisi yang sama seharusnya diteruskan dalam pilihan raya kali ini.

Jika sebaliknya, BN perlu meneliti semula formula mereka dalam mempertaruhkan calon muda kerana medan pilihan raya kali ini sangat mencabar dan ditunggu-tunggu oleh pembangkang dengan segala modal berkempen yang lebih tajam.

Bagaimanapun dari sudut pandangan penganalisis politik tempatan, keputusan meletakkan muka-muka baru dan muda merupakan satu percubaan yang berani daripada Presiden BN yang pastinya mahu melihat perubahan dinamik dalam sistem pemerintahan baik di dalam parti atau kepada negara kelak.

Seperti kata Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nidzammudin Sulaiman, calon muda yang bersih, mempunyai rekod yang baik dan terserlah wibawanya sebagai seorang pemimpin perlu diketengahkan bagi membuktikan kepada rakyat bahawa BN mempunyai pemimpin pelapis yang boleh mengemudi negara untuk tempoh yang lebih lama.

Tetapi dalam kesediaan untuk menyalakan obor perubahan itu, sikap berpolitik di kalangan ahli dalam parti sendiri perlu dilihat dengan lebih sensitif kerana bukan semua calon muda disenangi oleh orang lama.

Rasa tidak puas hati sesetengah ahli dalam parti itu sekiranya tidak diberi perhatian sewajarnya boleh menyebabkan timbulnya amalan berpuak dan tidak mustahil akan menyebabkan BN kehilangan undi ahli yang berasakan tidak dihargai.

‘‘Apa yang paling tepat dilakukan oleh BN ketika ini adalah menggantikan pemimpin yang sudah terlalu lama memegang sesuatu jawatan baik dalam parti mahupun kerajaan. Jika sebelum ini Perdana Menteri berkira-kira untuk menggantikan pemimpin lama ini, maka pilihan raya ini merupakan masa terbaik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa BN tidak ketandusan pemimpin berkaliber,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Komitmen

Kehadiran muka-muka baru sebagai calon juga jelas ahli sejarah, Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, sangat dialu-alukan namun perlu tampil dengan idealisme, komitmen dan semangat perjuangan yang jelas dan bukannya atas kepentingan peribadi.

Melihat kriteria calon dalam konteks yang lebih luas, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini bagaimanapun menambah, sesiapa sahaja yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat tanpa mengira umur seharusnya seorang yang matang serta patriotik kepada negara, bangsa dan agama.

Mengambil semangat perjuangan belia sebelum era merdeka yang berjuang membebaskan negara daripada penjajah, Nik Anuar berkata, semangat dan jiwa yang serupa juga seharusnya ada dalam diri calon yang berhasrat untuk bertanding seterusnya mewakili rakyat dalam pilihan raya akan datang.

‘‘Kita tidak mahu sesiapa sahaja masuk bertanding sedangkan matlamat perjuangan mereka tidak jelas kerana calon sebegini akan merosakkan negara,” katanya.

Ketika ditanya apakah strategi meletakkan muka baru di kalangan parti yang bertanding mampu memikat perhatian pengundi terutamanya generasi muda, beliau bagaimanapun mengakui agak sukar untuk menilai kecenderungan politik orang muda pada zaman modenisasi ini.

‘‘Mind set orang muda tidak boleh dibaca, kita tidak tahu asas politik pengundi muda ini sama ada sekadar mengikut arus semata-mata atau mereka mempunyai idealisme tersendiri. Setiap parti seharusnya mempunyai kajian tersendiri dalam memancing undi golongan ini,” katanya.
Pastinya, gelanggang pilihan raya kali ini bukan untuk seorang calon yang sangat cetek pengalaman dalam politik negara serta tidak banyak pula sumbangan kepada rakyat yang boleh menerbitkan keyakinan yang tinggi pada upaya mereka.
Justeru, adegan tolak-menolak dan tersipu malu di kalangan beberapa pemimpin sayap UMNO iaitu Pemuda dan Puteri menjelang pilihan raya perlu diperhalusi dengan piawaian yang sangat telus oleh pemimpin parti BN.
Aspirasi mereka tidak hanya mendukung keyakinan golongan muda dalam lingkungan usia mereka semata-mata, tetapi turut menggalas harapan keseluruhan rakyat yang diwakili di kawasan tersebut.
Lalu apabila bercakap tentang harapan rakyat, ia tidak hanya pada pembangunan, tetapi lebih kepada soal kebajikan yang kebiasaannya sangat dekat dengan isu-isu kemanusiaan, lebih-lebih lagi jika kawasan itu jauh di pedalaman.
Perkara sebeginilah yang jarang ada dalam asas berpolitik orang muda, kerana darah muda mereka lebih cenderung kepada pendekatan bersifat konservatif. Idea mereka yang berani juga kadang kala tidak terkejar bukan sahaja di kalangan rakyat, malah pucuk pimpinan dalam parti setempat.
Situasi ini mungkin menyebabkan rakyat makin menjauh, bukan kerana tidak ada keyakinan terhadap wakil rakyat muda, cuma terasa kehilangan rentak untuk bersama-sama bergandingan, atau juga malu untuk meluah masalah kepada orang yang lebih muda.

No comments: