DALAM masa 18 hari saja lagi negara kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 dan dengan itu, kuasa untuk menentukan nasib dan masa depan rakyat di negara ini akan dikembalikan kepada rakyat. Kali ini, sejumlah 10,922,139 pemilih berdaftar di seluruh negara akan menentukan masa depan dan hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Syukur Alhamdulillah 11 pilihan raya umum lalu menyaksikan proses pilihan raya di negara kita berjalan lancar tanpa insiden besar yang tidak disenangi kecuali tragedi 13 Mei 1969. Akhirnya rakyat menggunakan kuasa untuk menentukan kerajaan yang memerintah, yang terbukti mampu membawa keamanan, kemakmuran dan kestabilan di Malaysia, selama ini. Bersyukur kita juga kerana selepas 11 pilihan raya umum sebelum ini, kerajaan yang dipilih, kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan baik sehingga negara bukan saja kekal dalam suasana aman, tenteram dan stabil, malah ekonomi negara juga mampu berkembang dengan baik. Ketika berlaku krisis mata wang serantau sekalipun, Malaysia berjaya menanganinya dengan baik berbanding negara lain di rantau ini.
Kini, selepas empat tahun Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menerajui negara, kerajaan turut memperlihatkan kejayaan dasar yang dilaksanakan sehingga negara mencatat jumlah perdagangan melebihi RM1 trilion tahun lalu satu rekod dalam sejarah negara. Laporan terkini Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan bahawa Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) di Bursa Malaysia, mampu mencecah paras 1,700 mata menjelang akhir tahun ini jika sokongan pelabur asing dan sentimen positif di pasaran dapat dikekalkan. Hakikat betapa kestabilan politik banyak menyumbang kepada pertumbuhan menggalakkan ekonomi negara, tiada siapa boleh menyangkal. Kejayaan kerajaan sekarang meletakkan ekonomi negara pada landasan betul dan Misi Nasional yang menjadi teras Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah satu strategi pintar ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.
Kesungguhan kerajaan dalam membawa pembangunan seimbang ke seluruh negara pula dapat disaksikan menerusi pelancaran lima koridor pembangunan wilayah, yang antara lain bermatlamat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 dan mengangkat setiap negeri menjadi negeri maju menjelang 2020. Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan paling terkini Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), akan memastikan tidak ada satu pun negeri terpinggir apabila Malaysia muncul sebagai negara maju. Pembangunan keseluruhan Score iaitu Koridor Sarawak yang bakal melonjakkan ekonomi Sarawak sehingga berkembang lima kali ganda menjelang 2030, disasarkan akan menarik pelaburan RM334 bilion. Pada hari pelancarannya saja memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih 107 bilion sudah ditandatangani. Menurut Perdana Menteri, Score juga sudah menerima komitmen pelaburan bernilai RM500 bilion, jumlah terbesar untuk kelima-lima koridor wilayah di negara ini. SDC yang dilancar sebelum itu disasarkan menerima pelaburan berjumlah RM105 bilion dalam tempoh 18 tahun pelaksanaannya; ECER disasarkan membabitkan pelaburan RM112 bilion; NCER (RM177 bilion), manakala WPI yang menjadi koridor pertama dilancarkan membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM346 bilion.
Kejayaan pelaksanaan kelima-lima koridor wilayah yang bakal mencetuskan jutaan peluang pekerjaan dan menghapuskan kemiskinan ini banyak bergantung kepada kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan di negeri terbabit. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, konsep Islam Hadhari dan penerapannya akan menjadi dasar dalam membangunkan wilayah dan koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara bagi membolehkan rakyat menikmati limpahan kekayaan sama rata. Konsep Islam Hadhari akan memastikan semua matlamat untuk melihat rakyat pelbagai peringkat meraih keuntungan daripada pembangunan wilayah ekonomi mencapai sasaran menerusi pelbagai rancangan yang ditetapkan kerajaan. Pelabur dari dalam dan luar negara sudah meletakkan komitmen untuk melabur di kelima-lima koridor berkenaan. Pada masa sama. kita sebagai rakyat Malaysia harus mengaku betapa kerajaan mampu mengurus ekonomi dengan baik menyebabkan pelabur asing terus memberi keyakinan untuk menanam modal di negara ini. Kenaikan harga makanan, produk dan perkhidmatan yang berlaku ketika ini tidak seharusnya dijadikan kayu ukur untuk menidakkan pencapaian ekonomi negara kerana ia adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan. Apa yang harus kita nilai ialah kejayaan kerajaan kita mengawal inflasi dengan baik sehingga impak fenomena global ini dapat diminimumkan sehingga tidak terlalu membebankan rakyat. Harus diingat kerajaan kita juga satu-satunya kerajaan yang sanggup menanggung subsidi besar untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Bagi subsidi minyak saja lebih RM16 bilion subsidi ditanggung kerajaan bagi memastikan rakyat tidak perlu membeli minyak dengan harga terlalu tinggi seperti dialami rakyat di negara lain di rantau ini. Ini belum lagi dikira subsidi pendidikan, kesihatan dan sebagainya yang mencecah RM40 bilion. Justeru, rakyat perlu bijak apabila menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian. Ingatlah masa depan negara dan kejayaan pelaksanaan kelima-lima koridor pembangunan wilayah yang dilancarkan kerajaan, terletak sepenuhnya di tangan kita. Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno
Tuesday, February 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment