SUDAH menjadi kelaziman Barisan Nasional (BN), pada setiap kali pilihan raya umum atau pilihan raya kecil menapis senarai calonnya bagi menentukan sama ada seseorang itu muflis, ada kes jenayah, pernah terbabit dalam rasuah dan sebagainya bagi mengelak keperibadiannya dijadikan isu oleh parti lawan ketika berkempen. Kaedah menapis calon sudah diguna pakai BN sejak pilihan raya umum sedekad dua lalu bagi memastikan hanya calon yang bersih dipilih mewakili parti. Namun, ada juga yang terlepas pandang dan sukar dibuat tapisan, terutama apabila calon itu dipilih pada saat akhir yang mungkin pada zahirnya kelihatan 'bersih'. Memang diakui beberapa wakil rakyat diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan dan kesalahan seperti didedahkan oleh media, walaupun mereka dianggap bersih sebelum dicalonkan. Ada juga calon yang memang bersih, apabila mendapat gelaran Yang Berhormat (YB) terdedah kepada pelbagai penyelewengan dan menjadi sasaran orang yang mempunyai kepentingan tertentu. Hanya keimanan yang kukuh akan mampu menahan diri daripada sebarang godaan syaitan. Oleh itu, tindakan pucuk pimpinan BN untuk terus mempraktikkan kaedah itu dengan merujuk nama semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), bagi memastikan hanya calon yang bersih, layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 ini, amat dialu-alukan.
Seperti kata Datuk Seri Najib Razak, semua nama dirujukkan kepada BPR, termasuk mereka yang memegang jawatan penting dalam negeri dan kerajaan. Langkah ini walaupun bukan diwajibkan, sekurang-kurangnya mengurangkan isu, terutama berkaitan peribadi calon sepanjang kempen pilihan raya. Tindakan ini dirasakan lebih penting dilakukan untuk calon muka baru. Malah sesetengah negeri seperti Selangor mengambil pendekatan lebih teliti apabila merujuk semua calon pilihan raya umum akan datang kepada empat agensi penting iaitu BPR, polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi. Ini bagi memastikan bakal calon terbabit bersih sepenuhnya daripada sebarang bentuk kesalahan termasuk rasuah dan penyelewengan, tidak melakukan jenayah, lari daripada membayar cukai dan tidak pernah diisytiharkan muflis.
Jika semua tapisan itu dilakukan, memang sukar bagi calon parti lawan untuk membuat serangan berbentuk peribadi seperti kelaziman berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini. Jika boleh, seseorang bakal calon itu bukan saja mempunyai fail BPR, polis atau LHDN yang bersih, malah mesti 'kelihatan bersih dan berbau bersih' seperti pendekatan Kastam Diraja Malaysia untuk dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat. 'Berbau bersih' bermaksud seseorang itu bersih daripada sebarang 'cakap-cakap' buruk mengenai tindak-tanduknya. Perkara seperti 'orang ini kaki rasuah' memang pernah kita dengar, tetapi sukar membuktikannya menyebabkan dia tidak boleh diheret ke mahkamah. Hakikatnya, dunia politik begitu sensitif sekali dan pihak lawan, terutama pembangkang akan terus menyerang keperibadian calon meskipun seseorang itu 'bersih' daripada rekod jenayah. Pembangkang tidak melepaskan peluang untuk melemparkan tuduhan hanya berdasarkan kepada khabar angin atau cakap-cakap kedai kopi. Apa yang penting, sebagai ahli politik, seseorang itu bukan saja bersih, tetapi mesti sentiasa kelihatan bersih.
Monday, February 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment